PAGES

Sunday, December 16, 2012

Dan Bunga Pun Berkembang # 2

 
 
 
Zainab siap mengemas begnya. Minggu ini dia mahu balik kampung. Sudah lama dia tidak bertemu emak dan ayahnya. Kekadang, kekangan masa dan tugas menjadi penghalang. Dayang juga sudah balik ke kampung. Katanya cuti semester selama dua bulan. Alahai…sunyi lah hidup Zainab tanpa gadis yang suka bertanya itu..
Dua jam memandu, Zainab sampai di kampung. Emak yang sejak minggu lepas diberitahu, setia menunggu di birai pintu sambil mengukir senyum. Begitulah selalunya jika anak-anaknya balik.
‘Assalamualaikum mak…’ Zainab memberi salam lantas memeluk emaknya erat.
‘Waalaikumussalam Nab. Meh masuk…’ Mak Jah emaknya menggapai tangan Zainab dan menariknya ke dalam.
‘Ayah mana mak?’ Zainab yang menyedari ayahnya tiada bersama segera bertanya. Di rumah itu hanya tinggal mereka berdua setelah dia dan abangnya Zamani bekerja di tempat lain.
‘Ayah ke kedai, beli lauk. Abang Zamani pun cakap nak balik harini, dia bertolak selepas Kak Aisyah habis kerja. Dah kebetulan semua anak-anak cucu nak balik…mak suruh beli lauk sikit.’ Mak Jah memberitahu sambil tangannya menuangkan air untuk Zainab.
Abang Zamani balik? Seronoknya. Sudah lama jugak Zainab tidak bertemu dengan anak saudaranya Delaila. Sekali sekala berkumpul bersama-sama memang bahagia.
‘Lama Nab cuti?’ Mak Nab mengajukan pertanyaan setelah dia melihat Zainab terdiam.
‘Tiga hari je mak. Ini pun kebetulan Isnin ni memang cuti umum. Kenapa mak?’
‘Kenapa Nab tak ajak Dayang balik sama?’
‘Dayang dah balik kampung mak. Cuti dua bulan.’ Zainab tidak memandang emaknya. Dia terus mengunyah kuih abok-abok yang ada di depannya.
‘Esok mak ngah buat kenduri, dia ajak kita semua pergi.’
‘Kenduri apa mak?’ Zainab merenung emaknya.
‘Si Jamil kan nak kahwin, Nab dah lupa?’ Mak Mah tersenyum memandang Zainab. Anak dara tunggalnya itu walaupun sudah agak berusia, tetapi kadang-kadang masih seperti anak remaja.
‘Ye ke…’ Serasanya Jamil baru berumur 22 tahun, sudah mahu berkahwin. Esok, siaplah dia menadah telinga mendengar ceramah mak ngah yang selalu sangat bersusah hati kerana statusnya yang belum berkahwin-kahwin itu. Aduhai mak ngahku….

‘Kamu bila lagi Nab..si Jamil ni baru 22 tahun, dah jadi laki orang dah.’ Seperti yang dijangka, mak ngah segera menembaknya dengan kata-kata keramat itu.
Zainab hanya tersenyum. Emaknya juga tersenyum. Kak Aisyahnya turut tersenyum.
‘Kau jangan tunggu lama-lama Nab…jangan memilih sangat. Mak ngah ni risau betul kat engkau.’
Belum pun sempat Zainab membalas, mak ngah berterusan berceramah.
‘Mak ngah…bukannya Nab tak nak kahwin, tapi belum ada jodoh lagi. Belum ada rezeki Nab lagi.’
‘Kalau mak ngah tolong carikan macam mana?’
Zainab seperti hendak terguling-guling mendengar kata-kata mak ngahnya.
‘Tak apa lah mak ngah… Kalau ada nanti Nab bagitahu ye…’ Segera dia menyalami mak ngahnya dan menghulurkan RM 100 sebagai duit berkat. Walaupun sudah diberikan hadiah kepada Jamil, dia tidak lokek untuk memberi lagi.
Dan selepas itu mak ngah terus senyap. Dia tersenyum menggenggam not ungu diberikan Zainab.
 *****
Zainab termangu di atas buaian yang tergantung di dahan rambutan di depan rumahnya. Matanya memandang rumah yang di diami emak dan ayah. Rumah itu sudah banyak berbeza berbanding beberapa tahun yang lalu. Semuanya hasil perubahan yang dilakukan oleh Zainab dan abang Zamaninya. Mereka ingin memberikan keselesaan maksima buat insan-insan terpenting dalam hidup mereka. Dan seketika kemudian matanya melihat kereta Toyota Camry putih miliknya. Sebagai ketua akauntan di Mesra Iklan, dia mampu dan berhak memiliki kereta itu yang diistilahkan ibunya sebagai kereta orang kaya. Zainab tersenyum. Dia memiliki segalanya dalam hidup ini. Ibu bapa yang terbaik, kerjaya yang bagus, kewangan yang stabil, kasih sayang yang melimpah ruah dari keluarga serta raut wajah yang sedap dipandang. Apa yang dia tiada hanyalah seorang suami. Ya…dengan kata lain dia belum berkahwin. Agaknya orang lelaki takut nak dekat dengannya. Takut jika tak mampu memenuhi keperluan lahiriahnya sedangkan dia tidak mahukan semua itu. Dia teringat kata-kata mak ngah pada hari perkahwinan Jamil. Dia tahu bukan mak ngah sahaja yang risau. Emak, ayah, abang Zamani, Kak Aisyah mahupun Delaila sangat bimbang kerana dia belum dimiliki. Kalau dulu dia pun agak risau dengan statusnya, tapi kini dia redha. Allah Maha Berkuasa, Dia yang merencanakan semuanya. Masakan Dia membuat semua ini tanpa alasan apa-apa. Zainab mengambil ini sebagai dugaan Allah kepadanya. Allah tidak akan menduga seorang hambaNya jika dia tidak mampu mengatasinya.
Zainab sebenarnya bukanlah tidak pernah bercinta..bukan tidak pernah menyulam impian bahagia dengan kekasihnya. Mak Jah dan Pak Din memang tahu kisah itu dan amat memahami. Tiba-tiba terlintas di fikirannya Syed Hamdan. Di mana agaknya dia sekarang? Sudah berapa orang anaknya? Lelaki berketurunan Arab itu pernah bertakhta di hatinya, yang dirindui saban waktu. Lima tahun Zainab dan Syed Hamdan bercinta tetapi apakan daya keluarga Syed itu tidak mahu menerimanya sebagai menantu. Mereka bertegas ingin mengekalkan status Syed dan Syarifah yang tidak dimiliki Zainab. Dan sudahnya cinta yang bersemi hancur begitu sahaja. Apabila emak Syed Hamdan, Paduka Syarifah Zahrah memberi kata dua, memilih Syurga atau Neraka kepada Syed Hamdan, Zainab segera berundur dalam paksaan. Dia tidak mahu menjadi penyebab keberantakan keluarga ternama itu. Dan berita terakhir didengari, Syed Hamdan sudah bernikah dengan Syarifah Soffea, sepupunya dari Pakistan.  Dan semenjak ini dia membuang jauh-jauh Syed Hamdan dari kotak fikirannya.
Zainab menyeka air mata yang mengalir tanpa dia sedari. Bila mengingatkan kisah lukanya…mudah sahaja dia dilanda kesedihan. Masakan tidak, setahun dia bangkit sebelum menjadi sekuat ini. Selepas itu dia tidak pernah menutup pintu cintanya buat sesiapa pun tetapi belum ada yang datang mengetuknya… Zainab dilanda hiba tiba-tiba…
‘Nab….sudahlah tu.’ Teguran ayahnya memintas segala khayalan.
Mak Jah duduk di sampingnya. Segera dia memeluk anaknya memberi sokongan. Dia tahu apa yang difikirkan Zainab.
‘Anggaplah ini semua dugaan Nab. Ayah percaya satu hari nanti jodoh Nab akan tiba. Bersabarlah.’
Terima kasih ayah, terima kasih emak. Kalaupun perkara nikah kahwin itu bukanlah perkara utama, Zainab tidak mampu menghuraikan kekusutan hatinya saat ini. Ya Allah Engkau kuatkanlah hatiku…
 *****
Minggu ini tersangatlah memenatkan. Zainab perlu menyiapkan akaun syarikat..mengimbangi mana yang perlu dan membuat laporan. Begitulah selalunya apabila tiba akhir tahun, banyak yang perlu diselesaikan sebelum membuka akaun baru tahun berikutnya.
‘Kau tak balik lagi Nab?’ Teguran Jauhari mengejutkan Zainab yang memejamkan mata seketika.
‘Sekejap lagi la aku nak siapkan ni ada sikit lagi.’ Dia membalas seadanya.
‘Macam ni la nasib orang bujang ye…sibuk manjang di pejabat.’ Dengan nada berbaur sindiran, Jauhari berkata perlahan.
‘Ha ah la. Kalau dah kahwin, asyik kena layan suami pulak. Si suami pun bukan boleh harap, balik kerja bukan nak tolong isteri, sibuk nak ke dangdut la bagai.’ Zainab menjawab geram. Sesekali Jauhari perlu diajar.
Jauhari terkesima. Biasanya Zainab jarang membalas kata. Dia termalu sendiri. Nampaknya sikap buruknya yang suka ke kelab dangkut telah diketahui.
Hah…padan muka. Asyik mengenakan orang saja. Kau ingat orang tak tahu perangai buruk kau tu…bebel Zainab, tapi hanya dalam hati.
Zainab sebenarnya tidak tahu kenapa Jauhari begitu suka mengusiknya. Kalau la dilihat dalam pejabat ni Azura pun belum berkahwin…Kamal pun masih bujang tetapi tak pula diusiknya. Agaknya Jauhari sukakan Zainab? Sebab itu lah selalu diusiknya.  Alamak…tak mungkin…tidak….
Zainab tergelak kecil. Cek Mat yang kebetulan lalu di situ menegur..
‘Amboi Nab. Apa yang awak gelakkan tu?’
‘Eh..Cek Mat tak balik lagi?’ Zainab tidak menjawab soalan Cek Mat tetapi mengajukan soalan pula.
‘Saya kena keluar sekejap ni. Awak jangan lama-lama Nab..kerja tu kalau tak siap besok aje awak sambung.’ Cek Mat sentiasa prihatin dengan staf-stafnya.
Zainab menghantar Cek Mat dengan ekor mata sehinggan bosnya hilang di balik daun pintu. Sekelilingnya sudah senyap sunyi. Jam sudah menginjak ke pukul 6 petang. Dia memasang rangkaian lagu-lagu Maher Zain sebagai peneman.  Zainab tenggelam dalam kesibukan. Dia tekun menyiapkan kerja. Tanpa sedar sudah pukul 8 malam. Kerjanya juga telah siap. Alhamdulillah…
Sebaik sahaja dia ingin keluar dari pejabat, baru dia perasan lampu di bilik Cek Mat masih menyala. Dia segera mengetuk pintu.
‘Masuk…’ Terdengar suara dari dalam. Eh…ada orang lagi rupanya. Zainab segera menguak daun pintu.
‘Bila Cek Mat masuk? Saya tak nampak pun tadi. Saya ingat tak ada orang, jadi nak tutup lampu.’ Sungguh, dia ingat Cek Mat sudah balik.
‘Macam mana awak nak perasan Nab oi… khusyuk benar dengar Maher Zain… Eh jom kita makan dulu Nab sebelum awak balik. Emak dengan anak-anak saya tak ada hari ni, balik ke kampung. Awak teman saya boleh Nab?’
‘Saya pun belum makan lagi ni Cek Mat. Saya tunggu dekat restoran depan ni ye. Cek Mat siap-siap la dulu.’ Khusyuk dengar Maher Zain? Aduiiii malunya ditegur bos begitu.
Zainab sebenarnya tidak mahu berlama-lama di dalam bilik itu. Dia sentiasa sedar akan dirinya dan seboleh-boleh ingin mengelak dari sebarang fitnah. Sekarang ni macam-macam boleh berlaku.

Stylish Thankyou

2 comments:

  1. salam
    Silap bace. Ada part 1 rupanya..jap back post dulu

    Salam kenal cikgu.

    ReplyDelete
  2. salam..lor cheqsu..CW ingat silap blog tadi..lame tak menjenguk..dah siap tulis novel lak?hihi...

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]