PAGES

Sunday, July 15, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 22


 
 


 
Engkau membuat hidupku bercelaru, entah bila badai resah ini akan berlalu…

Amjad menggaru kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya resah mengingat kembali di manakah dia meletakkan jam tangan pemberian Dayang Atikah pada hari jadinya yang lalu. Seingatnya, balik dari Sabak Bernam semalam dia meletakkan jam tersebut di dalam laci almarinya. Melihat jam di dinding, sudah 7.10 pagi. Rasanya sudah tidak sempat untuk dia terus mencari. Bimbang pula punch cardnya bertukar merah. Tak mengapalah. Kuat naluri hatinya mengatakan bahawa jam itu masih ada dalam simpanannya cuma dia tidak tahu di mana letaknya. Segera dia mencapai kunci kereta.
Balik dari sekolah petang nanti dia akan mencari semula di manakah jam tersebut. Dia bimbang jika Dayang Atikah ternampak dia tidak memakai jam itu sebagai satu tanda bahawa dia sudah melupakan gadis itu. Melupakannya tidak sekali-kali. Tak akan berlaku dalam hidupnya.
“Pak ngah, Mak Ngah, Am pergi dulu.”
“Minum dulu Am. Nanti kosong perut tu.”
“Tak apalah Mak Ngah. Am dah lambat dah ni.”
Mak Ngah Idah mengelengkan kepala melihat kelakuan Amjad yang agak janggal kebelakangan ini.  Dia memandang suaminya. Mata mereka berkata-kata…


Bagaimana harus aku katakan agar kau mengerti?

Sewaktu sedang mengemaskan barang untuk dibawa pulang dalam bilik guru, Dayang Atikah didatangi oleh Laila. Gadis itu berwajah muram dan hanya tersenyum hambar bila disapa olehnya.
“Ada apa yang cikgu boleh bantu kamu Laila?”
“Cikgu bergaduh dengan Abang Amjad?”
Tergamam Dayang Atikah seketika bila disoal begitu. Dia memandang Laila dan menjawab.
“Laila, cikgu rasa kamu tak patut tanya soalan macam tu pada cikgu. Kan tak lama lagi kamu nak SPM. Hal cikgu dan abang sepupu kamu tu tak termasuk dalam silibus tau.”
“Tapi cikgu, saya rasa ada sesuatu yang tak kena antara Abang Amjad dan cikgu. Saya cuma ingin membantu. Kasihan Abang Amjad. Dia dah lain sekarang. Saya tahu dia ada masalah.”
Macam mana dia hendak menjelaskan situasinya sekarang kepada Laila? Dia buntu. Tangannya melingkari bahu Laila dan mereka bergandingan keluar dari bilik guru.
“Kalau macam tu kenapa kamu tak tanyakan dia sendiri. Tentu dia ada jawapan kepada apa yang kamu rasakan.”
Laila memandangnya bagai meminta pengertian yang lebih.
“Laila, hal ni biarlah kami yang selesaikan sendiri. Cikgu berterima kasih kepada Laila kerana mengambil berat tapi cikgu nasihatkan Laila agar menumpukan perhatian dalam pelajaran dulu. Laila masih mentah untuk mengetahui hal-hal orang dewasa ni. Ok?”
Anggukan Laila membuatkan Dayang Atikah lega. Dia memeluk Laila tanda sokongan.
“Saya sayangkan  cikgu.”
Dayang Atikah tersenyum lebar. Nasib baik ketika itu kebanyakan guru telahpun balik. Kalau tidak boleh bikin gossip lagi.
“Cikgu pun sayangkan kamu. Cikgu sayangkan semua pelajar-pelajar cikgu.”
“Kalau macam tu apa kata hari ni cikgu ke rumah saya. Ayah akan ambil saya hari ni. Mak dah lama nak jumpa cikgu.”
Ke rumah?
Dahi Dayang Atikah berkerut. Bermacam-macam kerenah aje budak Laila ni. Macam mana dia hendak memberikan jawapannya?
“Laila… mana boleh macam ni? Cikgu banyak kerja yang mesti diselesaikan. Lain kali cikgu ke rumah Laila. Boleh?”
“Tak nak. Dah banyak kali cikgu janji dengan Laila.”
Gadis itu merajuk nampaknya. Dayang Atikah akhirnya mengangguk. Memikirkan minggu depan dia akan meninggalkan sekolah ini, dia bersetuju. Biarlah pemergiannya ini meninggalkan satu memori manis yang takkan dilupakannya. Lagipun dia tahu Amjad tiada di rumah kerana sedang berkursus di Seremban. Biarlah dia memenuhi permintaan Laila yang selalu saja dimungkirinya.
“Tapi sebelum tu Laila kena janji dengan cikgu jangan ungkit lagi hal cikgu dengan Abang Amjad, tak kira pada sesiapa saja pun.”
Laila mempamerkan senyumannya tanda bersetuju. Nun di sana kelihatan teksi milik ayahnya. Dalam kepala Dayang Atikah berserabut dengan pelbagai persoalan…


Kenangan, usahlah kau datang mengusik perasaanku lagi!

“Ayah, hari ni Laila bawa cikgu balik ke rumah.”
“Betul ke cikgu? Pakcik berbesar hati cikgu sudi ke rumah. Isteri pakcik dah lama sangat nak jumpa cikgu. Tercapai juga hasratnya itu.”
“Si Laila ni pakcik, beria-ia mengajak saya. Tak sampai hati pula saya nak tolak permintaannya.”
“Laila ni memang cikgu. Anak manjalah katakan. Tapi tak mengapa. Kalau nak harapkan Amjad yang membawa cikgu ke rumah, entah bila akan tiba masanya. Hari ni dia tak ada  pulak di rumah kalau tak boleh kita kejutkan dia. Tak begitu cikgu?”
Dia hanya tersenyum.
“Dah, Dah? Cuba tengok siapa yang datang ni!”
“Siapa bang?”
“Inilah Dayang Atikah yang awak teringin sangat nak jumpa tu.”
Tergambar keceriaan di wajah emak saudara Amjad. Dayang Atikah dapat merasakan satu perasaan yang halus tatkala memandangkan wajah itu.
Dia menyalami Mak Ngah Idah dan mengucup tangannya.
“Akhirnya dapat jugak Mak Ngah jumpa Dayang. Dah berbuih mulut Mak Ngah ni suruh Amjad bawa Dayang ke sini tapi ada aje alasannya.”
“Kami masing-masing sibuk Mak Ngah. Banyak kerja yang perlu diselesaikan.”
“Hari ni Dayang makan nasi di sini ya. Kita masak bersama-sama nanti. Kalau Mak Ngah tahu Dayang nak datang dah lama Mak Ngah masak.”
“Sebenarnya cikgu tak nak datang mak tapi Laila yang paksa dia.”
“Ish tak baik Laila buat cikgu macam tu!”
“Tak apalah Mak Ngah. Kalau saya tak datang sekarang ni tak tahulah bila lagi saya akan ke sini.”
            Dia memasak bersama-sama dengan Mak Ngah Idah dan Laila. Mereka juga makan bersama tengah hari itu. Gembira dan seronok bagaikan satu keluarga. Mereka begitu baik dan mesra, agaknya sebab Pak Ngah Deris telah lama berkawan dengan arwah ayah, sebab itulah dia langsung tidak merasa janggal. Daripada perbualan mereka, banyak yang diketahuinya tentang Amjad. Dan banyak juga perkara yang mengganggu fikirannya.
            Dan dia juga tidak dapat melupakan bila Mak Ngah Idah menghulurkan satu bungkusan berbalut cantik kepadanya.
            “Dah lama Mak Ngah bernazar nak berikan pada Dayang bila kita berjumpa. Terimalah, tak seberapa pemberian ini.”
           
Dayang Atikah memeluk kain sutera pemberian Mak Ngah Idah. Mengenang kembali kunjungannya ke rumah Mak Ngah Idah minggu lalu, hatinya diburu resah. Sesungguhnya dia tidak tahu adakah betul kehadirannya ke sana? Bagaimana pula dengan perasaan Amjad nanti? Bagaimana pula dengan keluarga itu jika mereka tahu sebenarnya dia hanya berselindung tentang hubungannya dengan Amjad. Otaknya tidak dapat membuat kesimpulan. Memikirkan itu ini, dia jadi pening.
Sampai sekarang dia masih tidak dapat berterus terang tentang perpindahannya. Hatinya berat untuk bersuara bimbang akan ada hati yang terluka. Dia faham harapan Mak Ngah Idah dan Pak Ngah Deris serta Laila terhadapnya…Air matanya mengalir lagi. Namun dia harus tabah kerana nekadnya telah bulat untuk mengundurkan diri…


Aku pergi bukan bermakna aku kalah tetapi memberi ruang kepadamu untuk mencari diriku…

Chempaka memandang Dayang Atikah yang sedang tersenyum memandangnya. Di dadanya ada rasa sebak kerana hari ini adalah hari terakhir sahabatnya itu di SMK Pulau Indah. Pertukarannya ke Batu Pahat telah berjaya dan dia akan memulakan tugas di sekolah barunya minggu hadapan.
Sebenarnya tidak ramai yang mengetahui pertukarannya itu kecuali pelajar tingkatan 4 Ikhlas di mana dia adalah guru tingkatan kelas tersebut, Kak Musalmah yang menguruskan pertukarannya dan juga teman baiknya Chempaka. Semalam kelas jagaannya itu mengadakan jamuan perpisahan untuknya. Dan hari ini Kelab Guru pula mengadakan majlis ringkas untuknya di Bilik ERT. Perjumpaan tidak rasmi itu sebagai tanda terima kasih warga SMKPI yang selama ini banyak menyimpan suka-dukanya.
“Saya berterima kasih kepada teman-teman  semua yang banyak membantu semasa saya di sini. Segala budi baik kalian tak akan saya lupakan. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Semoga silaturrahim kita akan tetap berkekalan.” Itulah ucapan ringkasnya tatkala diminta memberikan sepatah dua kata oleh pengerusi Kelab Guru, Cikgu Hasmida.
Guru-guru yang hadir bersalaman dengan Dayang Atikah setelah majlis itu tamat Tania yang tidak mengetahui akan pertukarannya itu kelihatan sugul. Dia memeluk Dayang Atikah sebagai tanda kasih, mungkin belum sepenuhnya mengenali wanita itu.
Tengku Mukhlis yang turut sama di majlis itu kelihatan tenang. Lelaki itu turut menghulurkan tangan dan meminta maaf di atas segala apa yang telah di lakukannya terhadap Dayang Atikah satu masa dulu. Kini semua orang tahu dia sedang berbahagia dengan Cikgu Maizatul. Dayang Atikah dengan senang hati menerima huluran tangan Tengku Mukhlis dan tidak menyimpan dendam kepada lelaki itu. Cuma dalam hatinya masih belum mampu memaafkan Cikgu Sudin yang telah banyak mengharu-birukan hidupnya semenjak dia mengajar di situ. Biarlah perasaan marahnya itu berlalu bersama masa.
Buat sekalian kali mata bundar miliknya menyoroti ke persekitaran SMKPI yang ternyata banyak memberikan kenangan pahit manis padanya. Memandang ke wajah teman-teman, hatinya agak terusik kerana Amjad masih belum balik dari Seremban. Lelaki itu tiada di sini untuk menyaksikan pengundurannya…
Balik dari sekolah, dia menelefon ke rumah Pak Ngah Deris untuk memberitahu akan kepulangannya ke Batu Pahat. Bimbang juga seandainya dia berlalu begitu saja, nanti kecil hati pula Mak Ngah Idah. Perasaan Laila yang akan menduduki peperiksaan perlu juga di jaga. Jika dijelaskan dengan baik tentu mereka akan faham kenapa dia bertukar. Bukannya dia mahu membuka pekung di dada, tetapi nampaknya dia perlu berbohong sunat untuk menjaga hati semua orang yang disayanginya…


Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]