PAGES

Monday, November 5, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 36

 
 
 
Hari bahagia… semua orang merasainya…

Pada hari ini, Ahmad Zikrullah dan Nik Sumayyah adalah antara dari graduan UM yang menerima ijazah pengajian masing-masing. Setelah lima tahun berjuang menuntut ilmu dan menambah pengetahuan di dada, kini mereka menerima balasan daripada hasil usaha gigih mereka itu. Turut sama di majlis yang bahagia itu adalah keluarga daripada kedua belah pihak. Dayang Umairah dan Hairul Aqeef juga turut tidak mahu ketinggalan meraikan kejayaan abang dan kakak kesayangan mereka itu. Apa tidaknya, sekurang-kurangnya kejayaan itu diharap dapat membakar semangat mereka agar lebih gigih berusaha memburu kejayaan di hari muka.
Sebenarnya Abang Zack dan Kak  Su telah pun selamat mendirikan rumahtangga sebulan selepas mereka tamat pengajian hujung tahun lalu dan kini mereka berdua membuka klinik di Kelantan. Pada majlis perkahwinan mereka itu, Dayang Umairah dan Hairul Aqeef sekeluarga turut bertandang memeriahkan majlis. Dan jangan tak tahu Dayang Umairah serta Hairul Aqeef sebagai pengapit pengantin, barangkali juga mengambil berkat untuk membina perhubungan mereka… yang baru hendak bermula!


Daku menerimamu bukan kerana terpaksa tetapi itulah matlamatku untuk bersamamu…

Dayang Umairah menatap wajahnya di cermin. Tudung putih yang berhias taburan permata indah menutupi auratnya. Begitu juga dengan persalinan yang dikenakannya. Baju satin putih  yang menandakan kesucian, begitu juga dengan suci dan iklasnya perasaannya pada malam ini untuk menerima kehadiran Hairul Aqeef dalam hidupnya sebagai bakal teman hidup. Ya, malam ini adalah malam pertunangannya dengan Aqeef!
Siapa sangka kata-kata yang dulu diucapnya sekadar gurauan untuk mengenakan Aqeef kini telah bertukar menjadi kenyataan? Betapanya dia tidak sangka dengan kata-kata itu Aqeef benar-benar mengotakannya?  Dan baginya, setelah beberapa kali meminta petunjuk Yang Esa, barulah dia membuat keputusan untuk menerima lamaran itu. Membuat keputusan sebegitu bermakna dia telah menetapkan bagaimana perjalanan masa depannya.
Dia yakin dengan keputusan itu akan membuatkan dia bahagia. Bercakap dari hati ke hati dengan Aqeef, banyak yang diketahuinya. Sejarah silam umi dan papa juga turut mempengaruhinya. Kalau boleh biarlah dia menjadi penyambung kepada kegagalan perhubungan umi dahulu.
Dan sebelum mama Aqeef menyarungkan cincin ke jari manisnya, umi sempat memberikan dia nasihat yang dirasakan amat berguna. Bercakap dari dasar pengalaman yang dilalui, doanya semoga perhubungan kali ini akan dirahmati dan bahagia hingga ke mati…


Kita bersama mencari bahagia, berusahalah mencapai tujuannya…

Di kampus Universiti Malaya, berita pertunangan Dayang Umairah dan Hairul Aqeef menjadi bualan hangat. Banyak persoalan yang dikemukakan dari kalangan teman-teman rapat mereka. Dan satu soalan yang agak sinis untuk didengar, adakah mereka sudah tidak sabar untuk berkahwin sedangkan pengajian mereka tinggal hanya setahun sahaja lagi?
Walaupun begitu, Dayang Umairah atau Hairul Aqeef tidak  kisah akan soalan-soalan demikian kerana mereka tahu apa yang sedang mereka lakukan. Daripada bercinta tanpa sebarang pertalian yang nyata, talian pertunangan adalah yang terbaik untuk mengelakkan mereka sentiasa dalam dilema dan sekurang-kurangnya mereka tahu apakah tanggungjawab yang akan mereka hadapi nanti. Dan kini, hubungan itu bukanlah mengganggu perjalanan pengajian mereka malah memberikan lebih semangat dan motivasi untuk lebih cemerlang.
Di bidang yang berlainan, mereka saling melengkapi yang lain. Berjumpa, berbicara dan sekali-sekala meluahkan rasa cinta dan kadang-kadang mereka bertikam lidah mahu memenangkan diri sendiri membuatkan mereka benar-benar menikmati indahnya dunia ciptaan Tuhan ini…
Dalam tempoh pertunangan Dayang Umairah dan Hairul Aqeef, Alhamdulillah tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kalau sekadar bergaduh dan bertikam lidah akibat tidak sependapat, itu adalah perkara biasa dan ia tidak dibenarkan berterusan. Siapa yang bersalah akan meminta maaf dan yang satu pihak lagi akan menerimanya dengan senang hati. Saling bertolak ansur dan memahami, ternyata dapat mengukuhkan lagi hubungan itu. kalaupun kadang-kadang mereka tidak dapat berjumpa akibat kesibukan di tahun akhir, mereka sudah memahami dan pasrah pada takdir. Masakan mahu menjadi seperti di awal perkenalan dulu lagi? Sekarang mereka sudah berada di tahun akhir, sudah matang dan lebih dewasa. Hanya beberapa bulan lagi mereka akan menduduki ujian akhir yang akan menguji setakat mana kemampuan mereka selama 4 tahun membuat pengajian di kampus ini…


Kita berbincang mencari kata putus, membuat penyelesaian.

“Assalamualaikum!” Hasrul Amjad memberikan salam tatkala keluar dari keretanya. Terasa angin menampar lembut ke pipinya. Menyampaikan salam selamat datang kepadanya.
“Agaknya tak ada orang tak, bang?” Adawiyah menyampuk setelah menunggu agak lama. Dia turut keluar dari kereta berwarna putih itu.
“Waalaikumussalam.” Kedengaran satu suara. Serentak itu pintu dibuka.
Dayang Atikah muncul dari balik pintu. Dia mengukir senyum.
“Eh, Adawiyah, Am! Patutlah sejak dua hari lalu ada rama-rama putih berterbangan di pintu rumah ni. Kenapa tak telefon dulu nak datang? Nasib baik ada di rumah. Jemputlah naik. Maaflah, tadi saya di dapur. Siapkan makan tengah hari. Nampaknya langkah kananlah awak dua orang ni. Bolehlah makan bersama nanti.” Dayang Atikah berkata girang selepas mereka saling bersalaman. Dia sangat gembira menerima tetamu yang akan menjadi besannya tak lama lagi.
“Kami tak merancang nak ke sini. Dari dari Johor Baharu sebenarnya, menghantar Haziq mendaftar di UTM. Alang-alang dan sampai Johor, singgah sekejap di sini. Zami mana?” Amjad menerangkan kepada Dayang Atikah.
“Sedang sembahyang Zohor. Sekejap saya tengokkan dia. Jemputlah minum air tu.” Dayang Atikah menuju ke bilik. Dilihatnya Hazami sedang berdoa.
“Abang, kita ada tamu dari jauh. Amjad dan isterinya.”
“Abang salin pakaian dulu. Yang dah siap masak? Boleh ajak mereka makan sekali. Abang dah lapar ni.”
“Semua dah siap, bang. Tinggal nak hidang aje. Abang tu kalau ya pun pergilah jumpa mereka dulu. Biar saya ke dapur.”
“Assalamualaikum. Maaflah saya tengah sembahyang tadi. Kenapa tak telefon dulu nak datang? Bolehlah kami membuat persediaan sedikit.”
“Apa pulak persediaannya, Mi. Kami saja je singgah di sini. Lagipun ada perkara yang hendak dibincangkan.”
Hazami menganggukkan kepalanya.
“Apapun perkara yang hendak dibincangkan, kita ke dapur dulu. Saya ni sebenarnya lapar. Tadi di sekolah tak sempat nak makan. Sibuk menguruskan budak-budak mengambil peperiksaan.”
“Rezeki jangan ditolak…” Mereka berdua ketawa.
Dua orang lelaki itu bangun dan menuju ke dapur. Masakan sayur campur, sambal goreng, ikan bakar dan ayam masak lemak begitu membuka selera. Ditambah pula dengan sambal kicap yang melengkapkan hidangan. Mereka berempat menikmati hidangan tengah hari itu dengan berbicara tentang itu dan ini sehingga tidak sedar ada yang sudah menambah buat kali kedua.
“Alhamdulillah. Selera sungguh saya. Terima kasih banyak-banyak Mi.” Amjad ternyata begitu berselera menikmati masakah Dayang Atikah. Beberapa kali dia tersendawa. Menikmati kopi di beranda selepas makan, memang menjadi satu kemestian buatnya.
“Apa yang ada saja Am, itulah rezeki kita. Lagipun Dayang memang pandai masak. Sebab itulah saya selalu makan di rumah. Hm… apa halnya yang hendak dibincangkan tadi?”
“Pasal budak-budak kita ni. Jadi ke hendak dilangsungkan lepas mereka konvo ni?”
“Kalau mengikut perancangan, macam itulah. Kenapa?”
“Pada saya, biarlah mereka disatukan setelah mereka mendapat kerja. Elok juga kalau majlis itu nak dibuat selepas konvo tapi saya risau mereka tertekan nanti. Iyalah, baru je habis belajar, belum pun sempat merehatkan diri dan mencari pekerjaan, mereka sudah diberikan komitmen. Apa pandangan awak, Mi?”
“Sebenarnya saya pun sependapat dengan awak, Am. Macam ni. Apa kata kalau kita tanyakan pada tuan empunya diri dulu sama ada setuju atau tidak. Kalau mereka setuju, saya akan maklumkan kepada Abang Saif.”
“Kalau begitu baguslah. Saya ni memikirkan apa yang patut saja. Mana yang baik untuk anak-anak kita.”
“Iyalah Am. Kalau kita tak fikirkan kebajikan mereka, siapa lagi? Tak lama lagi terima menantulah kita. Tak sabar rasanya nak bergelar datuk. Nak menimang cucu!”
“Ish! Belum apa-apa dah fikirkan hendak menjadi datuk.” Dan di beranda itu, mereka berempat bergelak ketawa…

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]