PAGES

Sunday, October 7, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 34

 
 

 
Umi, bijak menangguk di air keruh. hingga kau tahu apa yang tersimpan di hati ini!

Dayang Umairah begitu bahagia dan ceria menerima kunjungan umi dan abahnya sehingga dia sanggup ponteng tutorial Mr. Bala pada sebelah petangnya. Sebenarnya umi dan abahnya dalam perjalanan mengantar adiknya Fareez Hazim ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa, yang akan mengikuti pengajian perubatan. Faiz Haziq juga dibawa bersama. Adiknya yang bongsu itu akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Sudah lama mereka tidak berjumpa, jadi banyak jugalah perkara yang dibualkan selain Dayang Umairah yang tidak habis-habis mengusik adiknya. Kebetulan juga besok adalah hari Ahad. Jadi, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk bermalam di hotel agar mempunyai lebih banyak masa bersama. Dayang Atikah dan Hazami faham akan kerinduan yang ditanggung mereka anak-beranak. Kepada teman sebiliknya Syarifah Zuraidah dinyatakan bahawa dia akan bermalam di hotel. Dipelawanya juga teman karibnya itu tetapi dia menolak dengan alasan ingin balik ke kampung.
Semasa menuju ke kereta, Dayang Umairah ternampak Hairul Aqeef di courtyard asrama. Matanya memandang lelaki itu sekilas, dan dia percaya lelaki itu faham dengan kata-kata matanya. Seketika kemudia dia memalingkan muka dan memasukkan barangnya ke dalam bonet kereta.
“Assalamualaikum aunty. Apa khabar?”
Dengan tiba-tiba dan entah dari mana, kedengaran suara Hairul Aqeef menyapa uminya yang sedang membuka pintu kereta. Dengan sopannya dia turut bersalaman dengan abah dan adik-adiknya.
“Eh, Aqeef. Apa khabar?”
Umi agak terkejut dengan sapaan itu.
“Aqeef baik. Bila aunty dan uncle sampai di sini?”
“Tengah hari tadi. Sebenarnya kami nak menghantar Hazim ke UIA. Alang-alang dah sampai KL ni singgah dulu tengok Umairah.”
“Wah, Hazim dapat masuk UIA rupanya. Tahniah. Habis ni nak ke mana pula?”
“Kami merancang tidur di hotel. Takkan uncle, Hazim dan Haziq nak bermalam di bilik Umairah. Apa pula kata kawan-kawannya nanti.”
Uncle Zami pula yang menjawab bagi pihak keluarganya. Hairul Aqeef mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Bagaimana dengan study?”
Umi bertanya lagi sedang Dayang Umairah dilanda perasaan rimas. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melihat lelaki itu buat masa ini. Ingin saja dia menjerit kepada uminya agar segera masuk ke kereta supaya dia dapat lari dari lelaki itu seketika.
“Alhamdulillah semuanya ok.”
Dia menjawad dengan suara yang mendatar. Matanya memandang Dayang Umairah.
“Kalau macam tu, Aqeef belajarlah betul-betul. Kalau mama dan papa telefon nanti jangan lupa kirimkan salam kami kepada mereka. Kami pergi dulu. Aqeef jaga diri baik-baik ya.”
Alhamdulillah! Abah selalunya menjadi penyelamat. Tindakan abah memotong percakapan umi dan Hairul Aqeef benar-benar disyukurinya.
Setelah hampir 20 minit, barulah sekeluarga itu bergerak menuju ke Heritage Hotel. Dayang Umairah hanya terdiam. Sejak masuk ke kereta sehingga sampai ke bilik hotel, tiada sepatah pun yang keluar dari mulat anak gadis Dayang Atikah dan Hazami itu. Sebaliknya, dia terus meluru masuk ke bilik air.
“Kenapa dengan Kak Irah tu umi? Haziq nampak pelik je.”
Faiz Haziq memandang uminya.
“Entahlah. Umi pun perasan macam ada sesuatu yang tak kena saja. Nantilah umi tanyakan pada dia.”
“Yang, buatkan abang air. Haus pulak rasanya.”
“Hazim pun nak juga umi.”
Dayang Atikah membancuh kopi segera yang disediakan di bilik hotel itu. Tak sampai dua minit, dia menghulurkan air yang telah siap dibancuh kepada suami dan anaknya. Dari dalam bilik air, kedengaran debur air mencurah-curah kasar. Hazami memandang isterinya.
“Nampaknya anak sulung kita tu mengikut perangai awak. Malam nanti tanyakan dia apa masalahnya. Kalau macam tu gayanya, abang rasa ada sesuatu yang tak kena.”
“Eh, eh abang ni mengata saya pula. Anak kita, sudah tentulah mewarisi bagaimana perangai ibu bapanya. Saya pun rasa ada sesuatu yang dipendamnya. Nantilah saya tanyakan.”
Malamnya, mereka sekeluarga menikmati dinner di Bangsar Food Court sambil mata melihat keindahan dan kemeriahan di bandaraya. Selepas itu, mereka meronda-ronda ke sekitar ibu kota.
“Irah, umi tengok macam ada sesuatu saja. Ada masalah di kampus?”
Dayang Atikah menyapa Dayang Umairah yang merenung kota metropolitan Kuala Lumpur dari balkoni bilik.  Suami dan anaknya sedang leka menonton siaran Liga Eropah di ASTRO.
“Tak ada apa-apalah umi. Irah tension dengan study saja. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dibuat.”
“Irah, umi dah kenal Irah lama. Sebagai seorang ibu, umi tahu anak umi. Umi tahu, kalau Irah menghadapi masalah dengan pelajaran, Irah akan tulis segala masalah Irah di atas kertas dan kemudian Irah akan bakar kertas tu. Tapi sekarang Irah termenung.”
Dayang Umairah memandang uminya. Memang dari dulu hingga sekarang dia tidak pernah berupaya menyembunyikan masalahnya. Uminya begitu bijak mengatur kata dan membuat perangkap dan akhirnya dia sendiri akan bercerita. Namun kali ini ada perasaan malu untuknya memberitahu umi tentang masalah yang dihadapinya. Dia memeluk uminya kemas bagaikan sedang meminta bantuan.
“Apa kata kita turun minum kopi. Di situ Irah boleh bagitahu umi.”
Dayang Umairah mengangguk tanda setuju.
Dayang Atikah berbisik sesuatu di telinga suaminya dan kemudian dia menarik tangan anaknya keluar menuju ke Heritage’s Café and Cake House.
“Irah sebenarnya malu nak cakap dengan umi.”
Dayang Umairah membuka kata.
“Kenapa mesti malu? Irah bukannya tidak bernah memberitahu masalah Irah pada umi. Irah tahu umi bagaimana?”
“Tapi kali ni lain umi.”
“Apa yang lainnya? Ok. Sekarang umi ambil keputusan macam ni. Kalau Irah tak mahu ceritakan umi tak akan memaksa. Kalau Irah rasa nak kongsi masalah Irah tu dengan umi, umi akan mendengar dan bagi pendapat. Setuju?”
“Irah ada masalah dengan Aqeef.”
“Masalah dengan Aqeef? Maksud Irah? Umi tak faham!”
“Sebenarnya umi, Irah dan Aqeef bercinta sejak beberapa bulan lalu. Maafkan Irah kerana tidak memberitahu umi.”
Irah dan Aqeef bercinta?
Sesungguhnya dia tidak menyangka kisah cinta yang suatu masa dulu menjadi miliknya kini bertukar kepada anaknya pula. Dan apa yang paling mengejutkannya adakah perhubungan itu menyambungkan kasihnya yang tidak kesampaian dulu?
Dia segera menggenggam tangan anaknya.
“Irah, boleh terangkan pada umi apa kisah sebenarnya? Umi tak kisah siapapun pilihan Irah tapi kalau kelakuan Irah macam ni umi perlu tahu apa yang terjadi.”
“Umi tahu kan Irah baik dengan Abang Zack di kampus. Aqeef cemburu.”
“Aqeef cemburu tandanya dia sayangkan Irah.”
“Tapi dia tidak mahu dengar penjelasan Irah umi. Dia tak percayakan Irah!”
“Irah, umi kenal Irah dan umi juga tahu bagaimana sikap Aqeef. Apa salahnya Irah bagi dia peluang untuk minta maaf dan membetulkan kesilapannya. Kalau betul Irah sukakan dia, bagi dia peluang untuk berterus terang. Jangan biarkan masa merosakkan hubungan kamu berdua. Saling bertolak ansur dan belajar untuk saling memahami, umi pasti kebahagiaan akan jadi milik kamu.”
Sesungguhnya dia berharap apa yang di nasihatinya itu akan menjadi salah satu sebab yang akan merapatkan kembali hubungan yang sedikit renggang itu. Dia tidak mahu apa yang dialaminya dulu berulang kembali kepada anaknya. Dia sentiasa mendoakan kebahagiaan anaknya.

Stylish Thankyou

1 comment:

  1. I love the web, simply just a moment back I was searching for a brand new pair of shoes and now I am here. So much info at the touch of a hand, it truly is simply incredible.

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]