PAGES

Monday, June 27, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 22


Memandang Iman yang sedang nyenyak tidur merupakan satu ketenangan pada Firdaus. Kali ini memberinya peluang untuk meneliti  setiap inci wajah Iman yang putih bersih. Tidak ada yang berubah pada wajah itu kecuali pipi yang kelihatan sedikit tembam. Mungkin disebabkan perubahan hormon. Maklumlah sekarang dia telah hamil dua bulan. Memikirkan kembali perkara yang disebut oleh Dr. Suzana sebentar tadi, dia terasa ingin tergelak.
Ada ke patut dikata aku ni suami dia?
Kalaulah perkara itu memang betul, alangkah seronoknya dia. Paling bahagia…
Sepasang mata yang dari tadi tertutup rapat mula bergerak-gerak. Spontan dengan itu tangannya turut bergerak sama. Firdaus mencapai dan menggenggamnya.
“Iman dekat mana ni?”
“Iman di hospital ni. Tadi Iman tiba-tiba pengsan.”
Pengsan?
Belum pun sempat dia berfikir lebih jauh, dia menyedari Firdaus menggenggam tangannya. Segera dia menariknya dan menyoroknya di bawah selimut. Dia fikir tak patut Firdaus mengambil kesempatan dalam keadaannya seperti itu.
Lelaki ni sama saja…
“Mak mana?” Soal Iman bila dia melihat hanya Firdaus seorang sahaja dalam bilik itu.
“Mak lang dan pak lang dah balik. InsyaAllah petang nanti mereka akan datang balik. Doktor kata Iman perlu banyak berehat. Abang dah maklumkan pada famili Iman di Kota Tinggi.”
Apa la Firdaus ni…benda macam ni tak payahlah cakap dengan ibu dan abahnya. Bukannya dekat nak datang dari Johor ke sini. Menyusahkan mereka aje.
“Doktor ada cakap apa-apa tentang Iman?”
Firdaus diam. Dia mencari jawapan yang terbaik untuk soalan itu.
Baru saja dia mengatur ayat untuk memberitahu hal sebenar pada Iman, Dr. Suzana masuk bersama seorang jururawat.
Kacau daun pulak doktor ni…
“Dah bangun ya. Macam mana puan rasa sekarang?”
“Saya rasa lebih baik tapi kepala saya agak pening. Apa masalah saya doktor?”
“Sebenarnya puan tidak mengalami apa-apa masalah yang teruk. Suami puan tak cakap ke dengan puan?”
Suami?
Iman memandang Firdaus yang tersengih macam kerang busuk.
“Sebenarnya puan mengandung dua bulan. Tahniah! Puan dan suami sudah tentu tak sabar untuk menimang cahaya mata pertama, bukan begitu? Oklah, saya keluar dulu.”
Tersentak Iman dengan kenyataan yang diberitahu oleh Dr. Suzana.
Mengandung?
Ingatannya kembali pada arwah suaminya…pada kenangan indah mereka ketika di Bali…dan pada detik-detik pahit dalam hidupnya. Rupa-rupanya pemergian Rezal telah digantikan dengan benih yang baru hidup dalam rahimnya. Sungguh besar kuasaMu ya tuhan. Tapi mampukah dia melalui semua itu sendirian?
Air matanya mengalir tanpa sedar. Memandang Firdaus dengan mata yang berkaca…dia berharap sesungguhnya berharap Rezal ada di sisinya!

*****

Iman terbaring di katilnya. Kepalanya masih terasa pening walaupun telah menelan 2 biji pil yang diberikan oleh Dr. Suzana. Hendak bangun dan mengambil angin di luar, mak melarang keras. Lagipun dia baru saja balik dari hospital. Seketika kemudian telinganya menangkap bunyi kereta. Mungkin Firdaus sudah balik. Terharu sungguh dia dengan kebaikan lelaki itu. Baru saja sampai ke rumah dari menjemputnya di hospital, bergegas pulak ke airport untuk mengambil ibu dan abahnya yang kebetulan sampai pada masa yang hampir sama. Keluarga mentuanya tidak dapat ikut sama kerana mereka sedang bercuti di Brunei. Mereka hanya dimaklumkan dengan panggilan telefon saja.
Mak lang menyambut kedatangan ibu dan bapa Iman. Ini baru kali pertama dia bersua muka walaupun selama ini Iman selalu menyebut tentang mereka. Ternyata benar apa yang Iman gambarkan. Yang pasti mereka seperti sudah lama berkenalan. Pun begitu, perasaan risau menghalang ibu bapa Iman untuk berbual lama dengan mak lang dan pak lang.
“Macam mana boleh pengsan ni?” Ibunya bersuara.
“Ish awak ni. Benda dah nak jadi. Nak buat camana.” Abah membelanya.
“Iman tak apa-apa bu. Mungkin Iman penat sangat agaknya. Lagipun Iman tak tahu yang Iman ni mengandung. Kerja dekat pejabat tu berlambak-lambak.” Iman menjawab dengan nada yang perlahan.
“Alhamdulillah. Tercapai jugak hasrat ibu dan abah nak menimang cucu. Kau mesti jaga kandungan ni baik-baik tau Iman. Walau pun Rezal dah tak ada, kami masih bersama kamu. Ingat tu.”
Ibu sememangnya gembira kerana bakal bergelar nenek tapi dia rasanya tidak berperasaan begitu. Terlalu sukar untuknya menerima semua ini tanpa Rezal di sisi.
Tiba-tiba pintu biliknya terkuak dan mak lang muncul menatang dulang minuman dengan sepiring kuih di tangan yang satu lagi.
“Jemput minumlah ya. Ini aje yang ada.”
“Buat susah-susah aje awak ni Maznah. Kami berterima kasih kerana awak sudi menjaga Iman seperti anak sendiri.”
“Itu dah memang menjadi tanggungjawab saya Cik Milah. Saya pun tak ada anak perempuan.”
Kedengaran pintu dibuka sekali lagi. Muncul wajah Firdaus dan Hisyam.
“Mak lang…apa yang nak dibeli ni? Mana senarainya?” Firdaus bersuara perlahan, bimbang mengganggu ketenangan Iman.
“Saya keluar dululah Cik Milah. Anak sedara saya ni bukannya boleh diharap. Suruh beli barang sikit dah tak tahu. Jemputlah minum…”
Menunggu mak lang keluar dari bilik itu, dia sempat melemparkan senyuman manis pada Iman yang diselimuti gebar merah jambu. Iman hanya membalas dengan senyuman hambar. Memang dia mengakui segala kebaikan Firdaus terhadapnya tapi apakan daya di hatinya masih kental dengan kenangan lama.
Encik Idris yang terperasan situasi itu dapat mengagak ada sesuatu antara Iman dan anak saudara emak angkatnya itu. Dia semacam biasa dengan nama Firdaus. Bagaikan satu kisah yang kabur perjalanan ceritanya. Ah…biarlah. Dia tidak mahu mengusutkan keadaan. Masa masih ada untuknya bertanya.
Tanpa disedari, Iman terlelap walaupun ibu dan abahnya masih di sisi. Sememangnya emosi yang tidak stabil menuntutnya berehat lebih sedikit.
Puan Jamilah dan Encik Idris memutuskan untuk keluar dari bilik itu apabila melihat anak kesayangan mereka melelapkan mata. Sebelum keluar, Puan Jamilah mengucup kudus dahi Iman yang agak kepucatan. Sungguh melimpah simpati dan kasih sayangnya bila mengenangkan nasib anaknya itu. Dia tahu perkahwinan dengan Rezal bukanlah kehendaknya tapi sebagai seorang anak yang sentiasa mendengar kata ibu bapanya, dia akur. Alhamdulillah mereka bahagia namun tuhan memberinya dugaan yang lebih hebat. Kematian menantunya memberikan kesan yang amat pada Iman. Apatah lagi dalam keadaan sekarang…Tentu sukar bagi Iman menghadapi keadaan ini.
Tabahlah wahai anakku menghadapi cubaan ini…
Puan Jamilah terasa seperti ingin menangis!
Bagaikan mengalami perasaan yang sama seperti ibunya, Iman menangis dalam hati. Fikirannya melayang-layang. Matanya yang terpejam menayangkan kembali saat-saat bahagianya dengan Rezal.
Abang…alangkah indahnya jika abang ada di sisi Iman sekarang. Kita akan bersama menjaga bunga kasih kita ini. Kita akan didik dia dengan ilmu dunia dan akhirat agar dia boleh membahagiakan kita kelak.
Namun itu tidak mungkin akan terjadi. Dia mesti akur dengan suratan Ilahi terhadapnya.
Umie akan jaga kamu dan didik kamu walaupun seorang diri. Jangan nakal-nakal tau sayang…Papa telah meninggalkan kamu pada umie sebagai bukti kasih kami. Ingat ya sayang...kita akan mengharungi segala suka duka bersama. Umie akan menyayangimu sepenuh hati.
Iman mengusap perutnya yang masih seperti dulu. Bagaikan tidak percaya ada sesuatu yang berharga di situ. Perasaannya berbunga indah. Dia menetapkan azam untuk terus tabah demi anak yang bakal lahir itu…Dan demi Rezal, dia akan cuba menjadi Iman yang dulu!

2 comments:

  1. - masih ade kah lelaki sebaik firdaus itu ye cheq sue...

    ReplyDelete
  2. he he he... ada kot al... iman tu kan 1st love dia...cinta yang terhalang dulu...

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]