PAGES

Wednesday, March 27, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #10


Puan Kamsiah dan Encik Daud mengalirkan air mata di saat jenazah anak sulung mereka, Mohd Daus selamat disemadikan. Pak Din kelihatan turut sama menyeka air mata yang berjuntaian. Di Tanah Perkuburan Taman Jingga itu, menyaksikan terputusnya hubungan dunia seorang anak Adam yang telah dijemput Tuhan. Dalam kemalangan semalam, Daus disahkan meninggal di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan dalaman yang teruk. Hentaman terus kereta tepat ke arahnya tidak mampu menyelamatkannya. Dan apa yang lebih menyedihkan, Daus tidak sempat melihat anak-anaknya yang terpaksa dikeluarkan secara pembedahan. Ini kerana Zainab juga mengalami kecederaan di kaki dan hentakan di kepala menyebabkan dia di dalam keadaan koma.
Pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak komplikasi terhadab bayi-bayinya dalam kandungan. Dan hari ini, seperti dijangka Daus, anak lelaki dan perempuannya diletakkan dalam inkubator, masih terlalu lemah dan agak terkesan dengan insiden yang berlaku. Namun, apa yang paling menyediahkan, isterinya Zainab juga tiada di saat itu. Dia masih belum sedar dan berada di Unit Rawatan Rapi dengan jagaan terbaik. Mak Jah dan Kak Aisyah tidak pernah jauh dari sisinya.
Ya Allah Ya Tuhan, alangkah sukarnya menghadapi perpisahan abadi ini. Payahnya menerima kenyataan bahawa insan yang disayang semua telah dijemput pergi. Dayang, Darlina dan sanak saudara masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Zamani apatah lagi, sehari sebelumnya dia masih sempat bergurau senda dengan Daus, masih sempat mengenakan adik iparnya. Dan kini dia harus mengakui semua itu hanya tinggal kenangan sahaja.
Kemboja yang berguguran di pagi bening itu bagaikan turut bersimpati. Dan di ICU, HUKM, Mak Jah menyeka air mata yang tiba-tiba bercucuran dari kelopak mata Zainab yang tertutup rapat….
*****
Seminggu telah berlalu…
Zainab masih belum sedarkan diri tetapi menunjukkan perkembangan positif. Wanita itu ternyata mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan hidup. Terkadang jemarinya bergerak. Terkadang pula matanya bergerak. Dan menurut Doktor Naemah, itu adalah tanda-tanda positif yang Zainab akan sedar semula.
Begitu juga dengan bayi-banyinya. Di dalam inkubator, mereka yang diletak bersebelahan sangat aktif menggerak-gerakkan tangan dan kaki. Tumbesaran mereka juga berkala, mungkin juga kerana kandungan Zainab yang telah matang ketika kejadian. Walaupun begitu, penjagaan rapi masih diteruskan dan mereka akan diletakkan dalam inkubator sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu lagi.
Mak Jah dan Puan Kamsiah bergilir-gilir berumah di hospital. Mereka sentiasa berinteraksi dengan Zainab, memberi kata semangat dan terus menyokong. Kadang-kadang di masa terluang alunan ayat-ayat suci Al-Quran merawangi suasana. Memberikan ketenangan kepada semua.
Delaila yang kadang-kadang datang turut sama memberi sokongan. Dia mengusap tangan mak su nya… membisikkan kata-kata sayang dan selalu meminta  mak su nya untuk segera bangun agar dia dapat bermain dengan dua sepupu barunya.
Rakan-rakan sepejabat juga datang silih berganti. Walaupun hanya singgah sekejap tapi cukup untuk menaikkan semangat dan meningkatkan keyakinan Zainab akan kembali seperti biasa. Cek Mat begitu juga. Dia akan datang saban waktu setelah habis kerja. Kadang-kadang dia datang bercerita dengan Zainab. Kadang-kadang dia membawa jambangan bunga ros ungu. Dan kadang-kadang dia tidak segan mengalunkan Ayat-ayat Yassin di telinga Zainab. Dan hari ini dia membawa Qasseh bersama. Anak itu sudah berkali-kali meminta untuk bertemu dengan Mak Cik Nab yang disayangi itu.
Mak Jah menyambut kedatangannya dan Qasseh dengan senyuman mesra. Sebakul buah-buahan bertukar tangan. Qasseh menyalami Mak Jah seperti biasa. Puan Kamsiah dan Encik Daud yang baru datang turut disalaminya. Seketika kemudian, Pak Din dan keluarga Zamani pula sampai.
‘Apa khabar Mat?’ Pak Din menegur. Dia sememangnya sudah biasa dan kenal lama dengan Cek Mat.
‘Alhamdulillah Pak Din. Saya minta maaf banyak-banyak lah hari ni datang bawa Qasseh, dia beria-ia sangat nak datang tengok Zainab.’ Cek Mat menutur bait-baik kata itu dengan jelas. Dia agak segan kerana hampir kesemua keluarga Zainab dan mentuanya ada di situ.
‘Tak apa la Mat. Makcik faham. Makcik pasti Zainab pun suka dengan kedatangan Qasseh.’ Mak Jah membalas. Dia tidak menganggap Cek Mat sebagai orang asing. Qasseh juga sudah dianggap sebagai cucu angkatnya. Dan Qasseh tidak segan-segan memanggilnya nenek.
‘Mak cik…Qasseh datang ni….’ Qasseh menggapai tangan Zainab, mengucup dan menggenggamnya erat.
‘Mak cik bangun la cepat…Qasseh tak sabar nak jumpa baby mak cik… Qasseh tak sabar-sabar nak main dengan baby baru.’ Qasseh berbicara bagaikan Zainab memandangnya. Anak itu berbisik tetapi jelas di telinga semua yang ada di situ. Masing-masing mendiamkan diri. Cek Mat pun tidak tahu bagaimana Qasseh dapat berbicara begitu. Wajahnya tenang. Dia kelihatan matang.
Tiba-tiba tangan kanan Zainab terangkat. Zamani yang terperasan segera menyiku bahu Cek Mat. Dia menjuihkan mulut.
‘Sudahlah Qasseh…jangan ganggu mak cik ya.’ Cek Mat memaut bahu Qasseh. Sekali lagi dia melihat tangan kanan Zainab terangkat.
Qasseh mencium pipi Zainab setelah diangkat oleh Cek Mat.
‘Mak cik bangun cepat ye…Qasseh tunggu mak cik bangun.’
Zainab ternampak bayangan Daus di depannya. Suaminya mengusap wajahnya dan mengucup dahinya lama. Wajahnya tenang…masih berseri. Dia memegang tangan Zainab dan mengucupnya. Lama. Dan seketika kemudian, dengan tenang Daus mengucapkan kata-kata selamat tinggal di telinganya….Zainab cuba menangkap bayangan Daus tetapi ia hilang sekelip mata…
Mata Zainab bergerak-gerak. Cek Mat mendorong Qasseh ke belakang, memberi ruang kepada keluarga Zainab untuk melihat. Zamani memanggil Doktor Naemah.
Zainab menggerakkan matanya berkali-kali. Kedua-dua tangannya di awang-awangan, bagai cuba mencapai sesuatu. Dan akhirnya dengan izin Tuhan, mata bundar itu mula terbuka…tertutup dan terbuka semula. Zainab mengedipkan mata dalam kepayahan. Pandangannya kabur dan berpinar. Namun dia dapat melihat dengan jelas wajah-wajah yang ada dihadapannya. Dia juga dapat melihat wajah Cek Mat tetapi tidak dapat mengingati siapa dengan lelaki itu. Kepalanya dipusing ke kiri dan kanan, mencari wajah Daus tetapi dia hampa. Dia tidak tahu dia di mana…dia tidak pasti apa yang berlaku. Dia keliru. Kaki dan perutnya terasa sakit.
‘Nab… Nab…’ Mak Jah memanggil perlahan. Dia sungguh teruja melihat Zainab sudah sedar.
Zainab memandang emaknya sambil cuba tersenyum. Dia ingin bertanya sesuatu tetapi suaranya tersekat di kerongkong.
‘Saya rasa baiklah makcik dan pakcik keluar dulu. Biar saya buat pemeriksaan lanjutan terhadap Zainab. Alhamdulillah dia sudah sedar tapi saya perlu memeriksanya.’ Doktor Naemah meminta. Dia juga bersyukur Zainab sedar semula. Jarang-jarang ada pesakit yang dapat bertahan dengan keadaan sebegini.
Dayang sampai setelah mereka semua keluar.
‘Kak Nab dah sedar Dayang!’ Kata Puan Kamsiah dengan linangan air mata. Dia turut gembira dengan peristiwa ajaib itu.
Dayang segera memeluk uminya. Cek Mat dan Qasseh di satu sudut dihadiahkannya dengan senyuman.

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]