PAGES

Saturday, May 28, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 12

Bukan niat En. Idris mahu menghalang perhubungan Iman dan Firdaus namun dia hanya memastikan yang terbaik buat satu-satunya anak tunggal perempuan keluarga itu. Tanpa pengetahuan Iman dia menyelidiki latar belakang Firdaus. Bagaimana kehidupannya dan tahap pendidikannya. Yang dia tahu tiada apa yang istimewa pada lelaki itu. Dahlah hanya kerja di kilang saja.
Patutlah Iman beria-ia benar nak bekerja dekat kilang tu. Rupa-rupanya ada yang menarik hatinya. Hari minggu pun jarang dia balik ke kampung…
Ada hati pulak nak berdampingan dengan Iman yang jauh ‘lebih tinggi’ dalam segalanya. Tambah pula berita yang diberitahu oleh Cik Limah lagilah menambahkan marahnya. Tak sangka Iman sanggup berbuat begitu. Sebab itulah dia tidak mahu Iman terus bersama dengan lelaki itu.
Pengalaman telah mengajarnya untuk lebih berhati-hati. Dia tidak mahu perkara yang sama menimpa anaknya seperti yang terjadi pada anak saudaranya. Rumah tangga yang tidak bahagia…anak-anak yang menjadi mangsa.
Yang pastinya dia sudah ada pilihan yang terbaik untuk Iman. Yang sama padan…berdiri sama rendah, duduk sama tinggi…walaupun perkara itu belum lagi dibincangkan lagi dengan tuan empunya diri…Yang dia tahu, kuasanya sebagai seorang ayah memastikan rancangannya berjaya.

*****

Iman memandang sekeliling. Terlalu ramai orang yang berada di situ. Kehangatan membara ditubuhnya. Apatah lagi dia masih memakai jubah maroonnya, sempena hari penerimaan ijazah yang diadakan di PKSSAAS ataupun yang lebih glamour dengan nama Dewan Besar.
Matanya melilau mencari Siti. Sudah berjanji hendak bertemu di hadapan parking pusat tapi entah kemana pulak perginya. Ibu dan abahnya sudah bising mengajaknya balik ke rumah sewa. Rimas dan pening kepala dengan keadaan yang panas dan hingar-bingar suara manusia.
“Iman. Maaflah, aku lambat sebab nak tunggu Azali dulu.”
Iman hanya tersenyum. Betapa bertuahnya Siti kerana dapat berkongsi kegembiraan hari ini dengan orang yang dicintai. Tapi dia…
“Jom kita ambil gambar cepat. Ibu dan abah aku dah bising nak balik. Nanti marah pulak diorang.”
“Sebenarnya Firdaus pun ada datang. Dia ada dengan Azali dekat sana. Jom pergi jumpa dia dulu.”
Firdaus datang?
Ada riak gembira diwajahnya. Namun memikirkan perintah abahnya yang masih terngiang-ngiang di telinga, dia menjadi tawar hati. Siti bukannya tidak tahu perkara itu.
“Jomlah Iman. Kesian dia datang dari jauh semata-mata nak jumpa kau. Lagipun nanti Azali nak jumpa ibu dan abah kau.”
Iman berbelah bagi. Bukannya dia tidak mahu tapi dia tidak ingin melukakan perasaan sesiapa. Biarlah dia yang menanggung duka itu sendirian.
Tanpa menunggu jawapan dari Iman,  Siti menarik tangannya menuju ke arah Azali yang ketika itu bersama Firdaus, agak jauh dari keluarganya.
Mata bertentang mata…tiada kata yang terucap. Lama.
“Tahniah Iman.” Firdaus menghulurkan sejambak bunga mawar putih padanya. Iman menyambutnya gembira. Lupa seketika pada ugutan abahnya. Sempat juga mereka mengambil sekeping gambar bersama.
Selesai bergambar, mereka menuju ke arah keluarga Iman yang sedang menunggu di bawah pokok berhampiran kereta. Tak sabar-sabar mahu balik.
“Abah…ibu, ni kawan Iman. Azali dan Firdaus.” Agak gementar juga dia bila mengenalkan Firdaus dan Azali namun sempat di covernya.
“Kawan Iman ya. Tak grad sekali ke?”
Nasib baik abah tidak mengenali Firdaus. Hanya tahu pada nama sahaja. Jika tidak susah jadinya.
“Tak lah pakcik. Kami dah kerja.” Azali menjawab bagi pihak Firdaus yang kehilangan kata-kata.
“Baguslah macam tu. Ni pakcik kenalkan bakal tunang Iman, Rezal Arifin.”
Semua orang kelihatan terkejut dengan pengumuman itu. Terutamanya Iman yang memang tidak mengenali lelaki itu dan tidak mengetahui rancangan abahnya. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Namun bila Firdaus dan Iman saling berpandangan, pelbagai persoalan yang tidak terjawab bermain di kepalanya. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali nekad abahnya. Terasa ada air mata yang mahu mengalir dihari bahagia itu…
Terasa begitu bersalah pada Firdaus. Walaupun lelaki itu dapat memahami dan menerima permintaannya untuk memutuskan perhubungan dan hanya berkawan tapi tindakan abahnya boleh memburukkan lagi keadaan.
Iman tak berniat untuk memainkan perasaan abang. Iman sayangkan abang sepenuh hati. Memang Iman tak sanggup berpisah dengan abang tapi ini kehendak mereka. Iman sebagai anak terpaksa menerimanya. Tak  berdaya menghalangnya. Maafkan Iman, bang!

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]