PAGES

Sunday, March 31, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #12



 Zainab memandang sekeliling. Penuh dengan kenangannya bersama arwah Daus. Walaupun sudah berapa ketika, tetapi dia masih tidak mampu melenyapkan segala bayangan indah bersama suaminya. Masuk ke dapur terbayang Daus sedang mengacaunya memasak. Berada di ruang tamu terbayang Daus yang suka berbaring di ribanya ketika menonton televisyen. Berada di laman teringat pula bicara harapan yang sering diperkatakan mereka. Apa yang ingin di buat 5 atau 10 tahun nanti… Semua itu sudah tiada kini. Tinggallah dia dalam lautan kenangan yang diharapkan akan sentiasa menghembuskan angin bahagia.
Sesungguhnya demi Allah dia teramat merindui arwah Daus. Pemergian Daus ketika umur perkahwinan mereka belum pun menjangkau setahun, terasa begitu menyiksakan. Daus tidak sempat mengazan dan mengqamatkan anak-anak, dan anak-anak pula menjadi yatim sesudah tangisan pertama di dunia. Daus tidak sempat bersamanya mencurah kasih buat mereka. Dan seperti apa yang dibicarakan mereka sebelum kemalangan itu, nyata Daus memang tidak sempat bersamanya menyambut kehadiran insan istimewa.
Di dalam bilik, masih juga dibelenggu dengan bayangan wajah Daus. Suami yang suka mengusik, yang meneman tidur malamnya, yang sentiasa berkongsi suka dukanya… Allahuakbar! Di dalam sini ternyata lebih hebat dugaannya. Di satu sudut terbayang Daus mengimamkan sembahyang mereka bersama. Setiap kali selepas bersembahyang, Daus sentiasa memberikan kata-kata nasihat buatnya.Bagaimana menjadi isteri solehah, bagaimana menjadi ibu yang sempurna…malah segala-galanya. Kadang-kadang dengan tutur kata Daus bisa membuat Zainab mengalirkan air mata. Ahhhh kenangan. Mengapa engkau hadir di saat aku mesti berdiri setenguh cengal di hutan?
Zainab mencapai baju melayu putih kepunyaan Daus. Baju itu masih ada bau Daus, bau suami  yang akan dirindui selamanya. Seingat Zainab, Daus memang suka memakai baju melayu itu di akhir-akhir hayatnya. Bukan tidak ada baju yang lain, tetapi baju yang putih, suci bersih itu jugalah yang dipakainya. Rupa-rupanya itulah satu tinggalan untuk Zainab ketika rindunya. Ternyata Daus bagaikan sudah tahu kepulangannya kepada Sang Pencipta! Zainab memeluk baju melayu itu, terada Daus ada di sampingnya!
Zainab mengurut dada. Dia menarik nafas sedalamnya. Sekarang, dengan kerinduan yang hangat membara, dia tidak boleh terus hanyut, anak-anak memerlukannya. Dia perlu kuat. Dia perlu gagah mengharungi hidup masa hadapan yang belum tentu bagaimana cabarannya.
Semoga Allah ada bersamanya di saat susah dan senang! Allahuakbar…
 *****
Hari ini setelah bercuti lebih kurang tiga bulan, Zainab akan masuk ke pejabat semula.  Alhamdulillah dia dapat menyesuaikan diri. Azura dan Kamal tersenyum menyambutnya. Jauhari pula ada urusan di luar.
Zainab memerhati pejabatnya. Bersih. Ada kuntuman bunga segar di mejanya. Pandai betul budak Zura ni. Segala dokumennya tersusun kemas dan keadaannya masih sama seperti dulu.  Sedang dia meneliti satu fail, telefonnya berbunyi…
‘Assalamualaikum Nab. Macam mana?’
Cek Mat rupanya.
‘Waalaikumussalam Cek Mat. Alhamdulillah…semuanya ok.’
‘Awak selesa ke Nab? Ada perlukan apa-apa?’
‘Tak ada apa-apa Cek Mat…saya ok saja. Lagipun bilik ni saya yang punya kan… He he he.’
Zainab tahu Cek Mat cuba memberi sokongan kepadanya. Tetapi demi Allah dia sudah ok dan boleh bekerja seperti biasa semula.
‘Saya buka apa Nab, kalau awak belum sedia lagi nak memulakan tugas, saya boleh approvekan cuti.’
‘Eh…jangan Cek Mat, jangan. Cukuplah saya bercuti. Kang naik lemak pulak saya.’
‘Kalau macam tu saya ucapkan selamat kembali bekerja la ye Nab….’
Ish ish ish Cek Mat ni…terlalu baik pada staf-stafnya. Zainab sebenarnya segan mendapat perhatian sebegitu. Dia risau nanti ada yang berkata apa-apa… Yelah, mulut orang ni bukannya boleh ditutup. Yang elok pun boleh dikatakan bermacam-macam.
Memandang foto anak-anak dan arwah suami, dia rindu, terlalu rindu tetapi dia tidak mahu terus dibelenggu kenangan. Dia mahu menjadikan segala yang telah berlaku sebagai pemangkin untuk dia terus maju. Dia pun yakin bahawa Daus pun tak ingin melihat dia berterusan menderita. Dengan kasih sayang dan cinta yang ditinggalkan Daus, dia ingin membina semula hidupnya. InsyaAllah…. Frame gambar perkahwinan mereka dipandang penuh makna.
 *****
Zainab sungguh teruja melihat Qadeer dan Qalish sudah mula merangkak. Subhanallah… Petang semalam pembantu rumahnya memberitahu. Nampaknya selepas ini anak-anaknya akan bergerak lebih jauh lagi. Dia sentiasa berpesan agar Kak Ija sentiasa memerhatikan keselamatan anak-anaknya. Emaknya pada mula membantah hasratnya ingin mengambil pembantu. Maklumlah, nenek mana yang tidak sayangkan cucunya.. tetapi Zainab tidak mahu menyusahkan, dia mahu berdikari menjaga anak-anaknya. Dia tidak mahu menghantar ke pusat jagaan. Kesudian Kak Ija membantunya amat dihargai. Kak Ija sebenarnya seorang janda yang kematian suami. Tak sempat memiliki cahaya mata. Dia berkahwin agak lewat, sudah hampir 46 tahun usianya. Jadi apabila dipelawa, terus saja dia bersetuju. Dan Kak Ija pun sebenarnya dikenalkan oleh Cek Mat, sekampung dengan emaknya juga. Dan kini Kak Ija bagai pengganti emaknya… Sekurang-kurangnya Zainab ada tempat untuk bercerita.
Menguruskan sepasang anak agak sukar juga sebenarnya jika tidak mempunyai pembantu. Zainab pasti dia tidak mampu menguruskan Qadeer dan Qalish dengan sempurna. Kalau dulu dia sudah berjanji dengan arwah Daus untuk sama-sama menjaga dan membimbing anak-anak mereka, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Zainab telah redha dengan apa yang berlaku. Dengan amanah yang ditinggalkan Daus untuknya dia akan terus kuat, sabar dan tabah mengharungi segalanya. Zainab mengagah anak-anaknya. Terpamer senyuman suami yang sangat dirindui…
Senyuman Qalish sangat mirip dengan senyuman Daus. Qadeer pula mewarisi mata dan hidungnya. Rupa-rupanya walaupun Allah telah mengambil Daus, tetapi dalam tak sedar Dia meninggalkan Daus di dalam anak-anaknya! Subhanallah!
 *****
Zainab dan anak-anaknya kembali ke Perkuburan Taman Jingga untuk kesekian kalinya. Dengan ditemani Kak Ija, dia hadir sekali lagi melepaskan rindunya pada yang telah pergi. Dia mahu mendekatkan Qadeer dan Qalish dengan pusara arwah ayah mereka supaya nanti mereka sedar yang mereka punya ayah yang terlalu menyayangi mereka walaupun dia telah tiada.
Dia satu sudut, Zainab perasan ada pengkebumian yang sedang berlaku. Dia segera membacakan Al-Fatihah. Kubur arwah Daus dibersihkan, segala rumput-rumput yang ada dicabut. Walaupun telah hampir dua tahun, Qadeer dan Qalish pun sudah boleh berjalan, persemadian abadi suaminya masih terjaga rapi. Ada hikmahnya juga arwah Daus dikebumikan di Taman Jingga, sekurang-kurangnya Zainab boleh mengunjunginya sentiasa. Dan apabila dia menjiruskan air dingin ke pusara Daus, dia akan kembali lagi… Itu doanya.
 *****
Selesai sahaja dia di situ, segera Qalish dikendong dan Kak Ija mendukung Qadeer.
‘Siapa yang meninggal agaknya Kak Ija? Ramai betul yang mengiring jenazahnya.’ Zainab bertanya kepada Kak Ija tanpa memandang.
‘Orang kenamaan kot Nab, akak tengok maca orang kaya-kaya aja.’ Kak Ija menjawab.
‘Pandai la Kak Ija ni, entah-entah tu orang kuat agama ke, mana kita tahu.’ Zainab membalas sambil tersenyum. Qalish dalam dukungan yang kegelisahan ditepuknya perlahan.
 Anak daranya itu mahu berjalan sendiri, tak mahu di dukung. Masakan boleh, di kawasan yang penuh batu bata dan tidak rata, mudah saja anaknya itu tercedera. Berbanding Qadeer, Qalish ternyata lebih bersifat keras, apa saja mahunya tidak ditunaikan, sekejap aje anak mungil itu berteriak. Jadi, teriakannya akhirnya pecah juga di kawasan perkuburan tersebut. Zainab berjalan cepat-cepat. Dia mahu segera sampai di kereta. Qalish sudah menggelepar di atas dukungannya.
‘Kenapa ni Nab?’ Kedengaran satu suara di belakangnya. Kak Ija yang sudah hampir membuka pintu kereta mendongakkan kepala. Qadeer di dukungannya telah terlena. Sebelah tangannya memegang payung.
‘Eh, Cek Mat buat apa di sini?’ Zainab dalam keterkejutan sempat lagi memberikan senyuman kepada bosnya yang entah dari mana datang. Tiba-tiba dia merasa segan memikirkan Cek Mat melihat perangai Qalish tadi.
‘Boleh saya pegang Qalish Nab?’ Cek Mat tiba-tiba menghulurkan tangan untuk mengambil Qalish dari dukungan Zainab. Dia memberikan isyarat supaya Kak Ija masuk ke dalam kereta dulu.
‘Saya menziarah arwah ayah kawan saya tu Nab, meninggal malam tadi.’ Cek Mat bagaikan tahu apa yang bersarang di kepalanya.
‘Mmmmm Qalish nak jalan ya…meh jalan dengan uncle meh.’ Qalish diturunkan, tangan kecilnya digenggam dan terkedek-kedek akhirnya Qalish melangkah. Suka la tu…
Zainab sebenarnya tersangatlah segan dengan apa yang dilakukan oleh Cek Mat. Di hatinya cukup tersentuh dengan segala layanan baik yang Cek Mat berikan terhadap anak-anaknya. Bukan sahaja Qalish, tetapi Qadeer juga menumpang kasih seorang ayah daripadanya.
‘Cek Mat tu baik kan Nab.’ Tiba-tiba Kak Ija berkata dari dalam kereta. Dia tersenyum kepada Zainab.
Zainab memandang Qalish yang seronok tertawa. Dia sejujurnya mengharapkan arwah Daus ada bersamanya sekarang…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]