PAGES

Friday, August 31, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 28


 
 


 
Kata-katamu mengusik hatiku, namun aku tidak ingin mengenang kisah lalu…

“Sebenarnya Chem, ada sesuatu yang aku ingin katakan pada kau.”
Ujar Dayang Atikah pada ketika dia dan Chempaka bersama-sama mengambil angin di tepian Pelabuhan, tempat yang biasa di kunjungi suatu ketika dahulu. Ibu, Syameer dan Ahmad Zikrullah sedang menjamu selera di gerai Abang Mat, juga pernah menjadi kesukaan mereka dulu.
“Aku agak ini ada berkaitan dengan masa depanmu.”
Sambil memandang ke laut lepas, dia menyambung kata…
“Aku akan bertunang penghujung  cuti sekolah ini. Datanglah sebagai memberi sokongan kepadaku.”
“Bertunang? Tahniah Dayang. Tapi dengan siapa?”
“Dia bekas guruku yang kini menjadi Penolong Kanan di sekolah tempat aku mengajar. Hazami namanya. Sebenarnya aku tidak pernah mengimpikan semua ini. Namun bila memikirkan nasihat ibu dan apa yang telah menimpa, aku rasa diriku juga berhak menikmati bahagia. Apa salahnya mencuba. Lagipun pilihan ibu selalunya yang terbaik.”
“Dayang, siapa pun pilihan kau, aku tak berkuasa membantah. Malah setiap masa aku mendoakan kebahagiaanmu.”
“Apa kisah Amjad sekarang. ni? Masih dengan Tania lagi?”
Dia tidak tahu bagaimanakah dia dapat menyebut kembali nama itu.
“Banyak perkara yang telah berlaku Dayang. Selepas pemergian kau, bermacam-macam telah berlaku. Sebenarnya aku pun tak tahu di mana hendak mulakan. Kalau kau sudi mendengar, aku ingin kau tahu sesuatu.”
“Apa dia?”
“Sebenarnya tiada hubungan antara Amjad dan Tania. Yang aku tahu, hanya Tania menyukai Amjad tapi dia hanya melayan Tania sebagai teman biasa saja.”
Dayang Atikah diam dan masih memberi tumpuan pada kata-kata Chempaka. Namun hakikatnya dia agak terkejut dengan kenyataan Chempaka.
“Kadang-kadang aku merasakan pemergian kau terlalu mendadak dan tidak memberi peluang kepada dia untuk berterus terang. Bila dia tahu kau telah balik ke Batu Pahat, terus dia datang jumpa aku dan dia nampak sangat terkilan. Sehingga sekarang dia masih tidak dapat mengawal perasaannya. Perubahannya ketara.”
Dayang Atikah tidak menyangka sampai begitu sekali kesan yang ditinggalkannya kepada Amjad. Apakah dia yang bersalah mengambil keputusan sedemikian sedangkan ada masanya dia langsung merasa dirinya tidak dihargai. Kalau betullah lelaki itu menyimpan perasaan padanya, kenapa di biarkan masa menjadi saksi kelukaan hati mereka?
“Aku mahu melupakan kisah yang lalu. Kalau boleh aku tidak ingin mengenang lagi apa yang telah terjadi. Seandainya kau berjumpa dengan dia, tolonglah beritahu dia tentang pertunanganku. Dan katakan padanya aku sentiasa mendoakan kebahagiannya.”


Ini adalah lambang keikhlasanku terhadapmu, sudilah menerimanya moga kita akan bahagia..

Hazami tersenyum sendiri melihat cincin emas bertatah berlian yang dibeli bersama ibunya tadi. Rekaannya ringkas dan tidak terlalu sarat. Agaknya Dayang Atikah akan menyukai cincin itu. Sesungguhnya dia tidak percaya bahawa Dayang Atikah akan menjadi miliknya. Angan-angannya suatu masa dulu kini bakal menjadi kenyataan. Dia bagaikan terpaku apabila Puan Khadijah ibu Dayang Atikah menyatakan persetujuan apabila ibunya menelefon memberitahu untuk menghantar rombongan ke rumah gadis itu.
“Mi, ibu tahu Mi cintakan Dayang. Dari tadi ibu lihat Mi asyik senyum-senyum aje tengok cincin tu. Ibu harap Mi dapat jaga Dayang dengan penuh kasih sayang dan ikhlas. Sebenarnya kalau Mi nak tahu, ibu dan arwah ayah dulu pernah merancang untuk menjodohkan kamu berdua. Sejak dari kecil ibu dan ayah menimpan impian untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim ini melalui anak-anak. Sekarang ibu sudah pun menunaikan amanah ayah. Semoga Mi dapat menyambung amanah kami ini dengan memberikan yang terbaik untuk Dayang Atikah.”
Panjang lebar nasihat yang diberikan oleh Puan Kalsum kepada anaknya yang baru hendak memulakan hidup.
“Ibu, Mi akan jaga dia dengan baik. Mi rasa ibu pun tahu bagaimana sikap Mi. Hm… bagaimana dengan persiapan untuk ke rumah Dayang nanti? Kalau ada apa-apa yang diperlukan, cakap dengan Mi.”
“Semuanya ditanggung beres Mi. Cuma satu je, Mi jangan tunjuk muka gelabah Mi tu. Ibu dan Pak Lang akan uruskan segalanya.”
“Terima kasih ibu.”
Satu kucupan hinggap di pipi mulus ibunya. Memang dia seorang anak yang baik dan tidak banyak kerenah. Perangainya terserlah semenjak kecil. Langsung tiada masalah dengan anak tunggalnya itu. Kalsum memandang potret suaminya yang tergantung di dinding. Dia dapat melihat ada senyuman di wajah suaminya itu…


Kad undanganmu telah kuterima, betapa pun di hati ini masih ada sesalnya…

UNDANGAN PERKAHWINAN

Hazami Hassan
&
Dayang Atikah Daud

Semoga dengan kehadiran tuan puan akan memeriahkan majlis ini…


Amjad menatap kad yang dibawa oleh Laila. Kad kecil yang comel dan berbau harum itu dikirim oleh Dayang Atikah yang mengundangnya ke majlis perkahwinannnya awal bulan hadapan. Dia melepaskan keluhan panjang. Melepaskan satu bebanan dalam dirinya. Bibirnya mengukir senyum.
Semoga kau bahagia Dayang. Aku akan bersama-sama menyaksikan detik-detik indah dalam hidupmu.
Amjad menunaikan janji dan tekadnya. Dia berfikiran positif dan tidak mahu lagi membiarkan perasaan sedih menguasai dirinya. Cukuplah apa yang telah berlaku dulu di jadikan pengajaran.
“Laila, Cikgu Dayang akan berkahwin awal bulan depan ni. Kita sekeluarga dijemput ke sana.”
Laila yang sedang menyiapkan minum petang menghentikan kerjanya. Dia ke arah Amjad dan membaca sendiri kad undangan itu.  Ada rasa tidak percaya dalam hatinya.
“Apa yang kecoh-kecoh ni?”
Mak Ngah yang datang dari luar rumah menyapa.
“Dayang akan berkahwin awal bulan depan ni Mak Ngah. Kita dijemput ke sana.”
Dengan suara tenang Amjad memberi tahu ibu saudaranya.
Mak Ngah Idah agak terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Amjad itu. Namun apa yang lebih mengejutkannya, dia tidak dapat melihat kekeruhan di wajah Amjad tidak seperti sebelum ini. Anak muda itu terlalu tenang di wajahnya. Hati tuanya bertandang dengan pelbagai persoalan…


Berbahagialah melayari ikatan perkahwinanmu, semoga kekal selamanya…

Amjad, Laila, Pak Ngah Idris dan Mak Ngah Idah antara tetamu dari Pulau Indah yang paling awal sampai di Parit Bugis. Syameer, Chempaka, Puan Jamilah, Jannatun, Nazirah dan Kak Musalmah antara beberapa orang yang hadir ke majlis perkahwinan Dayang Atikah. Ada juga beberapa orang guru lain yang turut dijemput sama. Kalau boleh Dayang ingin berkongsikan kegembiraannya itu dengan semua orang. Bukanlah sebagai tanda dia riak atau ingin menunjuk-nunjuk tetapi apa salahnya jika dia ingin memaklumkan kepada semua. Lagipun dia sudah ‘membakar’ buku lamanya. Sekarang ini dia telah membuka helaian yang baru. Namun apa yang paling terkilan di hatinya adalah kerana ketiadaan Karmilla yang tidak dapat bersama-samanya kerana sedang mengikuti kursus di Sarawak.
Majlis yang diadakan itu agak besar juga. Maklumlah masing-masing menjadi kesayangan ibu. Tambahan pula Dayang Atikah adalah yang bongsu. Takkan ada lagi kenduri selepas ini. Hazami pula anak tunggal. Mana lagi jika tidak berhabis untuknya. Tetapi yang penting semua orang dapat menyertai majlis itu…
“Tahniah Hazami, Dayang. Semoga berbahagia hingga ke akir hayat.”
Amjad menjadi orang yang pertama mengucapkan kata-kata itu kepada pasangan pengantin baru. Dayang Atikah melihat wajah Amjad buat pertama kalinya setelah dia meninggalkan daerah Pulau Indah. Wajah itu bersih dan tenang bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Tiada dendam yang tersimpan. Semuanya bagaikan telah bermula semula. Dia dan Amjad bagaikan sepasang teman yang baru berkenalan semalam. Segera dia membalas senyuman Amjad.
“Aku doakan kau cepat dapat jodoh!”
Lega hati Dayang Atikah apabila dia merasakan segala-galanya telah bertukar ceria…
Wajahnya menatapi wajah Hazami yang sah menjadi suaminya. Ada senyuman di bibirnya. Akan ditumpahkan segala kasih dan sayang kepada lelaki itu.
Ya Allah, bimbinglah kami dalam melayari bahtera rumah tangga ini agar sentiasa aman dan sejahtera…


Stylish Thankyou

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]