PAGES

Wednesday, September 5, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 29

 
 

Dari jauh aku melihat, siapakah itu jalannya tersusun terasa di hati ingin mengetahui….

Amjad memandang persekitaran rumahnya. Bunga-bungaan yang ditanam oleh Mak Ngah Idahnya hidup subur dan mengeluarkan haruman yang menusuk lembut ke hidung.  Sudah lama dia tidak menghirup wanginya harum bunga itu. Dan kini dia mempunyai banyak masa untuk berbuat demikian. Dia menyesal kerana terlalu banyak masa lalunya dibazirkan dengan mengenang perkara yang tidak akan kembali semula.
Dari tingkap rumahnya yang menghadap jalan besar, dia melihat ada sekujur tubuh yang sedang berjalan.
Siapa?
Terdetik pertanyaan itu dalam hatinya. Berbaju kurung dan membawa beg sederhana besar. Gadis itu tidak pernah dilihat sebelum ini. Amjad terus menyoroti langkah gadis itu sehinggalah hilang dari pandangannya. Entah mengapa bagaikan ada perasaan halus menyelinap dalam hatinya. Tanpa dia sedari, Mak Ngahnya turut memandang dari belakang dan mengukir senyum…


Apa saja kulakukan untuk membahagiakan dirimu…

“Kiah, aku nak tanya sikit ni. Semalam nampak macam Adawiyah balik ke sini.”
“Iya. Dah tamat kursusnya di Pahang tu baliklah dia. Sekarang ni dia akan mengajar di Taska Pulau Indah menggantikan Hamidah yang mengikut suaminya ke Johor. Kenapa?”
“Sebenarnya aku nak tanyakan anak dara kau tu sama ada sudah berpunya ke belum? Kalau kau sudi aku hendak merapatkan silaturrahim dengan kau. Aku sebenarnya kesiankan Amjad tu. Jika dia sudah berpasangan, sekurang-kurangnya hidup dia akan lebih terisi dan sempurna.”
“Aku ni tak dapatlah memberi keputusan pada kau Idah. Kalau aku katakan ya, takut pulak Adawiyah tu dah ada calonnya sendiri. Nantilah aku tanyakan pada dia.”
“Jangan lupa pula ya. Hah, aku balik dululah. Sekejap lagi Idris balik. Risau pulak dia kalau aku tak ada di rumah.”
Mak Ngah Idah mengatur langkah ke rumahnya. Di perkarangan rumah dilihat teksi suaminya telah sedia di garaj. Nampaknya awal pula suaminya balik hari ini.
“Awak ke mana Dah?”
“Saya ke rumah Kiah, bang. Dah lama abang sampai?”
“Baru je. Ambilkan abang air. Dahaga betul hari ni. Budak-budak ke mana?”
“Laila katanya pergi ke rumah Aisyah. Amjad ke sekolah. Elok awak keluar tadi, terus dia mengikut belakang.”
Mereka suami isteri duduk di kerusi rotan di beranda rumah mengambil angin petang. Mak Ngah Idah merasakan itulah saat yang terbaik untuk dikongsikan apa yang dinyatakan kepada Kiah sebentar tadi.
“Abang, Idah ada tanyakan Adawiyah anaknya Kiah untuk dipasangkan dengan Amjad. Apa pandangan abang?”
“Adawiyah? Awak ni memandai-mandai aje. Entah-entah budak tu dah ada calonnya sendiri. Amjad pula entah setuju atau tidak.”
“”Pada pandangan saya, nampak macam Amjad tu sukakan Adawiyah. Elok juga kalau kita pasangkan mereka berdua, sekurang-kurangnya Amjad dapat melupakan kisahnya dengan Dayang. Saya ni bukannya apa bang, cuma kesiankan Amjad tu. Kita memanglah boleh jaga dia, tapi sampai bila. Dia pun perlu berkongsi hidupnya dengan sesorang.”
“Agak-agaknya macam emak pasangkan Idah dengan abang dulu lah ya?”
“Ish… abang ni. Ke situ pula!”
Mengenang kisah lalu, Mak Ngah Idah menjadi malu. Pertemuannya dan suami di atur keluarga, kekal bahagia hingga kini. Jadi kenapa dia tidak mengambil iktibar daripada itu untuk membahagiakan anak saudaranya pula?


Bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi, adakah kini kau menyambut tepukanku?

“Adawiyah, ke sini sekejap. Ada sesuatu yang hendak emak beritahu kamu.”
Adawiyah yang baru sahaja tiba di rumah menuju ke meja makan di mana emak sedang menunggunya. mukanya kemerahan kerana berjalan kaki masuk ke rumah dari jalan besar. Walaupun jarak rumahnya dengan taska tidak terlalu jauh, namun pulang pada waktu begitu memang menagih keringatnya.
“Ada apa emak?”
“Minum air ni dulu. Mak tahu Adawiyah letih.”
Rokiah memandang Adawiyah yang tenang meneguk air. Anak perempuan tunggalnya itu kini berusia 24 tahun. Lahir dalam keluarga yang dikelilingi oleh 5 saudara lelaki tidak mempengaruhi pembentukan peribadinya. Adawiyah membesar sebagai seorang gadis yang santun dan pemalu. Lemah lembutnya memikat sesiapa sahaja. Rupanya tidaklah terlalu cantik tapi siapa yang memandang pasti merasa tenang dan sejuk.
“Minggu lepas Mak Ngah Idah ada tanyakan pada emak sama ada Adawiyah sudah berpunya atau belum.”
“Kenapa?”
“Dia nak pasangkan Adawiyah dengan anak saudaranya. Hasrul Amjad namanya. Kalau Adawiyah setuju emak hendak beritahu dia. Kalau Adawiyah tak mahu emak tak memaksa. Terpulanglah kepada Adawiyah untuk membuat keputusan.”
Mendengarkan nama Hasrul Amjad, dada Adawiyah didatangi debar. Kalaulau emaknya tahu bahawasanya suatu masa dulu dia pernah menaruh hati kepada lelaki itu…
“Apa pandangan emak?”
“Macam emak katakan tadi, emak tak kisah. Terpulangkah pada Adawiyah.”
“Kalau macam tu Adawiyah ikut emaklah. Baik bagi emak, baiklah bagi Adawiyah.”
Kata-kata itu buat Rokiah tergamam. Apa kena dengan anaknya ini? Mengiakan tidak, menolak pun tidak. Agaknya dia belum ada pilihan hati. Rokiah menguntumkan senyum. Sebenarnya dia juga berkenan jika Amjad menjadi menantunya. Lelaki itu baik dan boleh diharap. Segera dia menekan nombor telefon rumah Mak Ngah Idah, bakal besannya. Perkara baik itu mesti diberitahu secepat mungkin.


Adawiyah, jadilah permata dalam hidupku yang akan menyinar selamanya…

Apakah ini keputusan yang tepat untuk perjalanan hidupku seterusnya?
Amjad merenung kosong cermin di hadapannya. Kata-kata Mak Ngah Idah telah mengganggu fikirannya. Dan kenapa pula dia boleh bersetuju dengan kata-kata itu?
Adawiyah!
Rasa-rasanya seperti dia pernah mengenali empunya nama itu tapi dia tidak dapat mengingatinya. Agak-agaknya pernah sama-sama bersekolah dulu tak?
Sukar bagi Amjad mendapatkan jawapan. Yang dia tahu, minggu depan, Mak Ngah dan Pak Ngahnya akan ke rumah Adawiyah untuk menyarungkan cincin ke jari manis gadis itu sebagai tanda telah menjadi tunangannya. Sekarang dia menyerahkan hidupnya kepada Tuhan supaya sentiasa dilindungi dan dalam keberkatan selalu. Siapapun Adawiyah, akan diterimanya dengan hati terbuka dan ikhlas. Dia akan cuba mempercayai percintaan selepas kahwin. Semoga kebahagiaan ini menjadi miliknya!
Namun bersediakah dia menerima kedatangan seorang yang begitu asing dalam hidupnya? Seseorang yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini?
 

Kehadiranmu bakal menyerikan keluarga kita, sabarlah diriku menunggu kedatangannya…

“Kak Sari, boleh tak datang ke rumah? Zami nampak perangai Ika agak berubah sekarang. Asyik marah-marah saja.”
“Kenapa pula macam tu? Agaknya Zami ada buat sesuatu yang melukakan hati dia tak?”
“Seingat Zami tak ada pula. Tak tahulah. Semenjak dua menjak ni dia sensitif sangat. Akak datang ya? Zami tak tahu lagi nak buat macam mana.”
“Okeylah. Abang Saif balik nanti akak cakap dengan dia.”
Hazami lega dapat mengajak kakak iparnya datang ke rumah. Buntu rasanya untuk menghadapi perangai Dayang Atikah yang berubah mendadak. Pagi tadi isterinya itu marah-marah kerana dia terlewat padahal waktu baru pukul 7 pagi. Sepanjang masa ke sekolah Dayang Atikah hanya membebel. Di sekolah pula, mereka tidak bertegur sapa sehinggalah sekarang. Pening Hazami memikirkan apakah masalah isterinya itu sehingga dia lupa menghadiri mesyuarat SPBT sehingga terpaksa ada yang memanggilnya.
“Sayang, jom makan. Abang dah lapar ni.”
Panggilnya lembut. Harapannya agar Dayang Atikah boleh berubah laku.
“Makanlah sorang-sorang!”
Aduh, kasar sekali bunyinya. Sedikit terasa  Hazami dengan perlakuan itu.
“Assalamualaikum.”
“Abang Saif, Kak Sari. Jemput masuk. Batrisyah mana?”
“Batrisyah di Pontian. Ika mana?”
“Entahlah. Sejak balik sekolah tadi terus masuk ke dalam bilik. Akak pergilah tengok dia. Zami tak tahu dah nak pujuk macam mana.”
Dayang Sariah mengatur langkah ke bilik Dayang Atikah di tingkat atas. Tangannya mengetuk perlahan pintu kamar yang bercat biru lembut itu.
“Ika, Kak Sari ni. Bukak pintu!”
Belum pun selesai Dayang Sariah berkata-kata, pintu itu terbuka dan Dayang Atikah terjongol di dalamnya. Dia segera menarik kakaknya masuk ke dalam.
“Kenapa dengan Ika ni? Tak baik tau buat suami macam ni.”
“Ika pun tak tahu. Kadang-kadang Ika rasa nak marah sangat pada dia. Ika nak balik rumah ibu.”
“Ika, tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Takkan Ika nak tinggalkan Hazami sendirian di  sini?”
“Ala kak. Ika nak jumpa ibu. Ika rindu sangat dengan ibu. Dah lama tak jumpa.”
“Ok. Kalau macam tu Ika minta izin dengan Hazami dulu. Boleh.”
Dayang Atikah menarik muka masam. Dayang Sariah keluar dari bilik itu dan menghampiri Hazami.
“Akak rasa biarlah Ika balik ke rumah ibu buat sementara waktu ni. Mungkin fikirannya terganggu.”
“Kalau macam tu kata akak, saya tak kisah asalkan dia kembali kepada dirinya yang dulu.”
Dayang Atikah membawa keluar begnya. Sebelum itu dia menyalami Hazami terlebih dahulu. Tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya.
“Jangan risau. Akak akan jaga dia. Kalau ada apa-apa nanti, akak bagitahu Zami. Akak balik dulu. Jaga diri baik-baik.”
Hazami terasa segalanya berlaku dengan begitu pantas. Dengan sekelip mata sahaja Dayang Atikah pergi darinya. Puas difikirkan apakah salahnya pada isteri tercinta namun tiada jawapan. Dia kini kerinduan pada isterinya yang dulu…
Keseorangan di rumahnya, dia naik ke bilik dan menunaikan solat Asar.
Pada malamnya, dia mengambil keputusan untuk menelefon ke rumah mertuanya. Kalaupun tidak dapat bercakap dengan Dayang Atikah, sekurang-kurangnya dia dapat mendengar melalui ibunya.
“Assalamualaikum. Ibu, apa khabar?”
“Ibu baik-baik sahaja. Zami dah makan?”
“Sudah ibu. Hmm… bagaimana dengan Ika?”
“Zami jangan bimbang. Ibu rasa Ika sekarang mengalami perubahan dalam dirinya. Mungkin dia mengandung. Nanti ibu bawa dia jumpa doktor. Namun naluri ibu kuat mengatakan Zami akan menjadi ayah tak lama lagi.”
Mengandung?
Patutlah perangainya berubah benar.
“Tapi takkan sikapnya menjadi sebegitu teruk terhadap Zami.”
“Kadang-kadang kita tak dapat menjangkakan bagaimana sikap seseorang itu bila dia berbadan dua. Ada bermacam-macam perlakuan yang boleh terjadi namun Zami jangan bimbang. Ibu rasa ini hanyalah pada peringkat awal sahaja.”
“Kalau macam tu legalah Zami. Kalau betul Ika mengandung, ibu jangan lupa maklumkan pada Zami. Zami teringin membuat kenduri kesyukuran.”
Alhamdulillah… kalaulah betul apa yang ibu katakan, alangkah bahagianya dia kerana kehidupannya bakal diserikan dengan kehadiran cahayamata. Dia ingin menunaikan solat sunat syukur kerana dikurniakan nikmat yang tidak terhingga…

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]