PAGES

Tuesday, February 7, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 10


 
 


 
"Perlakuanmu itu mengusik hatiku, entahkan bila akan kau sedar. Hanya Tuhan tahu segalanya."

Mahu tidak mahu, terpaksa juga Dayang Atikah menumpang kereta Amjad untuk ke Desaru Beach Resort bagi menghadiri Kursus Kecemerlangan Bahasa yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka itu. Oleh kerana dia tidak mempunyai kemudahan, dia terpaksa akur dengan ajakan Amjad.
Semalam Karmilla menelefonnya. Dia juga turut terlibat dengan kursus itu. Ada juga beberapa orang temannya di IB dulu yang turut mengikuti kursus itu. Seperti kata pengetua, kursus itu dihadiri oleh guru-guru baru sebagai menberi pendedahan dan pengalaman untuk melengkapkan diri dan menambah ilmu di dada.
Dayang Atikah tertanya-tanya adakah Najhan akan turut serta dalam kursus tersebut. Hatinya amat berharap dapat berjumpa Najhan di sana. Jiwanya sudah terlalu lama memendamkan kerinduan terhadap lelaki itu.
“Dayang terus balik  Batu Pahat ke lepas kursus ni?”
Amjad membuka bicara ketika berada di Lebuhraya Seremban. Sejak dari Klang tadi hanya sepatah dua yang dibualkan. Kali ini Amjad tidak mahu diam lagi. Dia bimbang matanya yang mengantuk akan menyebabkan sesuatu. Dia memang tidak suka memasang radio ketika memandu. Dia lebih suka bercakap-cakap. Radio boleh membuatnya khayal.
“Cuti hujung minggu dua hari, takkan nak lepaskan macam tu aje.”
Hambar jawapan Dayang Atikah. Sememangnya dia tidak mahu melayan perbualan Amjad. Dia meluat dengan lelaki yang suka berpura-pura itu. Rasanya…
“Saya ikut balik boleh tak? Boleh kenal dengan keluarga Dayang.”
Amjad cuba lagi untuk membuat suasana lebih ceria dan hidup.
“Kalau tak malu ikutlah.”
Ish budak ni…kita buat lawak dia buat do no aje.
“Saya memang tak malu. Awak tengoklah nanti.”
Tiada jawapan di pihak Dayang Atikah. Suasana sepi kembali.
Tiba-tiba Amjad menekan brek kecemasan. Berkeriut bunyinya tayar kereta apabila dipaksa berhenti. Nasib baiklah ketika itu kenderaan di highway tidak banyak. Jika tidak riasu juga Amjad sekiranya kereta yang baru dibelinya bulan lalu itu menyondol kereta yang lain. Dia buat begitu untuk menunjukkan tanda protesnya kepada Dayang Atikah yang pura-pura tidak mengerti. Dijelingnya sebelah, Dayang Atikah mengerutkan dahi. Wajahnya mencuka. Ternyata dia marah.
“Awak ni kenapa? Nak mati cepat ke?”
“Tahu pun. Memang saya nak mati cepat. Kenapa? Awak ada masalah?”
“Kalau macam tu awak mati la sorang-sorang!”
Dayang Atikah cepat-cepat keluar dari kereta itu. Pintu kereta dihempasnya kuat. Benci betul dia dengan kelakuan Amjad yang tak senonoh itu. Dia berjalan cepat-cepat di tepi lebuhraya itu bagaikan mahu mengendurkan rasa marahnya.
Amjad memandang dari dalam kereta. Apa lagi yang harus dia lakukan untuk melembutkan hati gadis itu. Sedang Dayang Atikah langsung tak ambil tahu perasaan hatinya yang hampir remuk redam memikirkannya…Dia menekan pedal minyak. Perlahan-perlahan kereta itu mula bergerak. Dia meninggalkan Dayang Atikah yang masih lagi melangkah sendirian. Dia ingin mengajar gadis itu agar akur dengan  kuasanya sebagai seorang lelaki.
Kurang asam! Tergamak dia tinggalkan aku!
Bentak Dayang Atikah dalam hati.
Dasar lelaki. Memang kalau dah ego, begitulah gayanya. Biarlah. Biarlah Amjad buat apa sahaja yang dia hendak buat. Biarlah…
Dalam kepala Amjad, bersimpang siur dengan pelbagai perkara. Tiba-tiba dia rasa bersalah terhadap apa yang di lakukan terhadap gadis yang disayanginya. Dia memandang cermin belakang dan melihat Dayang Atikah masih berjalan. Dia segera menekan pedal reverse dan kereta itu mengundur ke belakang. Tindakannya itu memang bahaya. Namun demi Dayang Atikah dia sanggup menghadapi apa sahaja.
“Maafkan saya. Saya tidak sepatutnya buat begitu pada Dayang. Naiklah.”
“Awak kan nak mati cepat. Pergilah mati sorang-sorang.”
“Janganlah macam tu. Kalau boleh hidup mati saya ingin bersama-sama dengan awak. Naiklah. Biar saya terangkan sebabnya.”
Dayang Atikah tersentak mendengar jawapan yang Amjad berikan. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu. Ada kejujuran di matanya. Mengapa baru kini dia menyedarinya?
“Awak perlu tahu apa yang saya rasa Dayang. Awak perlu tahu sebabnya.”
Dayang Atikah mengalah. Dia membuka pintu kereta dan diam di sebelah Amjad. Kereta itu bergerak ke hadapan semula. Baru lima minit bergerak, terdengar satu siren panjang.
Alamak! Polis trafik!
Amjad menepuk dahi. Melayang lagilah RMnya! Dia memandang Dayang Atikah yang sinis merenung.
Sesungguhnya kau tak tahu Dayang. Aku melakukan semua ini kerana perasaan cinta dan sayang aku pada kau…
Seorang polis trafik mengetuk cermin keretanya.
“Minta lesen dan kad pengenalan encik.”
Amjad tersenyum memandang polis trafik itu. Memang salahnya. Demi Dayang, dia rela RMnya melayang. Perempuan kadang-kala sukar difahami.

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]