PAGES

Wednesday, June 27, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 16



 
 


 
Dekat di hati jauh di mata, bonda tercinta menyerkap rasanya… bagaimana bisa mengelak darinya.

Dayang Atikah meneruskan kerjanya menyiram bunga yang berkembangan di taman mini yang diusahakan oleh ibunya. Kak Sari, Abang Saif dan Batrisyah balik menziarahi Nenek Jamilah di Pontian. Pagi minggu begini tiada apa yang dapat dilakukannya.
“Pagi Ika bangun.” Kedengaran suara ibu menyapanya.
Dayang Atikah membalas dengan senyuman manis. Dia nampak ibunya membawa dua cawan milo dan dua pinggan nasi lemak. Nampak sungguh sedap. Menyentak seleranya.
“Jom sarapan.”
“Macam mana la Ika nak diet kalau balik kampung? Ibu ni pandai aje memikat selera Ika.” Dayang Atikah menuju ke meja.
“Diet apa pulaknya Ika, kamu macam mana pun ibu tetap sayangkan kamu. Tak ada bandingannya. Atau Ika nak jaga badan sebab ‘si dia’  tu?”
“Si dia mana pulak ni ibu?” Dayang Atikah memandang ibunya manja. Fikirannya terbayangkan Amjad.
“Macam mana hubungan Ika dengan Amjad?”
Kenapa pula hal itu yang ibu timbulkan? 
“Hubungan apa pulak? Sama aje macam yang lain.”
“Ibu sukakan dia. Sesekali Ika ajaklah dia datang ke rumah. Dia baik. Tampan pulak tu, sangat sesuai untuk Ika. Ibu pun setuju kalau dia menjadi pasangan Ika.”
Terasa ingin tersembur keluar nasi lemak yang sedang dikunyahnya. Segera dia meneguk milo yang masih berasap.
Ibu ni sesekali buat lawak best jugak. Dia tak tahu yang aku ni tengah berperang besar dengan laki tu…
            “Siapalah Ika ni, bu. Lelaki macam dia tu takkanlah suka pada Ika?”
“Ibu dah lama makan garam Ika. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan atau betinanya. Cara dia memandang kamu penuh makna. Dan kamu setuju kalau ibu katakan bahawa kamu juga menyukainya?”
Ibu, tak pernah kalah. Apa yang dikatakan benar-benar membuatkan Dayang Atikah terpana. Dia mencari akal untuk mengenakan ibunya kembali.
“Ibu dah lama makan garam, sebab itulah ibu kena penyakit darah tinggi…”
Puan Khadijah tertawa dengan jawapan Dayang Atikah. Dia tahu bahawa anak itu cuba menyembunyikan gelodak di hatinya.
“Ikutlah kata hati Ika seandainya itu yang akan membuatkan Ika bahagia. Ibu akan tetap bersama-sama Ika untuk memberi sokongan.” Kata ibu penuh makna sambil mengucup dahinya sebelum meninggalkannya seorang diri di meja.
Mindanya mengenang kembali apa yang telah terjadi sepanjang perkenalannya dengan Amjad. Pada mulanya dia memang tidak suka dan menyampah dengan lelaki itu tapi perlahan-lahan ada perasaan yang lain muncul setelah dia mengetahui apa yang sebenarnya. Dia mula mengingati lelaki itu… Mula ada perasaan rindu padanya dan mula ada perasaan sayang bercambah terhadap lelaki anak jati Pulau Indah itu.
Dayang Atikah malu padanya dirinya sendiri. Betul kata ibu, dia memang menyukai Amjad dalam diam. Teringat kembali sewaktu di Hospital Seremban. Amjad ternyata terlalu cool dalam apa jua keadaan dan dapat menyesuikan diri dengan sesiapa sahaja. Dialah yang menguruskan segalanya sehingga mayat arwah ayah selamat dikebumikan di Kota Tinggi. Dan sebelum balik sempat juga dia mengucapkan takziah kepada ibunya. Apa yang lebih membuatkan Dayang Atikah merasa terharu adalah apabila Amjad memintanya agar sabar dengan ujian Tuhan dan menerimanya dengan tenang. Kenapakah dia tidak menyedari kesemua itu dahulu? Ketulusan, keikhlasan dan kejujuran yang Amjad tunjukkan padanya… Ternyata lelaki itu bukanlah seperti yang disangka ketika awal mereka berjumpa dulu.
Apa yang pasti dia akan meminta maaf di atas salah sangkanya selama ini terhadap lelaki itu. Dia juga ingin menghulurkan semula tali persahabatan yang baru, berlandaskan kepercayaan dan kasih sayang, bukannya kebencian. Namun dia sangsi, sudikah Amjad menerimanya kembali?
“Kan ibu dah cakap, Ika memang sukakan Amjad…” Jeritan ibu dari balkoni rumah memutuskan segala putaran kenangannya…


Aku kembali ke daerahmu, bersama tekad bari dihati agar hidup lebih berseri dan bererti…

Belum puas rasanya melepak di rumah, Dayang Atikah harus kembali ke sekolah kerana tanggungjawab yang menantinya. Sehari lagi sekolah akan dibuka namun dia sengaja balik awal ke Pulau Indah untuk membuat persiapan dan mengemaskinikan segala fail-failnya bagi menghadapi penggal baru. Sampai di Klang, kenangan lalu mengusik mindanya. Banyak yang telah berlaku dan kini dia kembali dengan azam baru untuk menghadapi hidup ini dengan positif dan yang paling penting dia akan memulakan perhubungan yang baru dengan Amjad. Akan diminta maaf daripada lelaki itu. Dia sudah sedar silapnya. Biarkan Cikgu Sudin yang syok sendiri!
Charlotta mengambilnya di Stesen Bas Klang. Riuh rendah bunyinya dalam kereta setelah dua sahabat itu berjumpa. Banyak cerita yang ingin dikongsi bersama tentunya. Sebelum balik ke rumah, terlebih dahulu mereka ke Pelabuhan untuk menjamu selera di gerai yang selalu dikunjungi.
“Lama tak nampak cikgu? Baru balik bercuti ke?” Abang Mat, pelayan gerai ramah menyapa.
“Kenapa, abang rindu ke?” Dayang Atikah membalas nakal.
“Rindu jugak tapi abang takut ada orang marah nanti. Hm… nak makan apa hari ni?”
Dayang Atikah tersentak seketika mendengarkan kata-kata Abang Mat yang tidak di sangka-sangka itu.
“Rasanya Abang Mat tak lupa lagi apa makanan favourite saya dan Dayang.” Charlotta membalas pertanyaan Abang Mat bila dia lihat Dayang Atikah sudah berubah wajah.
Suasana dibiarkan sunyi. Hanya deru bayu laut mendesah kedengaran. Sudah lama dia tidak menikmati suasana begini. Sudah lama kulitnya tidak di sapa mesra angin laut. Sudah lama dia tidak melihat ombak yang berebut-rebut menuju ke pantai bagaikan melepas kerinduan yang tidak pernah surut. Walau dalam apa jua keadaan, setianya ombak kepada pantai tetap tidak berubah, sentiasa ada dan bersemarak. Ini mengingatkan kerinduannya terhadap Amjad. Secara logiknya memang tidak berasas, namun dia juga manusia biasa yang punyai naluri… untuk disayangi.
“Dayang, kau ni tak habis-habis mengelamun.”
Sapaan lembut Charlotta mengejutkannya.
“Banyak yang telah berlaku Chem. Aku tak dapat bercuti dengan tenang.”
“Antaranya? Aku ada di sini untuk mendengar.”
Dayang Atikah memandang Charlotta dengan pandangan yang kosong. Dia melepaskan keluhan.
“Aku berazam untuk memulakan lembaran baru dalam hidup aku. Seperti penggal baru yang akan kita hadapi, aku akan lebih tabah.”
Charlotta memegang tangan Dayang Atikah untuk memberi kekuatan dan bersama-sama dalam azamnya itu.
“Makanannya cikgu.”
Abang Mat kembali sekali lagi dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya, membuatkan dua anak dara itu tidak pernah jemu untuk datang berkunjung ke situ.


Bulan berselindung di balik mentari, andai kau tahu debar di hati…

Dayang Atikah memandang dari jauh. Dia nampak Amjad sedang leka menulis tanpa menghiraukan teman-teman yang sedang berbual-bual kosong. Waktu tengah hari begini hendak membuat kerja pun terasa malas. Dia memberanikan diri untuk menyapa. Bagi memulakan perhubungan yang baru.
Daripada Laila, dia mendapat tahu bahawa hari ini adalah hari jadi Amjad yang ke 25 tahun. Oleh itu dia mendapat alasan yang paling sesuai untuk bertegur sapa. Semenjak penggal baru dibuka, hanya sepatah dua sahaja yang mereka bualkan. Dayang Atikah tidak puas hati. Ternyata dia perlu berbuat sesuatu.
“Selamat hari jadi, Am.”
Ucapan yang kedengaran perlahan itu menusuk ke telinga Amjad, mengganggu konsentrasinya yang sedang menulis Rancangan Mengajar. Bunyinya macam suara Dayang Atikah. Dia segera mendongakkan kepala. Betullah Dayang Atikah! Terasa terubat rindunya.
“Terima kasih. Mana Dayang tahu hari ni hari jadi saya?”
“Itu perkara kecil Am. Kalau sudi petang ni Dayang belanja makan?”
Betul ke apa yang aku dengar ni? Dayang ajak makan!
 “Maaflah Dayang. Petang ni Am kena ke Sabak Bernam. Bagaimana kalau malam ni Am jemput Dayang.”
Alangkah kecewanya tapi sebagai guru pengiring pasukan bola sepak sekolah, dia harus ada bersama.
Ala… lupa pulak petang ni dia ada game.
“Menyusahkan Am je.”
“Tak ada masalah. Pukul 8.30 malam nanti Am datang.” Semangatnya tiba-tiba datang.
“Ok. Jumpa nanti ya.”
Amjad bagaikan tidak percaya. Matanya memandang Dayang Atikah yang kini duduk di mejanya. Kenapa dia terima tanpa sebarang alasan? Apakah ada sesuatu di sebalik persetujuannya? Amjad buntu.
Begitu juga dengan Dayang Atikah. Bagaimana dia boleh bersetuju dengan mudahnya untuk menerima pelawaan Amjad untuk mengambilnya malam nanti? Dia bukannya tahu lelaki bagaimanakah Amjad tu. Bagaimana kalau dia cuba membuat sesuatu di luar kesedaran. Manalah tahu kalau dia ingin membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan sebelum ni?
Persoalan-persoalan itu hanya berlegar-legar dalam kepalanya tanpa ada jawapan. Namun sesungguhnya, Dayang Atikah memohon perlindungan dari Tuhan kerana dia tahu niatnya baik, semata-mata untuk membaiki silaturrahim mereka yang sedikit renggang. Itulah peluang yang dia ada untuk memulakannya…
“Chem, malam ni aku tak dapat temankan kau makan sebab aku ada date dengan Amjad. Maaf ya!”
“Kau nak keluar dengan Amjad? Dia datang ambil?” Soal Charlotta dengan nada suara dan riak muka yang mengandungi jutaan rasa hairan.
Dayang Atikah hanya mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan itu. Bibirnya menguntumkan senyuman.
Charlotta pelik dengan sikap Dayang Atikah. Kalau dulu jangankan kata hendak keluar, nak sebut namanya pun menyampah. Tapi kini siap berjemput-jemput pulak nak keluar bersama. Ini dah lebih…
“Ada sesuatu yang kau tak cakapkan pada aku Dayang?”
“Sabarlah dulu. Aku belum habis cakap ni. Petang tadi kan kau balik lewat. Kalau tak dari tadi aku dah bagitahu kau.”
Charlotta menarik kerusi ke arah Dayang Atikah yang sedang bersiap. Dia menumpukan perhatian. Tidak sabar mahu mendengar apakah yang telah terjadi dia antara dua insan ini. Adakah mereka telah jatuh cinta?
 “Hari ni sebenarnya hari jadi Amjad. So aku nak belanja dia makan. Lagipun aku nak minta maaf atas apa yang telah aku lakukan pada dia sebelum ni. Cadangnya nak keluar petang tadi tapi dia ada game di Sabak Bernam.”
“Macam mana kau boleh mengakui kesalahan kau?”
“Banyak faktornya Chem. Cuti yang lalu banyak mengajar aku erti kehidupan. Ibu aku pun banyak menasihatkan aku.  Aku rasa tak patut aku menghukum dia atas kesalahan yang tidak dia lakukan.”
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun tak dapat makan dengan kau malam ni.”
“Kau nak keluar ke?”
“Ada hal yang perlu aku bincangkan dengan Syameer.”
Syameer?
Kalau tak silap, itu adalah guru kaunseling di SMK Pulau Indah.Tanpa mengesyaki apa-apa, Dayang Atikah  mengangguk-anggukkan kepalanya.
Dia meneruskan persiapannya. Tudung hitam pemberian Kak Sari digandingkan dengan jubah moden berseluar berwarna ungu. Menawan sekali. Charlotta memandang dari dalam cermin. Siapa pun akan memandang dua kali. Hanya dengan mekap tipis, Dayang pastinya mampu menawan hati sesiapa sahaja. Gadis itu begitu sempurna.
Sepuluh minit kemudian, kedengaran hon kereta milik Amjad. Dayang tersenyum. Dia mencapai bungkusan kecil dalam laci almarinya dan keluar mendapatkan Amjad. Charlotta mengiringi langkah gementarnya…
Amjad memandang tanpa kelip. Penampilan Dayang Atikah malam ni agak berlainan daripada penampilannya sewaktu di sekolah. Matanya menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang begitu sempurna. Dadanya sedikit berdebar. Dia tidak tahu mengapa kerana ini bukanlah pengalaman pertamanya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Cantik Dayang malam ni.” Ikhlas dari hatinya.
Malu Dayang Atikah mendengar Amjad memujinya. Pertama kali dalam hidup dia merasakan begitu dihargai oleh insan yang bertentangan jantina dengannya.
“Dayang biasa saja Am.” Balasnya untuk melegakan rasa gementar di hati.
“Kita makan seafood nak?”
Dayang Atikah mengangguk. Matanya yang memandang Amjad sebentar tadi membenarkan kata-kata ibu suatu masa dulu. Ternyata dia kelihatan hansem dan kacak!
“Ini untuk Am.” Dayang Atikah hulurkan kotak empat segi panjang yang berbalut kemas kepada Amjad.
“Sempena hari lahir Am dan juga sebagai tanda maaf Dayang kerana selama ni melayan Am tidak seperti teman-teman yang lain.” Katanya menjelaskan lagi tujuan hadiah itu. Dia tidak mahu Amjad salah sangka.
“Am pasrah sebenarnya sebab Dayang berterusan membenci Am sedangkan Am tak tahu apakah salah Am. Am dah lama maafkan Dayang.”
“Sebenarnya Dayang tahu itu semua memang salah Dayang. Perpisahan arwah ayah dengan ibu banyak mengubah persepsi Dayang terhadap lelaki. Namun Dayang rasa bersalah kerana ada rahsia di sebalik perpisahan itu yang Dayang tak tahu. Kalau Dayang tahu takkan jadi macam ni.”
“Jangan salahkan keadaan Dayang. Ada hikmahnya mengapa Tuhan lakukan begini. Kita perlu redha dengan Qada’ dan Qadar Allah. Baguslah kalau Dayang dah sedar.”
Amjad menghulurkan tangannya ke arah Dayang Atikah.
Kawan!
Itulah kata-kata yang takkan dilupakan pada malam ini, yang dilafazkan oleh Amjad dan diakui oleh dirinya walapupun telapak tangannya terasa dingin bak salju ketika jari jemari mereka saling bersentuhan… 


Stylish Thankyou

1 comment:

  1. Salam singah dipgi khmis kak...smga sihat slalu hndaknya...

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]