PAGES

Thursday, March 28, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #11



Ahmad Qadeer dan Nour Qalish. Begitulah nama anak-anak Zainab seperti yang diinginkan oleh arwah suaminya. Di pangkuannya kiri dan kanan, anak-anak itu hanya diam. Setelah hampir tiga minggu dalam inkubator, Ahmad Qadeer dan Nour Qalish sudah boleh keluar. Zainab pula masih perlukan penjagaan rapi dan membuat terapi untuk menguatkan kakinya.
Zainab memandang Qadeer. Anak itu saling tak tumpah seperti Daus. Dia lebih banyak mewarisi wajah Daus berbanding Qalish.
Ya Allah… Engkau kuatkanlah hatiku…lapangkanlah dadaku dan tabahkanlah diriku untuk membimbing dan menjaga benih cinta kami ini…
Kalaulah ketika ini Daus ada bersama, merekalah orang yang paling gembira. Tetapi apabila Doktor Naemah membuka rahsia kematian Daus, Zainab tidak tahu berapa banyak airmatanya tumpah. Dia ingin menjerit sekuat hati tetapi suaranya bagai terkunci. Dia hanya mampu mengongoi di pudak doktor muda itu. Dua kali Daus hadir semasa dia koma…rupa-rupa itu adalah suatu tanda Daus telah pergi meninggalkannya.
Dan bagaikan telah tahu takdirnya, Daus telah memberikan tanda-tanda awal dia akan pergi dulu. Zainab masih ingat apa yang dikatakan Daus sebelum peristiwa itu meragut nyawanya. Subhanallah… Maha Suci Allah yang mencipta dan menghentikan…
Siapalah yang tidak sedih…tetapi siapa pula yang mampu melawan takdir. Sesungguhnya sebagai insan biasa yang penuh kelemahan, Zainab masih lagi bersedih walaupun sedaya upaya dia menyorok dari pandangan keluarganya. Zainab terkilah kerana tidak dapat menatap wajah terakhir Daus. Dia ralat kerana tidak sempat mengucup tangan dan dahi Daus di saat perpisahan abadi mereka.
Pun begitu dia berterima kasih kerana Allah masih sayang padanya dan tidak mengambil semua darinya. Dengan kehadiran Ahmad Qadeer dan Nour Qalish di depan mata, Zainab pasti semangat Daus juga ada bersama-sama. Sekudus ciuman dihadiahkan buat anak-anaknya.
‘Sayang akan jaga amanah abang….’ Azamnya.
 *****
Azura memandang Kamal yang sedang menyedut minuman.
‘Kesian Kak Nab kan…’
‘Qada’ dan qadar Allah begitulah, kena terima.’
‘Kalaulah I di tempat dia, I tak tahu bagaimana hendak menghadapinya.’
‘Itu urusan Allah Zura, janganlah you fikir bukan-bukan.’
‘I tahu Mal. Cuma I tak pasti kalaulah benda tu terjadi dekat I, mampu atau tak I nak hadapinya. Kita kena bantu Kak Nab, dia tentu perlukan sokongan.’
‘I rasa Kak Nab tu tabah orangnya.’
‘Mestilah. Eh jadi tau keluarga I datang rumah you hujung minggu ni.’
‘I dah bagitahu mama, dia ok je.’
‘I rasa inilah masa yang paling sesuai untuk mengukuhkan hubungan kita ni. I dah tak sanggup nak tunggu lagi.’
Azura tersenyum lebar.
 *****
Jauhari datang memberikan dokumen yang di minta Cek Mat. Dia tergerak hati hendak bertanya tentang keadaan Zainab.
‘Bos ada tengok Zainab?’
‘Kenapa?’
‘Saya ingat petang ni nak ajak isteri ke hospital. Sambil melawat saudara saya kemalangan.’
‘Siapa? Teruk ke? Saya risau betul kalau orang kemalangan ni. Macam dah fobia aje.’
‘Patah kaki jugak bos. Tapi Zainab tu saya percaya dia seorang yang tabah.’
‘Harapnya begitu lah Jauhari. Semalam saya pergi dia kata tak lama lagi dah boleh keluar. Cuma dia kena selalu buat rawatan susulan lah.’
‘Saya simpati betul apa yang dialami Zainab tu bos.’
‘Saya dah merasainya Jauhari. Saya tahu apa yang Zainab tanggung sekarang. Kita sebagai teman-teman rapat dia perlu memberi sokongan. Jangan asyik nak mengata aje.’
‘Aiiii bos…menyindir saya ke? Saya dah insaf bos…dah tobat!’
*****
Zainab bersalaman dengan Dr Naemah dan beberapa jururawat yang ada. Hari ini dia sudah boleh pulang ke rumah setelah berkampung di HUKM hampir dua bulan. Emak dan ayah ada bersamanya. Abang Zamani akan datang membawanya pulang. Kak Aisyah dan keluarga mertuanya menunggu di rumah bersama anak-anak. Dia sesungguhnya tidak mahu berada di situ lebih lama. Dia terlalu rindukan Qadeer dan Qalish. Dia tidak sabar untuk bertemu mereka. Dia mahu memegang, membelai dan menyusukan buah cintanya. Sepanjang dia di wad, emak ada beberapa kali membawa anak-anaknya ke hospital.
Zainab juga ingin menyedut udara luar. Dia mahu melihat mentari. Dia mahu melihat bulan dan bintang. Dia ingin merasa dinginnya bayu malam. Siapa yang ingin berlama-lama di dalam wad. Terasa seperti di dalam penjara. Dan yang paling penting dia mahu melihat di mana pusara suaminya. Dia ingin mengalunkan bacaan Yaasin hadiah untuk arwah suaminya.
Dan ketika Dr Naemah mengingatkan tentang rawatan susulan yang perlu dijalani, Zainab hanya tersenyum… Sekarang walaupun tanpa rawatan susulan, Zainab harus menjaga kesihatan demi putera dan puteri yang menantinya di rumah….
 *****
Mak Jah ligat di dapur. Besannya Puan Kamsiah pun sama membantu. Pada hari ini mereka mengadakan kenduri doa selamat bersempena dengan kepulangan Zainab ke rumah minggu lepas. Alhamdulillah…segala-galanya berjalan lancar. Qadeer dan Qalish menerima Zainab tanpa paksaan walaupun mereka berdua berjauhan sejak lahir dari ibunya. Alhamdulillah juga susuan Zainab diterima. Pada hari pertama kepulangan Zainab, Mak Jah menitiskan airmata kesayuan mengenangkan nasib Zainab dan dua cucunya. Tetapi dia pasti yang Zainab mampu mengharungi semua ini…
‘Rehat-rehat la mak…’ Zainab memeluk emaknya. Dia lihat dari tadi emaknya tidak duduk diam.
Mak Jah hanya tersenyum.
‘Qadeer dan Qalish tidur?’
‘Ha ah mak…’
‘Cuba kau ajak mertua kau tu Nab, mak nak minum la…boleh minum sama.’
Zainab bangun dan menuju ke arah Puan Kamsiah
‘Mama…jom rehat dulu, mak ajak minum.’
‘Laaaaa…mama pun belum sarapan lagi ni. Haaaa jomlah..’
Zainab menyendukkan nasi lemak dan menuangkan air kopi. Dia duduk bersama bersarapan.
‘Assalamualaikum makcik..’ Baru sesuap dua dia menyuap, kedengaran suara kanak-kanak memberi salam dan bergerak ke arahnya. Dia dapat mengagak.
‘Waalaikumussalam Qasseh.’ Seperti biasa, Qasseh menyalami dan mencium kedua-dua pipinya. Qayyum dan Qaishh di belakang turut sama berbuat demikian. Malah emak dan mama turut sama disalam dan diciumnya.
‘Duduk Mat, Kak Mah, kita sarapan bersama.’ Puan Kamsiah mempelawa dan menarik kerusi untuk Cek Mat dan ibunya yang baru sampai.
‘Ha ah Cek Mat…duduklah.’ Zainab turut mengajak bosnya.
‘Mmmmm takpe la makcik, Nab, saya dah sarapan di rumah tadi. Saya keluar dulu ya…’ Cek Mat menolak sopan. Dia sempat mengingatkan anak-anaknya supaya menjaga diri dan kelakuan.
Mak Jah hanya mengangguk. Dia tahu Cek Mat segan. Al maklumlah semuanya perempuan.
‘Kami sebenarnya dah sarapan dirumah tadi Jah, Kamsiah.’ Makcik Salmah berkata.
‘Baby makcik mana?’ Qasseh bertanya.
‘Baby makcik tidur.. Qasseh dah makan? Nak nasi lemak tak?’
‘Nak….’
‘Qasseh panggil abang Qayyum dan abang Qaishh ye…kita makan sama-sama.’
Zainab cukup tersentuh dengan perlakuan Qasseh yang teramat manja dengannya. Dia tahu, Qasseh tidak sempat bermanja dengan mamanya. Dan dia tidak malu mengakui dia sudah menganggap 3 beradik itu seperti anaknya sendiri.
Seusai solat hajat malam itu, Zainab dan Mak Jah masing-masing mendukung Qadeer dan Qalish yang baru terjaga. Setelah disusukan, mereka terdiam dan mula bermain-main sambil bergerak2 untuk belajar meniarap. Qasseh apatah lagi. Dia sejak tadi menanti untuk bermain dengan baby… Seronok melihat dia mengagah dan melayan Qadeer dan Qalish bercakap, walaupun tanpa mereka fahami.
‘Kak Mah tidur la di sini malam ni ya…’ Puan Kamsiah mengajak Makcik Salmah sementelah dia melihat Qayyum sudah tertidur dan Qaishh sudah mula meminta susu. Hanya Qasseh yang masih cerah mata.
‘Allah…menyusahkan kamu je Jah… Kamsiah.’ Makcik Salmah menolak.
‘Apa nak disusahkan Kak Mah. Kami berbesar hati menerima Kak Mah di sini. Cek Mat tidur di sini ya malam ni..’ Mak Jah segera  memberitahu Cek Mat yang leka bersembang dengan suaminya..
‘Eh…takpe lah makcik. Susah-susah je..’
‘Jangan la begitu Cek Mat, kesian budak-budak ni.’
‘Macam mana mak?’
‘Kamu balik ke rumah, biar mak dengan budak-budak aje tidur di sini ya Mat..’
‘Takpe ke mak?’
‘Boleh?’
‘Takpe ke makcik? Nab?’
‘Jangan la Cek Mat risau, saya akan jaga budak-budak ni. insyaAllah mereka ok..’

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]