Friday, January 3, 2014

Donat Lembut (Izahdaut)

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Dok di CH ni paham-paham sajalah kalau nak buat memenda yang berasaskan yis. Di kala cuaca berada pada tahap 'sejuk'... matahari pun tak nampak bayang, adalah satu risiko bila membuatnya. Seperti donat lembut Izah yang saya buat ni. Dengan cuaca yang mendung, risau jugak memula kot-kot tak jadi. Saya hanya buat setengah adunan sebagai percubaan. Kalau kata tak jadi, vantat ke hape idok le terasa membazior sangat kan....



Daripada setengah adunan tu dapatlah 17 biji donat saiz kecil. Tengoklah kat dalam gambar tu, kemain tembam kejadiannya. Memula tu dok ngat nak salut coklat macam Izah tapi bila dicairkan tak elok pulak, berketul-ketul gamaknya dah expired. Jadi guna ajelah gula castor, senang.


Ini pulak hasil dari terapan yang ditengah tu... takyah diuli semula, hanya penaikkan dan goreng. Kalau ada bebudak yang inilah akan habis dulu. Dapat semangkuk yang ni memang kenyang.

Dalam gambar bawah, itu adalah paras rupa donat ni semasa di penaikkan kali kedua. Seperti yang saya ceritakan kat atas, adunan yang dipenaikkan kali pertama tak naik sangat, sehingga saya terpaksa penaikkan menggunakan air suam. Barulah adunan menjadi agak ringan dan sedikit kembang. Setelah diterap, saya penaikkan untuk kali kedua dalam masa 1/2 jam. Itulah bentuknya. Boleh nampak ianya tidak mengembang dan masih dalam bentuk asal.

Malas nak tunggu lebih lama, saya tawakkal dan menggorengnya. Kalau kata tak jadi, boleh fikir pulak nak buat apa. Kot-kot la kan boleh jadi juadah kedua mana tahu. Gorengan yang pertama menampakkan hasil yang kurang memuaskan. Donatnya tak kembang tapi bila makan mak oiiii lembut sesangat. Bila goreng yang lain kemain kembang pulak sampai tak nampak lubang ditengahnya. Ahhhh, nasib baik ianya boleh di makan. Tapi bila dah sejuk, agak liat jugaklah... Mmmmmm no hal lah tu, janji masih boleh makan.

TQ Izah... saya copy resepi di bawah ni ya untuk rujukan.



DONUT LEMBUT
Resepi : Izah

2 sk yis mauripan
1/4 cawan air suam
1sk gula

*satukan bahan di atas dan biar berbuih utk memastikan yis aktif.

3 cawan tepung gandum
4 sb gula
1/2 sk garam
2 sb susu tepung
1 biji telur
1/2 cawan air - kurang lebih
2- 21/2 sb butter / marjerin

Satukan tepung, gula, garam, susu tepung ke dalam mangkuk yang besar. Gaulkan sekata dan lubangkan tengah2 tepung. Tuangkan telur, air, yis dan marjerin. Uli sehingga llicin atau tidak melekat ditangan. Biar kan doh didalam bekas yang berttutup atau tutup menggunakan tuala lembab sehingga doh kembang.
Bila doh kembang tumbuk2 untuk keluarkan angin dan boleh bentukkan donut anda.
Biar sebentar donut naik *15-20 minit* dan goreng dengan minyak panas dengan api sederhana kecil.
Salutkan donut dengan gula halus atau celupkan dengan coklat.
Sedia dinikmati.

Penggunaan BM :
Masukkan bahan2 mengikut turutan arahan BM masing2

Note : Teringat malam tahun baru, tidur mimpi berjumpa Izah. Haish... apa de kes? ♡♥♡

Thursday, January 2, 2014

Nasi Goreng Ikan Goreng

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Inilah nasi goreng yang selalu disediakan oleh my mek. Di kampung, jangan harap nak buat nasi goreng paprik, nasi goreng cina atau nasi goreng tomyam...alamatnya yang veteran hanya memandang sambil pot pet pot pet... My mek tu memang tak makan ayam, jadi nasi goreng yang menggunakan ikan sajalah yang dibuat.

Walaupun simple as that, saya suka sangat. Air tangan ibu lah katakan. Kadang-kadang walaupun dibuat sendiri dengan resepi dan cara yang sama tetapi hasilnya berbeza. Tapi tak apalah, saya nak kongsikan di sini untuk bagi idea pada kawan-kawan.

Kadang-kadang bila goreng ikan, mesti tak habis. Iyalah, setakat goreng garam kunyit memang kurang laku, nak kena buat masak merah atau sambal baru cepat habis. Selain guna ikan goreng kunyit, boleh juga kalau nak guna ikan singgang atau ikan rebus goreng. Yang saya buat ni guna ikan goreng kunyit yang saya bawak seekor, tak habis makan di kampung. Dengan seekor ikan tu dah boleh agak la kan berapa banyak nasi yang digunakan.

Caranya mudah sahaja, hanya seperti nasi goreng biasa. Saya ada tulis resepi ringkas seperti di bawah bagi siapa yang nak mencuba.


NASI GORENG IKAN GORENG
Resepi : Cheq Sue

Bahan-bahan :
Nasi sejuk - ramas hingga hancur
Bawang merah + bawang putih + cili + isi ikan goreng kunyit - tumbuk
Kobis - hiris halus
Kicap
Garam
Minyak

Cara membuatnya :
Tumis bahan yang ditumbuk. Walaupun tumisan agak kering elakkan menambah minyak (ikan akan serap minyak)
Setelah agak garing, masukkan kobis, tumis hingga layu
Tambahkan kicap secukupnya
Masukkan nasi dan gaul hingga rata
Perasakan dengan sedikit garam
Bila dah sebati dan mesra boleh ditutup api

Wednesday, January 1, 2014

Satu.Satu.Dua Kosong Satu Empat : ISTIMEWA

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Alhamdulillah masih diberi kesempatan menghirup nyamannya udara hari ini. Harapannya semoga hari ini lebih baik daripada semalam di dalam semua perkara. In Sha Allah. Apa yang istimewanya 1.1.2014 ni? Selain hari ini merupakan hari ulang tahun sahabat karib saya Mok Ja dan 'si dia' yang telah saya lepaskan pergi (selamat ulang tahun, semoga berbahagia selalu!)... pada tarikh ini juga merupakan cukupnya 10 tahun saya mengajar di Cameron Highlands. 10 tahun? Bukan jangka masa yang sekejap. Terlalu banyak perubahan yang berlaku... Meh saya nak imbas kembali...

Selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Batu Pahat pada 2003, saya sebenarnya sudah dapat menjangka di mana saya akan ditempatkan kerana bagi opsyen yang saya ambil, hanya ada beberapa sekolah yang baru dibuka. Tetapi sebelum sampai surat penempatan, saya tidak mahu berfikir kerana tempat yang ada dalam fikiran saya tu seboleh-bolehnya saya tidak mahu.

 Tahun 2005, mewah dengan bunga...

Saya masih ingat, semasa menerima surat tersebut, di rumah baru sahaja selesai mengadakan kenduri arwah (40 hari) datuk saya. Dia tiada untuk menyaksikan saya mendapat kerja. Di sepanjang hayatnya... dia mengimpikan saya untuk menjadi 'pegawai' paling tidak pun menjadi misi atau staffnurse. Al-Fatihah... Dan seperti yang saya jangka, memang tempat saya untuk berkhidmat di CH. Saya menerimanya dengan redha. Di mana saya diletakkan di situlah saya akan berbakti.
Tahun 2006, sambutan Hari Guru.

Jadi pada pagi 1.1.2004, berangkatlah saya bersama mek dan cek dengan menaiki kereta Kancil dipandu bapa saudara saya menuju ke CH... melalui Jalan Tapah dan kami menginap di Hotel Iris, Brinchang. Masa tu cuacanya sangat sejuk sehingga tidur pun terganggu... Saya ingat pada tahun 1999 saya mengikuti lawatan ke CH, betapa sukanya dapat menikmati cuaca sejuk rupa-rupanya saya akan berkerja di situ suatu masa nanti... *_*

Tahun 2007 di KOT..tahun ni rumah Beta jadi juara. Sekarang padang ni dah tak ada, dah didirikan sekolah rendah di kawasan ni.

Pagi 2.1.2004, berangkat pula saya menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja dan terlebih dahulu singgah sarapan di Kedai Pak Hassan. Sempat berbual-bual seketika sebelum melapor diri. Semasa sampai, saya disambut oleh kerani sekolah, Cik Chong. Pengetuanya pada masa itu adalah En Yong Leong Meng. Dari apa yang dinyatakan, sekolah ini majoriti pelajarnya adalah Cina sementelah pula kawasan berkenaan memang ramai penduduk bangsa itu.
Tahun 2008, antara yang cemerlang. Dua calon MPV mendapat A

Selesai melapor diri, saya masuk ke kuarters. Nasib baik juga pada ketika itu ada rumah kosong. Maka operasi pembersihan bermula. Dengan kereta Kancil tak banyak barang yang dapat dibawa, hanya yang asas sahaja. Saya masih ingat, hanya ada sehelai tikar buluh, sebiji bantal dan sehelai selimut nipis (berjalur Singapura). Pakcik saya membeli teh dan dapat hadiah percuma set cawan 4 biji. Semasa mek dan cek tinggalkan saya, hanya ada sebungkus biskut kering dan sebotol air masak sahaja.
Tahun 2009, KOT di Tanah Rata. Tahun ni dah mula tudung segera @ awning...

Berlinang air mata... menangis kerana tinggal sendiri. Pada umur 24 tahun akhirnya saya memulakan hidup berdikari sendiri di tempat orang. Malamnya bayangkan bila tidur berselimutkan kain nipis...lagilah laju air mata bercucuran. Dari situlah kehidupan sebenar bermula. Saya ingat lagi keesokannya Mok Ja dan Naim (masa tu baru je boleh jalan) datang ke rumah, mengajak saya ke rumahnya untuk makan tengah hari. Selepas itu beliau memberikan saya tilam dan selimut tebal. Dan dari situ jugalah persahabatan bermula... TQ Allah... TQ dear...
Tahun 2010, bawa budak ke perkhemahan di Maran

Tahun pertama mengajar memang terlalu banyak pengalaman. Saya menjadi guru kelas tingkatan 4MPV. Dengan suasana yang agak asing, di mana di dalam kelasnya hanya pelajar Cina dan India, agak susah juga nak sesuaikan diri. Masuk 3 hari persekolahan, tombol pintu tercabut. Bayangkan... Pernah sekali semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, satu raga dibawanya limau ke sekolah, bukan nak bagi pada cikgu-cikgu, tetapi di makan di dalam kelas. Pernah juga membawa dapur stimboat dan memasaknya di dalam kelas. Begitulah cabarannya... Selain itu terpaksa juga mengajar Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani untuk mencukupkan waktu P&P.

Tahun 2011... tahun boleh tahan!

Saya ingat pada tahun berkenaan tak putus air mata bila keluar dari kelas berkenaan. Setiap hari masuk ke kelas dengan peruntukan 12 waktu terasa sangat menyiksakan. Saya masih ingat kata seorang guru pakar Matematik pada ketika itu Cikgu Tan... dia banyak memberi nasihat pada saya... begitu... begini... Sekuat mana pun saya menyorokkan perasaan sedih saya, tetap nampak di muka katanya...

Dinner di EQ... meriah. Tengok badan membesar dengan jayanya!

Kini... setahun demi setahun... saya belajar dari pengalaman. Sedikit demi sedikit saya dapat sesuaikan diri dengan persekitaran, budaya dan pelajar di sini. Alhamdulillah...tiada lagi air mata. Harapnya selepas ini dapat berkhidmat di negeri sendiri pula... Doa-doakanlah!
Tahun 2013, tahun kedua calon perempuan MPV. Antara pelajar yang terbaik pernah dimiliki!

Dan esok, 2.1.2014, bermulanya sesi persekolahan pada tahun ke 11 saya di sini. Semoga segalanya dipermudahkan....

Buat semua kawan blogger, selamat tahun baru 2014, semoga tahun ini mejadi lebih baik dari tahun sebelumnya... semoga dirahmati Allah selalu dan semoga gembira sentiasa...