PAGES

Saturday, March 31, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 13

 
 
 
 
'Memandang wajahnya terasa tak tentu, mengapa engkau berubah laku? Sudikah kau memaafkanku?'

Dayang Atikah kembali ke sekolah setelah mendapat cuti sakit dua hari. Kedatangannya disambut dengan senyuman dan pelukan Charlotta yang ternyata amat rindu padanya. Gadis itu menjemputnya di stesen bas petang semalam dan terus bercerita itu dan ini kepada Dayang Atikah. Nampaknya banyak juga berita yang telah Dayang Atikah ketinggalan.
Banyak tugasan yang menunggunya. Laporan kursus, penubuhan Kelab Bahasa, aktiviti sukan dan persatuan banyak menagih perhatiannya. Oleh yang demikian, dia tidak sempat untuk duduk-duduk sahaja walaupun tiada kelas. Dia tidak suka menangguhkan kerja atau membawanya balik ke rumah. Segala kerjanya akan disiapkan di bilik guru.
“Dah sihat ke?”
Amjad menghentikan seketika kerja yang sedang Dayang Atikah siapkan.
“Kalau tak sihat saya tak akan berada di sini.”
 “Dayang, ini adalah fail Kelab Bahasa. Segala maklumat ada dalam ni. Mungkin petang Jumaat ni kita akan adakan perjumpaan kedua di Bilik Tun Syed Nasir untuk membincangkan beberapa perkara yang berkaitan. Kalau ada apa-apa saya akan maklumkan kepada Dayang semula.”
Mata Dayang Atikah tertumpu pada fail putih yang Amjad hulurkan kepadanya. Kosentrasinya yang terganggu membuatkan dia sedikit panik. Namun baru sahaja dia hendak membuka mulut, Amjad berlalu dari mejanya. Hendak menjerit malu pula rasanya kerana agak ramai guru yang sedang membuat kerja masing-masing dalam bilik itu. Dia merasa pelik dengan kelakuan Amjad. Ke mana hilangnya kata-kata yang selalu dia gunakan untuk mengusiknya dulu? Dayang Atikah tiba-tiba merindui semua itu…
“Dayang, tak nak balik lagi ke?”
Kedengaran suara Charlotta.
Sudah tiba waktu balik ke?
 Sedikit pun Dayang Atikah tidak perasan kerana terlalu asyik menumpukan pada kerjanya dan juga sedikit perhatian pada Amjad. Dia hanya mengangguk sebagai memberikan jawapan kepada Charlotta namun dia menunjukkan isyarat untuk menyiapkan kerjanya lagi 5 minit.
“Aku tahu la kau banyak kerja tapi bukannya ia perlu diselesaikan hari ni juga. Jomlah, aku nak bawa kau ke Pelabuhan ni. Ada sesuatu yang aku nak bincangkan.”
“Ok…ok.”
Dayang Atikah mengangkat bendera putih. Dia selalunya kalah dengan Charlotta walaupun gadis itu lebih muda darinya.
Dalam perjalanan ke Pelabuhan, tidak banyak yang dibualkan. Dayang Atikah masih kepenatan dengan kerja yang dilakukannya manakala Charlotta juga menyepi. Malas rasanya Dayang Atikah untuk memulakan kata. Dia hanya membiarkan suara dari radio memecahkan kesunyian tengah hari itu.
“Aku nak bagitahu kau sesuatu.”
Charlotta membuka bicara setelah mereka keluar dari kereta dan menuju ke pondok di sekitar Pelabuhan.
Dayang Atikah memberikan tumpuan terhadap apa yang Charlotta katakan. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah yang temannya itu maksudkan.
“Aku sebenarnya suka tengok kau dan Amjad. Dia lelaki yang baik Dayang walaupun perangainya agak nakal. Kalau boleh aku nak tengok kau berdua bahagia.”
“Apa yang kau maksudkan Chem?”
Dayang Atikah terasa pelik dengan kenyataan yang diberikan oleh Charlotta. Apakah tujuannya?
“Aku nak tanya kau sesuatu dan aku harap kau jawab dengan sejujurnya.”
Dayang Atikah merenung mata Charlotta sebagai memberikan jawapannya.
“Apa perasaan kau terhadap Amjad?”
Soalan yang dikemukakan bagaikan satu kesan renjatan elektrik terhadapnya. Terasa bagaikan darah menyirap ke mukanya. Fikirannya bercelaru untuk memberikan jawapan.
“Entahlah Chem. Aku tak tahu perasaan aku yang sebenarnya terhadap dia.”
“Aku tahu kau benci dengan dia sebab fitnah yang tersebar dulukan. Kau anggap dia yang merancang segala-galanya.”
“Memang dia yang merancang semua tu kan. Kenapa?”
“Inilah yang aku hendak ceritakan. Kalau kau nak tahu, bukan dia yang membawa mulut tentang cerita-cerita kau dengan dia tapi Cikgu Sudin. Cikgu Jamal yang memberitahu segalanya kepada aku. Sebenarnya Cikgu Sudin sukakan kau. Dia takut kau menyukai Amjad, jadi dia reka-reka cerita supaya korang berdua tak serasi.”
Dayang Atikah agak terkejut dengan apa yang Charlotta katakan padanya.
Betulkah? Cikgu Sudin?
Sesungguhnya sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Namun agak betul juga kerana Cikgu Sudin beria-ia mahu menghantarnya ke Desaru untuk berkursus dulu.
Patutlah…
“Amjad banyak bercerita kepada aku Dayang. Dia betul-betul sukakan kau tapi respon kau yang langsung tidak sudi memberikan peluang kepadanya membuatkan dia patah hati. Kalaupun kau tak boleh menerima dia dalam hati, terimalah dia sebagai seorang kawan. Dan ada rahsia dalam dirinya. Kau akan tahu nanti. Kisah kau dengan Najhan satu kenangan lama yang patut kau lupakan. ”
“Apa maksud kau kisah aku dan Najhan?”
“Aku minta maaf Dayang. Kad yang ada di atas meja kau menjawab segala persoalan hati aku. Dan kalau kau nak tahu aku kenal tunangannya tu, Sarah. Fikirkanlah secara matang. Berilah peluang kepada diri kau dan dirinya.”
Dayang Atikah kehabisan kata-kata. Dia tidak mampu memberikan alasannya lagi kerana semua itu adalah kenyataan yang harus dia hadapi… Matanya di arahkan ke laut lepas. Mengharapkan ketenangan tapi wajah Amjad jua yang bertandang. Apakah maknanya perasaan ini?



'Engkau membisu padaku, sampai bilakah akan berlalu, kerana aku sudahpun merindumu…'

Dayang Atikah menyiapkan minit mesyuarat Kelab Bahasa yang akan di adakan selepas waktu sekolah nanti. Setelah meneliti fail kelab tersebut, barulah dia mengetahui banyak agenda yang telah Amjad senaraikan untuk memastikan kelab tersebut berjaya mencapai matlamatnya. Ternyata lelaki itu komited dengan tugas yang diberi dan berjaya memimpin dengan baik.
Seramai 8 orang AJK kelab itu menyertai mesyuarat tersebut. Salah seorang daripadanya adalah Cikgu Sudin. Menyampah betul Dayang Atikah melihat muka Cikgu Sudin yang langsung tidak tahu malu itu. Matanya lebih senang dihalakan ke arah Amjad walaupun lelaki itu berpura-pura tidak memandangnya… bagaikan dia tiada di situ.
Dayang Atikah mengambil tempat di sebelah Amjad. Tugasnya sebagai setiausaha menuntutnya berada di sebelah pengerusi untuk memudahkan pergerakan mesyuarat. Lagipun dia ingin melihat bagaimana reaksi Cikgu Sudin apabila berhadapan dengan situasi itu. Dia ingin melihat sejauh mana dakwaan Charlotta terhadap cikgu yang mengajar Prinsip Akaun itu.
Namun Amjad masih juga sepi. Hanya sekadar menuturkan kata-kata yang perlu dan hal-hal yang berkaitan  sahaja sepanjang mesyuarat. Persoalan di hati Dayang Atikah masih belum terjawab dan dia masih diburu rasa bersalah.
Janganlah kau menghukum aku sebegini Am…
Selepas mesyuarat petang itu, Dayang Atikah terpaksa pulang sendirian kerana Charlotta telah ke Butterworth bagi menghadiri satu kursus di sana. Mesyuarat yang mengambil masa hampir 2 jam itu hangat dengan pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh AJK. Dia tersenyum sendiri mengenangkan gelagat Cikgu Sudin dan Cikgu Maria yang berdebat mengenai penganjuran Pesta Pantun Daerah yang akan diadakan di sekolah itu. Masing-masing mempunyai idea sendiri yang hendak dikemukakan.
Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Malangnya teksi yang ditunggu sejak 10 minit tadi masih belum tiba. Suasana lengang kerana kebanyakan pelajar telah pulang ke rumah. Yang ada hanyalah beberapa pelajar tingkatan 3 dan 5 yang mengikuti kelas tambahan. Pelajar kelas petang masih belum rehat lagi. Dayang Atikah resah di pondok menunggu bas. Dilihatnya semula ke perkarangan sekolah kalau-kalau masih ada kereta Amjad atau guru-guru yang lain namun dia hampa. Kebanyakannya telah pulang.
Sebentar kemudian barulah ternampak teksi yang melalui jalan itu. Segera dia menahan dan menyatakan destinasinya kepada pemandu teksi tersebut.
“Lambat cikgu balik hari ni?”
“Aah… ada meeting tadi.”
“Anak saudara pakcik pun ada mengajar di sini. Baru aje posting enam bulan lepas. Cikgu dah lama ke mangajar di sini?”
“Saya pun baru aje mengajar di sini pakcik. Hm… siapa nama anak saudara pakcik tu?”
“Hasrul Amjad. Cikgu kenal ke?”
Dayang Atikah tersentak. Dia mengawal perasaannya.
“Apa tidaknya pakcik. Saya bersama-sama dia bermesyuarat tadi.”
“Ooo, begitu. Dia ada bagitahu pakcik yang dia sukakan seorang cikgu di sini. Apa namanya ya? Ha… Dayang Atikah. Cikgu kenal tak? Kalau boleh pakcik teringin juga melihat gadis yang menjadi pujaan Amjad tu. Pakcik selalu juga bawak teksi dekat kawasan ni.” 
Nasib baiklah dia telah membuka tag nama yang biasa dipakainya setiap hari kalau tidak tentu pakcik Amjad akan tahu.
Amjad sukakannya? Kalau tidak takkanlah dia sanggup menceritakan perasaannya kepada semua orang?
“Cikgu?”
Dayang Atikah tersentak buat kali ke dua.
“Dah sampai cikgu.”
Nampaknya dia terlalu leka melayan perasaan. Adakah ini tandanya dia sudah mula menyukai Amjad? Dia tiada jawapan!

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]