PAGES

Wednesday, March 21, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 12


 
 


 
'Diri dihimpit kenangan lalu, tanpa kusedar mentari sudahpun berlalu…'

Pada hari ini satu aktiviti luar telah dirancangkan oleh urusetia kursus.  Ianya diadakan di pondok berhampiran pantai. Dari situ dapat dilihat para pengunjung mula membanjiri pantai. Maklumlah suasana sudah menginjak ke petang. Tentulah ramai yang ingin bersantai.
Begitu juga dengan peserta kursus seramai 35 orang itu. Aktiviti diluar sekurang-kurangnya dapat melegakan fikiran yang selama ini asyik dibebankan dengan input di dalam dewan sahaja. Itulah bahasa…banyak memerlukan penumpuan.
Dayang Atikah mengambil tempat bersebelahan Karmilla. Dari tempatnya dia dapat melihat dengan jelas wajah Najhan dan Amjad yang duduk berdekatan. Dalam majlis itu, lelaki dan perempuan dipisahkan. Dayang Atikah cuba pula mencari perempuan yang selalu bersama-sama dengan Najhan tapi tiada. Ada kemusykilan di hatinya!
“Apa program kita hari ni Ika?”
Tengku Zubaidah, peserta dari Terengganu bertanya kepadanya.
“Entahlah Kak Zu. Saya pun tak tahu. Dengar-dengarnya nak buat majlis ‘Penerokaan Puisi’. Entah betul entah tidak. Kita tunggu ajelah nanti.”
Pandangannya dialihkan kembali kepada Najhan. Daripada IB dulu lagi dia menaruh hati kepada lelaki itu tapi hanya dia seorang sahaja yang tahu. Dia malu untuk berterus-terang. Bimbang dikatakan perigi mencari timba. Tiada dayanya untuk memulakan kata. Namun kali ini dia akan cuba melawan perasaannya. Kalau dia tidak mulakan, siapa yang akan menolongnya? Bukan Karmilla…bukan Najhan tetapi dirinya sendiri.
“Ika, Encik Omar panggil tu.”
Teguran Karmilla memutuskan angannya. Dia terkejut. Tak sangkan sejauh itu lamunannya.
“Saya Encik Omar.”
“Nampaknya Cik Dayang kita sedang memikirkan sesuatu. Apa apa-apa yang boleh dikongsikan dengan peserta lain?”
“Tak ada apa-apa Encik Omar. Saya sebenarnya tak sabar nak balik kampung. Maklumlah hari ni last day!”
Dia berseloroh. Cuba menutup rasa malunya. Matanya dapat melihat beberapa orang peserta tergelak kecil. Dayang Atikah melihat Amjad. Tiada respon dari lelaki itu. Mengapa? Nampaknya ada sesuatu…
Sesi pertama telah selesai. Peserta kini sedang rehat untuk menantikan sesi seterusnya. Peluang itu digunakan sebaiknya oleh Dayang Atikah untuk berjumpa dengan Najhan. Dia ingin mengajak lelaki itu makan malam bersamanya nanti.
“Hai Najhan.”
“Eh Dayang. Macam mana kau sekarang?”
“Macam yang kau tengok. Aku sebenarnya nak ajak kau dinner bersama nanti.”
Dinner. Sorrylah Dayang. Aku tak boleh. Lepas kursus ni aku terus nak ke balik ke Perak. Oh ya…aku kenalkan ni bakal isteri aku, Sarah.”
Entah bila perempuan itu datang tidaklah Dayang Atikah sedari. Ada riak terkejut dimukanya tetapi cuba dikawal agar tidak ketara. Memang betullah apa yang orang lain perkatakan sebelum ini. Memang sahlah kbabar angin itu. Kini dia mendengarkannya sendiri dari lelaki yang diimpikannya.
Mereka bersalaman. Dayang Atikah memulakan perhubungan baru itu dengan sekuntum senyuman kecewa. Ternyata Najhan bercitarasa tinggi. Pilihannya memang tepat. Sarah memang seorang yang up to date dan bergaya. Persis seorang model.Tak terlawan olehnya.
“Bila nak langsungnya ni? Diam-diam aje.”
“InsyaAllah tahun depan. Jemputlah.”
“Kau pula bila lagi? Aku nampak Amjad tu sesuai dengan kau. Jangan tunggu lama-lama, nanti takde orang nak.”
“Apa pula ni Najhan. Aku dengan Amjad tu tak ada apa-apa. Kami kan satu sekolah.”
“Mungkin kau tak tahu Dayang. Tapi aku sebagai seorang lelaki dapat rasakan ada getaran cinta dalam matanya setiap kali dia memandang kau. Walaupun dia tak pernah bercerita kepada aku, namun masa tiga hari ini cukup untuk aku memahaminya. Cubalah terima dia. Dia seorang lelaki yang baik. Aku beri jaminan kepada kau.”
Dia dah buat lagi dah…Tergamak kau Amjad. Cukuplah di Pulau Indah aje kau mereka-reka cerita.
Dayang Atikah memandang Amjad yang sedang menikmati makanannya. Perasaan bencinya bercambah kembali.


'Apakah ini balasan Tuhan, kupejam mata wajahnya bertandang…'

Dayang Atikah cuba membuka matanya yang terasa berat. Kepalanya masih berdenyut-denyut. Dia tidak sedar apa yang telah berlaku. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Ada Karmilla dan Amjad. Matanya melilau pula ke persekitaran. Ada bau ubat yang menusuk ke hidungnya.
“Mila aku kat mana ni?”
“Di hospital, kau pengsan petang tadi.”
Pengsan?
Dia tidak dapat mengingati apa yang terjadi.
“Aku risau tengok kau tak keluar-keluar. So aku mintak la management hotel bukakan. Tengok kau terbaring berhampiran katil. Amjad yang bawak kau ke sini. Esok kau keluar bolehlah kita balik ke Batu Pahat.”
Karmilla menerangkan setelah dia melihat kekerutan di wajah Dayang Atikah. Menjawab kekeliruan diminda. Amjad hanya diam sejak tadi.
“Apa kata doktor?”
“Doktor kata kau mengalami hypertension. Apa yang kau fikirkan?”
Dayang Atikah hanya diam. Dia tidak ingin memberikan jawapan kepada persoalan yang Karmilla timbulkan. Biarlah hanya dia dan Tuhan yang tahu. Dia memejamkan matanya. Kalau boleh ingin lari dari masalah yang membuatnya jadi begini…Nampaknya dia sudah tidak setabah dulu lagi. Namun setiap kali dia ingin melelapkan mata, wajah Amjad jua yang bertandang ke memorinya. Dia tidak tahu mengapa…


'Di balik bayang aku mencari, adakah wujud perasaan di hati, kerana dia aku masih di sini!'

Puan Khadijah masih lagi berada di bilik Dayang Atikah. Anak gadisnya itu tidur sebaik sahaja menelan ubat yang dibekalkan. Setelah menyelimuti tubuh anaknya itu, Puan Khadijah keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Amjad dan Karmilla ada di ruangan itu. Mereka berdua yang membawa Dayang Atikah balik dari Desaru setelah dia dibenarkan keluar.
“Makcik ucapkan berbanyak terima kasihlah kepada Amjad dan Karmilla yang sudi menolong Ika.”
“Kebetulan makcik. Saya tolong dia secara ikhlas. Bukan ada maksud lain. Lagipun dia satu sekolah dengan saya. Kalau saya biarkan aje, tak tahulah apa yang nak dijelaskan kepada pengetua nanti.”
“Ika tu ada masalah ke ibu?”
Antara Karmilla dan Dayang Atikah sudah bagaikan satu keluarga. Oleh yang demikian dia turut memanggil emak Dayang Atikah dengan panggilan ‘ibu’.
“Tak tahulah. Tak ada pula dia bercerita apa-apa pada ibu. Dia tak ada cakap pada Mila?”
Karmilla hanya menggelengkan kepala.
“Agaknya ada masalah di sekolah tak?”
“Saya nampak dia ok aje makcik.”
“Ika ni sebenarnya agak berahsia dalam hal-hal peribadi. Mungkin ada sesuatu yang kita semua tak tahu.”
“Makcik, saya minta diri dululah. Kalau boleh nak sampai ke Klang sebelum malam.”
“Ala..tinggal dulu kat sini. Esokkan cuti lagi.”
“Bukannya tak sudi makcik tapi apa pula orang kata nanti. Sampaikan salam saya pada Dayang bila dia dah sedar nanti. Saya balik dulu.”
“Bawa kereta elok-elok ya Amjad. Sampaikan salam makcik pada keluarga kamu.”
Amjad memandu keretanya keluar dari halaman rumah Dayang Atikah. Berat rasa hatinya ingin meninggalkan gadis itu ketika dalam kesulitan begini tapi apakan daya. Dia percaya bahawa kesemua ini adalah berpunca dari perangainya dan tingkah lakunya.
Andai semuanya salahku…sudilah kiranya kau menerima salam kemaafanku  Dayang…
Puan Khadijah dan Karmilla hanya menghantar Amjad dengan pandangan mata yang penuh pertanyaan. Apakah hubungan dia dengan Dayang Atikah sebenarnya?
“Mila kenal ke Amjad tu?”
“Tak sangat. Kami satu kursus di Desaru baru-baru ni.”
“Memang sebelum ke Desaru tu Ika ada bagitahu ibu yang dia akan ke sana dengan kawannya tapi ibu rasa ragu dengan mereka dua orang ni.”
“Ika kata dia dan Amjad tak ada apa-apa. Dia bagitahu saya.”
“Ibu rasa lain bila memandang dia. Mungkin dia menaruh perasaan tak pada Ika?”
“Mungkin juga ibu. Kalau tak masakan dia sanggup tunggu sewaktu Ika dekat wad semalam. Dia yang jaga Ika sebab Mila balik ke resort untuk mengambil barang-barang. Waktu Ika pengsan dulu pun dia yang bawa ke hospital. Nampaknya dia sayang sungguh pada Ika ibu.”
“Dia yang jaga Ika? Ibu pun berpandangan sama macam kamu Mila.”
Karmilla hanya mengangguk.
“Ibu sukakan Amjad. Dia seorang yang baik dan ibu boleh nampak ketulusan dari sinar matanya.”
Dan di balik daun pintu, tiada siapa yang tahu ada sepasang telinga yang sedang mendengar perbualan itu. Seketika dia terkaku. Amjad yang menjaganya? Amjad bersusah-susah kerananya? Alangkah malunya dia kerana sering berprasangka buruk kepada lelaki itu… Hatinya tiba-tiba diburu rasa bersalah.

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]