PAGES

Thursday, November 8, 2012

Misteri Cinta ~ Episod Akhir

 
 
 
Hubungan ini melengkapkan diri kita sebagai insan yang punya naluri untuk bahagia…

Setelah lapan bulan majlis konvokesyen Dayang Umairah dan Hairul Aqeef, barulah majlis perkahwinan mereka dilangsungkan. Kedua-duanya telahpun mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Walaupun baru saja membina kerjaya, masing-masing bersetuju untuk disatukan dalam majlis yang akan diadakan di Batu Pahat dan di Pulau Indah. Setelah setahun setengah bertunang, mereka sudah yakin untuk belayar di alam rumah tangga yang penuh cabaran.
Dengan dua kali lafaz, sahlah Dayang Umairah menjadi permaisuri kepada Hairul Aqeef. Upacara akad nikah itu disaksikan oleh keluarga terdekat dan juga sahabat handai yang dijemput sama. Di rumah, Dayang Umairah ditemani Kak Su dan Syarifah Zuraidah. Sesungguhnya dia amat berdebar dan resah. Pelukan umi sebentar tadi menghilangkan perasaan gelisahnya. Umi membawa khabar dia sudah sah menjadi isteri Aqeef. Dan air mata gembira tidak mampu lagi ditahannya daripada mengalir sebagai tanda syukur pada Yang Esa.
Sewaktu acara membatalkan air sembahyang, umi membawakan Aqeef kepadanya. Mereka bersalaman dan Umairah mengucup tangan suaminya. Aqeef membalas dengan satu kucupan di dahi isterinya. Alhamdulillah… akhirnya selesai juga satu upacara yang mengesahkan hubungan mereka.
Keesokan harinya di adakan pula kenduri sempena perkahwinan itu. Dari atas pelamin, Dayang Umairah melihat ramai yang datang di majlisnya. Adik-adik dan adik-adik iparnya turut datang walaupun mempunyai komitmen lain. Begitu juga dengan teman-teman rapat ketika di UM, masing-masing memberikan ucapan tahniah kepadanya. Dia turut memandang Abang Zack dan Kak Su yang kini telah memiliki seorang puteri. Umi, abah, mama dan papa semuanya hadir dalam pandangan membuatkan dia tidak tahu bagaimana untuk menyatakan kebahagiaannya saat ini. Yang dia tahu, genggaman erat tangan suaminya memberikan sokongan tanda perkongsian perasaan mereka yang sama… bahagia!
“Irah, Aqeef, tak ada apa yang abah dapat berikan kepada kamu tetapi abah harap kamu berdua akan hidup bahagia selalu. Aqeef sebagai ketua keluarga dan pembimbing, bawalah Irah ke jalan yang diredhai. Dan Irah hendaklah mengetahui apakah peranan dan tanggungjawab seorang isteri.” Hazami memberi nasihat, pada malamnya setelah tetamu semua pulang. Waktu itu hanya tinggal beberapa pekerja sedang membersihkan kawasan dan menurunkan khemah.
“Betul kata abah tu. Sebagai suami isteri kita hendaklah saling bertolak ansur dan memahami. Binalah hubungan yang berlandaskan kepercayaan. InsyaAllah kamu akan bahagia.” Mama menyokong.
“Aqeef dan Irah jangan pula sangka kami memberi nasihat ni sebagai tanda kami ingin masuk campur dalam rumahtangga kamu. Sebagai orang yang lebih tua dan kaya dengan pengalaman, apa yang difikirkan perlu kami akan kongsikan bersama. Ibu bapa mana yang tak mahu lihat anaknya bahagia?”
“Aqeef, satu-satunya anak perempuan umi telah umi serahkan kepada kamu. Sekarang kamu berhak ke atasnya. Harapan umi semoga Aqeef dapat memberikan kebahagiaan kepadanya dunia dan akhirat. Kalau ada apa-apa masalah jangan malu untuk bertanya kepada kami.” Umi pula berkata. Sebak.
“Abah, umi, papa dan mama, terima kasih kerana memberikan ingatan dan nasihat kepada kami. InsyaAllah Aqeef akan ingat nasihat ini dan cuba menunaikan tanggungjawab dengan baik terhadap Irah. Sesungguhnya Aqeef yakin kami akan bahagia.”
Hairul Aqeef sedikit sebak menuturkan kata-kata yang ikhlas dari  hatinya itu. Tangannya menggenggam erat tangan Dayang Umairah sebagai tanda kasih sayangnya. Mereka semua saling berpelukan sebagai tanda memberi sokongan kepada yang lain…
“Abang, Irah harap kita dapat menempuh segala rintangan ini bersama.” Itulah ucapan pertama Dayang Umairah tatkala sah menjadi isteri Hairul Aqeef. Ketika itu hanya mereka berdua di dalam bilik.
“Irah, abang harap kita akan bersama-sama tak kira apa jua keadaan kita.”
Dayang Umairah mengucup tangan suaminya sekali lagi dan dalam kebahagiaan itu, Aqeef merangkulnya.
“Kita sembahyang sunat syukur dulu. Semoga Tuhan sentiasa merahmati hidup kita semua.” Ucap Aqeef perlahan di telinganya.
Dayang Umairah mengangguk dan dia menghamparkan sejadah. Aqeef menuju ke bilik air mengambil wuduk.
Selesai solat sunat dua rakaat, mereka berpandangan dan saling tersenyum lebar. Hanya satu yang boleh dikatakan kini, BAHAGIA…


Cinta yang tersimpul antara kita adalah cinta abadi yang bersandarkan kepada rahmatNya…
                                                                       
Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan. Burung merpati terbang seribu, hinggap seekor di tengah laman, hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan. Batang selasih permainan budak, daun sehelai di makan kuda, bercerai kasih talak tiada, seribu tahun kembali juga. Anak cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati, di dalam hati tidakku lupa, bagaikan rambut bersimpul mati. Kalau tuan mudik ke hulu , belikan saya bunga kemboja, kalau tuan mati dahulu, nantikan saya di pintu Syurga…

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]