PAGES

Sunday, May 12, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #14



Cek Mat termenung di meja makan. Sarapan pagi yang disediakan emaknya tidak dijamah. Hari ini dia bercuti kecemasan. Ketiga-tiga anaknya demam. Ini yang susahnya, jika seorang demam, pasti yang lain pun akan turut demam. Aduhhhh, pening juga bila Cek Mat fikirkan. Dia tidak sanggup meninggalkan anak-anak kepada emaknya yang juga sudah tua. Lagipun kalau demam boleh tahan jugak perangai mereka tu.
Fikirannya tiba-tiba teringatkan Zainab. Agaknya bagaimana kalau Qalish dan Qadeer demam? Adakah sama seperti anak-anaknya? Bagaimana pula Zainab menanganinya? Cek Mat tersenyum memikirkan Zainab. Wanita yang dikenali sudah hampir 15 tahun, daripada mula-mula bekerja di Mesra Iklan sehinggalah kini sudah beranak dua. Sehingga sekarang dia masih menyimpan perasaan terhadap Zainab, cuma wanita itu saja yang tidak tahu. Dia ingin sekali membahagiakan Zainab dan anak-anak. Dia ingin menumpahkan kasih ayah kepada anak-anak Zainab. Dia mahu anak-anaknya merasa kasih sayang seorang ibu dari Zainab. Tetapi dia buntu, adalah hasratnya itu bakal menjadi nyata?
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Zainab di skrin.
‘Assalamualaikum Cek Mat.’
‘Waalaikumussalam. Kenapa Nab?’
‘Cek Mat tak masuk pejabat ke hari ni?’
‘Saya off Nab, anak-anak demam.’
‘Ooooo. Kalau macam tu boleh saya ke rumah Cek Mat? Ada akaun yang perlu Cek Mat sign. Urgent.’
‘Tak apalah Nab, nanti sekejap lagi saya datang ke pejabat.’
‘Eh, takpelah Cek Mat, sambil-sambil saya ke rumah Cek Mat tu, boleh saya tengok anak-anak.’
‘Tak menyusahkan Nab ke?’
‘Dengan kebenaran bos, saya ke sana sekarang.’
Cek Mat hanya tersenyum. Baru saja dia berfikir tentang wanita itu, tiba-tiba pula dia menelefon. Macam tau-tau aje. Mmmm tidak semena-mena, nasi goreng yang dimasak oleh ibunya terasa sedap pula. Pantas dia mencedoknya ke pinggan.
‘Assalamualaikum.’ Zainab yang baru tiba segera memberi salam sebaik berdepan pintu masuk ke rumah Cek Mat.
‘Waalaikumussalam. Hah Nab, masuklah.’ Mak Mah menjemputnya masuk. Di tangannya ada senduk, sedang memasak barangkali.
‘Jemputlah duduk Nab, Mak Mah tengah masak ni.’ Mak Mah kalut ke dapur. Zainab menbuntutinya sama. Zainab tidak kekok di rumah itu. Kecuali bilik Cek Mat, dia tidak segan meneroka ke bilik yang ada.
‘Cek Mat mana Mak Mah?’ Zainab bertanya. Dia menjenguk Mak Mah yang sedang menggulai ikan sepat masin dan nenas, semerbak baunya. Dokumen yang perlu ditandatangan diletakkan di meja makan. Dia pantas menolong mana yang patut.
‘Entah, katanya tadi hendak mandi. Eh tak payahla susah-susah Nab, kang kotor pulak bajunya. Nab duduklah, makcik boleh buat.’
‘Takpelah Mak Mah, dah lama saya tak memasak. Gulai Mak Mah ni memang menggoda sungguh. Saya nak buat sambal belacan la Mak Mah, boleh?’
Mak Mah hanya tersenyum. Dia tidak mampu menolak keinginan Zainab. Wanita itu memang ringan tulang. Sesekali ke rumahnya, selalu di dapur inilah tempatnya.
‘Hai mak, ada pembantu nampaknya hari ni.’ Cek Mat yang segak berbaju melayu berkain pelekat menyapa dari belakang. Zainab yang terkejut disergah begitu, berpaling. Sedikit tergamam dengan penampilan bosnya yang ternyata berbeza.
Sambal belacan yang siap ditumbuk dibawa ke meja. Dia membelek fail yang dibawa.
‘Sign kat sini Cek Mat.’ Zainab menghulurkan dokumen kepada Cek Mat. Dia takut kalau berlama-lama di situ, hal yang hendak diselesaikan lupa pulak.
‘Nanti makan tengah hari di sini ya Nab?’ Cek Mat mengajak seusai menandatangan. Dia tahu, Zainab bukan orang lain dengan keluargaya.
‘Sebab tu la saya tumbuk sambal belacan ni Cek Mat. Takpe ya Mak Mah, saya makan kat sini?’ Zainab berkata dengan nada berseloroh.
‘Boleh sangat la Nab, berselera sikit kalau makan ramai-ramai ni.’
‘Bos…saya masuk tengok budak-budak sekejap ya.’
Cek Mat hanya mengangguk.
‘Mat, kalau kau tunggu lama lagi, rugi!’ Mak Mah berbisik pada Cek Mat sebaik Zainab berlalu ke bilik cucu-cucunya.
‘Ish mak ni, rugi apa pulak?’ Cek Mat berpura-pura tak faham.
‘Kalau kau segan, biar mak cakapkan.’
‘Jangan malukan Mat mak.’
‘Kalau macam tu, bertindaklah sekarang.’ Amboi mak, macam polis pencen aje. Sudah beberapa kali emaknya menggesa agar ditanya pada Zainab. Bukan dia tidak mahu, malah sejak kebelakangan ini dia menahan rasa setiap kali berdepan dengan Zainab. InsyaAllah di saat yang sesuai nanti dia akan meluahkan perasaannya.

Zainab melihat Qasseh yang agak terganggu tidurnya. Dia menepuk perlahan belakang anak gadis itu yang sedang batuk.
‘Mama…mama!’ Tiba-tiba Qasseh bersuara. Mengigau agaknya. Tangannya di awang-awangan, bagai ingin menggapai sesuatu. Zainab pantas mengejutkannya.
‘Mama, jangan tinggalkan Qasseh lagi!’ Qasseh tiba-tiba memeluknya erat. Mama?
‘Syhhh……’ Zainab menenangkan Qasseh yang sedang menangis. Dia sebak. Mungkin Qasseh terlalu merindukan belaian seorang ibu sehingga tersasul memanggilnya mama. Dia teringatkan anak-anak dirumah.

Cek Mat yang sedang berselindung di balik daun pintu hanya menyeka air mata yang berlinang di pipinya. Dia kebetulan ingin mengajak Zainab makan. Dia terdengar kata-kata Qasseh yang memanggil Zainab dengan panggilan keramat MAMA. Berbanding abang-abang, Qasseh yang paling manja, saban masa bertanya di mana mamanya. Sejak dilahirkan sehingga sekarang, anak-anak tidak berpeluang memanggil mama terhadap ibu kandung yang terlebih dahulu dijemput mengadap Ilahi. Dan kini apabila Qasseh menyebut mama kepada Zainab, Cek Mat tahu sudah tiba masanya dia menyunting Zainab sebagai permaisuri hidupnya, sebagai mama kepada anak-anaknya. Pasti!
 *****
‘Apa? Mak Mah masuk hospital?’ Mak Jah agak terkejut dengan berita yang baru dikhabarkan Zainab melalui telefon.
‘Ha ah mak. Che Mat yang bagitahu Nab tadi. Tengoklah petang nanti Nab pergi melawat kat hospital.’ Oleh kerana perhubungan akrab keluarganya dan keluarga Che Mat, Zainab bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu.
‘Apa sakitnya Nab?’
‘Entah la mak, katanya jatuh dalam bilik air, tak sedarkan diri.’
‘Kalau macam tu Nab kena pergi melawat Mak Mah tu, mak ni tak tahu dapat ke KL atau tidak, ayah tu sibuk memanjang kebelakangan ni.’
‘Kenapa pula mak?’
‘Tauke lembu la katakan. Mak nak ke mana-mana pun susah. Hish!’
‘Takpelah mak, nanti Nab sampaikan salam mak pada Che Mat dan Mak Mah. Apa-apa nanti Nab maklumkan pada mak ya.’
‘Haa ye lah. Cucu-cucu mak macam mana?’
‘Macam mana macam mana mak. Pening kepala Nab ni, tak terkejar rasanya. Sorang ke kanan sorang ke kiri. Boleh kurus dibuatnya.’
‘Budak-budak begitulah Nab, masa kau kecil dulu pun macam itulah mak jaga.’
‘He he he, tapi kan mak…’
‘Tapi apa Nab?’
‘Mereka tu betul-betul jelmaan Abang Daus… Si Qalish tu kalau senyum sebiji macam abinya.’ Tersenyum-senyum Zainab berbicara.
‘Mmmm sabar la Nab. Banyak-banyakkan Al-Fatihah padanya.’
‘InsyaAllah mak. Nab takkan lupa tu.’
Seboleh-bolehnya Zainab ingin memeluk ibunya, melampiaskan kerinduan yang tak pernah hilang terhadap arwah suaminya tetapi apakan daya dia hanya mampu menjeruk rasa. Dia tersenyum dalam kepahitan. Semoga Allah sampaikan salam rindunya buat Daus di sana…

Seperti yang dibicarakan dengan emaknya, pada petang itu Zainab pergi ke hospital. Anak-anak ditinggalkan di rumah bersama Kak Ija. Memandangkan dia ke hospital, risau pula jika anak-anak membuat perangai.
‘Assalamualaikum Che Mat…’ Zainab memberi salam di saat pintu terkuak. Di dalam bilik itu hanya ada Che Mat dan ibunya.
‘Eh Nab, waalaikumussalam. Masuk Nab…’ Che Mat tersenyum menyambutnya.
‘Anak-anak mana Che Mat?’ Zainab bertanya, tidak kelihatan askar-askar Che Mat di situ.
‘Anak-anak ada tadi, entah ke mana perginya.’
‘Nanti malam macam mana? Mereka tidur di sini juga?’
‘Terpaksalah Nab. Di rumah tiada sesiapa. Emak pun perlukan saya di sini.’
Walaupun bilik itu kelas VIP tapi Zainab tahu budak-budak tak akan suka berada di sana.
‘Kalau Che Mat tak kisah, boleh tinggalkan di rumah saya. Boleh temankan Qalish dengan Qadeer.’
‘Tak mengapa Nab, menyusahkan awak aje.’
‘Takde susah apanya Che Mat. Kesian budak-budak kalau tidur di sini. Lagipun hujung minggu, boleh bersantai di rumah saya. Mesti mereka suka.’
‘Segan pulak saya.’
‘Dulu masa saya susah, Che Mat banyak menolong… tak termampu saya membalasnya.’
‘Naabb… dah lama sampai?’ Mak Mah tersedar dari tidurnya menyapa Zainab yang sedang berdiri di sisi katil. Lemah suaranya. Barangkali masih ada kesan ubat.
‘Nab mengganggu Mak Mah ya?’ Zainab menyalami Mak Mah. Sekudus senyuman dipamerkan.
Che Mat membetulkan duduk emaknya sebelum meminta diri untuk mencari di mana buah hatinya berada.
‘Macam mana Mak Mah rasa sekarang?’
‘Alhamdulilllah Nab. Dah tua-tua begini badan pun dah tak kuat.’
‘Mak Mah tu kena banyak berehat. Jangan buat kerja berat-berat.’
‘Mak Mah ada sesuatu nak bincang dengan Nab ni…’
‘Apa dia Mak Mah?’
‘Mak Mah mahu pinangkan Nab untuk Che Mat…’
Gulp…terasa tersekat air liur di kerongkong.
‘Errrr…’
‘Mak Mah tahu apa yang Mak Mah katakan ini melampau, tapi Mak Mah nak Nab tahu yang Che Mat tu sebenarnya sukakan Nab, dah lama sebenarnya, sebelum Nab berkahwin lagi.’
Ish, betul ke ni? Maksudnya sebelum aku berkahwin dengan Daus lagi la…
‘Che Mat tu kan bos Nab Mak Mah.’
‘Dia anak Mak Mah Nab, Mak Mah kenal dia.’
Zainab kehilangan kata. Che Mat sukakan aku? Mustahil… Tetapi ini bicara seorang ibu yang sudah hampir 50 tahun menjaga anaknya yang satu itu.
‘Che Mat sangat memerlukan kamu Nab. Sama seperti anak-anak Nab, anak-anaknya juga kehilangan saat lahir ke dunia. Sebenarnya kamu saling melengkapi. Anak-anaknya memerlukan kamu sebagai ibu dan dia sebagai ayah. Mak Mah tak bermaksud nak menggantikan arwah suami kamu dengan Che Mat, tapi fikirlah demi anak-anak Nab. Hidup mereka masih panjang. Mereka perlukan kasih ibu dan ayah yang sempurna.’
‘Saya tak layak Mak Mah…’
‘Kamulah yang terbaik untuk menjadi ibu anak-anak Che Mat Nab. Mak Mah percaya          kamulah orang yang paling tepat untuk mencurah kasih buat mereka.’
Memang Zainab tidak pernah membezakan antara anak-anaknya dan juga anak-anak Che Mat. Mereka mempunyai nasib yang sama, dengan keadaan yang berbeza. Kelima-lima mereka memerlukan ibu dan ayah seperti yang dibicara oleh Mak Mah tetapi Zainab tidak pasti adakah dia mampu atau dia mahu atau dia sanggup menanggungnya sedangkan kasih, cinta dan rindunya sentiasa hangat membara untuk suaminya yang telah tiada…

1 comment:

  1. Kata seorang rakan lama saya... penulis ni jurubina bangsa...

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]