PAGES

Thursday, January 10, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 8

 
 
 
Mak Jah dan Pak Din, serta Puan Kamsiah dan Encik Daud adalah insan-insan yang sangat teruja, sangat gembira dengan kehamilan Zainab. Meskipun sudah ada Delaila selaku cucu sulung, Mak Jah tidak dapat menahan perasaan sukanya untuk menjadi nenek semula. Lapan tahun dia menanti.  Puan Kamsiah apatah lagi. Kehamilan Zainab menandakan dia akan menjadi nenek dan suaminya akan menjadi datuk buat pertama kali. Darlina belum ada perancangan untuk menimang cahaya mata kerana masih sibuk menguruskan PHDnya. Dayang pun sama, dia sudah menyediakan dirinya untuk bergelar Maksu.
Zainab mengucapkan syukur kepada Tuhan. Rupanya hikmah yang ada di sebalik kelewatannya berumahtangga adalah begitu besar. Dia sangat bahagia dengan Daus walaupun hubungan mereka dibataskan dengan jarak jauh. Di usia 36 tahun, Tuhan telah melengkapkan hidup dengan meniupkan nyawa ke dalam rahimnya. Dan hidupnya bakal sempurna dengan kelahiran buah cintanya dan Daus. Dan apa yang lebih istimewa, Doktor Janet memberitahu dia dan Daus bakal menimang anak kembar. Dia teringat Daus pernah berkata ingin menimang anak kembar jika diizinkan. Dan nampaknya Tuhan mengabulkan hasrat suci itu.
Subhanallah. Maha Suci Allah. Begitu terancang apa yang diatur untuk hambaNya.  
 *****
Kini usia kandungannya sudah menjangkau enam bulan. Daus tidak membenarkan dia memandu ke pejabat. Nasib baik Azura yang kebetulan tinggal berdekatan sudi menumpangkannya. Sekali sekala, emak datang meneman. Dan apabila emak sudah resah meninggalkan rumah di Bentong  terlalu lama, mentuanya akan datang mengambil alih. Daus pula akan berpindah apabila urusan penjualan DD Auto selesai. Demi isteri tersayang dia akan mencuba peluang di Kuala Lumpur pula.
Sesungguhnya nikmat mengandung adalah sesuatu yang teramat indah. Sungguh menakjubkan apabila difikir ada dua jasad bergerak-gerak di dalam perutnya. Dan terkadang apabila tidur malamnya terjaga dek tendangan orang di dalam, Zainab lantas menenangkan diri dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.
Di pejabat pula, teman-teman sentiasa memberikan sokongan kepadanya. Jauhari datang dengan buku-buku panduan kehamilan yang dipinjam khas dari isterinya. Azura pula sentiasa datang merasai pergerakan di perutnya. Dan Kamal kadang-kadang tanpa disuruh membungkuskan nasi jika dia tidak larat untuk keluar makan. Apa tidaknya, dengan umur kandungannya begitu, dan ada dua orang di dalamnya, dia kelihatan seperti sudah sarat benar.
Cek Mat pula senang berkongsi pengalaman semasa arwah isterinya mengandung dulu. Menurutnya, sepanjang tiga bulan pertama, Alya mengidam bermacam-macam perkara. Pernah sekali pukul 12 malam, dia meminta air kelapa muda. Mujur jugak jiran sebelah rumahnya ada sebatang pokok kelapa. Dia menebalkan muka pergi meminta. Pernah juga terjadi dia mengidam rambutan di luar musim, dan apabila Cek Mat bersusah payah mencari, dengan selamba dia berkata tak mahu pula. Tetapi alhamdulillah, berbaloi segala pengorbanannya setelah kembar tiga dilahirkan walaupun terpaksa digalang ganti dengan nyawanya sendiri.
Zainab dapat melihat bagaimana cerianya Cek Mat jika berbicara tentang arwah isterinya. Sinar cinta di matanya tidap pernah malap, apatah lagi untuk padam. Dan apabila Cek Mat menasihatinya tentang itu dan ini..dia percaya Cek Mat ikhlas membantunya… Nasib baik lah dia tidak mengidam sebegitu rupa. Cuma bila Daus ada datang, barulah dia meminta itu atau ini. Kalau Daus tiada, tidak pula dia mengada-ngada.
 *****
Daus memandang barangan bayi dalam kedai yang baru dimasuki. Dia baru selesai berjumpa dengan seorang pelanggan yang mahu mendapatkan sebut harga kenderaan. Rupa-rupanya ada bermacam-macam kelengkapan bayi yang perlu disediakan. Tangannya mencapai stroller…pun ada bermacam-macam juga. Dia hanya tersenyum sendiri. Matanya memandang baju-baju yang tergantung. Semuanya comel-comel. Dia mengambil sehelai yang berwarna biru dan sehelai yang berwarna pink. Kalau boleh semuanya dia hendak beli.
Dalam hatinya penuh dengan bunga-bunga bahagia. Dia tidak pernah merasa seteruja ini… Perasaan untuk bergelar ayah sangatlah sempurna. Tidak mampu dia zahirkan dengan kata-kata. Agaknya beginilah perasaan ayah semasa mahu menyambut kelahirannya dia dan adik-adiknya.
Pun begitu, Daus tidak mahu membeli berlebih-lebihan. Dia mahu berkongsi saat-saat itu dengan isterinya. Dia mahu bersama-sama dengan Zainab memilih, mengambil dan membeli segala kelengkapan untuk anak-anaknya. Tetapi, Daus mengambil juga dua helai baju yang tadi…menghilangkan kempunannya sementara menunggu hujung minggu ini..
*****
‘Besarnya perut mak su.’ Kata Delaila sambil ketawa setelah Zainab turun dari kereta. Dia dan abang Zami akan balik kampung bersama-sama kerana emak akan membuat kenduri kesyukuran dan solat hajat untuk keselamatannya. Keluarga mentuanya tidak turut serta kerana masalah kesihatan.
‘Dalam perut mak su tu ada dua baby tau.’ Daus menyampuk.
‘Dua? Kalau macam tu Delaila nak suruh umi ada baby jugaklah.’ Aishhh…Delaila ingat macam beli ikan kat pasar agaknya.
‘Eh Delaila…ajak mak su masuk. Masuk Nab..Daus. Kak Aisyah belum turun lagi.’ Zamani yang tiba-tiba muncul keluar bersalaman dengan adik dan adik iparnya.
‘Macam mana ni bang? Delaila nak baby dalam perut umi.’ Kata Daus. Zamani tergelak terkekeh-kekeh.
‘Dah sampai masa ni bang untuk tambah ahli keluarga. Nanti kalau Nab dah bersalin, abang dah kalah.’ Zainab pula menyampuk dia tersenyum di sisi Daus.
‘Ha ah la papa. Delaila nak adik. Boring la asyik main sorang-sorang je.’ Giliran Delaila pula bersuara.
‘Kalau macam tu Laila kena tanya umi. Papa no probem.’ Zamani tertawa besar. Begitu juga Daus dan Zainab. Itu adalah cara yang terbaik untuk melepaskan diri.
‘Apa yang nak tanya umi ni?’ Aisyah yang baru turun tertanya-tanya.
‘Umi…papa suruh tanya umi sebab Laila nak baby dalam perut umi macam mak su tu.’ Lancar saja Delaila bersuara.
‘Hah….’ Aisyah tergelak besar. Sejak kebelakangan ini Delaila sering mengungkitkan hal baby kepadanya. Sememangnya sudah layak baginya bergelar kakak.
Tiga yang lain tergelak besar.
‘Kena buat perancangan ni bang. Baru boleh abang lawan Nab nanti. Macam mana ni kak?’ Zainab sengaja bersuara…memberi semangat kepada Delaila.
‘Hish korang ni… Jom jom lah.’ Aisyah segera memutuskan kata. Kalau dibiarkan jenuh dia terkena.
‘Boleh ye umi?’ Delaila menarik hujung baju Aisyah.
‘Iya…iya.’ Letih melayan kerenah anak, akhirnya Aisyah mengalah. Zamani yang memandang tersenyum lebar. Dia mengenyitkan mata kepada isterinya. Sebetulnya dia pun sudah ada rancangan untuk menambah ahli keluarga.
‘Gatal!’ Bisik Aisyah kepada Zamani yang tersengih sejak tadi. Daus menggenggam jemari Zainab dan mereka menuju ke kereta…
 ‘Nanti abang sama sembahyang hajat ye…’ Kata Zainab sambil mengenakan butang baju melayu Daus.
Sempena kenduri kesyukuran yang akan diadakan hari ini, sembahyang hajat dan tahlil akan dibuat di rumah itu.
‘Mestilah sayang. Abang akan selalu mendoakan keselamatan sayang dan anak-anak kita.’ Kata Daus sambil mengucup dahi Zainab.
 ‘Jom bang kita keluar, tetamu dah sampai ni agaknya.’ Zainab menuju ke dapur manakala Daus ke ruang tamu menyertai para tetamu yang mula tiba.
Di dapur, masing-masing sibuk menyediakan hidangan. Emak apatah lagi, ke sana ke mari menguruskan itu dan ini. Zainab hanya mampu membalas senyuman tetamu yang ada. Dia tidak mampu menolong apa-apa. Emak lebih dulu memberi amaran kepadanya. Mak ngah pula berkali-kali memberi nasihat dan meminta dia menjaga diri.
Dan di saat imam mula mengetuai makmum untuk solat hajat, perasaan Zainab bercampur baur. Anak-anak di dalam perutnya tidak duduk diam. Dia dapat merasakan mereka begitu aktif dan di dalam.
Sesungguhnya dia mahu semuanya selamat dengan izin Tuhan.

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]