PAGES

Saturday, September 29, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 31

 
 
 
Masa dan manusia tidak pernah berjauhan… sentiasa seiring bersama.

Masa berlalu dengan pantas tanpa ada yang mampu menahannya. Dari saat bertukar ke minit sehingga bermula kiraan jam. Dan kemudian pula bertukar menjadi hari. Setelah pertukaran mentari dan rembulan, tanda aturan Tuhan yang tidak pernah silap mewujudkan pertukaran siang dan malam yang sentiasa tepat. Dari hari bertukar menjadi bulan sehinggalah kiraan itu menjadi semakin besar sehingga ke satu tempoh yang dipanggil tahun pula.
Itulah fitrah alam. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang sentiasa ke depan dengan pertambahan yang semakin meningkat tak kira dalam apa jua keadaan. Sekelip kita memejamkan mata, serentak itu juga masa juga semakin menghimpit kita.
Dan kerana masa itu jugalah, kehidupan insan-insan yang bernama Dayang Atikah, Hasrul Amjad dan Chempaka bersama pasangannya masing-masing terjalin dalam suasana dan keadaan harmoni dan penuh kasih…


Perpisahan ini terjadi lagi…duhai anak jagalah dirimu sendiri nanti…

Dayang Atikah menolong Dayang Umairah mengemaskan beberapa lagi barang yang belum dimasukkan ke dalam beg. Pada hari ini dia dan Hazami akan menghantar puteri tunggal mereka itu mendaftar di Universiti Malaya. Dayang Umairah yang cemerlang dalam matrikulasinya mengambil bidang kejuruteraan sebagai pilihannya kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu. Adiknya, Fareez Hazim dan Faez Haziq tidak di bawa bersama kerana kebetulan pula mereka menyertai lawatan sambil belajar ke Kompleks Warisan Johor yang dianjurkan oleh Kelab Kebudayaan Sekolah.
“Umi, Irah rasa tak nak bawa barang-barang ni. Dah banyak sangat ni.”
“Kenapa pula? Kan barang-barang ni masih boleh digunakan lagi. Tak elok membazir.”
“Bukannya Irah hendak membazir umi tapi kalau ditinggalkan di rumah, Hazim dan Haziq masih boleh menggunakannya.”
“Kalau macam tu kata Irah, umi tak kisah. Jangan nanti telefon umi merengek-rengek minta dihantarkan semula.”
“Umi, Irah kan dan besar. Dan matang pun. Takkan Irah berperangai macam dulu lagi.”
Satu kucupan di hadiahkan ke pipi uminya. Anak itu memang manja dengannya namun banyak juga mewarisi keperibadian dan perwatakannya di zaman mudanya dulu. Berdikari dan berjiwa besar. Bangga hatinya mendapat anak yang sebegitu.
“Dah siap semuanya? Kalau sudah boleh kita bertolak sekarang.”
Hazami menyoal anaknya. Dayang Umairah mengangguk.
“Jumpa mak long dan pak long dulu.”
Dayang Umairah patuh dengan arahan uminya. Kak Sari dan Abang Saif datang untuk bertemu mata dengan anak saudaranya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
Dan di Pulau Indah, Amjad juga sedang bersiap-siap untuk menghantar Hairul Aqeef mendaftarkan diri di Universiti Malaya. Pada mulanya dia inginkan anaknya itu mengambil bidang perguruan tetapi Aqeef nampaknya lebih berminat terhadap bidang undang-undang.  Oleh yang demikian dia tidak mahu memaksa anaknya kerana dia tahu bagaimana rasanya jika terlibat dengan sesuatu yang bukan menjadi pilihan sendiri. Dia memberi kebebasan dan kepercayaan untuk anaknya memilih haluan sendiri.
“Aqeef bukannya tak mahu jadi cikgu macam papa tapi Aqeef rasa bidang itu tak sesuai dengan jiwa Aqeef.” Itulah jawapan anaknya apabila diminta pandangan untuk menceburi profesyen perguruan.
Adawiyah yang sejak dari tadi sibuk memasukkan itu dan ini ke dalam beg anaknya itu mengesat peluh di dahi. Memang dia agak kepenatan kerana sebenarnya dia demam. Namun demi satu-satunya putera dalam keluarga itu dia rela berkorban. Adik-adiknya, Siti Shuhada, Siti Suraya dan Siti Sufiah masing-masing menunggu masa untuk masuk ke dalam kereta. Masing-masing mahu menghantar abang kesayangan mereka ke universiti.
Tepat pukul 10 pagi, Hazami dan Amjad bertolak dari rumah. Walaupun di tempat yang berlainan namun ada persamaan yang tidak dirancang. Dalam dada ayah dan ibu itu, ada berbagai perasaan. Berpisah sekali lagi dengan anak tercinta, ada air mata yang ingin menitis.
Dan di satu tempat di Pulau Indah itu juga, Chempaka dan Syameer sedang bersiap-siap untuk melawat anaknya Ahmad Zikrullah yang kini berada dalam tahun tiga bidang perubatan, juga menuntut di Universiti Malaya. Turut di bawa bersama-samanya adalah Maria Melati dan Mirza Putri.
Begitulah halnya suatu kebetulan yang telah Tuhan tentukan…


Lambaian menara gading menggamitku datang menerokai ilmumu…

Walaupun berlainan bidang kursus, Dayang Umairah dan Hairul Aqeef masih dapat bersahabat dan berhubung kerana mereka tinggal di kolej yang agak dekat. Kalau berkesempatan mereka akan ke kuliah bersama-sama. Sebenarnya dia juga tidak tahu Aqeef mendapat tawaran ke UM. Setelah beberapa minggu umi menelefonnya dan memberitahu malah terus memberikan nombor telefon Aqeef kepadanya. Oleh kerana sudah lama juga mereka tidak berjumpa, maka Dayang Umairah mengambil kesempatan itu untuk menghubunginya. Ternyata Aqeef terkejut dengan panggilannya dan daripada itu mereka terus menjadi kawan baik. Maklumlah persahabatan mereka telah bermula daripada kecil lagi. Apabila memasuki matrikulasi masing-masing terpisah seketika kerana Umairah berada di Negeri Sembilan dan Aqeef di Gombak.
Malah di situ juga Dayang Umairah  bertemu dengan Ahmad Zikrullah yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri. Tambahan pula umi dan emak Abang Zack (panggilannya) berkawan baik sejak dulu. Malah dia turut memanggil emak Abang Zack dengan panggilan mama. Ini bermakna di bumi universiti itu terjalin semula perhubungan generasi ke dua yang disulamkan perasaan kasih sayang yang erat.

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]