PAGES

Monday, February 2, 2015

Tuhan, Damaikan Resahku

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 


Surya merenung bintang-bintang yang indah berkelipan di dada langit. Cahaya kemilaunya ada di mana-mana. Bulan pula berselindung di balik awan. Malu barangkali hendak bertemankan bintang berjuta. Memandang bintang-bintang adalah kegemaran Surya sejak remaja. Dan kini walaupun umurnya sudah melewati 25 tahun, dia tidak jemu-jemu meneruskan kegemarannya itu. Damai jiwanya begitu. Walaupun bintang tidak mampu menyapa kesunyian malamnya, tetapi jiwanya bersinar melihatkan bintik-bintik cahaya yang kelihatan bagai permata yang bergantungan di satu hamparan yang luas terbentang.
Dalam keheningan matanya berbicara pada bintang-bintang di langit, terlintas satu bayangan di tubir mata. Ah… lelaki itu datang lagi. Tersenyum kepadanya. Puas di cuba menyingkirkan ingatan itu tetapi makin dicuba makin kerap bayangan itu mengganggunya. Rindukan Surya pada lelaki itu? Kalaulah ada yang mampu menelah hatinya, pasti mereka akan tahu setakat mana ingatan dan kerinduan yang telah tersimpan untuk lelaki yang baru dikenalinya 2 bulan yang lalu.




Hazlan. 

Itulah nama lelaki yang Surya ingati. Tidak tahu apakah maknanya perasaan itu. Perkenalannya dengan Hazlan berlaku tanpa dirancang. Seorang teman memperkenalkan lelaki itu. Mereka bermula dengan baik, seperti jua teman-teman Surya yang lain.
Surya mengenangkan kembali pertemuannya dengan Hazlan. Wahai bintang, bersimpatikah dikau denganku atas apa yang aku lalui kini? Dia tahu masih terlalu awal untuknya menyimpan perasaan kepada Hazlan tetapi itulah yang telah terjadi kepadanya. Siapa yang boleh menyangkal kurniaan Tuhan seandainya di dianugerahkan dengan perasaan itu? Kebetulan, kehadiran Hazlan dalam hidupnya adalah pada ketika dia memerlukan seorang teman untuk berkongsi perasaannya.
Surya baru saja hendak menyembuhkan lukanya ketika bertemu Hazlan. Apabila Hazlan melayannya baik, hatinya tersentak dengan perlakuan itu. Dia tahu langkahnya terlebih ke hadapan, tetapi dia sayang seandainya teman sebaik Hazlan tidak mampu dimilikinya.


Bagaimana? Bagaimana dia mahu memujuk hatinya agar tidak terlalu mengikutkan perasaan? Padanya, memang kehancuran cinta lalu masih terasa dan nyata menyedihkan. Tetapi dia tidak mahu berterusan mengenangkan kepedihan itu. Dia mahu hidup dalam kebahagiaan.
Surya melapaskan keluhan. Berulang-ulang agar lega dalam dadanya dari memikirkan perkara yang tiada jawapan itu. Bersendirian, memang membuatkan dia punyai banyak masa untuk merenung dan mengkaji apa yang terjadi. Tetapi tatkala bersendirian juga jiwanya sering dihimpit kesedihan.

Lan, susah benarkah engkau hendak menerima kehadiranku ini? 

Surya tahu kisah silam Hazlan. Surya juga dapat merasai kelukaan Hazlan. Dan sudah tentulah Surya tahu bagaimana perasaan Hazlan ketika dilukai dulu kerana Surya juga pernah diperlakukan begitu. Memang tak mudah untuk kita lupakan kisah lama tetapi kita kena cuba. Mungkin cakap senang tidak seperti mana yang menanggungnya tetapi itulah hakikat hukum alam yang telah ditentukan.

Lan, Surya bukan hadir untuk menambah luka di hatimu. 

Memang dia tidak punya harta atau rupa tetapi dia ada banyak kasih sayang dan cinta untuk dilimpahkan. Dia cuba menyelami perasaan hati lelaki itu. Nyata dia tidak faham…


Pinggir Esplanade tenang dan damai pada petang itu. Surya memandang laut yang tidak bergelora. Jiwanya dan laut tidak dapat dipisahkan. Baginya laut menyimpan sejuta rahsia dan khazanah yang tidak mampu di ungkaikan. Pun begitu tenangnya laut tidak mampu menghilangkan resah dan debar di dadanya tika itu.
“Awak tahu kenapa saya datang ke sini?” Surya bersuara. Matanya memandang tepat ke arah Hazlan di sebelahnya.
“Rasanya tahu.” Ringkas jawabnya. Perlahan.
Bagi Surya, masakan lelaki itu tidak dapat menelah apa yang difikirkannya saat ini. Ini adalah pertemuan ke tiga mereka. Minggu lepas Surya telah pun ke sana. Dari Kuala Lumpur sebenarnya. Dan minggu yang sebelumnya itu adalah first date mereka. Kali ini adalah pertemuan hati ke hati!
“Saya tahu apa yang awak rasa.” Hazlan mengungkapkan kembali kata-katanya.
Surya mengumpul kata. Mencari kekuatan untuk meluahkan perasaannya.
“Tapi kita masih baru Su. Banyak yang belum awak tahu tentang saya.”
“Saya tahu, dan saya mahu awak tahu bagaimana perasaan saya terhadap awak. Terus terang saya katakan bahawa saya sukakan awak!” Akhirnya kata-kata terlepas juga dari bibirnya. Gadis itu telah memulakan langkah pertamanya.
“Awak tak punya pilihan lain?” Hazlan berkata setelah beberapa detik membiarkan masa sepi antara mereka.
“Saya hanya ada satu jalan untuk sampai ke matlamat hidup saya. Kalau saya selesa dengan jalan tu, dan ianya selamat untuk saya, saya akan laluinya. Kecualilah jika berlaku kemalangan atau musibah bencana, saya terpaksalah berpatah balik dan meneroka laluan yang lain pula.” Panjang lebar kata-kata Surya. Penuh simbolik. Dia yakin Hazlan dapat mencari makna di sebalik kata-kata itu.
“Wah, dalam maknanya tu!” Hazlan membalas bersulam ketawa. Mungkin dia tidak mahu mencipta suasana tegang di antara mereka.
“Saya tak banyak pilihan Lan. Awak pula mungkin banyak jalan yang boleh di lalui, boleh dipilih.” Sayu bunyinya ungkapan itu, tetapi Surya tidak mahu menipu hatinya.
“Mungkin awak belum berjumpa pilihan lain. Saya bukanlah pilihan yang terbaik atau yang terakhir, Su.”
“Saya tahu apa yang saya rasa. Saya faham apa yang saya hendak. Saya tak kisah apa pandangan awak pada saya. Saya lega kerana tidak perlu lagi berperang dengan perasaan sendiri.”
“Saya faham perasaan awak Su tapi rasanya luka lama ni masih berbekas. Terlalu pedih untuk saya lupakan.”
“Lan, saya juga pernah rasa apa yang awak lalui. Dan bukan juga mudah untuk saya lupakannya. Tapi saya tidak mahu berterusan hidup dalam kenangan. Sebab itulah juga saya di sini. Saya mahu awak tahu bahawa hadirnya saya di sini bukannya untuk menambah luka tetapi untuk sama-sama merasainya indah dan gembiranya hidup ini.” Jujur kata-kata Surya, lahir dari hatinya yang ikhlas.
“Entahlah Su. Saya buntu.”
“Mungkin juga saya yang terlalu mendesak, Lan.”
Hazlan tersenyum. Ada kekeliruan dalam senyumannya itu. Wajahnya keruh seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Sekarang lega hati saya. Awak tak perlu buat keputusan. Saya hanya mahu awak tahu. Kalau saya berterusan melaluinya sendirian, saya bimbang saya tidak punyai kekuatan lagi. Apa-apa yang bakal terjadi kepada kita, biarlah itu menjadi urusan Tuhan Yang Esa.” Itulah kata-kata terakhir Surya. Ada nada kecewa dalam suaranya tetapi dia puas kerana telah berterus-terang. Segala-galanya telah diluahkan.
Hazlan membuang pandangannya ke laut. Mungkin dia buntu dengan tindakan nekad Surya yang terlalu berterus-terang itu. Adakah ditemui ketenangannya di situ?
Surya memandang Hazlan. Tetapi lelaki itu tidak membalas renungannya…


Surya memandang pelajar-pelajar yang sedang tekun menjawab soalan. Langkahnya di atur perlahan agar tidak mengganggu. Teringat kembali zaman remajanya ketika menduduki SPM dulu. Pastinya dia tidak punya ruang untuk menoleh kiri dan kanan bimbang tidak cukup waktu untuk menjawab soalan. Dia senyum sendiri. Kenangan zaman persekolahan tidakkan begitu mudah untuk dilupakan.
Surya meneruskan langkahnya lagi sehingga tiba di pelajar yang memakai kot biru gelap. Norazlan Abdul Rahman namanya. Ah! Memandangkan nama itu pantas matanya terbayangkan Hazlan. Sekali lagi Surya tersenyum sendiri. Nampaknya sudah teruk benar penyakit angau yang dihadapinya ini. Tiba-tiba terfikir pula di benaknya apakah yang sedang lelaki itu lakukan sekarang? Sudah 11 pagi. Tentunya dia sedang dalam tugasan.
Agaknya adakah dia mengingati Surya seperti mana ingatan gadis itu padanya? Orang kata, seandainya tiba-tiba kita teringatkan seseorang, itu bermakna dia juga sedang mengingati kita. Agaknya tentu Hazlan juga sedang mengingati Surya.


Habis menikmati makan malam, Surya beristirehat seketika di ruang tamunya sementara menunggu untuk sembahyang Isyak. Televisyen ketika itu sedang menayangkan program JAUH DI MATA. Program sempena sambutan Hari Raya itu dibuat  khas pada mereka yang terpaksa bertugas di pagi Aidilfitri. Agaknya ini rancangan ulangan. Jika tidak masakan masih ada tayangannya sedangkan Hari Raya sudah dua minggu meninggalkan seribu kenangan pada semua.
Ramai juga yang terpaksa melupakan kemeriahan 1 Syawal kerana tuntutan tugas terutamanya anggota keselamatan yang terpaksa manjaga keselamatan negara. Nasib baik Hazlan dapat menyambut 1 Syawal di kampung bersama keluarganya. Malah sempat juga berkunjung ke rumah Surya. Memang Surya sangat suka dan gembira. Tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaannya. Tapi dia tidak tahu pula  bagaimana perasaan Hazlan ketika itu.
Mungkin Hazlan hanya biasa, tambahan pula ketika itu ayah bondanya tiada di rumah menghadiri satu majlis perkahwinan. Memang mulanya Surya ingin mengenalkan Hazlan kepada ibu bapanya, bahawa itulah orang yang istimewa dalam hidupnya tetapi apa hendak buat…
Ibu dan ayah tiada di rumah untuk menyaksikan detik itu…


Seandainya dapat diputarkan masa, alangkah indahnya hidup ini.
Getus hati Surya. Mengapa pula berfikir begitu? Iyalah… seandainya dia dapat kembali ke dua tahun lalu, pastinya semua kisah duka dan luka hidupnya tidak akan terjadi. Dia akan sedaya upaya menolak dan menghalang dirinya dari terjebak dengan cinta.
Tetapi bisakan dia melanggar fitrah Tuhan yang menciptakan satu ruang dalam hati setiap insan untuk merasa sayang disayangi? Kasih di kasihi? Cinta di cintai? Aduh… sukarnya terasa mengatur perjalanan hidup ini. Sesetengahnya berlaku tanpa diduga. Sesetengah yang dirancang pula tidak menjadi. Salah siapa? Di manakah silapnya percaturan hidup ini?
Sebenarnya dalam hidup Surya, dia dikelilingi oleh ramai lelaki. Adik-beradiknya hanya dia dan kakaknya perempuan. Lima yang lain semuanya hero. Jadi tidak hairanlah jika dia lebih senang bergaul dengan kaun berlawanan jenis dengannya itu. Dia lebih selesa bercerita pada kawan lelakinya.
Dan kini dia masih selesa untuk mencurahkan keluhannya pada lelaki. Tetapi mungkin dia lupa bahawa kaum Adam itu jugalah yang membuatkan hidupnya menderita.
Surya cuma tersenyum bila teringat suatu ketika dulu ibu pernah berkata bahawa terlalu banyak lelaki dalam hidupnya.

Ibu, ibu.....
Manalah ibu tahu sebenarnya aku hanya memerlukan seorang lelaki sahaja untuk bersamaku sepanjang hayat. Yang lain-lain itu adalah teman-teman yang memberikan aku kekuatan. Ketika ini, Hazlan tersangatlah sukar untuk Surya baca hatinya. Memang Surya akui, dia merindui lelaki itu. Dia ingin hendak bertemu tetapi dia tidak mahu lagi menjaja cintanya. Mungkin betul kata Hazlan dulu bahawa dia bukanlah pilihan yang terakhir. Mungkin juga Hazlan tidak tertarik kepadanya. Tak ada chemistry kata orang!
Tak mengapalah. Mungkin Tuhan mahu menduga hatinya sekali lagi. tetapi, kalaupun dia diuji begitu, dia masih memanjatkan doa agar dibukakan hati Hazlan untuknya….


Tuhan, bilakah mampu ku rawat kesakitan ini? Terlalu sakit rasanya menanggung luka yang tidak ada darah, yang tidak nampak dilihat ini. Hazlan… tiap detik masa tetap datang bertandang di hati Surya. Lelaki yang jauh di mata itu tetap dekat dalam hatinya. Anehnya semakin Surya cuba untuk melupakan dia, semakin kerap pula dia menerjah mindanya.
Barangkali inilah rasanya apabila cinta tidak berbalas. Manakan ada bunyinya kalau Surya hanya bertepuk sebelah tangan. Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba… hanya kuasa Tuhan yang mampu menjadikannya nyata.

“Tuhan, Engkau titipkanlah ke dalam hatinya sedikit rasa kasih untukku. Engkau berikanlah petunjuk untukku seandainya dia bukanlah pasanganku. Dan pintaku Engkau kirimkanlah secebis perasaan sabar untukku agar aku tabah menunggunya. Lelaki, tidakkah engkau terasa sesuatu dengan apa yang aku lakukan ini? Tidak tersentuhkah hatimu dengan apa yang aku curahkan ini? Terlalu keraskan jiwamu untuk aku ketuk dengan kasihku?"

Surya menutup suis lampu tidurnya. Dia ingin lena, mana tahu dalam mimpinya nanti dia dapat bertemu dengan lelaki yang dirinduinya itu…

Tuhan, makbulkanlah doa yang satu ini…
  
by me @ Cameron Highlands, 2005


"Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lapangkanlah dadaku, tenangkanlah fikiranku dan permudahkanlah segala urusanku.... Amin"

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]