PAGES

Saturday, January 28, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 8

 
 
"Hajat dihati ingin berpaut apakan daya dahannya rapuh…"

 Dayang Atikah membentangkan tikar yang dibawa. Pada hari minggu itu, sengaja dia berpakat untuk berkelah dengan Charlotta di tepi pantai berdekatan dengan rumah mereka. Tiada aktiviti yang perlu dilakukan di sekolah. Hendak ke bandar terasa rimas asyik kena berebut-rebut. Dan kerana keserasiannya dengan Charlotta, idea untuk rileks di tepi pantai menjadi kenyataan. Hidangan sandwich ringkas dan fresh oren melengkapkan program mereka.
“Bagaimana rasanya dah mengajar kat sini Chem?”
“Bagi aku di mana-mana pun sama saja. Not a big deal for me!”
“Tak rindu ke nak balik Sarawak?”
“Dah tugas nak buat macam mana. Lagipun keluarga aku selalu telefon. Kau pula macam mana?”
“Aku ni sebenarnya kasihankan mak aku. Dia keseorangan di kampung.”
“Sabarlah Dayang. Ini semuanya dugaan untuk kau. Aku nak tanya kau satu soalan boleh?”
Dayang Atikah hanya mengangkat keningnya.
“Kau ada apa-apa ke dengan Amjad? Heboh satu staff room bercerita hal kau dengan dia.”
“Heboh? Mana aku ada apa-apa dengan dia?”
“Sebab itulah aku tanya kau ni. Petang tadi Kak Midah dengan Kak Ton ada tanyakan aku tentang kau dengan Amjad.”
Nampaknya apa yang Dayang Atikah risaukan kini menjadi nyata. Dia takut orang-orang di sekelilingnya akan bercakap-cakap tentangnya. Tentang kelakuannya. Tambahan pula dia adalah guru yang baru mengajar di sini, maka sudah tentulah dia patut menjaga reputasinya. Mukanya diraup dengan kedua tangannya. Dia melepaskan keluhan. Matanya kemudian memandang Charlotta. Mengharapkan pengertian.
“Aku tak ada apa-apa dengan dia tu Chem. Biasalah rakan-rakan sejawatan. Apa salah ke kalau aku bercakap-cakap dengan dia sebagai seorang kawan. Adakah bila aku bercakap dengan dia aku akan ada apa-apa dengan dia?”
Bagaikan ada kemarahan yang cuba diluahkan oleh Dayang Atikah terhadap Charlotta.
“Aku faham apa yang kau maksudkan tu Dayang. Masalahnya mulut orang-orang kat sini yang suka sangat membuat telahan sembarangan. Aku harap kau jangan hiraukan sangat apa yang mereka katakan pada kau tu. Tapi secara jujurnya aku rasa Amjad tu memang ada hati pada kau Dayang.”
“Itulah masalahnya Chem. Aku turut merasakan apa yang kau rasa tu tapi aku tak sukakan dia. Aku tak sukakan caranya. Kalau betul dia sukakan aku, dia boleh buat cara lain untuk menarik perhatian aku. Bukannya dengan cara memalukan aku di sekolah macam ni.”
“Maknanya kau sukakan dia la…”
“Ish kau ni Chem. Aku hanya sukakan dia sebagai seorang kawan aje. Sebenarnya dalam hati aku ni dah ada ruang untuk orang lain mengisinya.”
“Satu cerita yang menarik nampaknya. Siapa dia yang bertuah itu? Ceritakanlah pada aku.”
“Aku minta maaf Chem kerana tidak dapat berkongsi dengan kau tentang perasaanku yang satu ini. Biarlah hanya aku yang tahu. Aku harap kau memahaminya.”
Charlotta menarik muka masam. Dia kecil hati kerana Dayang Atikah tidak mahu berkongsi rahsia dengannya. Dia memandang ke laut lepas.
“Chem, janganlah merajuk. Tolonglah faham. Mungkin sekarang ni bukan masa yang sesuai untuk aku bercerita kepada kau. Satu masa nanti kau akan tahu juga.”
Charlotta mencebik ke arah Dayang Atikah. Geramnya dengan perempuan itu. Kalau tak nak cerita tak payahlah cakap dari awal lagi. Menyampah betul!
“Ala buruknya muka kau buat macam tu Chem…”
Mereka berdua berkejaran di gigi pantai yang pada waktu yang semakin menginjak ke malam. Pada ketika siang sudah mula bertukar malam…
 Itulah rentak kehidupan yang tidak pernah membosankan… 

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]