PAGES

Sunday, June 26, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 21

Dahlia memandang Iman yang sedang mengenakan tudung. Hari ni Puan Maznah, ibu kepada Hisyam menjemputnya makam malam bersama. Dan pada hari ini juga dia akan berhadapan sekali lagi dengan Firdaus yang masih lagi berada di situ. Hendak ditolak ajakan itu, tidak sampai hati mengenangkan kembali segala kebaikan Puan Maznah terhadapnya. Dahlia tidak dapat ikut sama kerana terpaksa  balik ke Perak sekejap lagi kerana ada kenduri yang dibuat di sana.
Puas hati dengan penampilannya, dia segera keluar dari rumah. Walaupun baru pukul 6.30 petang, apa salahnya dia awal sedikit. Boleh juga menolong Puan Maznah menyediakan hidangan. Takkanlah hanya datang untuk makan saja. Lagipun dia period. Tak perlu risau untuk bersiap selepas sembahyang.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam. Iman…masuklah. Mak ada kat dapur.” En. Zakaria yang menyambut kedatangannya.
Bagai rumah sendiri, dia melangkah ke dalam. Dia sebenarnya sudah dianggap sebagai anak sendiri oleh mak lang dan pak lang yang tak ada anak perempuan. Itu yang dia tidak membantah apabila mak lang menyuruhnya memanggil ‘mak’.  Lagipun, inilah tempat dia menumpang kasih ibunya yang berjauhan.
Dalam perjalanan menuju ke dapur, dia berselisih dengan Firdaus yang kebetulan baru turun dari tangga. Dia hilang arah bila Firdaus memandangnya. Diberikan senyuman yang tidak ikhlas, segera dia meneruskan perjalanannya.
“Assalamualaikum mak. Masak apa?” Iman menyapa sambil mendekatkan diri dengan mak lang.
Awat awai sangat hang datang? Kalau macam tu meh tolong mak masak asam pedas ni. Si Firdaus tu yang beria-ia sangat nak makan. “
Mengada-ngada…
 “Mana Iman tahu masak asam pedas mak.” Saja berpura-pura. Malas sebenarnya.
Biaq pi lah tahu ka tak. Yang penting asam pedas tu mesti ada.”
Nak tak nak, terpaksa jugak dia buat.
Ah Firdaus…seleramu masih sama!
Itu mengingatkan dia pada arwah Rezal yang sangat gemarkan asam pedas yang dimasaknya. Tiba-tiba dia terasa sayu. Ada air bergenang di kelopak mata.
Mak lang yang menyedari perubahan itu memeluknya.
“Sejak arwah abang Rezal tak ada, Iman tak pernah masak asam pedas ni mak.”
Firdaus yang mencuri dengar dari balik pintu berasa bersalah kerana dia yang beria-ia meminta mak lang menyuruh Iman memasakkan asam pedas itu untuknya. Mungkinkah dia hanya mementingkan dirinya tanpa fikirkan perasaan Iman?
Maafkan abang Iman!
***

Hari terakhir Firdaus di Pulau Pinang. Sesungguhnya dia tidak mahu kembali ketika ini, ketika dia baru saja bertemu kembali dengan Iman. Tapi dia tidak boleh berbuat demikian apatah lagi memikirkan pak usu yang memberikan dia sepenuh kepercayaan untuk mengendalikan hal syarikat. Lain kali dia boleh lagi datang ke sini.
Oleh yang demikian dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Iman sebelum dia  balik. Pertemuan itu berlangsung di taman mini di rumah mak langnya. Diajak ke tempat lain gadis itu menolak. Mungkin memikirkan statusnya…tak mahu menarik perhatian orang…
Mak lang yang telah mengetahui segala cerita antara Firdaus dan Iman memberikan peluang kepada pasangan itu untuk berbicara dari hati ke hati. Dia mahu memberikan peluang kepada Firdaus dan Iman untuk mendapatkan kebahagiaan. Dia juga tumpang gembira jika Iman menjadi ahli keluarganya yang sebenar. Lagipun gadis itu masih mempunyai masa depan yang panjang yang tidak harus dihabiskan dengan mengingati segala kenangan dengan arwah suaminya…
Suasana sepi. Tiada kata yang terluah untuk memulakan perbualan. Iman merenung air terjun buatan yang direka indah manakala Firdaus pula merenungnya, mendatangkan resah di hatinya.
“Apa…”
Mereka menyebut perkataan yang sama secara serentak. Kebetulan…
Sekuntum senyuman diukir.
“Ok. Abang cakap dulu.” Iman memutuskan.
Firdaus terpempan. Tak disangka Iman memanggilnya dengan perkataan itu. Kembang semangkuk hatinya.
“Abang minta maaf pada Iman kalau abang melukakan perasaan Iman sepanjang abang berada di sini.”
“Mana ada. Abang tak pernah lukakan hati Iman.”
“Sebenarnya abang betul-betul tak tahu apa yang Iman alami. Mak lang yang ceritakan pada abang. Abang ada dapat bayangannya dalam mimpi abang tapi tak sangka pulak ianya betul-betul terjadi.”
“Iman tak mahu ceritakan kisah tu lagi. Cukuplah dengan apa yang Iman alami sebelum ni. Sekarang Iman dah mulakan hidup baru. Kalau abang nak tolong Iman, abang berikanlah sokongan.”
“Abang sentiasa bersama Iman…”
Terharu dia mendengar ucapan itu. Tak mahu terus menangis, dia menyoalkan pertanyaan yang lain.
“Bila abang bertolak balik ke KL?”
“InsyaAllah kalau tak ada apa petang nanti. Banyak kerja yang abang kena buat. Maklumlah dah seminggu bercuti.”
“Mesti abang seronok dengan hidup abang sekarang...”
Arghh…kenapa pula ni? Tak selesanya…
Ada sesuatu yang bergelodak dalam perutnya. Dia terasa seperti ingin muntah.
“Kenapa Iman?” Cemas seketika Firdaus melihat Iman mengerutkan dahi.
Iman menggigit bibirnya. Matanya terpejam. Dia cuba bangun untuk ke bilik air tapi belum pun sempat pun dia melangkah, tubuhnya terasa begitu lemah dan ringan.
Dia pengsan!
Eh…kenapa pula ni?
“Mak lang…mak lang…Iman pengsan!”
Suasana cemas seketika. Mak lang dan pak lang menuju ke taman tempat mereka duduk. Hisyam dan Hajar yang kebetulan baru balik turut menyertai mereka. Pasangan itu turut kehairanan.
“Cepat. Kita bawa dia pi klinik.” Pak lang memberi arahan pada Firdaus yang kelihatan panik.
Mendengarkan arahan itu Firdaus segera mencempung tubuh Iman dan membawanya ke kereta. Tidak sampai 5 minit GTInya meluncur laju menuju ke klinik yang dimaksudkan. Pesakit yang tidak begitu ramai memudahkan urusan. Dr. Suzana yang merawat Iman tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke bilik rawatan. Mereka hanya dibenarkan menunggu diluar bilik.
Hampir 15 minit barulah Dr. Surana keluar dari bilik tersebut. Doktor muda itu hanya tersenyum bila melihat Firdaus menerpa ke arahnya. Ada riak gementar di wajahnya. Agaknya itulah suaminya.
“Bagaimana dengan Iman doktor?” Firdaus menyoal. Cemas memikirkan apakah masalah yang dialami oleh Iman.
Dr. Suzana tersenyum lagi dengan pertanyaan itu.
“Tenang En. Firdaus. Sebenarnya dia tidak mengidap sebarang penyakit. Itu adalah sindrom biasa bagi perempuan yang mengandung. Tahniah…isteri encik mengandung dua bulan.”
Isteri?
Mengandung?
Tiba-tiba Firdaus pulak yang terasa ingin pengsan. Nampaknya tak jadilah dia  balik petang ni…



2 comments:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]