PAGES

Saturday, January 14, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 3


 

"Ketentuan Tuhan manakan bisa diubah walau hati digigit resah…"

Sewaktu makan tengah hari bersama Karmilla di Food Court The Summit Batu Pahat setelah seharian membeli barang-barang keperluan untuk melapor diri, barulah Dayang Atikah merasakan kembali tenaga dalam badannya. Rasanya tidak banyak barang yang dibeli tetapi banyak pula duit yang habis dari dalam pursenya. Maklumlah hendak ke tempat baru, tentunya banyak yang perlu disediakan… itu dan ini sudah semestinya. Kadang-kadang yang tiada di dalam budget pun turut dibelinya juga.
“Kau tahu tak… aku dengar ramai tak budak-budak IB dapat dekat Sabah dan Sarawak. Yang aku tahu hanya dua orang aje. Kalau tak silap, Najhan dengan Amar aje.”
Dayang Atikah yang ketika itu sedang menyedut minumannya terasa bagaikan ingin tersembur keluar semula.
Najhan ke Sarawak?
“Sarawak dekat mana?”
“Amar dapat dekat Bintulu. Najhan aku tak tahu pulak. Tak sempat nak siasat.”
“Siapa yang bagitahu kau semua ni?”
“Aku biasalah. Ramai informer. Takkan kau tak tahu.”
“Lelaki pujaan hati kau si Addin tu dapat dekat mana pulak?”
“Dia dekat aje dengan aku. Katanya dapat dekat Kuala Besut. Kau tengoklah Ika betapa Tuhan merestui hubungan aku dengannya.”
Bertuahnya Karmilla. Perhubungannya dengan Addin memang telah nyata dan diketahui. Dapat pula mengajar di negeri yang berdekatan. Tidak sepertinya yang akan keseorangan. Sebenarnya tiada siapa yang tahu bahawa dia ada menyimpan perasaan terhadap Najhan hatta Karmilla sekalipun. Dia telah menyimpan perasaan itu hampir setahun lamanya. Sebagai perempuan, dia tidak mahu memulakan langkah. Dan dia juga tidak tahu apakah perasaan Najhan terhadapnya. Dia suka dalam duka kerana Najhan menganggapnya seperti teman-teman yang lain.
Dayang Atikah tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Mungkin salahnya kerana tidak berterus terang. Mungkin jua salah Najhan kerana tidak mengerti. Mungkin jua salah Karmilla kerana tidak memahami. Namun yang pastinya Tuhan itu Maha Mengetahui dan Berkuasa di atas segala sesuatu. Sebagai Muslimah, Dayang Atikah hanya mampu berserah atas apa yang akan berlaku kepadanya.
 

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]