PAGES

Sunday, January 13, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 9

 
 
 
Zainab dan Daus baru selesai menikmati seafood di Bagan Lalang. Kata Zainab, bukan dia yang hendak, tapi anak-anak yang mahu makan lobster. Daus hanya tersenyum. Sejak mengandung, manjanya Zainab semakin menjadi-jadi. Tambah-tambah pulak apabila dia ada di sisi. Orang kata, semasa mengandung macam-macam pembawakan budak.
Masa bercinta dulu, tak ada pulak sebegini. Al-maklumlah…mana sempat. Selepas berkahwin barulah mereka merasa manisnya. Sekarang Daus sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Meskipun sayang kerana terpaksa melepaskan syarikatnya di Pasir Gudang, kebutuhan Zainab kepadanya mengatasi segala.
‘Abang dah comfirm ke nak beli lot kedai dekat Serdang tu?’ Zainab mengajukan soalan sambil menghirup limau suam. Daus ada memberitahu dia hendak membuka perniagaan servis dan aksesori kereta.
‘Ha ah yang. Hujung bulan ni insyaAllah abang akan jumpa dengan ejen. Agak-agak bila sayang dah bersalin, baru abang settlekan hal kedai tu.’
‘Sayang rasa takut la bang. Lagi sebulan je due sayang.’
‘Hish…jangan la fikir yang bukan-bukan. Sekarang ni ada banyak hospital yang memberi perkhidmatan terbaik. insyaAllah…tak ada apa.’ Daus menggenggam jemari Zainab. Dia dapat merasakan tekanan yang Zainab rasai. Apatah lagi ini adalah pengalaman pertamanya.
‘Sayang harap macam tu lah. Abang dah ada cadangan untuk nama anak-anak kita ni?’
‘Kalau kita namakan Ahmad Qadeer dan Nour Qalish, macam mana?’
‘Macam la abang tahu anak kita ni lelaki dan perempuan. Kalau keduanya lelaki macam mana? Atau perempuan?’
‘Abang pasti yang…abang yakin anak kita ni lelaki dan perempuan.’ Daus merenung Zainab. Dia kelihatan begitu yakin dengan telahannya. Segera dia meletakkan tangannya ke perut Zainab. Terasa anak-anaknya menendang.
Zainab tidak tahu jantina anak-anaknya. Sengaja dia ingin berahsia. Apapun lelaki atau perempuan, biarlah kedua-duanya selamat.
*****
‘Sayang dah siap ke?’ Daus menjenguk dari balik pintu. Hari ini dia dan Zainab akan ke HUKM untuk pemeriksaan lanjutan. Oleh kerana Zainab hanya menanti masa untuk melahirkan, periksaan perlu lebih kerap dijalankan. Tambahan pula ini kandungan pertama dan anak kembar. Mereka juga banyak diberikan kaunseling dan penerangan asas ilmu kekeluargaan.
‘Daaah. Abang ni tak sabar-sabar pulak.’ Zainab datang sambil menjinjing beg tangannya.
‘Mesti lah sayang oiii… Abang dah tak sabar nak tengok anak-anak abang ni.’ Dia menghulurkan tangan dan Zainab menyambutnya.
‘Tak ke mana nya bang…’
‘Mana tahu yang…ajal maut ni bukan kita yang tentukan.’ Kata Daus seperti berbisik. Tapi jelas di gegendang telinga Zainab.
‘Ish abang ni…Kenapa cakap macam tu?’
‘He he he… Jangan marah yang. Nanti anak ikut perangai sayang jadik garang.’
Daus memandu kereta secara santai sahaja. Mereka masih awal. Temujanjinya pada pukul 10 pagi tetapi sengaja dia bertolak awal untuk mengelak sebarang kemungkinan.
‘Sayang, abang tak sabar nak tunggu sayang bersalin.’ Kata Daus sambil tangannya mengawal stering.
‘Abang tak sabar, sayang lagi tak sabar.’ Balas Zainab. Tersenyum manja.
‘Kalau boleh abang nak ada dengan sayang waktu tu.’ Daus memandang sekilas ke arah Zainab. Wajahnya penuh pengharapan.
‘Mestilah bang. Abang kena bagi semangat pada sayang tau.’
‘Tapi abang nak minta maaf awal-awal pada sayang, manalah tahu abang tak dapat teman sayang pulak.’ Sekali lagi Daus berbicara aneh.
‘Abang ni…suka sangat cakap bukan-bukan. Sayang tak suka lah!’ Zainab berpura-pura menarik muka masam. Dia geram dengan bicara Daus sebegitu.
‘Abang ni mabuk darah sayang…mana la tahu tiba-tiba abang yang pengsan dulu.’ Daus tergelak.
Hah?
Zainab sama tergelak. Barulah sekarang dia tahu kelemahan suaminya yang langsung tidak ditunjuk sebelum ini.
Kereta berhenti di persimpangan empat lampu isyarat lima minit sebelum simpang ke HUKM.
‘Abang tahu tak?’ Zainab tiba-tiba meletakkan tangannya di tangan Daus. Daus membalas renungannya.
‘Sayang rasa bertuah sangat-sangat sebab memilih abang sebagai suami. Terima kasih abang.’ Zainab berkata dengan penuh ikhlas. Tangan Daus dukucupnya.
‘Abang pun rasa gembira dapat membahagiakan sayang. Abang  harap jodoh kita berpanjangan.’ Daus menzahirkan kasihnya terhadap Zainab. Dia mengucapkan syukur kepada Yang Esa kerana memberikan kesempatan kepadanya untuk mengecap bahagia.
Daus menukar gear kepada D apabila lampu sudah bertukar hijau. Pun begitu tanpa disedari ada kereta di lorong kanan yang masih ingin bergerak walaupun lampu telah merah.
‘Abang…..!’ Zainab menjerit setelah dia terpandangkan kereta berwarna hitam meluru ke arah mereka.
Dan apabila Daus sampai di pertengahan jalan, DAMMMMMMM….. kereta itu tepat menghentam keretanya…dan lebih tepat lagi di bahagian pemandu…iaitu tepat ke sisi Daus. Keretanya ditolak ke laluan kiri dan kenderaan yang sedang menunggu giliran bergerak tidak mampu mengelak. Dan akhirnya kereta itu berhenti setelah berpusing dua tiga kali… Bukan sahaja keretanya dirempuh, tetapi turut melibatkan beberapa biji kenderaan lain yang sedang menunggu…
Mata Daus berpinar-pinar dan kabur. Terasa ada cecair melekit di wajah dan tubuhnya. Kakinya terasa kebas. Dadanya sesak. Belakangnya sakit. Rusuknya perit. Hanya Allah yang tahu rasanya. Dia tidak mampu bergerak…
Zainab turut merasa kejang di kaki. Perutnya berasa senak. Matanya memandang Daus yang berlumuran darah. Dalam kepayahan Zainab menyeru suaminya. Dia melihat ada ramai orang yang tidak dikenali berkerumun di sekeliling. Sebelah tangannya memegang perut…mahu memastikan anak-anaknya selamat. Dia sesungguhnya risau dan khuatir anak-anaknya menerima kesan akibat kemalangan tersebut.
‘Abang…bangun abang…’ Zainab memanggil lemah. Dia menggoncangkan bahu Daus.
Dalam kesakitan, Daus menghulurkan tangan kepada Zainab, tetapi tidak sempai disambut. Tangannya terkulai dan dia kaku selepas itu.
‘ABANGGGG!!!!!” Zainab menjerit. Kemudian sekelilingnya kelihatan gelap gelita….
 *****
Cek Mat baru selesai membawa anak-anaknya menjalani pemeriksaan bulanan ketika kekecohan di HUKM berlaku. Deretan ambulan keluar masuk. Suasana di lobi juga agak kecoh dengan kedengaran suara orang berbicara, malah ada juga yang menangis. Kelihatan beberapa jururawat menyorong katil.  Qayyum dan Qaishh tertanya-tanya.
‘Ada kes apa ni bang?’ Cek Mat bertanya pada seorang lelaki yang kebetulan berdiri di sebelahnya.
‘Saya pun tak pasti encik. Katanya ada kemalangan ngeri di persimpangan lampu isyarat depan ni.’
Kemalangan? Pastinya ramai yang terlibat dengan kekecohan sebegini.
‘Macam teruk aje ni gayanya.’
‘Katanya seorang meninggal. Yang cedera ramai jugak.’
‘Mmmm…’
Cek Mat tidak dapat menunggu lebih lama apabila anak-anak sudah merungut kerana lapar. Namun, kakinya berat untuk melangkah apabila dia melihat sekujur tubuh di atas katil yang baru ditolak masuk adalah insan yang sangat dikenali…yang ada di sudut hatinya… Dia yakin itu adalah Zainab. Tambahan pula Zainab ada memberitahu yang dia akan menjalani pemeriksaan hari ini. Wanita itu juga berbadan dua. Tetapi tidak sedarkan diri dan badannya berlumuran darah.
Cek Mat segera mendail nombor telefon Zamani dan Dayang, walaupun dia tidak tahu hujung pangkal…tidak tahu apa cerita sebenarnya. Dadanya berdebar hebat…
*****
Zainab memandang ke kiri dan kanan. Suasana hening ini terlalu asing baginya. Bayu yang berpuputan menambah dingin dan kebeningan. Zainab tidak pasti kenapa di berasa di sini.
Dari satu sudut kelihatan satu susuk tubuh. Daus! Dia mengukir senyuman kepada Zainab. Wajahnya bercahaya, penuh seri, sangat lain dari biasa. Senang dan tenang Zainab memandang wajah itu. Berjubah putih…berkopiah senada…Daus datang dan mengucup dahinya. Anak-anak dalam dakapan turut diciumnya. Daus tidak berbicara apa-apa…hanya memandang Zainab penuh rasa cinta, kasih sayang yang tidak pernah berkurang dan sentiasa membara.
Zainab cuba menggapai tangan Daus tapi tidak mampu. Dia cuba mengikuti langkah Daus tapi tidak bisa. Dia cuba berbicara sesuatu tapi peti suaranya bagai terkunci. Bagai ada jurang yang besar antara mereka. Dan dari ruangan yang bercahaya…bayangan Daus akhirnya hilang dari mata… Zainab terkesima. Yang tinggal hanyalah bayang-bayang kenangannya…

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]