PAGES

Sunday, September 30, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 33





 
 





 
Kalaulah engkau tahu dalam hatiku ini penuh dengan perasaan cemburu terhadapmu….

Aqeef membatalkan ajakan Faizal yang mengajaknya ke court. Hari ini dia mahu berjumpa dengan Dayang Umairah. Semalam mereka sudah berjanji ingin berjumpa namun dia tidak dapat menunaikan janji kerana sewaktu balik ke UM, jalan dari PJ sesak teruk. Hampir 2 jam dia terperangkap dalam jem. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah keadaan itu.
Tepat pukul 5.30 petang dia mengambil Dayang Umairah di perkarangan courtyard fakulti. Nasib baik juga gadis itu tiada kuliah atau tutorial petang ini. Kalau tidak dia terpaksa lagi memendam perasaan marahnya.
“Hai Qeef. Sorrylah Irah lambat sikit. Ada presentation tadi. Dah lama tunggu?”
“Tak adalah lama sangat.”
Pendek sahaja jawapan yang diberikan Hairul Aqeef. Dayang Umairah memandang lelaki itu. Ada sesuatu yang tidak kenakah? Dia hanya mendiamkan diri. Sudah faham dengan perangai lelaki itu yang agak panas baran dan ego.
“Aqeef ada nampak Irah dengan Abang Zack. Mesranya.”
Oh… inikah yang membuatkan Aqeef muncung sepanjang hari?
“Irah memang ada jumpa dia. Dia kenalkan Kak Su pada Irah, bakal isterinya.”
“Aqeef nampak Irah berdua dengan dia. Irah jangan bohong.”
“Kenapa pulak Irah nak bohong? Irah memang jumpa mereka berdua. Aqeef tak percaya?”
“Irah boleh cakap macam-macam tapi Aqeef nampak dengan mata Aqeef sendiri.”
“Qeef, kalaulah perkara macam ni Aqeef nak besar-besarkan, Irah tak tahu nak cakap macam mana. Hubungan antara Irah dan Abang Zack tak lebih dari seorang abang dan adik. Kenapa hal macam ni pun Aqeef susah nak faham? Aqeef ambil law, so rasanya banyak teori-teori percakapan yang telah Aqeef tahu.”
“Perempuan memang suka membebel.”
“Qeef, kalau Qeef rasa keluar dengan Irah hanya sekadar untuk menuduh Irah yang bukan-bukan, tak payahlah buang masa. Irah ada banyak kerja lain lagi yang perlu di lakukan. Sekali lagi Irah tegaskan, hubungan kami hanyalah berlandaskan hubungan kekeluargaan abang dan adik. Aqeef adalah teman lelaki Irah. Kalau Aqeef masih ingat di permulaan hubungan kita dulu, kita hanya mencuba, kalau tiada kesesuaian kita berhak untuk mendapatkan apa yang lebih sesuai dan lebih baik. Jadi Irah serahkan kepada Aqeef untuk membuat keputusan.”
Dayang Umairah berkata geram. Dia lantas keluar dari kereta Hairul Aqeef dan terus menahan teksi. Baginya Aqeef bersikap kebudak-budakan. Sebagai bakal peguam dia seharusnya dapat berfikir secara rasional dan matang.
Memandang Dayang Umairah yang telah masuk ke dalam teksi, Aqeef agak terpana. Tidak sangka Umairah memperlakukan dia sedemikian. Nampaknya dia telah kalah. Hajatnya nahu melihat Umairah merayu-rayu dia tetapi tanpa sedikit pun kerutan di dahinya, perempuan itu telah berjaya membuatnya berfikir berulang kali.
Memang betul katanya, aku patut membuat keputusan…


Janganlah dilakukan kesilapan yang sama,carilah penyelesaian yang terbaik…

Adawiyah terkejut melihat Hairul Aqeef membuka pintu selepas memberi salam. Selalunya sebelum balik anak sulungnya itu akan menelefon terlebih dulu.
“Papa belum balik ma?”
“Belum. Papa sejak kebelakangan ni ada kelas tambahan di sekolah. Aqeef balik ni kenapa? Tak telefon dulu pun.”
“Saja Aqeef nak kejutkan mama dan papa.”
“Aqeef kalau balik tak telefon dulu, mesti ada masalah. Mahu kongsi dengan mama?”
“Mama ni pandai-pandai aje. Aqeef balik ni sebab rindukan sambal sotong mama. Boleh masakkan untuk Aqeef?”
Adawiyah mengusap-usap mesra rambut anaknya itu. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.
Aqeef merebahkan badan di katilnya. Fikirannya teringatkan Umairah. Senyuman, lirik matanya dan merdu suaranya terbayang dan terdengar jelas di derianya. Sebenarnya dia ingin meminta maaf namun kesibukan kadang-kadang menghalangnya. Lagipun biarlah gadis itu sejuk dahulu. Dalam fikirannya teringatkan Umairah, tanpa sedar dia terlena.
“Aqeef ada sesuatu yang hendak dikongsikan dengan papa?” Tanya Amjad kepada anaknya ketika mereka sedang bersantai berdua di halaman rumah selepas makan malam.
Aqeef hanya memandang papanya. Dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita.
“Minum papa, abang.” Adiknya Sufiah datang membawa dua cawan kopi.
“Papa jangan terkejut dengar cerita Aqeef ni.” Sambil menundukkan mukanya, Aqeef membuka kata.
“Apa dia?”
“Sebenarnya, Aqeef dan Umairah… kami sebenarnya lebih dari seorang kawan.”
Umairah?
Lebih dari seorang kawan?
Amjad agak terkejut dengan cerita anaknya. Terbayang-bayang di matanya gadis yang bertahi lalat di bawah mata kanan itu. Umairah, anak temannya yang pernah satu masa dulu bertakhta di hatinya. Sekarang perasaan itu bertukar ke generasi penyambungnya. Kuasa Tuhan!
“Apa maksud Aqeef?” Dia mengawal nada suara dan memberikan tumpuan kepada apa yang anaknya katakan. Dia sudah dapat mengagak apa sebenarnya.
“Aqeef dan Umairah bercinta!”
Memang sahlah seperti apa yang dia fikirkan. Bibirnya mengukir senyum manis.
“Umairah anak uncle Zami? Hai, diam-diam aje anak papa ni?”
“Tapi sekarang kami bergaduh. Sebab tulah Aqeef balik nak tanya papa macam mana nak buat.”
Sebelum memberi balasan kepada kata-kata Aqeef, Amjad menepuk-nepuk belakang anaknya itu.
“Aqeef, sepatutnya tak payahlah bergantung pada papa lagi. Aqeef kan bakal peguam. Gunakan kebijaksanaan dan psikologi untuk menundukkan lawan. Tapi satu papa nasihatkan Aqeef. Kalau betul Aqeef suka dan sayangkan Umairah, pujuk dan minta maaf pada dia. Kalau tidak Aqeef akan menyesal seumur hidup nanti. Papa kenal sangat dengan Umairah tu.”
Dia tidak ingin apa yang telah menimpanya dulu kembali mengenai anaknya. Kalau dulu dia kehilangan ibu Umairah, biarlah kini anaknya yang menyambung tali kasih itu. Dia telah membuat silap satu masa dulu, dia tidak mahu anaknya membuat kesilapan yang sama juga. Kepedihan dan penderitaan telah banyak dirasanya ekoran sikapnya itu.
Jangan sekali-kali warisi sikap papa itu Aqeef!


Antara dua hati dua orang perempuan… ada yang terselindung sebaliknya…

“Kak Su nak jumpa Irah kenapa?”
Dayang Umairah bertanya kepada Nik Sumayyah yang berada di hadapannya. Nik Sumayyah segera menutup buku yang dibacanya dan memberi tumpuan kepada  gadis di hadapannya.
“Kak Su ada hal yang hendak dibincangkan dengan Irah. Sebenarnya Kak Su adalah kakak angkat Aqeef. Dan dia ada menceritakan perihal Irah dan dia. Boleh Kak Su tahu apa yang telah berlaku?”
“Oh, macam tu. Irah tak tahu pun. Sepanjang kami berhubungan dia tak pernah bagitahu Irah bahawa dia ada kakak angkat di sini.”
“Kak Su tak mahu dia hebahkan perkara ini. Sebenarnya sudah lama, sejak Kak Su di tahun dua lagi.”
“Bagusnya Kak Su ambil berat pasal dia tapi Irah harap biarlah dia sendiri yang menyelesaikan masalah ini. Dia yang ego. Takkan kita perempuan hendak melutut di kakinya menagih perasaan cinta itu. Bagi Irah, kalau kita betul, tak perlu takut untuk menunjukkan kebenarannya. Zaman sekarang ni Kak Su, perempuan pun boleh hidup kalau tak ada lelaki.”
“Masalahnya Aqeef tu tak boleh hidup tanpa Irah. Dia merayu-rayu Kak Su untuk memujuk Irah.”
Aqeef tak boleh hidup tanpanya?
Berbunga seketika perasaannya saat mendengar kata-kata itu.
“Kak Su, sekali sekala biarlah dia tunjukkan yang dia betul-betul perlukan Irah dalam hidupnya. Irah faham dia cemburu tapi takkan dia tidak faham hubungan Irah dan Abang Zack tak lebih dari hubungan adik dan abang saja?”
“Masalahnya Kak Su tak pernah memberitahu dia tentang hubungan Kak Su dan Abang Zack. Sebab itulah dia menyangka yang bukan-bukan.”
“Ok. Kalau macam tu, sekarang dia dah tahu. Kak Su biarkan saja dia mencari penyelesaian. Kalau keadaan macam ni pun dia tak dapat handle, macam mana dia nak menjalani chamberingnya nanti?”
Nik Sumayyah memandang Dayang Umairah yang tenang di hadapannya. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Ahmad Zikrullah, gadis itu seorang yang tegas dan nekad. Sesuai dengan sifatnya yang agak kasar. Kalau tidak masakan bidang kejuruteraan yang menjadi pilihannya. Namun diakui bahawa di sebalik sifat kasarnya itu tersembunyi sesuatu yang menarik. Barangkali itulah yang membuatkan Hairul Aqeef tidak lena tidur malam memikirkan gadis bernama Dayang Umairah ini.
“Kak Su, Irah pergi dulu. Nanti ada tutorial.”
Dayang Umairah bangun dan tangannya menyalami Nik Sumayyah. Satu kucupan di berikan di telapak tangan perempuan yang sudah dianggapnya seperti kakak sendiri itu…
Dia membawa langkahnya, tenang menuju ke fakulti. Walaupun dalam fikirannya terselirat dengan banyak perkara namun dia masih gagahkan diri untuk menyapa dan memberikan senyuman kepada teman-teman yang berselisih dengannya.

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]