PAGES

Sunday, October 20, 2013

C@AC 1 : Cream Puff


Aloyah memandang skrin komputer di hadapannya. Sejak 2 jam lepas matanya tidak memandang ke arah lain. Tuntutan tugas memaksanya menyiapkan laporan pejabat pada bulan lepas. Memang memenatkan. Berpinar biji mata dibuatnya. Jam sudah pun menunjuk ke angka 6. Patutlah di ruang pejabatnya terasa sunyi benar. Kebanyakan rakan sekerja sudah balik. Nampaknya hari ini dia bekerja lebih masa lagi. Siapa yang suka? Tetapi kerana dia tidak mahu menangguhkan kerja, maka terpaksalah dia bersabar. Seusai menyemak seimbas kali lalu, Aloyah berpuas hati dengan apa yang telah dibuat. Dia segera mengemaskan apa yang patut dan bersedia untuk pulang.
Melalui meja-meja kerja yang ternyata sudah kosong, pada waktu begitu, dengan suasana yang suram memang bisa menaikkan bulu roma sesiapa sahaja. Dengan bangunan yang sudah berumur hampir separuh umurnya, Aloyah berjalan dengan rentak lebih cepat dari biasa. Sampai di keretanya, barulah dia sedar hanya keretanya sahaja yang ada di situ. Di bawah parkir sana ada 2 biji kenderaan pejabat. Amboi-amboi, Dato’ pun dah balik Aloyah oi…kau aje yang baru nak cari jalan pulang.
Mana Anney ni? Selalu ada je dia di pondok jaga berhampiran pintu gerbang. Mengeteh la tu gamaknya. Dah petang-petang gini kalau tak ke kedai mamak bersebelahan nak ke mana lagi. Tambah-tambah pula tak ada geng yang nak di ajak berbicara, tentu saja Anney kesunyian. Eh, tak pasal-pasal pulak budak Aloyah ni memikirkan masalah orang. Dengan senyuman yang diukir entah untuk siapa, Aloyah menggerakkan keretanya ke jalan biasa. Dia gadis yang ceria. Walaupun sepenat mana, dia tak akan lupa senyum untuk terapi kepada diri sendiri.

Ø  Kau kat mana? Dah balik ke belum?

SMS dari Fiza, teman serumahnya. Aloyah tersenyum dan terus menekan butang ‘call’. Menu loudspeaker dipilihnya. Tengah drive, mana boleh nak bersms. Dia sebenarnya sudah berjanji dengan Syafiza untuk membuat cream puff, mana boleh lupa. Tentu saja Fiza menagih janji.
‘Ya… ya… aku dah on the way dah ni, kau tunggu la kejap.’
‘Aku ingatkan kau nak tidur kat opis tu.’
‘Tak kuasa la pulak aku nak berumah tangga kat sana. Kau siap-siapkan la bahan-bahan dulu. Resepi dah print ke belum?’
‘Semua aku dah settlekan, tinggal kau aje yang tak ada. Kita guna ajelah resepi yang dalam buku kau tu, cuba yang tu dulu. Aku tak menyempat nak bertenet hari ni.’
‘Ape-ape la Fiza. Aku nak drive ni, jumpa kau jap lagi.’
Bertuah sungguh budak Fiza ni. Dengan perangai sedikit gila-gila dan keanak-anakan, memang selesa berkawan dengannya. Sudah 3 tahun Aloyah menyewa bersama Fiza di rumah teres di Taman Lavender. Hubungan mereka ibarat adik-beradik yang berlainan ibu dan bapa.
Setelah 25 minit di jalanan, keretanya membelok masuk ke rumah nombor 15, rumah kedua dari hujung jalan. Kereta Kancil Badariah masih belum ada. Nampaknya gadis itu belum balik. Selain dia dan Fiza, Badariah yang selesa di panggil Bada turut menyewa bersama. Bada dan Fiza berkerja di sekolah rendah berdekatan taman perumahan mereka.
‘Samekom.’
‘Komsalam. Adoyai Cik Aloyah, bos dah lama balik, kau jugak yang baru sampai.’
‘Itu biasa, kuli la katakan. Kalau dah jadi bos baru boleh balik awal.’
‘Pegi la mandi dulu, lepas Maghrib la kita buat ni ya?’
‘Kau bagi aku rehat kejap, nak mandi, Asar pun belum ni.’
‘Yelah.’
Aloyah memang suka memasak. Walau sepenat mana pun dia, sudip dan kuali tetap tak lupa. Kalau dapat tepung dan mentega lagi dia suka. Yang untungnya tentulah Fiza. Bada kadang-kadang sahaja masuk campur dalam urusan masak-memasak mereka. Nak jaga badan la katakan. Dia dan Fiza aje yang melantak apa yang ada. Buruk perangai sungguh. Jadi dengan persiapan yang dibuat oleh Fiza, dengan peralatan dan bahan-bahan untuk membuat cream puff semuanya sudah tersedia di meja makan, membuatkan Aloyah tersenyum sekali lagi. Fiza memang suka mencuba. Walaupun dia tidak la pandai sangat tapi dia tetap mengajar sambil belajar bersama Fiza. Dulu pernah juga dia mencuba buat cream puff tapi bentuknya penyek selepas sejuk. Tak lawa kejadiannya. Tu yang dia pun semangat untuk mencuba. Kalau jadi yang ni boleh dimasukkan ke dalam blog. Itu yang penting! Semestinya.



 

Jadi seperti yang dipersetujui, projek membuat cream puff bermula selepas Aloyah dan Fiza selesai sembahyang Isyak. Siapa tahu, selepas sembahyang Asar dia terlelap, nasib baik sempat sembahyang Maghrib.
‘Macam susah aje nak buat ni Loyah.’
‘Eh, belum cuba dah kata susah. Bukan ke kau yang beriya-iya nak buat ni?’
‘Hi hi hi. Tengok bahan-bahan tak la banyak. Ni sikit je tepung berapa biji leh dapat.’
‘Oi makcik, cream puff ni kalau dah masak dia kembang tau. Kita paipkan kecik-kecik aje nanti dia kembang banyak jugak boleh dapat.’
‘Mana la aku tahu…’
‘Nanti dah buat kau tahu la.’
‘Kau rasa kan inti dia ni boleh taruk benda lain tak?’
‘Kenapa? Kau nak letak apa?’
‘Selain pada krim kastard ni, kalau letak krim coklat mesti sedap kan?’
‘Sebelum kau nak buat inti lain, kita cuba dulu ikut resepi ni, kalau tak jadi tak la kau menyesal tak sudah nanti. Kang kempunan pulak kau nak merasa.’
‘Yelah… Aku ni walaupun tak mengandung, tapi dah lama sangat dah nak merasa cream puff. Kau kena buat biar jadi tau.’
‘Kalau kau mengandung entah apa la yang di idamkan nanti…kesian laki kau. Bak sini air dengan butter tu.’
‘Eh, nampak berminyak aje.’
‘Memang la, ni baru butter, belum masuk tepung lagi. Tunggu dia mendidih dulu baru kacau dengan tepung.’
‘Tak berketul ke nanti?’
‘Ni dah hancur, boleh la masuk tepung. Cuba kau kacau. Laa, kacau cepat-cepat sikit Fiza, jangan slow motion aje nanti tepung tu berketul.’
‘Susah la nak kacau ni. Panas.’
‘Dah benda duduk atas api weh, mau tak panas. Hmmmm dah ok la tu. Aku nak masukkan telur ni.’
‘Panas ni tak masak ke telurnya? Kang jadi telur rebus pulak.’
‘Tak adanya. Kau angkat la dari dapur tu, bawak ke depan ni. Kan aku dah tutup apinya.’
Dua biji telur dimasukkan ke dalam adunan tepung. Aloyah mengacaunya dengan hand whisker untuk menyebatikan adunan.
‘Kau dah sapu loyang dengan majerin?’
‘Dah. Oven pun dah aku panaskan. Eh adunan tu dah cair pulak dah.’
‘Ni dah ok la ni. Ambilkan aku piping bag dengan nozzle tu.’
‘Nozzle mana yang kau nak guna ni. Banyaknya…’
‘Kita guna yang spiral tu.’
‘Camana nak pasang ni Loyah?’
‘Meh.’
Hujung piping bag dipotong sedikit dan nozzle dimasukkan.
‘Tak koyak ke plastiknya ni?’
‘Eh, dah namanya piping bag, pandai la orang yang menciptanya. Kalau koyak tu plastik bag namanya. Ada paham?’
‘Aku tunjukkan cara nak paipkan adunan ni dulu, pastu kau siapkan semua ya?’
‘Banyak cantik… macam la aku tahu nak buat.’
*_* Aloyah memasukkan adunan ke dalam piping bag dan memicitkannya ke atas loyang dalam bentuk bulatan sebesar duit 20 sen. Dengan corak spiral dari nozzle, adunan kelihatan cantik dan statik. Nampak macam ok, harap-harap menjadi.
Dia menghulurkan piping bag kepada Fiza yang terhendap-hendap. Dengan kekok Fiza mencuba. Pertama, hancur! Kedua, ketar! Ketiga, ok-ok aje! Keempat, better. Seterusnya dia dah berjaya mengatasi debar di hatinya. Ewahhhhh…
Aloyah menyiapkan pula bahan-bahan untuk membuat inti. Semua bahan yang digunakan dicampur sekata dalam periuk dan dimasak hingga pekat dengan menggunakan api kecil.  Cuma untuk resepi ni dia memasukkan sedikit esen vanilla. Pertama kali dia buat dulu, intinya tidak menjadi. Kali ini dia lebih berhati-hati. Kalau tak jadi, malu pada Fiza nanti.
‘Loyah, cuba kau tengok tu.’
‘Kan aku dah kata, kembang semangkuk dah tu. Macam tu la cream puff sebenar.’
Fiza tersenyum sememeh. Suka la tu projeknya sukses. Dengan harum vanilla memang dia tidak sabar untuk mencuba.
Setelah 30 minit lebih kurang di dalam oven, cream puff akhirnya masak. Aloyah agak goyah juga bila memikirkan hasil pertama dulu di mana cream puffnya yang kembang mambang di dalam oven akhirnya penyek macam biskut merry bila sejuk. Dia sesungguhnya berharap agar kali ini tidak berlaku begitu.
5 minit… 15 minit… ½ jam… Alhamdulillah cream puffnya masih berbentuk. Aloyah tersenyum lebar. Dia memandang Fiza yang juga turut tersenyum.
‘Macam mana nak masukkan inti ni Loyah?’
‘Kita guna piping bag macam tadi tu laa. Tak adalah comot sangat.’
Satu per satu cream puff diisikan dengan inti. Dan untuk melepasi tahap QC sudah tentulah kena try dulu.
‘Sedapnya Loyah…’
‘Hah, dah kau rasa ni hilang la mengidam kau tu.’
‘Tq Loyah…’
‘Kena ambil gambar ni sebelum habis. Boleh aku buat entri kat blog.’
‘Amboi korang, makan tak hengat. Tengok jam sikit pukul berapa dah ni.’
Bada yang baru sampai di rumah menegur dari belakang. Diorang ni dah pukul 11 malam pun nak melantak lagi. Tapi dengan selambanya dia mengambil cream puff lalu dibawa ke mulut.
‘Mmmmmm boleh tahan jugak!’
Bada… Bada… Kata jaga badan tapi pantang ada makanan, memang tak lepas punya. Nak keluar belanja punya la kemut, bab makan takde pulak dia kisah. Aloyah dan Fiza hanya berpandangan sambil tersenyum kelat. Mereka dah lama kenal Bada, dah tak kisah dah….

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]