PAGES

Friday, February 24, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 11


 
 


 
 
 
'Dalam hati merasa keliru, aku berperang dengan diriku…'

Pertemuan semula dengan kawan-kawan yang sama menuntut di IB membangkitkan nostalgia kembali. Banyak cerita yang keluar. Cerita panas dan gosip pastinya lebih mendapat perhatian. Karmilla nampaknya lebih comel dan cute berbanding dulu. Agaknya memang betul kata orang bahawa negeri Kelantan adalah syurga makanan yang paling ekonomi untuk dikunjungi.
Bekas ketua opsyen KPLI Bahasa di IB dulu Abang Kamarul telahpun bertunang dengan guru yang sama sekolah dengan tempatnya. Munirah pula sedang mengandungkan anak sulungnya. Maklumlah dulu di IB mereka dilarang untuk mengandung kerana bimbangkan risiko menangguhkan pengajian. Lelaki paling kacau sekali dalam opsyen mereka, Bakhtiar telah pun berkahwin dua minggu lepas. Dan agak mengejutkan juga apabila dia turut sama membawakan isterinya ke Desaru. Pandai sungguh Bakhtiar mengambil kesempatan. Sambil berkursus, sambil berbulan madu.
Save budget!
Semua cerita-cerita ini Dayang Atikah dengar ketika rehat siang tadi. Pada hari pertama agenda penuh dengan bengkel dan ceramah. Kebanyakan dengan peserta dari Sabah dan Sarawak belum sampai kerana penerbangan terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk. Oleh yang demikian Dayang Atikah belum pun dapat bersua muka kembali dengan Najhan  dan Amar mendengar apakah pula khabar dari Sarawak.
Amjad pula sibuk ke sana sini bersama-sama dengan temannya dari Maktab Perguruan Raja Melewar dulu. Begitulah mereka semua, sudah lama tidak bersua muka. Nampaknya kursus itu mempunyai matlamat yang lain juga!
Selesai acara pembentangan oleh GAPENA pada hari kedua, barulah peserta dari Sabah dan Sarawak sampai. Ada lima orang semuanya. Ketika peserta lain sedang minum pagi, lima orang peserta yang baru itu sampai berurusan di kaunter. Dayang Atikah mengintai jika dia dapat melihat kelibat Najhan. Memang Najhan ada bersama. Tetapi Dayang Atikah sedikit musykil kerana terdapat perempuan yang sentiasa berada di sisinya… siapakah perempuan itu?
“Hai sorang je? Mana yang lain.”
Terdengar satu suara menyapa. Dayang Atikah memalingkan muka. Amjad rupanya. Lelaki itu smartkhakis dan T-shirt berkolar V. dalam pakaian ringkas, hanya ber
“Ada awak nampak orang lain kat sini? Ke mata awak tu dah rabun.”
Amjad mengeluh. Bukanlah jawapan itu yang dia harapkan darinya. Dia cuba bergurau, cuba mengendurkan ketegangan hubungannya dengan Dayang. Dia ingin hubungan itu berjalan seperti hubungan Dayang dengan Charlotta ataupun kawan-kawannya yang lain. Sesungguhnya dia tidak tahu mengapa Dayang Atikah tidak pernah cuba memahami hatinya. Dayang Atikah tidak pernah memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan ketulusan hati. Dan dia benar-benar tidak tahu apakah sebab perhubungannya dengan gadis itu bermula dengan suasana yang tidak baik bukannya dengan senyuman.
Memang hatimu belum mengerti perasaanku Dayang…
Dia hanya memandang Dayang Atikah berlalu meninggalkan lobi resort. Mungkin ke pantai. Selepas pembentangan oleh GAPENA pagi tadi mereka tiada aktiviti sehingga malamnya. Kebanyakan peserta menggunakan peluang itu untuk meneroka sekitar pantai dan kawasan berdekatan. Hanya dia yang sejak dari tadi melayan perasaannya yang tidak pernah tenang semanjak dua menjak ini. Tidak tenang kerana asyik memikirkan Dayang Atikah!
Sedang dia melayan perasaannya, dia terpandangkan Karmilla, peserta yang dilihat paling rapat dengan Dayang Atikah. Dia memanggil dan menggamit Karmilla ke arahnya.
“Ada apa Am? Dari tadi lagi aku tengok kau kat sini. Orang dah bagi peluang rehat ni tak nak pulak.”
“Aku ada sesuatu nak tanyakan pada kau. Tentang Dayang Atikah. Aku nampak kau rapat dengan dia.”
“Dia tu best friend aku semasa di maktab dulu. Hal apa?”
“Kau rasa Dayang tu ada boyfriend tak?”
Boyfriend? Aku minta maaf. Hal macam ni aku tak tahu. Dia memang tak pernah ceritakan pada aku. Kalau hal lain semuanya ada dalam poket aku. Kenapa? Kau sukakan dia ke?”
“Aku cuma nak tahu. Perhubungan aku dengan dia tak lancar. Dia bagaikan tidak dapat menerima aku, walaupun sebagai kawannya. Terima kasih Karmilla.”
Karmilla meneruskan langkahnya semula. Dia menuju ke pantai juga. Matanya mencari Dayang Atikah. Di atas batu di hujung sana dia nampak Dayang Atikah merenung ke laut lepas.
“Jauh termenung. Ingatkan sesiapa ke?”
“Kau ni Mila, kalau tak kejutkan aku tak boleh ke?”
“Kau tu, langsung tak sedar kehadiran aku. Kau ingatkan siapa? Amjad ya!”
“Apa ni Mila. Kau jangan nak buat cerita. Apa faedahnya aku nak ingat pada dia?”
“Kau jangan Ika. Dia tu nice. Baik. Belum cuba belum tahu.”
“Tak payahlah Mila. Aku tak ada apa-apa perasaan pada dia. Dahlah. Cukuplah di Pulau Indah aje kisah aku dan dia. Aku dan bosan dengan semua ni.”
“Tapi kalau tak ada sebab kau takkan membenci dia sampai ke tahap ni Ika. Aku kenal kau. Cuba kau ceritakan pada aku kenapa. Kenapa kau tak boleh terima dia, walaupun hanya untuk menjadi kawan kau?”
“Aku menyampah dengan dia Mila. Dia sengaja buat cerita yang tak betul antara aku dan dia di Pulau Indah. Heboh satu sekolah. Aku tak sukalah macam ni.”
“Apa ceritanya. Mana kau tahu dia yang buat?”
“Aku tahulah. Aku kenal dia tu. Kau bayangkan dia boleh cakap yang kami ni ada hubungan cinta. Pengetua pun tahu. Dia sampai perli-perli aku lagi.”
“Kalau betul pun apa salahnya. Kau single, dia pun single. Apa masalahnya?”
“Banyak masalahnya Mila. Kau tahu kan. Kalau aku dah bencikan seseorang tu, jangankan hendak memandang mukanya, nak menyebut namanya pun aku tak lalu tau.”
“Kau jangan melawan takdir. Mungkin kini kau cakap macam ni tapi kuasa Tuhan siapa yang tahu kalau satu hari nanti kau tak akan dapat tenang kalau tidak menyebut namanya, apatah lagi jika tidak melihat wajahnya. Jangan terlalu ego Ika.”
Dayang Atikah terdiam mendengarkan kata-kata Karmilla itu.


 
 
'Engkau hadir dalam fikirku membuatkan diri merasa tak tentu apakah ertinya perasaan ini?'

Ketika semua peserta sedang menikmati makan malam, Dayang Atikah masih di tempat yang sama juga sejak dari tadi. Di kerusi rotan dalam biliknya yang mengadap laut. Dia tidak berselera untuk makan. Banyak perkara yang bermain di fikirannya. Dia fikirkan ibunya, Amjad, Najhan dan kata-kata Karmilla petang semalam.
Semenjak mula mengajar di Pulau Indah, baru dua kali di balik ke Parit Bugis. Bukan niatnya untuk melupakan ibu tapi kesibukan sering menghalang niatnya. Kalau boleh dia ingin berulang alik setiap hari tapi apakan daya. Inilah dugaan dalam hidupnya. Namun dia bersyukur kerana Abang Saif sudah dapat ditukarkan ke Batu Pahat. Cuma sekarang mereka masih menguruskan beberapa hal yang masih belum selesai. Batrisyah kini tinggal bersama dengan neneknya. Menghilangkan kesunyian dan kesepian yang sentiasa menggigit tangkai hati…walaupun tidak ditunjukkan tapi sesungguhnya dia tahu derita ibu.
Hari ini adalah hari yang ketiga. Esok adalah hari terakhir mereka berkampung di Desaru sebelum berpisah. Sepanjang tempoh yang dilalui dia masih tidak berpeluang untuk mendekati Najhan. Hanya bercakap sepatah dua, bukan itu yang diinginkannya. Dia mahu lebih dari itu. Bercakap dalam suasana yang rileks dan damai agar dia dapat mencurahkan perasaannya. Sesungguhnya dia telah bersedia untuk memberitahu Najhan bahawa selama ini lelaki itulah yang hadir dalam mimpinya. Namun setiap kali dia ingin memulakan langkah, perempuan yang seorang itulah yang menghalang niatnya. Ada desas-desus yang mengatakan bahawa itu adalah kekasih Najhan yang dibawa ke sini untuk diperkenalkan kepada ibu bapanya di Perak. Sukar untuk Dayang Atikah menerima kenyataan itu. Dia akan lebih puas hati jika dapat mendengarnya dari yang empunya diri sendiri.
Dayang Atikah tiba-tiba terkenangkan Amjad. Lelaki itu ternyata tiada kekurangan untuk ditolak. Wataknya sempurna cuma keperibadiannya agak nakal sedikit. Namun dia tidak tahu mengapa dia tidak boleh menerima kehadiran Amjad dalam kehidupannya. Dia tidak tahu mengapa dia selalu rasa menyampah dengan lelaki itu walaupun tahu niat baiknya untuk bersahabat dengan. Mungkin juga kejadian gosip di sekolah dulu yang membataskan perhubungannya dengan Amjad. Baginya Amjad sengaja membuat cerita tentangnya, cerita yang tidak betul sehingga ada guru-guru lain yang memandang serong terhadap dirinya.
Tetapi kini dia dapat melihat diri Amjad yang sebenarnya. Bermula dengan insiden di Lebuhraya Seremban hingga ke Desaru, dia mula tahu ketulusan Amjad untuk mendekatinya. Mengenangkan peristiwa di lebuhraya itu, Dayang tersenyum sendiri. Apa tidaknya, itulah pertama sekali dia melakukan demikian. Sebenarnya ada rasa takut juga tetapi dia sengaja mahu menunjukka tanda protesnya kepada Amjad. Sesungguhnya dia sangat-sangat sakit hati dengan perangai kebudak-budakan Amjad yang tidak pernah mahu serius.
Teringat pula dengan kata-kata Karmilla di tepi laut petang semalam. Ada betulnya apa yang teman baiknya itu katakan. Nampaknya dia terlalu bangga dengan egonya. Nampaknya dia masih tidak dapat mengubah sikap yang satu itu walaupun sudah berkali-kali sikap itu mendatangkan keburukan kepadanya. Bukannya dia tidak tahu. Bukannya dia tidak mencuba untuk menerima huluran perkenalan Amjad seperti yang lain tapi entah mengapa ianya terjadi dengan permulaan yang tidak sempurna. Kepalanya berserabut memikirkan perkara yang remeh ini. Perkara yang sebenarnya…mempunyai jawapan dalam dirinya sendiri…
Dayang Atikah cuba melihat semula usikan-usikan yang dilakukan oleh Amjad untuk memenangi hatinya. Kadang-kadang dia menyampah dengan usikan itu tetapi ada kalanya dia terhibur. Kadang-kadang dia ternanti-nanti apakah usikan Amjad seterusnya kerana daripada itulah dia dapat membalas balik dengan kata-kata lasernya.
Hasrul Amjad…
Tanpa sedar dia menyebutkan nama itu…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]