PAGES

Thursday, July 26, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 23


 
 


 
Kupejamkan mata, namun bila ku buka kembali, dikau telah tiada…

Tepat jam 6.30 petang barulah Amjad sampai di rumah. Penat dan lenguhnya masih terasa. Nasib baiklah esok hari minggu, dapat juga dia merehatkan diri.
“Assalamuaaikum Mak Ngah, Laila. Pak Ngah mana?” Dia menyapa Mak Ngah Idah yang berada di ruang tamu. Laila tidak membalas pertanyaannya malah tidak memandangnya pun. Dia kehairanan. Mesti ada apa-apa ni. Kalau tak sudah tentu gadis itu ceria menyambut kepulangannya.
“Pak Ngah kamu ke kedai. Am, pergi tukar baju dan mandi. Mak Ngah ada sesuatu yang hendak di bincangkan. Kita tunggu Pak Ngah balik.”
Ada sesuatu yang hendak dibincangkan? Apa pulak hari ni? Nampaknya sepanjang pemergian dia ke Seremban, ada sesuatu yang telah berlaku. Dia hanya mengangguk dan berlalu ke biliknya.
Mak Ngah Idah memandang Amjad dengan ekor matanya. Sebagai seorang yang telah lama mengutip pengalaman dalam hidup ini, dia perlu berhati-hati menyelami perasaan anak muda itu. Dia tidak mahu menangguk di air keruh. Bagai menarik rambut di dalam tepung, yang penting rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Amjad cuba untuk tidak berfikir apa-apa. Dia mahu lapangkan dada dan kepalanya. Lima hari berkursus sudah banyak tenaga luar dan dalam digunakannya. Namun dia bagai dapat mengagak apa yang akan Mak Ngah Idah katakan padanya.
Hampir 15 minit dia bersiap itu dan ini, puas hati dengan penampilannya, dia segera keluar. Perutnya juga menyanyikan irama kelaparan. Tiba di ruang depan, ada bau goreng pisang dan air kopi. Aroma yang semerbak menyentak seleranya. Pak Ngah Deris dan Mak Ngah Idah membiarkan dia menikmati hidangan petang itu. Mungkin menunggu masa yang bersesuaian untuk membuka kata.
“Sebenarnya Am, Pak Ngah nak tanya kamu?  Bagaimana hubungan kamu dengan Dayang?” Pak Ngah Deris memula bicara setelah dia melihat Amjad sudah selesai menikmati makanannya.
Seperti yang dia jangkakan, hal itu juga yang Pak Ngah timbulkan.
“Macam mana Am nak cakap dengan Pak Ngah dan Mak Ngah? Hubungan kami macam biasa saja.”
“Kamu berdua jangan nak kelentong Mak Ngah tau.  Mak Ngah tahu ada sesuatu yang berlaku antara. Kalau tak masakan Dayang meminta tukar balik ke kampungnya?”
“Tukar? Am tak tahu pun?”
“Itulah Mak Ngah cakap ada sesuatu antara kamu. Apa sebenarnya Am? Waktu dia datang ke sini Mak Ngah tengok dia elok aje. Alih-alih dia telefon kata nak balik ke Batu Pahat. Cuba cakapkan pada Mak Ngah.”
Dayang datang ke rumah? Bila? Bagaimana pula dia hendak menerangkan kepada Pak Ngah dan Mak Ngah sedangkan dia tidak tahu hujung dan pangkalnya semua itu. Fikirannya teringatkan Chempaka. Tentu dia ada jawapan terhadap segala persoalan itu. Dia bingkas bangun dan mengambil kunci keretanya.
“Nak ke mana pula Am? Pak Ngah belum habis cakap lagi ni.”
“Am perlu tahu apa yang terjadi Pak Ngah.”
Pelbagai persoalan timbul di kepalanya. Ternyata Dayang Atikah terlalu terasa dengan perlakuannya. Gadis itu benar-benar terluka sehingga betul mengotakan katanya untuk mengundurkan diri. Rasa bersalah merantai hatinya. Sedangkan dia hanya berbuat demikian untuk mengendurkan rasa cemburunya terhadap Tengku Mukhlis.
Ya Allah, apa yang telah aku buat ni…
“Assalamualaikum Chem, Syameer.”
“Waalaikumussalam. Bila kau balik Am?”
“Aku baru aje sampai tadi. Syameer, kalau kau tak kisah aku nak bercakap dengan isteri kau.”
“Aku faham Am. Yang, abang masuk dulu ya. Berterus teranglah kepada Amjad.” Tanpa segan, Syameer menghadiahkan satu kucupan di pipi Chempaka. Gadis yang telah sah menjadi isterinya itu tersipu-sipu. Malu barangkali diperlakukan demikian. Bimbang jika dikatakan mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya.
“Sebenarnya Am, aku sudah terlalu lama menyimpan penderitaan Dayang. Semenjak kita semua berjumpa, banyak yang telah berlaku. Memang dia ada memberitahuku bahawa dia menyenangi kau tapi dia malu untuk bersuara. Dia menanti kau mengatakannya Am. Kau tahu perasaan kau tapi kenapa kau pendamkan saja? Kau berdendam dengan dia, Am. Sedangkan dia telah mengaku kesalahannya. Kau menghukum dia atas kesalahan yang telah di akuinya. Mengapa Am?”
“Aku fikir aku nak berterus-terang dengan dia selepas aku balik dari Seremban tapi dia dah pergi dulu. Adilkah dia meninggalkan aku macam ni je?”
“Aku rasa kau yang lebih tahu adil atau tak apa yang Dayang lakukan ini. Aku tak akan bagitahu kenapa dia bertukar kerana ini adalah permintaannya. Dan aku rasa kau telah maklum mengenainya.. Am, kadang kala bila kita telah kehilangan sesuatu barulah kita tahu betapa kita memerlukannya. Dan satu pesanannya untuk kau, dia bawa bersama tulip yang kau berikan kerana hanya itulah kenangan yang dia ada.”
Amjad menekup muka. Terasa berbahang bagai ada air mata yang ingin keluar namun ditahannya. Kelemahan jangan ditunjukkan.
“Am, kalau kau betul-betul terhadap dia, berusahalah, masih ada masa untuk kau membaiki diri dan mendapatkannya semula. Jangan biarkan ego kau memusnahkan hidup kamu berdua.”
“Aku cintakan dia Chem. Aku sayangkan dia sejak mula bertemu tapi entahlah. Memang aku yang bersalah kerana membiarkan dia terluka. Dan aku akan menebusnya. Aku akan menggembirakan dia selagi hayat aku masih ada. Terima kasih Chem. Aku balik dulu.”
Chempaka memandang Amjad dengan perasaan simpati. Itulah Qada’ dan Qadar Tuhan yang harus diredhai…Dia memanjatkan doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan dua temannya itu.


Setelah lama berduka di rantau orang, aku kembali ke daerahmu…

Dayang Atikah memeluk ibunya dari belakang ketika ibunya sedang membersihkan cawan. Dua beranak itu baru selesai minum pagi.
“Ibu, dah lama Ika tak rasa masakan ibu. Boleh ibu masak sambal tempe untuk Ika?”
Puan Khadijah tersenyum lebar mendengar permintaan anaknya itu. Dayang Atikah dan sambal tempe memang tak boleh dipisahkan.
“Jangankan kata sambal tempe, Ika sebutkan apa saja pasti ibu sediakan.”
“Ini yang buat Ika sayang pada ibu. Ika masuk ke bilik dulu ibu. Banyak lagi barang-barang yang perlu dikemaskan.” Satu ciuman sayang hinggap di pipi Puan Khadijah.
Puan Khadijah hanya mengangguk. Dia menghantar Ika ke bilik dengan pandangan matanya. Tangannya lincah menyediakan ramuan untuk memasak sambal tempe yang menjadi kegemaran Dayang Atikah. Hati perempuannya merasa gembira kerana akhirnya anak kesayangannya itu kembali jua ke pangkuan keluarga.
Di bilik, Dayang Atikah sebenarnya lebih banyak termenung dari membuat kerja. Fikirannya masih melayang-layang ke Pulau Indah. Terasa baru semalam dia melapor diri di SMKPI. Dan terasa baru semalam juga segala yang bernama duka itu berlaku. Namun sebenarnya juga dia telah menerima takdir Ilahi yang menggariskan hidupnya begini. Setiap percaturanNya tidak pernah salah dan dia percaya akan ada kegembiraan di sebalik kelukaannya. Dia tersenyum, cuba merawat hatinya.
Dari tingkap bilik itu dapat dilihat panorama indah Gunung Soga yang tersegam. Nampak dekat tetapi berbalam menunjukkan gahnya sebagai pemasak bumi. Kalau di waktu pagi suasananya lebih cantik. Kabus yang menyelubungi bagaikan kepingan kapas putih yang terapung-apung di langit. Kalau ada kesempatan memang dia tidak melepaskan peluang untuk meyaksikan matahari terbit dari balik gunung. Indah dan nian untuk jiwa yang halus sepertinya.
Menyoroti bilik yang telah lama ditinggalkan, banyak kenangannya. Sesungguhnya dia senang berada dalam bilik kecil itu. Susunan perabot dan reka letak menepati citarasa mudanya. Dan apa yang paling disayanginya adalah katil kayu yang mempunyai palang diatasnya dan dihiasi pula dengan kain sutera putih. Terasa begitu mendamaikan dan tenang sekali. Jiwa romantisnya sentiasa menginginkan sesuatu yang berbaur kelembutan dan kesyahduan.
Dayang Atikah merebahkan diri ke katilnya. Tiada perubahan yang berlaku meskipun telah agak lama bilik itu dibiarkan kosong. Ternyata ibu sentiasa memastikan bilik itu terjaga seperti asalnya. Dalam keletihan itu, Dayang Atikah akhirnya terlelap. Badannya terlalu lemah setelah membuat kerja itu dan ini untuk berpindah selama beberapa hari lalu. Mudah saja dia terlena.
Dan dalam tidurnya itu, ada bayangan Amjad yang menjelma…
Rindukah dia kepada lelaki itu?


Di mana bumi ku pijak di situ langit ku  junjung…

Hari baru, tempat baru, Dayang Atikah membuka buku baru untuk dirinya. Azamnya untuk memulakan lembaran baru dalam hidupnya dengan bunga-bunga riang. Kalau boleh dia tidak ingin mengenangkan kisah lalu lagi. Air matanya kini terlalu berharga untuknya menangisi sebuah kelukaan.
Dayang Atikah sebenarnya kembali ke sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang. Dia bersekolah di situ sehingga tamat tingkatan lima. Dan selepas melaporkan diri kepada Pengetua pagi tadi, dia masih dapat mengingati beberapa wajah yang pernah dikenalinya dulu. Ada di antara bekas guru yang mengajarnya dulu masih lagi setia mengajar di situ. Dan ada juga di antara mereka yang masih mengenalinya sebagai bekas pelajar terbaik SMKS enam tahun lalu. Dengan pengalaman yang dia semasa di SMKPI, mudah saja baginya menyesuaikan diri dengan tempat baru. Ada juga yang dikenalinya semasa mengikuti Program Integrasi semasa di maktab dulu.
Buat permulaan ini, dia hanya berkenalan dengan pelajar di sekolah itu. Proses pengajaran dan pembelajaran masih belum di mulakan kerana seboleh-bolehnya dia mahu mengenali para pelajarnya terlebih dahulu. Jarak sekolah dengan rumahnya hanya lima minit. Buat masa ini dia menumpang Kak Julia yang menjadi kaunselor sekolah itu. Rumah mereka bersebelahan. Oleh itu ibu menyuruhnya menumpang Kak Julia supaya dia tidak perlu berjalan kaki ke sekolah. Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa tapi bila mengenangkan azam barunya, dia terima. Lagipun, cikgu takkan nak berjalan kaki ke sekolah?

Stylish Thankyou

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]