PAGES

Thursday, January 19, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 5


 
 
"Andai ini dugaan untukku, Kau peliharalah aku dalam rahmatMu Tuhan!"

Dayang Atikah menunjukkan alamat yang tertera di atas sekeping kertas kepada pemandu teksi yang ditahannya tadi. Hampir 4 jam dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Klang, sesungguhnya dia benar-benar penat dan ingin saja merebahkan diri. Alangkah seronoknya jika boleh melelapkan mata barang sesaat dua. Namun kerana khuatir dengan tempat barunya, Dayang Atikah menahan rasa mengantuk itu.
 Teksi yang telah bergerak 10 minit lalu akan membawanya ke rumah Nazirah, kerani sekolah yang dihubunginya beberapa hari lalu. Tujuannya asalnya adalah untuk mendapatkan gambaran awal tentang sekolah tersebut, tetapi bila sudah bercakap-cakap, Nazirah mempelawanya untuk tinggal di rumahnya dahulu sebelum mendapat rumah sewa yang lain. Bila sudah ada yang mahu menolong, apa salahnya. Dayang Atikah mengucapkan berbanyak syukur kepada Tuhan. Oleh kerana Nazirah tidak dapat keluar ke bandar Klang untuk menjemputnya, maka terpaksalah dia memberanikan diri menuju ke alamat yang diberikan. Tak mengapalah, takkan belum apa-apa sudah hendak menyusahkan orang. Sesungguhnya dia yakin bahawa Tuhan sentiasa bersama-samanya.
Dalam perjalanan yang dirasakannya amat panjang itu, hanya suara dari radio sahaja yang berkumandang. Pemandu teksi hanya diam dan sekali-sekala turut menyanyikan lagu dari corong radionya. Tiba-tiba terasa pergerakan teksi itu menjadi semakin perlahan, mendatangkan rasa musykil di hati Dayang Atikah.
“Kenapa pakcik?”
Dia memberanikan diri bertanya.
“Nampaknya ada kemalangan di depan sana cik.”
Kemalangan? Nampaknya terganggu lagilah perjalanannya.
Dayang Atikah memandang ke kiri dan kanan. Terdapat deretan kereta dan kenderaan lain yang turut sama memperlahankan pergerakan. Dalam keadaan begitu, tidak guna menurut kata hati. Yang penting sekali, sabar. Dayang Atikah yang berada di bahagian sebelah kanan teksi melihat pemandu Kancil kuning di sebelah kiri menggerakkan tubuh untuk menghilangkan lenguhnya barangkali. Seketika kemudian lelaki itu turut sama memandangnya. Pandangan yang tidak disengajakan itu dibalas dengan satu senyuman. Cermin tingkap yang terbuka luas menampakkan dengan jelas wajah lelaki itu.
Tidak menunggu lama, Dayang Atikah melarikan wajahnya dari terus dipandang oleh lelaki itu. Dan tidak lama kemudian, teksi itu mula bergerak seperti biasa. Dan dengan itu jua dia mula terpisah dengan pemandu kereta Kancil di sebelahnya tadi. Ternyata pemandu teksi itu lebih dahulu ke hadapan. Dayang Atikah menoleh sekali lagi ke belakang…melihat ke arah pemandu Kancil tersebut. Dan tanpa di sangka lelaki itu tersenyum manis kepadanya. Dayang Atikah memandang ke depan semula.
Alahai lelaki… 

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]