PAGES

Sunday, June 19, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 17

Balik dari Bali, Rezal dan Iman bercuti pula ke Johor. Baki cuti yang masih ada tiga hari  patut digunakan sepenuhnya. Lagipun sudah agak lama mereka tidak balik kampung. Mereka  terlebih dahulu ke Kota Tinggi sebelum balik ke Muar. Iman beria-ia benar mahu bertemu dengan Amal yang baru saja dikhatankan cuti sekolah lalu. Rindu rasanya hendak mengusik adik yang bakal menempuhi alam remaja.
“Apa khabar ibu?” Iman menyalami ibunya, diikuti oleh Rezal. Tidak kelihatan pula abahnya.
“Abah mana?”
“Abah kau kalau tak ke kebun nak ke mana lagi Iman. Lagipun kelapa sawit memang tengah masak sekarang, nak kena tuai. Sekejap lagi baliklah tu.”
“Kalau macam tu biar Rezal pergi jemput abah.”
“Eh…tak payahlah. Kamu kan letih. Berehat aje dekat rumah. Sekejap lagi baliklah tu.”
“Tak apalah bu. Biarlah abang Rezal pergi ambil abah. Kami dah tak sabar nak jumpa dia. Iman nak ikut sekali boleh tak bang?”
“Tak payahlah. Iman tolong ibu masak kat rumah. Balik nanti boleh kita terus makan. Jangan lupa masak lauk kegemaran abang. Rezal pergi dulu bu, Iman.”
“Bawa kereta baik-baik bang.”
Iman meneman Rezal hingga ke kereta. Menghantar dengan pandangan mata sehingga WIRA hitam itu hilang dibalik jajaran kelapa sawit dan rumah-rumah di felda tersebut. Kemudian dia kembali ke dapur membantu ibunya menyiapkan makan tengah hari. Segera dia mengambil bahan-bahan untuk menyediakan asam pedas kegemaran Rezal.
“Kamu tak ada apa-apa lagi ke Iman?”
“Ada apa-apa pulak bu?”
“Buat-buat tak faham pulak. Bila kamu nak bagikan ibu cucu?”
Iman tergelak kecil.
“Ibu ni…tak sabar-sabar. Tunggulah dulu, kami tak bersedia lagi. Banyak lagi yang perlu kami lakukan sebelum betul-betul nak dapatkan cucu untuk ibu. InsyaAllah satu hari nanti kalau ada rezeki. Aduh…” Sedang dia gembira melayan ibunya tanpa sedar pisau yang diguna untuk menghiris bawang terhiris jarinya.
“Kenapa Iman? Ya Allah…berdarah. Kenapa cuai sangat ni? Tentu kamu dah lama tak masak sampai boleh terhiris jari. Sini ibu balutkan.”
Iman menahan pedih. Dadanya berdebar. Debar yang hebat. Bukan kerana luka yang sedikit itu tapi ada perasaan yang lain bertandang ke hatinya.
“Iman rasa tak sedap hatilah ibu.” Dia meluahkan perasaan.
“Ish…tak baik fikir yang bukan-bukan. Dah…biar ibu yang siapkan. Kamu pergi berehat kat luar.”
“Tak apalah ibu. Biar Iman yang siapkan. Luka sikit aje ni.”
Iman meneruskan kerjanya yang terhenti seketika. Biar cuba dikawal namun perasaannya tetap kacau. Banyak yang bermain dikepalanya. Hanya satu yang difikirkan.
Rezal…
Rezal…
Hanya Rezal!
Tiba-tiba dia teringat kembali segala kata-kata dan perlakuan Rezal ketika di Bali beberapa hari lepas. Ingatan itu kembali mendebarkannya.
“Kak Iman…Kak Iman…”
Kedengaran satu suara cemas dari depan melaungkan nama Iman.
Siapa pulak tu?
Iman memandang ibunya dan mereka saling berpandangan. Dia segera mematikan dapur dan berlalu ke luar.
“Ha kamu Min. Ada apa?”
 “Abang Rezal kemalangan. Cik Idris suruh saya bagitahu Kak Iman. Dia dah bawa Abang Rezal ke Hospital Kota Tinggi.”
Kemalangan?
Rupa-rupanya insiden tadi adalah alamat kepada kecelakaan yang menimpa suaminya.
“Astaghfirullahalazim…”
Berita itu amat mengejutkan Iman dan ibunya.   Dia hilang arah dan tak tahu apa yang hendak dibuat. Namun hanya satu yang dia pinta…
Ya Allah, selamatkanlah suamiku!
Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan-tahan lagi.
Jamilah memeluk Iman memberikan kekuatan kepada anaknya itu.
“Sabar Iman. Sabar. Jom kita ke hospital sekarang.”
Iman hanya menurut. Dia sudah hilang daya untuk  bawa kereta. Nasib baik ibunya boleh memandu.
“Abah…macam mana dengan abang Rezal? Macam mana abah?” Iman terus meluru ke arah abahnya yang berdiri berdekatan pintu ‘KECEMASAN’.
“Sabar Iman. Abah pun tak tahu macam mana keadaan Rezal. Kita tunggu saja bila doktor keluar.”
Dia kembali memeluk ibunya. Pantas dipanjatkan doa agar dipanjangkan umur suami yang tercinta.
Seketika kemudian pintu terbuka. Iman segera berlari ke arah doktor yang keluar untuk bertanya tentang Rezal.
“Bagaimana dengan  suami saya doktor?”
“Saya harap puan bersabar. Kami sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan dia namun tuhan lebih menyayanginya.”
Bagai aliran elektrik kata-kata itu menyentak segala perasaannya. Terkedu dia seketika. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Jamilah dan suaminya berpandangan dengan mata yang berkaca.
Segera Iman dipeluknya erat. Anak itu perlukan sokongan mereka.
Iman masih lagi dalam sedunya yang perpanjangan.
Rezal telah tiada! Telah pergi meninggalkannya!
Tiba-tiba dia merasakan pandangannya gelap. Tubuhnya ringan dan dia tak sedar apa-apa lagi selepas itu….

*****
Iman masih teresak-esak disisi mayat Rezal yang baru selesai dimandikan dan sekejap lagi akan dikapankan. Di kiri kanannya ibu dan mama erat memeluknya.
Melihat Rezal buat kali yang terakhir…Lelaki itu bagaikan dalam lena yang panjang…tidur yang aman dan tidak terganggu. Bersih wajahnya bagaikan seperti yang dilihatnya setiap hari. Namun dia sudah tidak punya peluang untuk menatap wajah itu lagi.
Ibu menyentuh lembut bahunya, menyatakan bahawa qariah masjid mahu mengapankan mayat. Mengalir kembali air matanya.
Dia lantas mengucup dahi arwah suaminya. Pada kali yang terakhir ini dia berbisik perlahan…
Abang…maafkan segala kesalahan Iman. Halalkan makan minum Iman. Iman    doakan kebahagiaan abang ‘di sana’…
Dia tidak sanggup lagi berada di situ lebih lama lantas memberikan ruang kepada ahli qariah untuk menjalankan tugas mereka. Memandang dari jauh…air matanya tetap bercucuran…
Selamat tinggal sayang…perpisahan kita adalah perpisahan abadi. Tetap kekal dalam ingatan segala kenangan yang telah kita lakarkan. Walau hanya seketika cuma, itulah semangatku untuk terus menghadapi hidup ini…
Suasana suram dan hening ada di mana-mana. Semua orang hanya diam. Tanpa bicara…rumah dua tingkat itu begitu kaku dan bisu. Tiada siapa yang mahu bersuara…tiada siapa yang mahu bercerita.
Iman sendirian di biliknya. Matanya bengkak. Hidungnya merah. Mukanya sembab. Esakannya masih kedengaran. Memandang segala yang ada dalam bilik itu kembali mengingatkannya kepada arwah Rezal yang telah selamat dikebumikan sekejap tadi. Gambar perkahwinan mereka yang tergantung di dinding, ditatapnya sayu. Dia dan Rezal sama tersenyum gembira pada hari bahagia mereka. Pasrah pada tuhan, itulah ketentuan hidupnya yang telah disuratkan. Sesungguhnya tuhan maha adil dan amat mengetahui atas apa yang dibuatNya.
Air mata yang masih bersisa disapu. Dia melangkah keluar dari bilik dan menyertai ibu dan mama yang sedang melayan tetamu di majlis tahlil yang sedang berlangsung. Tak elok juga asyik melayan perasaan. Dia kena tabah dan kuat macam selalu yang dipesan arwah padanya.
Hampir tengah malam, para tetamu yang menghadiri majlis tahlil mula beransur ke rumah masing-masing. Iman hanya mampu menghantar mereka dengan senyuman yang hambar. Hanya abahnya yang melayan mereka semua.
Mak dan bapa mertuanya mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Lagipun hari sudah jauh malam dan perjalanan ke Muar agak mengambil masa. Jadi biarlah mereka bersama menemani Iman dan besannya.
Walaupun begitu, Iman tidak mahu bersama-sama dengan ibu bapa dan mertuanya. Dia memohon ke bilik dengan alasan ingin merehatkan badan. Dia tidak mahu mendengar cerita mama tentang arwah Rezal. Dia tidak mahu sesiapa pun nampak air matanya.
Sebenarnya hari ini adalah hari lahir dia dan Rezal yang kebetulan jatuh pada hari yang sama cuma tahun saja yang berlainan. Dan siapa sangka Rezal diambil tuhan pada tarikh dia dilahirkan. Tidak tercapai hasratnya untuk menyambut hari jadi bersama kerana Rezal telah pergi dulu…buat selamanya.
Dalam kesedihan yang berpanjangan malam itu, dia cuba untuk memejamkan mata dengan gambar Rezal bersamanya dipeluk erat. Walaupun sukar, tetap dilawannya. Dalam kesukaran itu, tergambar kembali segala kenangannya di Bali…yang tetap segar dan indah sampai bila-bila.
Setelah bercuti dua minggu di Johor, Iman mengambil keputusan untuk kembali ke Butterworth. Hidup mesti diteruskan dan kerjanya yang terbengkalai mesti disiapkan. Memang syarikat memberinya cuti lagi seminggu tapi dia tak mahu duduk sahaja. Tanpa berbuat apa-apa ingatannya terhadap Rezal kembali menerjah fikirnya. Biarlah dia menyibukkan diri untuk mengelak dari sentiasa memikirkan arwah suaminya.
“Kenapa dah nak balik? Kan cuti kamu ada lagi. Berehat aje kat rumah.” Mama membantah ketika dia menyuarakan hasratnya untuk kembali ke Pulau Pinang.
“Mama, Iman dah tak berdaya nak berehat lagi. Makin Iman tak buat apa-apa makin kuat ingatan Iman terhadap abang Rezal. Iman tak mahu selamanya begini. Biarlah Iman kembali bekerja.”
“Betul kata Iman tu  Sabrina. Biarlah dia kembali ke Penang. Kalau senang nanti kita pergi melawat dia di sana. Biar dia mulakan hidup baru.” Ibu menyokong cadangannya.
Puan Sabrina mengangguk walau ada gambaran tidak setuju di wajahnya.
“Iman, abah harap kamu tabah dengan apa yang terjadi. Semua ini adalah ujian tuhan pada kamu. Seharusnya kamu bersyukur kerana terpilih untuk diuji. Kami akan sentiasa memberikan kamu sokongan dan kekuatan.” Abah memberikan kata nasihat padanya. Lembut suaranya menusuk ke jiwa.
Iman segera menuju ke balai berlepas. Meninggalkan ibu bapa dan mertuanya serta bumi Johor dengan seribu perasaan yang berbaur. Dia tak ingin berada di tempat yang menghimpitnya dengan perasaan.
            Abang… Iman akan mulakan hidup baru walaupun tanpa abang di sisi.
Berada di awan biru, dia memejamkan mata. Mahu tidur. Pabila dia terjaga nanti, hari itu adalah hari yang baru baginya. Baru dalam segala-galanya!



2 comments:

  1. - aduhhh...sedih nyer sue...

    ReplyDelete
  2. Bila al kata sedih...cheq sue baca balik bab nih... hummmmmmm berair mata jugak penulisnya... :x

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]