PAGES

Monday, August 6, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 26

 
 
 
Kukirim khabarku di angin lalu tanda ingatanku kepadamu…

Dayang,
Rasanya telah lama kita tidak berinteraksi bersama. Aku sangat merinduimu dan terlalu banyak yang ingin kukatakan. Walaupun kini aku mempunyai Syameer untuk berkongsi bicara namun kadang-kadang dia tidak boleh menjadi sepertimu yang sentiasa mempunyai fikiran yang sama dan sentiasa bersetuju denganku. Kadang-kadang aku merasa terkilan dengan apa yang menimpa kita namun aku tahu ada hikmah disebaliknya. Dan rasanya baru semalam kita bertemu. Sesungguhnya kenangan bersama kau tetap segar dalam ingatanku.
Aku telahpun selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada awal bulan lalu. Namanya Ahmad Zikrullah. Kalau kau masih ingat nama itulah yang kita sama-sama cari satu ketika dulu. Sebenarnya aku sangat berbesar hati jika kau dapat datang ke sini kerana kami akan mengadakan upacara mencukur rambut Ahmad Zikrullah pada hari Sabtu minggu  ketiga yang akan datang ini. Pada ketika itu juga kita telahpun bercuti. Aku pasti kau tidak mempunyai apa-apa komitmen di sekolah. Aku percaya Ahmad Zikrullah juga ternanti-nanti untuk berada dalam dukungan ‘ibu saudaranya’. Bawalah ibu bersama. Sebagaimana aku mengingati dan merindui kau seperti itu juga ingatan aku terhadap ibu. Tentunya Ahmad Zikrullah memerlukan restu daripada neneknya.
Jika kau datang, akan aku kongsikan pengalaman ku melahirkannya. Antara hidup dan mati aku berjuang untuk melahirkan seorang lagi penyambung zuriat Nabi Muhammad, pengorbanan itu terlalu besar. Namun segala kesakitan terbalas bila aku mendengar jeritan nyaring anakku, tanda kehadirannya di dunia ini. Pastinya kini, kau akan tahu betapa kami gembira kerana Ahmad Zikrullah sudah pandai mengukirkan senyum. Manis, bagai bapanya.
Sebenarnya Dayang, aku menulis begini bukanlah bermaksud untuk melukai hatimu tetapi sekadar ingin berkongsi kegembiraanku denganmu agar kau juga merasa ceria kerana kita pernah juga berkongsikan segala suka duka bersama. Jadi pada fikiranku kau juga berhak berkongsi kegembiraan ini bersama. Setelah pemergianmu, hanya pada Syameerlah tempat aku mengadu meskipun kadang-kadang aku tidak pernah menang tatkala bertikam lidah dengannya. Sesungguhnya aku benar-benar merindui saat-saat kita bersama dulu.
Datanglah Dayang! Aku, Syameer dan Ahmad Zikrullah menantikan kedatanganmu….

Teman lama...
       Chempaka            


Engkaulah gadis yang dulu menghuni hatiku. Kini kau kembali semula…

Hazami memandang sekilas Dayang Atikah yang berada di sebelahnya. Gadis itu mengenakan baju kurung Johor berwarna kelabu dan bertudung hitam, sementara ibunya berada di belakang. Pada pagi itu dia akan membawa mereka ke Hospital Besar Pontian untuk memenuhi permintaan ibunya. Sebenarnya dari pandangan mata itu sudah ada getaran dalam dirinya. Malah tidak keterlaluan jika dia katakan dia telahpun menyimpan perasaan terhadap gadis itu ketika dia mula-mula mengajar dulu namun perasaan itu dipendamnya. Malu juga jika dikatakan guru yang menggatal dengan pelajar. Dan kini perasaannya mekar semula apabila gadis yang diimpikan berada  di depan mata. Tetapi sebagai seorang lelaki yang gentleman, dia tidak mahu tergopoh-gapah.
“Zami, rasanya ini bukan jalan ke Pontian. Awak dah salah masuk jalan ni.”
Teguran Dayang Atikah mengejutkannya dari lamunan.
Dia memandang  ke kiri dan kanan. Sah. Memang dia tersalah jalan. Sepatutnya dia masuk ke simpang kanan tadi tapi kereta itu dipandunya terus. Bibirnya mengukir senyuman. Entah bagaimana dia boleh khayal begitu. Malu pula rasanya perkara sebegitu terjadi kepada dirinya. Bersama-sama Dayang Atikah dan ibunya pula tu. Dia segera membuat u-turn.
Dalam perjalanan Pontian yang seterusnya, tidak banyak yang mereka  bualkan. Hazami mahupun Dayang Atikah masing-masing berdiam diri. Dayang Atikah sebenarnya menahan gelak di dalam hati kerana kejadian tadi. Hazami pula dalam diamnya makin berhati-hati bimbang akan sampai ke tempat yang lain lagi. Dan mereka terus berdiam diri hingga sampai ke perkarangan Hospital Besar Pontian…
“Sum… Sum…  aku datang ni.”
Terdapat tindak balas ibu Hazami bila mendengar panggilan Khadijah. Dia membuka matanya dan memandang ke wajah di sebelahnya. Dahinya berkerut-kerut bagaikan cuba mengingati siapakah yang memanggil namanya.
“Jah? Khadijah?”
Mereka berpelukan. Suasana bertukar hiba apabila kedua insan itu saling bertangisan. Itulah tangisan yang membuktikan perasaan mereka berdua yang ternyata masih bertaut rapat.
“Sum, aku rindukan kau. Sejak kita berpindah, aku cuba mencari kau tapi tak tahu di mana. Puas aku bertanya ke sana ke mari tapi tak jumpa.”
“Aku juga sama mencari kau tapi Tuhan itu Maha Merancang ke atas apa yang diinginkanNya. Namun aku tak putus asa. Syukurlah kita dapat bersua semula.”
Matanya kemudian memandang Dayang Atikah, menyorotinya dengan pandangan yang penuh kasih. Tangannya dihulurkan. Dayang Atikah menyambut huluran tangan itu dan mengucupnya.
“Terima kasih Mi kerana menunaikan impian ibu”
Hazami tersenyum dan memeluk ibunya. Itu adalah pemberiannya yang sedikit untuk menggembirakan ibunya yang selama ini banyak berkorban.
Di dalam bilik itu terdapat pelbagai emosi yang tidak menentu…


Besarlah hatiku jika dapat memiliki puterimu…

Dayang Atikah memeluk ibunya. Hatinya gembira  kerana akhirnya dapat memiliki apa yang diidamkan. Walaupun mengambil masa yang agak lama, namun dia puas hati kerana dapat mengusahakannya dengan kudrat dan tenaga sendiri.
Kereta Satria berplat JHA 7723 yang dibelinya minggu lalu amat bermakna sebagai tanda kesusahannya sebelum mengecap kesenangan. Kini mudahlah sedikit baginya untuk bergerak ke sana-ke mari. Panjanglah sedikit langkahnya. Sempena dengan itu, satu kenduri doa selamat di adakan untuk menghindarkan diri dari segala kemudaratan.
Hazami dan ibunya dijemput sama ke majlis itu. Puan Kalsum kelihatan lebih sihat setelah berada hampir sebulan di hospital. Dia kelihatan gembira di majlis itu.
“Dah ada kereta ni jaga diri baik-baik. Jangan pandu laju-laju.”
Dayang Atikah memandang Hazami. Terasa dirinya dihargai dan disayangi, ada perasaan halus menyelinap dalam hatinya…
“Jah, aku rasa elok benar kalau kita satukan perhubungan kita ini dengan anak-anak kita. Tentu kau faham maksud aku kan?” Kalsum membuka bicara kepada Khadijah selepas berakhirnya majlis kesyukuran.
Khadijah memandang Kalsum. Semilir angin malam terasa mencucuk ke tulangnya. Segera dia terbayangkan Amjad. Bagaimana dia hendak memberikan jawapan? Dia mengukir senyum membalas pertanyaan sahabatnya itu.
“Aku faham kata-kata kau. Sebenarnya Sum, aku tak tahu bagaimana nak jawab pertanyaan kau. Rasanya eloklah kalau aku tanyakan dulu pada Ika. Bagi aku, Hazami seorang anak yang baik. Tak rugi mendapat anak sepertinya.”
“Jah, aku benar-benar berharap dapat menjadikan Ika sebahagian dari keluarga kami. Aku percaya Hazami akan dapat menjaga dia dengan baik. Lagipun, bila aku dah tak ada nanti, kehidupan Hazami masih lagi terurus.”
“Jangan cakap macam tu Sum. Hidup mati kita di tangan Tuhan. InsyaAllah aku akan tanyakan pada Ika nanti. Janganlah kau risau. Kalau Tuhan telah tentukan kita akan berbesan, aku redha.”
Mereka saling berpegangan tangan.
“Ibu, jom kita balik. Dah malam ni.”
Kedengaran suara lembut milik Hazami.
Kalsum yang memandang anaknya. Hazami memegang bahunya tersenyum. Seketika matanya terpandangkan kelibat Dayang Atikah yang sedang menuju ke arah mereka. Matanya kemudian dihalakan ke arah Hazami dan kembali memandang Dayang Atikah. Sambil menguntumkan senyuman, dia memandang Khadijah dengan penuh makna. Matanya bercahaya…


Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]