PAGES

Sunday, July 1, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 20



 
 



 
Janji diikat sehidup semati, semoga bahagia kekal abadi…

Chempaka dan Syameer mengadakan majlis perkahwinan mereka sempena cuti hujung minggu. Pasangan itu memilih warna biru laut sebagai tema majlis mereka. Dayang Atikah dan Amjad akan menjadi pengapit semasa majlis persandingan itu nanti. Mereka diminta mengenakan kebaya dan baju Melayu dalam warna putih susu. Atas permintaan Chempaka dan Syameer, mereka terpaksa akur walaupun pada mulanya Amjad kurang bersetuju. Ternyata dia masih jauh hati dengan Dayang Atikah yang menjadi tumpuan orang lain selain dirinya.
Dan atas sebab cemburu itu juga mereka sudah tidak bertegur sapa hampir dua minggu. Amjad kembali dingin dengan Dayang Atikah kerana jambangan bunga yang diterimanya sedangkan dia tidak pernah menunjukkan perasaan cemburunya kerana Amjad menerima kiriman nota ringkas satu masa dulu. Kalau adapun di antara mereka bagaikan orang asing yang tidak saling mengenali. Dayang Atikah mengawal perasaannya yang didera secara halus oleh Amjad. Dia tahu perasaan lelaki itu namun bukan salahnya. Kalau Amjad memulakan perang terhadapnya, dia akan membalas biar lelaki itu tahu dia bukannya barang yang boleh digunakan dan dibiarkan sesuka hati.
Dayang Atikah mencapai kebaya yang telah ditempahnya untuk ke majlis petang nanti. Tudung putih digandingkan bersama. Wajahnya kelihatan ayu dan manis. Agaknya seri pengantin turut terbias ke arahnya. Ibu yang turut datang dari Batu Pahat juga sedang bersiap. Chempaka teringin benar untuk bertemu ibu sempena majlisnya itu. Bukannya apa, mama dan papanya tidak dapat datang, maka sudah tentulah dia memerlukan pengganti untuk menghilangkan debar di hatinya hari ini. Memanglah kehadiran Dayang Atikah dapat meredakan perasaannya namun dengan adanya ibu, Chempaka rasakan hidupnya semakin lengkap dan sempurna. Lagipun ibu Dayang Atikah sudah dianggapnya seperti ibunya sendiri.
Malam tadi, dengan dua kali lafaz, sahlah Chempaka menjadi permaisuri dalam hidup Syameer. Dayang Atikah bahagia, begitu juga dengan ibunya dan beberapa teman lain yang turut sama dalam majlis itu. Amjad yang hadir berada di belakang Syameer dan hanya memandang sekali sekala ke arahnya yang berada di sebelah Chempaka. Nampaknya sampai begitu sekali dia memendam rasa terhadap Dayang Atikah. Susahkah baginya untuk berlagak selamba seperti biasa? Minta-mintalah tiada yang perasan, Chempaka, Syameer ataupun ibunya.
Ketika acara menepung tawar, barulah Dayang Atikah dapat melihat ada senyuman di bibir basah Amjad. Dia tahu Amjad cuba menyesuaikan emosinya dengan keadaan dan tidak ingin merosakkan majlis sahabatnya itu.
Entahlah Am, aku pun tidak tahu apakah yang akan terjadi dalam perhubungan kita ini… Andai kau berterusan menyalahkan aku, di manakah hak aku sebagai seorang perempuan untuk cemburu terhadapmu?
“Tahniah Chem, Syameer. Aku doakan kebahagiaan korang berdua. Nampaknya lepas ni terpaksalah aku tinggal sorang-sorang kat rumah tu. Maklumlah Syameer dah rampas kau dari aku. Sedihnya.”
“Janganlah cakap macam tu. Amjad kan ada. Korang bila lagi? Aku doakan cepat-cepat sikit sampai jodoh korang ni. Tak begitu ibu?”
“Kau jangan tunggu lama-lama lagi Am. Nanti kehilangan dia, menyesal!”
Puan Khadijah tersenyum mendengar usikan Chempaka dan suaminya.
Amjad tersenyum mendengar apa yang dikatakan oleh Syameer itu. Kalau boleh sekarang juga dia ingin melamar Dayang Atikah namun apakan daya…
Aku sudahpun kehilangannya Syameer!
Puan Khadijah memandang Amjad dan Ika, anaknya. Dari firasatnya sebagai seorang ibu, dia dapat merasakan ada yang tidak kena di antara pasangan itu. Chempaka ada memberitahunya bahawa sejak kebelakangan ini mereka berdua telah berkawan baik namun pada hari ini keduanya tidak ceria malah saling mengelakkan satu sama lain. Dia cuba mencari-cari jawapan namun fikirannya buntu…


Setelah kau pergi, aku sendiri di dalam sepi.. Bisakah yang hilang berganti kembali?

Dayang Atikah memandang bilik yang kosong di hadapannya. Sudah dua minggu dia bersendirian. Chempaka meninggalkan dia dan tempat yang penuh kenangan itu dan kini membina hidup baru bersama suaminya di Taman Morib. Pertemuan mereka hanya di sekolah. Ternyata keadaan sekarang sudah berubah. Sesungguhnya dia amat rindukan kehidupan yang lalu di mana dia dan Chempaka saling berkongsi suka dan duka bersama.
Kini Tania yang akan menyewa di rumah itu bersamanya. Sebelum ini Tania tinggal di Kuarters SMKPI, tapi dia meminta keluar dari situ kerana tidak mahu terlalu terikat dengan peraturan. Maklumlah gadis bandar…
Dayang Atikah tidak kisah, mungkin dia belum kenal Tania sepenuhnya. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja.


Mendung hitam mengarak mega, bilakah mentari akan bersinar?

“Am, Dayang ada sesuatu yang hendak dibicarakan dengan Am. Boleh balik dengan Dayang petang ni?” Dayang Atikah menegur Amjad ketika lelaki itu menghulurkan senarai peserta untuk pertandingan melakonkan drama klasik yang akan di anjurkan oleh Kelab Bahasa.
“Kalau cakap sekarang tak boleh ke?” Amjad menjawab. Matanya tidak memandang Dayang Atikah.
“Dayang perlukan suasana yang lebih privacy daripada di sini.”
“Petang ni  Am berjanji dengan Kamarul hendak ke Kuala Lumpur.”
Dayang Atikah mengeluh. Sesungguhnya dia tidak percaya dengan kata-kata Amjad itu. Dia pasti bahawa lelaki itu mengelak daripada berbicara dengannya.
“Kamarul dah  bagitahu Dayang tadi, dia akan ke PPD untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pertandingan Debat Negeri bulan depan. Itu bukanlah alasan yang baik untuk Am mengelak dari Dayang. Kita perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki hubungan kita ini.”
“Apa yang Dayang maksudkan ni?”
“Jangan berpura-pura Am. Hipokrit. Dayang tunggu Am di Pelabuhan pukul 5 petang nanti.”
Dayang Atikah berlalu selepas melafazkan kata-kata itu kepada Amjad. Sedih hatinya dengan perlakuan Amjad yang langsung tidak menghargainya. Langsung tidak memberi peluang kepada dirinya. Di manakah Amjad yang dikenalinya dulu?
Ada sesuatu di mejanya ketika dia sampai di bilik guru. Sejambak bunga tulip pelbagai warna. Memang kegemarannya. Ada putih, kuning, merah, dan merah jambu. Manarik sekali. Namun dari siapa pula kali ini? Seperti dulu, tiada nama atau pengenalan pada kad yang disertakan bersama jambangan itu. Sekadar coretan ringkas untuk berkenalan dengannya. Masakan Amjad yang memberi jambangan itu? Mungkin sebagai tanda maaf? Tetapi tiada sepatah kata yang keluar dari bibirnya tentang jambangan tersebut. Dayang Atikah buntu dan bercelaru. Tania yang berada di mejanya dipandang.
“Tania, kau tahu siapa yang meletakkan bunga ni di sini?”
“Tadi aku nampak Adha yang letakkannya kat situ.”
Adha lagi! Malas dia hendak bertanya siapa yang menghantar bunga tersebut. Dia percaya bukan Amjad. Mungkin lelaki lain. Sayang, dia tidak berminat. Dalam hatinya cuma ada Amjad, sama ada lelaki itu tahu atau tidak.
Jambangan itu segera dicampakkan ke dalam tong sampah. Walaupun tulip amat digemarinya, namun misteri begini membuatkan dia tidak suka.  Hatinya segera dibersihkan dari sebarang rasa marah dan keliru. Bibirnya mengukir senyum. Dia memandang Tania yang sedang membungkus sesuatu dalam kotak sebesar saiz pizza sederhana.
“Kenapa kau buang bunga tu Dayang? Jangan kau cakap kau tak sukakan tulip jugak.”
“Malas aku nak layan orang yang macam tu. Nak berkenalan buatlah betul-betul. Ini tidak, hantar bunga je. Bukannya boleh makan. Hadiah untuk siapa ni?”
“Untuk seorang teman baru.”
“Kau tak kisah kalau aku nak tahu?”
“Mana boleh? Tunggulah kalau dah confirm nanti. Petang ni kau balik dengan apa?”
“Kenapa?”
“Lepas sekolah ni aku terus nak ke Pelabuhan.”
“Teksi kan banyak. Aku balik dengan teksilah. Kau nak buat apa di sana?”
“Adalah, rahsia.”
“Kau ni tak pernah tak ada rahsia dengan aku.”
Tania hanya tersenyum dan mengemaskan barang-barangnya. Sudah pukul 1.30 petang.
“Aku pergi dulu.”
Dayang Atikah hanya tersenyum memberi tindak balas kepada Tania. Teman serumahnya itu sentiasa ceria. Tak pernah ada awan mendung dalam hidupnya.
Barang-barang yang hendak di bawa balik dimasukkan ke dalam beg bimbitnya yang dihasilkan daripada mengkuang, pemberian badan pengawas perpustakaan pada sambutan hari guru yang lepas. Setelah itu dia keluar dari bilik guru. Teman-teman lain yang ingin balik dihadiahkannya dengan senyuman. Dia segera ke tempat menunggu teksi. Hampir 20 minit menunggu, teksi yang dinantinya tiba. Segera dia naik dan memberitahu arah tujunya.
Namun baru saja teksi itu bergerak, dia menukar arah untuk ke Pelabuhan. Hatinya tergerak untuk melihat apakah yang Tania lakukan di sana. Bagaikan ada sesuatu yang menggamitnya.
Turun dari teksi, dia mencari-cari kereta Satria GTI milik Tania. Matanya melilau ke kiri dan kanan. Dan nun di bawah pokok ru sana, dia ternampak kereta itu bergandingan dengan Wira Kuning. Milik siapa? Dadanya berdebar. Dan matanya tidak pernah menipu apabila kelibat Amjad sedang tertawa bersama Tania dilihatnya. Perasaannya menjadi tak tentu. Bagaimana pula dia tidak tahu perhubungan Tania dengan Amjad? Patutlah semanjak dua menjak ni Amjad tersangat-sangatlah lain, rupa-rupanya perasaan itu telah dimiliki oleh Tania. Agaknya hadiah tadi pun untuk Amjad. Dayang Atikah terfikirkan kad yang diterima oleh Amjad dulu.
Tania? Sungguh dia tidak percaya perempuan itu lebih cepat memulakan langkah berbanding dirinya…. Dayang Atikah terasa ingin menangis… 


Stylish Thankyou

1 comment:

  1. salam gan ...
    menghadiahkan Pujian kepada orang di sekitar adalah awal investasi Kebahagiaan Anda...
    di tunggu kunjungan balik.nya gan !

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]