PAGES

Saturday, June 30, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 19


 
 


 
Telinga mendengar, mata memandang namun hati berkata tidak!

Chempaka mengajak Dayang Atikah menemaninya membeli barang-barang keperluan rumah yang hampir habis. Lagipun sudah lama mereka tidak keluar bersama. Semenjak menjadi tunangan Syameer, masanya lebih banyak dihabiskan bersama lelaki itu.
Sedang mereka memilih barangan yang diperlukan, seseorang menghampiri dan menyapa.
“Tengku Mukhlis! Apa awak buat di sini.”
“Macam awak dua orang juga. Cari barang-barang dapur. Dah lama ke  sampai?”
“Tak ada lah lama sangat tapi dah nak selesai dah. Awak?”
“Saya dah nak balik dah. Apa kata kita makan dulu? Saya belanja.”
“Tak bolehlah Mukhlis. Saya dah janji dengan tunang saya nak ke rumahnya petang ni. Dayang saya tak tahu pulak.”
Dayang Atikah tersentak. Dia diam dari tadi membiarkan Chempaka yang melayan Mukhlis. Sebenarnya dia tidak berapa suka dengan Mukhlis yang baginya mempunyai gaya seorang playboy. Suka memandang padanya dan tersenyum sendirian. Seram dia memikirkan orang yang sebegini.
“Aku tak bolehlah Chem. Amjad ajak aku jumpa Laila petang ni. Sorrylah Mukhlis. Mungkin lain kali kita boleh makan bersama.”
Tengku Mukhlis mengangkat bahunya dan mempamerkan wajah kecewa.
“Nak buat macam mana.”
Matanya memandang Dayang Atikah dan Chempaka yang berlalu pergi. Gadis itu bertindak acuh-tak acuh terhadap dirinya membuatkan dia rasa terpukul. Terasa keegoannya di dicabar. Di hatinya ada dendam…


Rasa cinta mengetuk hati, menggetarkan perasaanku untuk memilikimu…

Tania memandang sekeliling. Tidak ramai guru yang ada. Barangkali sedang menikmati makan tengah hari di kantin. Dia sudah makan pagi tadi dan perutnya masih terasa kenyang. Fikirannya terbayangkan Amjad. Dia sudah berkenalan dengan lelaki itu. Ternyata dia seorang yang mudah didekati dan mempunyai karisma tersendiri. Hati perempuannya tertarik dengan personaliti yang ditunjukkan. Alangkah indahnya jika dia dapat menjadi pasangan Amjad. Dalam hatinya berdoa lelaki itu belum ada yang punya.
Matanya memandang tempat duduk Amjad yang kosong. Dia mendapat idea. Sesuatu dicoretkan di sekeping kertas dan diletakkan di meja Amjad. Ketiadaan guru-guru lain di situ memudahkan tujuannya.

Seandainya ada rasa cinta di hatiku, sudikah kau menerima huluran
tanganku agar kita boleh bersatu menharungi kehidupan ini… bersama!
Temanmu…

Begitulah luahan hatinya. Sudah lama dia bersendirian dan kini dia memerlukan teman untuk berkongsi suka dukanya. Dia akan melihat bagaimana tindakan Amjad apabila membaca catatan tersebut. Ini kerana dari mejanya dia dapat melihat dengan jelas tempat duduk Amjad yang tersusun kemas. Ada sekuntum bunga tulip kristal di mejanya.
So sweet!


Berat di hati melepas kau pergi namun segala keputusan bukan di tanganku!

Amjad tersenyum membaca sebaris ayat yang tertulis di sekeping kertas yang terletak di mejanya. Fikirannya membayangkan Dayang Atikah menulis kata-kata itu. Ada perasaan bangga di hatinya kerana akhirnya gadis itu mengalah dan berterus terang padanya. Sememangnya sudah lama dia menantikan saat ini. Dia sudah tahu bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan.
“Dayang, balik dengan Am petang nanti?”
“Dayang dah janji nak keluar shopping dengan Tania. Nak tunjukkan tempat-tempat di sini. Kesian dia tak tahu nak ke sana sini sendirian. Kalau Am tak kisah kita jumpa malam ni?”
“Dayang baik dengan Tania?” Amjad sedikit kecewa kerana Dayang Atikah memilih Tania, bukan dirinya.
“Jangan salah sangka pulak Am. Dayang ni berkawan dengan sesiapa sahaja. Lagipun dia dah ajak Dayang dulu, takkan Dayang nak tolak macam tu aje. Malam nanti kita keluar ya?”
“Oklah. Nanti pukul 9 Am ambil. Dayang jangan lama-lama pulak pergi jalan-jalan ni. Jaga diri baik-baik tau.”
Dayang Atikah merasa gembira disayangi begitu. Namun, dia masih keliru dengan perhubungannya ini. Apakah tarafnya perhubungan itu? Malas dia memikirkan perkara ini. Seandainya Tuhan telah tentukan bahawa Hasrul Amjad ini jodoh untuknya, sejauh manapun dia cuba berlari, tetap akan bersatu jua…
Penat badannya masih bersisa namun Amjad ingin benar bertemunya malam ni. Dayang Atikah menundakan masa ke pukul 9.30 malam supaya dia tidak tergopoh-gapah untuk menunaikan sembahyang Isyak dan bersiap. Katanya ada sesuatu yang ingin di beritahu. Minta diberitahu kemudian, lelaki itu tidak mahu. Dayang Atikah terpaksa akur kerana mahu menjaga hati Amjad bimbang perkara lalu berulang lagi. Namun jauh di sudut hatinya, dia juga ingin berjumpa Amjad kerana perasaan rindu itu sudah merimbun dalam hatinya.
“Apa yang mustahaknya Am nak bagitahu Dayang sampai tak boleh tunggu besok?”
“Dah lama Am tak keluar dengan Dayang. Ada aje halangannya kalau kita nak jumpa.”
“Jangan salahkan keadaan Am. Mungkin ada hikmahnya kalau kita tak bertemu.”
“Sebenarnya Am nak ucapkan terima kasih kerana Dayang memahami perasaan Am. Takut juga kalau Am bertepuk sebelah tangan.”
“Apa yang Am maksudkan ni? Dayang tak faham.”
Amjad menghulurkan kertas yang dibacanya petang tadi kepada Dayang Atikah dengan senyuman yang terlakar di bibirnya. Ternyata dia begitu gembira dan bahagia. Dayang Atikah menyedari perkara itu namun dia benar-benar terkeliru dengan apa yang Amjad luahkan tadi.
Tangannya menyambut apa yang dihulurkan. Matanya menatap bait-bait ayat yang bertulisan tangan itu. Dahinya berkerut. Bukan dia yang tulis. Ini bukan tulisannya!
“Kalaulah ini yang Am maksudkan, Dayang minta maaf kerana Dayang memang tak tahu menahu tentang semua ni. Ini bukannya tulisan Dayang. Mana Am dapat ni?”
Amjad kelihatan terkejut. Air mukanya keruh barangkali malu dengan apa yang disebutnya tadi tidak seperti yang sepatutnya.
“Kalau bukan Dayang, siap lagi?”
“Mana tahu kalau Am ada secret admirer pulak kat sini. Takkan tak gembira?”
Dayang Atikah memandang tepat ke wajah Amjad. Lelaki itu kemudiannya menatap kembali apa yang diterimanya dan selepas itu di menggumpalkan kertas tersebut. Tiada bicara yang terucap antara mereka. Dalam hati kecil Dayang Atikah, terbit perasaan cemburu kerada dalam diam dia tahu ada seseorang yang mendambakan kasih Amjad. Siapakah dia? Dayang Atikah tiada jawapan. Dan malam itu berlalu dengan hambar dan penuh pertanyaan…


Engkau mencabar diriku, menolak cintaku namun engkau belum tahu siapa aku…

Tengku Mukhlis memanggil Adha, budak pejabat SMK Pulau Indah ke arahnya. Dia menghulurkan RM100 ringgit kepada remaja lelaki yang baru berusia 20 tahun itu.
“Ada apa cikgu bagi saya duit ni?”
“Saya nak minta tolong sikit. Boleh tak awak ke kedai bunga dan belikan saya sejambak mawar merah?”
“Beli bunga? Boleh tu, boleh cikgu tapi untuk siapa?”
“Untuk Cikgu Dayang. Tapi kalau boleh  saya nak awak jangan heboh-hebohkan perkara ini. Kalau boleh ini antara kita berdua sahaja. Ok?”
Adha hanya tersenyum. RM100 baginya terlalu besar untuk melakukan perkara ‘kacang’ seperti itu. Selagi ada RM yang boleh menutup mulutnya, segala-gala ditanggung beres. Dia memandang Tengku Mukhlis yang bergaya di sisi kereta HONDA Preludenya. Agaknya cikgu ni orang kaya, sebab itulah senang-senang aje hulurkan seratus ringgit tanpa berkira-kira terlebih dahulu. Sewaktu mula-mula masuk dulupun dia dapat mengagak bahawa Tengku Mukhlis bukannya berada dalam taraf sepertinya.
Tengku Mukhlis tersenyum lebar. Dia tahu Adha boleh diharap untuk menjadi perantara tujuannya. Dua tiga  hari lepas dia ternampak Tania meletakkan sesuatu di meja Amjad. Dalam hatinya ada perasaan curiga. Dia tahu Tania ada hati terhadap lelaki itu. Walau apa pun, dia tidak kisah kerana itu bukanlah halnya. Yang penting Dayang Atikah akan jatuh ke dalam genggamannya nanti.
Dayang… Dayang… Mengapalah susah sangat kau hendak menerima cintaku? Bukannya tak hansem tapi rasanya takde dekat sekolah ni yang dapat menandingi aku. Satu hari nanti aku percaya pasti kau akan datang kepadaku…


Kuntuman bunga yang hadir menambahkan tanda tanya, mungkinkah dia yang cuba mencuri hatiku?

Dayang Atikah memandang sejambak bunga mawar yang berada di atas mejanya. Matanya melilau mencari sesiapa yang boleh ditanyakan. Bagaimana bunga itu boleh berada di mejanya? Dua masa berturutan tadi dia ada kelas, jadi dia tidak tahu siapa yang meletakkannya di situ. Tiada kad yang disertakan bersama gubahan tersebut. Entah-entah bukan untuknya tak?
“Hai Dayang, ada peminat misteri ke? Cantik bunga tu. Siapa yang bagi?” Kak Mazuin menyapanya.
“Saya pun tak tahu siapa yang meletakkan bunga ni.” Balasnya sambil membelek-belek jambangan tersebut.
“Akak nampak Adha yang letakkan kat meja kau tadi.” Kak Zaiton menyampuk.
Adha?
Dayang Atikah segera ke pejabat untuk mencari Adha bagi menghuraikan kekusutan di hatinya.
“Adha, boleh akak tanya sesuatu?”
“Apa dia kak? Nak suruh saya hantar surat ke?” Ish budak Adha ni, aku tahu le kerja kau tu menghantar surat…
“Akak nak tanya ni, siapa yang kirimkan bunga tu untuk akak? Kak Ton kata Adha yang letakkan atas meja kakak.”
“Kali ni memang saya tak dapat bagitahu kakak siapa pengirimnya kerana saya dah janji. Tapi kalau akak nak tahu, pengirimnya ada di sini-sini jugak. Dia minta saya rahsiakan siapa dirinya sebenar. Dia ikhlas nak berkawan dengan kakak.”
“Kalau nak berkawan pun, takkan tak ada clue langsung. Macam mana?”
Adha hanya mengangkat bahunya sambil tersenyum. Dayang Atikah kembali semula ke bilik guru.
“Cantik bunga ni Dayang. Bertuah kau, dapat bunga. Abang Halim kau tu, jangankan kata bunga mawar macam ni, bunga tahi ayam pun tak pernah bagi pada akak.” Kak Azmira menegurnya membuat yang lain mendengar tertawa. Suaminya yang juga kebetulan guru di situ hanya tersenyum disindir isterinya.
“Tak sangka ada secret admirer rupanya kau kat sini.” Tania bersebelahannya turut gembira melihat teman barunya itu menerima jambangan bunga yang indah dan harum mewangi.
“Dalam hidup aku tak pernah menerima bunga macam ni. Jauh di sudut hati ada juga rasa bahagianya namun sayang, aku bukannya suka bunga mawar.”
“Sayangnya. Kalau macam tu bagi ajelah kat aku. Biar aku letak atas meja ni.” Tania meminta.
Sememangnya dia amat gemarkan bunga mawar. Memikirkan Dayang Atikah yang tidak gemarkan bunga itu, dia terlihat ada sekuntum tulip kristal di mejanya. Hampir sama dengan bunga yang ada di meja Amjad. Adakah ini menandakan sesuatu yang belum diketahuinya?
Heboh seketika bilik guru pada waktu tengah hari itu kerana bunga yang diterima Dayang Atikah. Ramai yang membuat spekulasi bahawa Amjad yang menghantar bunga itu kerana sejak kebelakangan ini mereka berdua kelihatan akrab. Namun seandainya benar Amjad yang menghantar bunga ini, kenapa tiada kad yang tertulis? Sekurang-kurangnya dia tahu. Tetapi dia rasa Amjad tahu bahawa bunga kegemarannya adalah tulip. Rasanya tak mungkin Amjad yang menghadiahkan dia jambangan itu.
Dia mengeluarkan kuntuman bunga yang diterimanya satu persatu dan memberikan kepada semua yang ada di situ.
“Saya tak suka bunga mawar.” Itulah jawabnya bila ditanya.
Tengku Mukhlis yang memandang mengetap bibir. Tak sangka Dayang Atikah mempermainkan pemberiannya. Dia segera keluar dari bilik guru dan ke kantin.
Amjad yang baru masuk ke bilik guru turut terkena biasan daripada apa yang Dayang Atikah terima. Cikgu Sudin memperlinya kerana jambangan bunga itu. Begitu juga dengan Cikgu Kamarul yang berkata bermacam-macam dan tersenyum sinis kepadanya. Dia yang tidak tahu apa-apa hanya diam. Dari mejanya dia dapat melihat Dayang Atikah sedang membahagikan bunga mawar untuk guru-guru di situ. Gadis itu tersenyum menawan. Bahagia barangkali menerima jambangan itu. Perempuan dan bunga tidak dapat dipisahkan. Di matanya ada sinar cemburu melihatkan Dayang Atikah menerima pemberian itu.
Siapa pula yang sama meminati gadis yang dipujanya dalam diam itu? Matanya terganggu dengan apa yang dilihat. Telinganya pedih mendengar kata-kata teman sekeliling. Bibirnya pula tergerak untuk bertanya sesuatu namun tidak terkeluar. Yang pasti dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri…
Namun barangkali dia lupa bahawa Dayang Atikah itu bukan rasmi miliknya, bukan hak mutlaknya…


Stylish Thankyou

1 comment:

  1. Cheq sue..tak sangka cheq sue pandai menulis! suka dan kagum mieza dgn org seni...seronok baca kisah ni :)

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]