PAGES

Wednesday, August 1, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 25

 
 
 
Mengapa? Mengapa? Hati ini terus tertanya-tanya sendiri…

“Dayang,  En.Hazami nak jumpa you selepas waktu sekolah nanti. Dia akan tunggu you di biliknya.”
Miss Ling, ketua kerani SMKS memberitahu Dayang Atikah ketika dia masuk ke pejabat untuk mendapatkan tandatangan pengetua.
“Kenapa Miss Ling?”
“Entah. Tadi sebelum dia ke Pontian dia pesan pada I untuk bagitahu you.”
Dayang Atikah hanya mengangguk. Dia ke bilik guru. Kenapa pula Hazami mahu berjumpanya? Kalau tidak ada yang mustahak, Penolong Kanan Pentadbiran itu takkan senang-senang mahu berjumpa dengan sesiapa.
Seingatnya, sewaktu di tingkatan lima dahulu, Cikgu Hazami adalah guru Fiziknya. Dia adalah antara guru lelaki yang terhensem di sekolah itu. Dan kerana minat dengan Cikgu Hazami, Dayang Atikah dan Karmilla turut meminati mata pelajaran Fizik dan akhirnya lulus cemerlang dengan pangkat A1 dalam peperiksaan SPM. Dan kini dia berjumpa kembali dengan Cikgu Hazami. Bukan lagi sebagai pelajar, tetapi lebih sebagai rakan sejawatan yang saling membantu di antara satu sama lain. Memikirkan itu semua, dia tersenyum sendiri. Itulah yang di namakan kuasa Tuhan. Siapa sangka…
Dayang Atikah menyiapkan kerjanya di bilik guru. Tugasnya sebagai ketua panitia Bahasa Melayu memerlukan dia membuat itu dan ini kerana wakil daripada Jabatan Pendidikan Johor akan datang membuat pemantauan.
“Dayang, jadi tak ke Batu Pahat petang ni?” Kak Rokiah bertanya. Mereka telah berjanji untuk ke Summit Parade petang nanti. Saja berjalan-jalan sambil cuci mata.
“Maaflah Kak Roki. Saya rasa tak dapat ikut sebab En Hazami nak jumpa saya.”
“Kenapa?”
“Saya pun tak tahu. Miss Ling yang menyampaikan pesanannya.”
“Akak rasa Hazami tu sukakan kau. Kalau tak takkan dia nak jumpa kau in person.”
“Ish Kak Roki ni. Ke situ pulak dia. Tentulah dia ada urusan yang hendak di bincangkan dengan saya.”
“Akak harap macam tulah. Kalau macam tu akak pergi dengan Jasmi sajalah.”
Kedengaran loceng berbunyi menandakan masa ke lapan sudah tamat. Dayang Atikah mencapai naskah guru untuk mata pelajaran Sejarah dan menuju ke 4 Delima. Itulah masa terakhirnya hari ini setelah sebelah paginya berterusan selama lima masa.
“Faizul, bawakan buku latihan ni ke meja saya. Ingat, minggu hadapan kita akan menjalani peperiksaan bulanan dan saya harap kamu semua sudah bersedia. Sesiapa yang tidak lulus akan di rotan.”
Pelajarnya bising mendengarkan kenyataan yang dikeluarkannya. Itulah reaksi mereka bila menerima ugutan. Memang dia tidak mahu memberi muka kepada pelajar berkenaan kerana itulah hukuman yang paling setimpal dirasakannya. Beberapa ketika kemudian, loceng berbunyi lagi menandakan waktunya sudah habis dan tiba masa untuk pulang. Pelajar mengucapkan terima kasih kepadanya dan masing-masing meluru keluar. Dayang Atikah mengelengkan kepala. Teringat zaman remajanya dulu.
Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Hampir dua petang. Tentu En Hazami telah balik dan sedang menunggunya. Langkahnya di atur ke bilik guru. Tangannya mencapai apa yang ingin dibawa balik dan dia turun ke pejabat.
“Dayang, En Hazami sedang tunggu you!”
“Saya tahu. Tadi saya ada kelas.”
Dia menuju pula ke bilik En Hazami yang bersebelahan dengan bilik pengetua.
“Assalamualaikum En Hazami. Miss Ling kata En Hazami nak jumpa saya. Apa halnya?”
“Sila duduk Dayang. Sebenarnya bukan ada urusan formal tapi saya nak cakap sesuatu. Sekarang jangan panggil saya En Hazami. Panggil saya Zami saja. Waktu sekolah sudah habis.”
Dayang Atikah hanya tersenyum.
“Ibu saya mahu berjumpa dengan Dayang.”
Dayang Atikah mengerutkan dahi. Betul ke apa yang sedang di dengarnya?
“Ibu Zami nak jumpa saya? Kenapa?”
“Saya ada ceritakan pada dia tentang Dayang semasa Dayang di tingkatan lima dulu. Ya lah… dulu Dayang student saya tapi sekarang dah jadi cikgu macam saya juga. Entah macam mana dia mahu berjumpa dengan Dayang. Kalau boleh saya harap Dayang dapat menunaikan harapan dia kerana sekarang dia ada di hospital. Sakit migrainnya kronik. Dia beria-ia mahu jumpa Dayang.”
Dayang Atikah ternyata keliru dengan apa yang didengarnya. Dia memandang ke wajah Hazami.
“Tapi saya perlu cari  masa yang sesuai. Ibu saya pun perlu tahu perkara ini.”
“Itu tiada masalah. Saya akan berjumpa dengan ibu Dayang dan meminta izin darinya. Kalau Dayang tak percaya Dayang boleh bawa ibu Dayang bersama. Saya hantarkan Dayang balik?”
Dia sebenarnya serba salah. Mindanya tidak sempat membuat keputusan. Yang dia tahu, dia telah menganggukkan kepalanya. Apa pula yang akan berlaku selepas ini?


 Kehadiranmu memulakan episod baru dalam hidupku…

“Kalsum? Makcik macam pernah dengar nama tu. Adakah suaminya bernama Hassan?”
Khadijah memandang tepat ke muka Hazami. Raut wajah itu mengingatkannya kepada seseorang.
“Ya makcik. Bapa saya memang bernama Hassan. Macam mana makcik boleh tahu?”
Sah… memang betul tekaannya.
“Dari apa yang kamu ceritakan, makcik dapat mengagak. Sebenarnya sudah lama kami tidak berjumpa. Dulu kami adalah kawan baik semasa menetap bersama-sama di Kem Batu 10.”
“Kalau macam tu elok sangatlah. Sekurang-kurangnya kalau dia turut berjumpa makcik, deritanya akan berkurang. Saya juga dapat memberikan hadiah yang berharga kepadanya. Sudah lama saya tak lihat ibu gembira. Mungkin dengan kedatangan makcik dan Dayang dapat merawat hatinya.”
Dayang Atikah mendengar dari balik daun pintu. Dia kehairanan bagaimana ibunya begitu mudah mesra dengan lelaki berusia 41 tahun itu.
“Kalau macam tu apa kata Hazami datang hujung minggu ni? Bolehlah makcik dan Dayang ke sana. Makcik pun tak sabar nak jumpa dia.”
“Saya mengikut aje makcik. Ibu saya tu memang dah lama menyebut-nyebut nama Dayang Atikah sejak saya ceritakan kisah dulu-dulu pada dia. Tak tahulah mengapa.”
“Makcik faham… Ada kalanya kita keliru dengan apa yang terjadi. Ianya di luar kesedaran kita.”
“Kalau macam tu saya balik dulu makcik.”
“Iyalah. Bawa kereta baik-baik ya. Dayang, Hazami dah nak balik ni.”
Dia bergegas keluar. Masih berpakaian dari sekolah tadi.
“Terima kasih Zami. InsyaAllah hujung minggu ni Dayang bawa ibu ke sana.”
“Tak apa. Nanti saya datang jemput. Susah juga Dayang nak ke hospital jika menggunakan teksi. Saya yang mengajak, tak manis pula membiarkan Dayang ke sana sendirian. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”
Kedua beranak itu memandang dari jauh kepulangan Hazami. Dayang memandang ibunya. Manakala ibunya pula merenung mukanya. Ada sesuatu yang lain dalam pandangannya itu…


Engkau di depan mataku, terlihatlah gembira di antara kita…

“Ika, ibu rasa senang hati melihat Ika gembira begini. Tak perlu ibu risau,  tak macam Ika di Selangor dulu. Tak tenang hati ibu memikirkan apa yang sedang Ika lalui sendirian.”
Khadijah membuka bicara ketika dia dan Dayang Atikah sedang menyiapkan makan malam.
“Ibu, Ika kan dah besar. Tahulah Ika jaga diri dan nama baik keluarga. Ibu janganlah risau. Sekarang Ika dah kembali ke sisi ibu, puas hati?”
Khadijah memeluk anaknya. Sesungguhnya saat-saat beginilah yang sering dinantikannya. Satu ciuman dihadiahkan di pipi Dayang Atikah.
“Bagaimana hubungan Ika dengan Amjad? Dah lama ibu tak dengar apa-apa cerita daripadanya. Macam mana pak ngah dan mak ngahnya?”
Dayang Atikah melepaskan satu keluhan panjang. Dia membalas pertanyaan ibunya.
“Sebenarnya ibu, banyak yang telah berlaku antara Ika dan Amjad. Sukar untuk Ika terangkan pada ibu. Jadi, Ika tak mahu mengungkit kembali kisah lama. Sekarang ni kita cerita tentang hal di Batu Pahat pula.”
Ternyata ibu memahaminya. Dia tidak lagi menimbulkan persoalan yang tak terjawab olehnya itu. Dia tahu ada sesuatu yang terjadi di antara mereka. Namun demi menghormati perasaan anaknya, dia membuat keputusan untuk mendiamkan diri saja. Bila tiba masanya anak itu sendiri yang akan mencari dirinya untuk meluahkan segala. Dia sangat faham akan perangai anak bongsunya yang satu itu.
“Macam mana pula dengan Hazami? Ika setuju nak berjumpa dengan ibunya hujung minggu ni?”
“Ika mengikut ibu. Kalau ibu pergi Ika akan ikut.”
“Sebenarnya ibu dah lama tak berjumpa dengan ibu Hazami. Sejak kita berpindah, sejak itulah ibu terpisah hubungan dengannya. Kalau boleh ibu memang teringin nak berjumpa dengan dia. Hubungan kami sudah seperti adik-beradik.”
“Kalau macam tu nanti Ika bagitahu Zami agar ambil kita kat sini. Dia pun dah janji nak bawa Ika dan ibu berjumpa ibunya.”
“Baiknya Hazami tu. Sekarang ni susah nak cari lelaki sepertinya. Maklumlah anak-anak zaman sekarang…”
“Ibu, tak kira sesiapapun mestilah sayangkan ibu mereka. Ika pun sayangkan ibu dan sanggup buat apa saja untuk kebahagiaan ibu.”
“Ibu tahu. Dah lah, bawa makanan ni ke depan. Sekejap lagi Kak Sari balik, boleh kita makan bersama.”

Stylish Thankyou

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]