PAGES

Sunday, September 30, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 33





 
 





 
Kalaulah engkau tahu dalam hatiku ini penuh dengan perasaan cemburu terhadapmu….

Aqeef membatalkan ajakan Faizal yang mengajaknya ke court. Hari ini dia mahu berjumpa dengan Dayang Umairah. Semalam mereka sudah berjanji ingin berjumpa namun dia tidak dapat menunaikan janji kerana sewaktu balik ke UM, jalan dari PJ sesak teruk. Hampir 2 jam dia terperangkap dalam jem. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah keadaan itu.
Tepat pukul 5.30 petang dia mengambil Dayang Umairah di perkarangan courtyard fakulti. Nasib baik juga gadis itu tiada kuliah atau tutorial petang ini. Kalau tidak dia terpaksa lagi memendam perasaan marahnya.
“Hai Qeef. Sorrylah Irah lambat sikit. Ada presentation tadi. Dah lama tunggu?”
“Tak adalah lama sangat.”
Pendek sahaja jawapan yang diberikan Hairul Aqeef. Dayang Umairah memandang lelaki itu. Ada sesuatu yang tidak kenakah? Dia hanya mendiamkan diri. Sudah faham dengan perangai lelaki itu yang agak panas baran dan ego.
“Aqeef ada nampak Irah dengan Abang Zack. Mesranya.”
Oh… inikah yang membuatkan Aqeef muncung sepanjang hari?
“Irah memang ada jumpa dia. Dia kenalkan Kak Su pada Irah, bakal isterinya.”
“Aqeef nampak Irah berdua dengan dia. Irah jangan bohong.”
“Kenapa pulak Irah nak bohong? Irah memang jumpa mereka berdua. Aqeef tak percaya?”
“Irah boleh cakap macam-macam tapi Aqeef nampak dengan mata Aqeef sendiri.”
“Qeef, kalaulah perkara macam ni Aqeef nak besar-besarkan, Irah tak tahu nak cakap macam mana. Hubungan antara Irah dan Abang Zack tak lebih dari seorang abang dan adik. Kenapa hal macam ni pun Aqeef susah nak faham? Aqeef ambil law, so rasanya banyak teori-teori percakapan yang telah Aqeef tahu.”
“Perempuan memang suka membebel.”
“Qeef, kalau Qeef rasa keluar dengan Irah hanya sekadar untuk menuduh Irah yang bukan-bukan, tak payahlah buang masa. Irah ada banyak kerja lain lagi yang perlu di lakukan. Sekali lagi Irah tegaskan, hubungan kami hanyalah berlandaskan hubungan kekeluargaan abang dan adik. Aqeef adalah teman lelaki Irah. Kalau Aqeef masih ingat di permulaan hubungan kita dulu, kita hanya mencuba, kalau tiada kesesuaian kita berhak untuk mendapatkan apa yang lebih sesuai dan lebih baik. Jadi Irah serahkan kepada Aqeef untuk membuat keputusan.”
Dayang Umairah berkata geram. Dia lantas keluar dari kereta Hairul Aqeef dan terus menahan teksi. Baginya Aqeef bersikap kebudak-budakan. Sebagai bakal peguam dia seharusnya dapat berfikir secara rasional dan matang.
Memandang Dayang Umairah yang telah masuk ke dalam teksi, Aqeef agak terpana. Tidak sangka Umairah memperlakukan dia sedemikian. Nampaknya dia telah kalah. Hajatnya nahu melihat Umairah merayu-rayu dia tetapi tanpa sedikit pun kerutan di dahinya, perempuan itu telah berjaya membuatnya berfikir berulang kali.
Memang betul katanya, aku patut membuat keputusan…


Janganlah dilakukan kesilapan yang sama,carilah penyelesaian yang terbaik…

Adawiyah terkejut melihat Hairul Aqeef membuka pintu selepas memberi salam. Selalunya sebelum balik anak sulungnya itu akan menelefon terlebih dulu.
“Papa belum balik ma?”
“Belum. Papa sejak kebelakangan ni ada kelas tambahan di sekolah. Aqeef balik ni kenapa? Tak telefon dulu pun.”
“Saja Aqeef nak kejutkan mama dan papa.”
“Aqeef kalau balik tak telefon dulu, mesti ada masalah. Mahu kongsi dengan mama?”
“Mama ni pandai-pandai aje. Aqeef balik ni sebab rindukan sambal sotong mama. Boleh masakkan untuk Aqeef?”
Adawiyah mengusap-usap mesra rambut anaknya itu. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.
Aqeef merebahkan badan di katilnya. Fikirannya teringatkan Umairah. Senyuman, lirik matanya dan merdu suaranya terbayang dan terdengar jelas di derianya. Sebenarnya dia ingin meminta maaf namun kesibukan kadang-kadang menghalangnya. Lagipun biarlah gadis itu sejuk dahulu. Dalam fikirannya teringatkan Umairah, tanpa sedar dia terlena.
“Aqeef ada sesuatu yang hendak dikongsikan dengan papa?” Tanya Amjad kepada anaknya ketika mereka sedang bersantai berdua di halaman rumah selepas makan malam.
Aqeef hanya memandang papanya. Dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita.
“Minum papa, abang.” Adiknya Sufiah datang membawa dua cawan kopi.
“Papa jangan terkejut dengar cerita Aqeef ni.” Sambil menundukkan mukanya, Aqeef membuka kata.
“Apa dia?”
“Sebenarnya, Aqeef dan Umairah… kami sebenarnya lebih dari seorang kawan.”
Umairah?
Lebih dari seorang kawan?
Amjad agak terkejut dengan cerita anaknya. Terbayang-bayang di matanya gadis yang bertahi lalat di bawah mata kanan itu. Umairah, anak temannya yang pernah satu masa dulu bertakhta di hatinya. Sekarang perasaan itu bertukar ke generasi penyambungnya. Kuasa Tuhan!
“Apa maksud Aqeef?” Dia mengawal nada suara dan memberikan tumpuan kepada apa yang anaknya katakan. Dia sudah dapat mengagak apa sebenarnya.
“Aqeef dan Umairah bercinta!”
Memang sahlah seperti apa yang dia fikirkan. Bibirnya mengukir senyum manis.
“Umairah anak uncle Zami? Hai, diam-diam aje anak papa ni?”
“Tapi sekarang kami bergaduh. Sebab tulah Aqeef balik nak tanya papa macam mana nak buat.”
Sebelum memberi balasan kepada kata-kata Aqeef, Amjad menepuk-nepuk belakang anaknya itu.
“Aqeef, sepatutnya tak payahlah bergantung pada papa lagi. Aqeef kan bakal peguam. Gunakan kebijaksanaan dan psikologi untuk menundukkan lawan. Tapi satu papa nasihatkan Aqeef. Kalau betul Aqeef suka dan sayangkan Umairah, pujuk dan minta maaf pada dia. Kalau tidak Aqeef akan menyesal seumur hidup nanti. Papa kenal sangat dengan Umairah tu.”
Dia tidak ingin apa yang telah menimpanya dulu kembali mengenai anaknya. Kalau dulu dia kehilangan ibu Umairah, biarlah kini anaknya yang menyambung tali kasih itu. Dia telah membuat silap satu masa dulu, dia tidak mahu anaknya membuat kesilapan yang sama juga. Kepedihan dan penderitaan telah banyak dirasanya ekoran sikapnya itu.
Jangan sekali-kali warisi sikap papa itu Aqeef!


Antara dua hati dua orang perempuan… ada yang terselindung sebaliknya…

“Kak Su nak jumpa Irah kenapa?”
Dayang Umairah bertanya kepada Nik Sumayyah yang berada di hadapannya. Nik Sumayyah segera menutup buku yang dibacanya dan memberi tumpuan kepada  gadis di hadapannya.
“Kak Su ada hal yang hendak dibincangkan dengan Irah. Sebenarnya Kak Su adalah kakak angkat Aqeef. Dan dia ada menceritakan perihal Irah dan dia. Boleh Kak Su tahu apa yang telah berlaku?”
“Oh, macam tu. Irah tak tahu pun. Sepanjang kami berhubungan dia tak pernah bagitahu Irah bahawa dia ada kakak angkat di sini.”
“Kak Su tak mahu dia hebahkan perkara ini. Sebenarnya sudah lama, sejak Kak Su di tahun dua lagi.”
“Bagusnya Kak Su ambil berat pasal dia tapi Irah harap biarlah dia sendiri yang menyelesaikan masalah ini. Dia yang ego. Takkan kita perempuan hendak melutut di kakinya menagih perasaan cinta itu. Bagi Irah, kalau kita betul, tak perlu takut untuk menunjukkan kebenarannya. Zaman sekarang ni Kak Su, perempuan pun boleh hidup kalau tak ada lelaki.”
“Masalahnya Aqeef tu tak boleh hidup tanpa Irah. Dia merayu-rayu Kak Su untuk memujuk Irah.”
Aqeef tak boleh hidup tanpanya?
Berbunga seketika perasaannya saat mendengar kata-kata itu.
“Kak Su, sekali sekala biarlah dia tunjukkan yang dia betul-betul perlukan Irah dalam hidupnya. Irah faham dia cemburu tapi takkan dia tidak faham hubungan Irah dan Abang Zack tak lebih dari hubungan adik dan abang saja?”
“Masalahnya Kak Su tak pernah memberitahu dia tentang hubungan Kak Su dan Abang Zack. Sebab itulah dia menyangka yang bukan-bukan.”
“Ok. Kalau macam tu, sekarang dia dah tahu. Kak Su biarkan saja dia mencari penyelesaian. Kalau keadaan macam ni pun dia tak dapat handle, macam mana dia nak menjalani chamberingnya nanti?”
Nik Sumayyah memandang Dayang Umairah yang tenang di hadapannya. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Ahmad Zikrullah, gadis itu seorang yang tegas dan nekad. Sesuai dengan sifatnya yang agak kasar. Kalau tidak masakan bidang kejuruteraan yang menjadi pilihannya. Namun diakui bahawa di sebalik sifat kasarnya itu tersembunyi sesuatu yang menarik. Barangkali itulah yang membuatkan Hairul Aqeef tidak lena tidur malam memikirkan gadis bernama Dayang Umairah ini.
“Kak Su, Irah pergi dulu. Nanti ada tutorial.”
Dayang Umairah bangun dan tangannya menyalami Nik Sumayyah. Satu kucupan di berikan di telapak tangan perempuan yang sudah dianggapnya seperti kakak sendiri itu…
Dia membawa langkahnya, tenang menuju ke fakulti. Walaupun dalam fikirannya terselirat dengan banyak perkara namun dia masih gagahkan diri untuk menyapa dan memberikan senyuman kepada teman-teman yang berselisih dengannya.

Stylish Thankyou

Saturday, September 29, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 32

 
 
 
Dalam hati ada debar memandang wajahnya, dalam jiwa ada rindu pada dirinya….

“Kau ni kenapa Irah? Aku tengok sejak dari tadi asyik senyum sorang-sorang aje.”
Syarifah Zuraidah, teman sebiliknya menyoal. Dayang Umairah tersentak. Dia mengangkat muka dan memandang wajah temannya yang sedang menggosok baju kurung, barangkali  untuk dipakai ke kuliah besok.
“Aku sebenarnya teringatkan Aqeef. Dia telefon aku tadi. Katanya malam ni nak ajak aku keluar makan.”
“La… bukannya selama ni kau tak pernah makan bersama dengan dia.”
“Kau tahu Zu? Sebenarnya aku rasa lain sangat bila dia ajak aku tadi. Dia tak macam selalu. Kali ni dia serius. Itu yang buat aku tak percaya.”
“Kau sukakan dia ke?”
“Setahun di sini, walaupun banyak kawan lelaki hanya dia yang betul-betul rapat dan memahami aku. Mungkin juga aku sukakan dia tapi rasanya masih terlalu awal untuk kami bercinta. Lagipun aku harus menunggu dia yang meluahkan perasaannya dulu. Perigi mana boleh cari timba Zu!”
“Sebagai coursemate, aku melihat dia mempunyai dua watak yang berbeza. Dalam kelas dia memang serius, menumpukan sepenuh perhatian pada setiap lecture. Tetapi kadang-kadang sikapnya di luar kelas membuatkan orang tidak menyangka dia mengambil law. Secara jujurnya aku melihat dia sebagai seorang teman yang boleh berkongsi suka duka dengan kita. Very nice person!”
“Zu, kadang-kadang aku rasa berdebar kalau bersama-sama dengan dia. Dan kadang-kadang aku rasa rindu kalau tidak berjumpa dengannya.” Dayang Umairah memintal hujung sarung bantalnya bagi mengurangkan gelisah di hati.
“Mana tahu malam ini dia akan meluahkan perasaannya pada kau?”
“Kau buat aku malu Zu.”
Pipi Dayang Umairah sudah kelihatan merona dengan warna merah. Mendengar Syarifah Zuraidah berkata begitu, dirinya benar-benar malu…
Dia tidak sabar menunggu malam menjelma untuk berjumpa dengan lelaki yang telah mengusik perasaannya. Di dadanya ada debar menantikan pertemuan malam nanti.


Kita mencuba mencari bahagia… meskipun tahu bermain api bisa membakar diriku sendiri….

“Aqeef, Irah dah fikirkan apa yang Aqeef cakapkan pada Irah minggu lalu. Sekarang Irah nak cakap apakah keputusan Irah.” Begitulah permulaan katanya ketika bertemu Aqeef di fakulti.
“Irah, Aqeef tak paksa Irah buat keputusan kalau Irah belum bersedia. Aqeef boleh tunggu.”
“Sebenarnya Irah pun tak tahu sejauh mana kita boleh menjaga perhubungan kita tapi Irah ingin mencuba. Kalau kita tak serasi, kita punya peluang untuk mendapatkan yang lebih baik tapi dengan syarat kita berterus-terang. Setuju?”  Itulah kata-kata yang telah dia dan Syarifah Zuraidah fikirkan sebagai jawapan yang paling sesuai untuk pertanyaan Hairul Aqeef.
“Aqeef akan memberikan yang terbaik untuk Irah. Sebenarnya Aqeef takut kalau tak dapat memiliki Irah kerana classmate Aqeef tu ramai yang sukakan Irah. Jadi baik Aqeef mulakan langkah dulu sebelum melepas tengok Irah berpasangan dengan orang lain.”
“Kalau macam tu Aqeef pilih Irah sebab mahu bersaing dengan classmate Aqeef lah ya?”
“Irah, sebenarnya dah lama Aqeef pendam perasaan pada Irah tapi mungkin masa itu belum sesuai untuk kita bercinta. Aqeef sukakan Irah bukan kerana mama dan papa berkawan rapat dengan umi dan ayah Irah tapi perasaan itu lahir sendiri dalam hati. Aqeef betul-betul terpikat dengan Irah.”
“Jangan memuji Irah sebegitu tinggi Aqeef. Irah malu.”
“Aqeef hanya menyatakan yang sebetulnya saja.”
“Eh, petang ni Abang Zack nak jumpa Irah. Aqeef nak ikut?”
“Petang ni Aqeef kena pergi court. Kenapa dia nak jumpa Irah?”
“Semalam mama datang melawat tapi Irah tak sempat jumpa dia. Dia ada tinggalkan sesuatu untuk Irah jadi Irah nak pergi ambil.”
“Aqeef tengok Irah baik dengan Abang Zack.”
“Aqeef… Abang Zack tu dah jadi macam abang kandung Irah tau. Umi pun selalu berpesan agar meminta pertolongan darinya kalau ada sebarang kesulitan.”
“Aqeef kan ada, jadi tak perlulah pertolongannya lagi.”
Nada suaranya itu berbaur cemburu.
“Kenapa Aqeef cakap macam tu? Irah sekadar menghormati dia dan menjaga perhubungan ibu bapa kami sahaja. Begitu juga dengan ibu bapa Aqeef. Aqeef dalam hati Irah adalah sesuatu yang lain daripada Abang Zack.”
“Kalau macam tu Irah jaga diri baik-baik ya. Aqeef kena pergi dulu. Dah janji dengan Farhan di LRT. Malam nanti Aqeef call. Bye.”
Bye.”
Dayang Umairah menghantar Hairul Aqeef dengan ekor matanya. Lelaki itu smart dengan t-shirt yang di tight-in. Budak law… imej mesti dijaga! Apapun dia gembira dengan lelaki itu. Haruskah dia memberitahu umi tentang perubahan perasaannya kini? Namun yang satu, seperti juga Uncle Am, begitulah anaknya yang masing-masing berkongsi perasaan yang sama – kuat cemburu!


Pertemuan ini menunjukkan pilihanmu, ternyata tepat dan sesuai…

Sedar tidak sedar sudah dua tahun berlalu. Ahmad Zikrullah kini sedang menyiapkan tesis tahun akhirnya untuk membolehkan dia mendapatkan sugulung ijazah sebagai tanda penat lelahnya selama hampir lima tahun menuntut di UM. Dia yang mengkhusus dalam bidang perubatan oncology sudah tentunya memerlukan perhatian dan tumpuan yang bukan sedikit. Sebab itulah dia tidak punya banyak masa untuk membuat hubungan sosial.
Sepanjang pengajian di UM, hanya beberapa orang sahaja yang rapat dengannya. Salah satunya sudah tentulah Dayang Umairah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Gadis manja itu memang memahami dirinya yang bukan selalu dapat bersua muka. Mujur juga dia tidak menjalinkan cinta dengan perempuan lain. Kalau tidak tiada yang tahan dengannya. Hanya Nik Sumayyah, gadis yang bersama-sama menjalani tutorial dengannya faham tentang kesibukannya. Mungkin juga kerana gadis yang berasal dari Kelantan itu sama aliran dengannya cuma dia mengkhusus di dalam bidang pergigian. Sebab itulah dia lebih senang berdampingan dengan Nik Sumayyah walaupun tidak pernah ada ungkapan cinta antara keduanya.
Pada malam ini, pada kelapangan yang dia ada sebenarnya, dia akan berjumpa dengan Dayang Umairah. Turut dibawanya bersama ialah Nik Sumayyah yang akan dikenalkan dengan Umairah. Sudah beberapa kali gadis itu merungut kerana Abang Zacknya mungkin janji. Perjumpaan dengan adiknya itu bagaikan menjadi agenda wajib dirinya. Paling kurang sekali sebulan. Dia sesungguhnya amat menghormati ibu dan ayah Dayang Umairah oleh sebab itulah dia sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan masalah gadis itu. Dia tahu Hairul Aqeef juga menjalani pengajian di situ namun jarang juga berjumpa kerana anak Pak Cik Am itu lebih banyak menghabiskan masanya di mahkamah. Bakal peguamlah katakan….
Selepas mengambil Nik Sumayyah di Vista Angkasa, dia beralih pula ke kediaman Dayang Umairah. Malam itu Ahmad Zikrullah akan membawa dua perempuan yang bermakna dalam hidupnya itu menikmati makan malam di Bangsar. Walaupun kali pertama ditemukan, Dayang Umairah dan Nik Sumayyah seperti telah saling mengenali sebelum ini.
“Inilah bakal kakak ipar Irah.”
Begitulah Ahmad Zikrullah ketika memperkenalkan Nik Sumayyah kepada Dayang Umairah. Dayang Umairah yang memang suka mengusik tersenyum lebar. Suka dengan pilihan abangnya itu. Cantik, lemah lembut dan mesra dengannya. Bagaikan telah saling mengenali sebelum ini.
“Bila Kak Su nak bawa Abang Zack jumpa ibu bapa akak? Abang Zack ni dah lama nak ke Kelantan sebenarnya.” Begitulah dia mengusik sehingga Nik Sumayyah tidak lekang dengan senyuman di bibirnya yang basah itu.
Sementara menunggukan makanan di hidang, Nik Sumayyah meminta diri untuk ke tandas. Barangkali juga tidak tahan dengan gurauan dan usikan yang dilakukan Dayang Umairah.
“Irah ada sesuatu nak cakap dengan abang sebenarnya tapi Irah malu, Irah takut kalau abang ketawakan Irah.”
“Kenapa pulak abang mesti ketawa? Irah belum cakap, jadi abang belum tahu cerita Irah tu kelakar ke tak.”
“Abang ni… Sebenarnya Irah dengan Aqeef… sebenarnya kami…”
“Irah, please control yourself. Apa yang Irah cuba bagitahu abang? Dia ganggu Irah ke?”
Belum pun sempat Dayang Umairah menghabiskan ayatnya, terlebih dulu Ahmad Zikrullah memotong cakapnya.
“Sebenarnya kami…”
Dayang Umairah tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Ahmad Zikrullah tentang hubungannya dengan Aqeef. Dia bimbang lelaki itu akan mentertawakannya setelah mendengar pengakuan itu.
“Agaknya Irah dan Aqeef bercinta kot?”
Ahmad Zikrullah membuat andaian. Dari pandangannya dapat dilihat itulah yang cuba di suarakan oleh Dayang Umairah tadi. Tiba-tiba dia meledakkan tawanya. Dayang Umairah tersipu-sipu.
Dan di anjung restoran sana, Hairul Aqeef yang kebetulan berada di sana memandang dengan hati yang bungkam. Dia cemburu dengan hubungan Irah dan Ahmad Zikrullah itu. Dia segera mencapai beg sandangnya. Makanan yang dipesan tidak sempat masuk ke perutnya. Dia tidak berselera untuk menjamah apatah lagi setelah matanya melihat kemesraan antara dua manusia yang berlainan jantina itu. Yang paling menyedihkannya ialah, perempuan itu adalah insan yang bertakhta di hatinya saat ini. Sesungguhnya dia cemburu!
Sedang elok Aqeef membawa dirinya, Nik Sumayyah kembali ke meja makan dan mengambil tempat di sisi Ahmad Zikrullah tetapi sayangnya Aqeef tidak memandang itu. Langkahnya ke depan dan tidak berpaling lagi…

Stylish Thankyou

Misteri Cinta ~ ep. 31

 
 
 
Masa dan manusia tidak pernah berjauhan… sentiasa seiring bersama.

Masa berlalu dengan pantas tanpa ada yang mampu menahannya. Dari saat bertukar ke minit sehingga bermula kiraan jam. Dan kemudian pula bertukar menjadi hari. Setelah pertukaran mentari dan rembulan, tanda aturan Tuhan yang tidak pernah silap mewujudkan pertukaran siang dan malam yang sentiasa tepat. Dari hari bertukar menjadi bulan sehinggalah kiraan itu menjadi semakin besar sehingga ke satu tempoh yang dipanggil tahun pula.
Itulah fitrah alam. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang sentiasa ke depan dengan pertambahan yang semakin meningkat tak kira dalam apa jua keadaan. Sekelip kita memejamkan mata, serentak itu juga masa juga semakin menghimpit kita.
Dan kerana masa itu jugalah, kehidupan insan-insan yang bernama Dayang Atikah, Hasrul Amjad dan Chempaka bersama pasangannya masing-masing terjalin dalam suasana dan keadaan harmoni dan penuh kasih…


Perpisahan ini terjadi lagi…duhai anak jagalah dirimu sendiri nanti…

Dayang Atikah menolong Dayang Umairah mengemaskan beberapa lagi barang yang belum dimasukkan ke dalam beg. Pada hari ini dia dan Hazami akan menghantar puteri tunggal mereka itu mendaftar di Universiti Malaya. Dayang Umairah yang cemerlang dalam matrikulasinya mengambil bidang kejuruteraan sebagai pilihannya kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu. Adiknya, Fareez Hazim dan Faez Haziq tidak di bawa bersama kerana kebetulan pula mereka menyertai lawatan sambil belajar ke Kompleks Warisan Johor yang dianjurkan oleh Kelab Kebudayaan Sekolah.
“Umi, Irah rasa tak nak bawa barang-barang ni. Dah banyak sangat ni.”
“Kenapa pula? Kan barang-barang ni masih boleh digunakan lagi. Tak elok membazir.”
“Bukannya Irah hendak membazir umi tapi kalau ditinggalkan di rumah, Hazim dan Haziq masih boleh menggunakannya.”
“Kalau macam tu kata Irah, umi tak kisah. Jangan nanti telefon umi merengek-rengek minta dihantarkan semula.”
“Umi, Irah kan dan besar. Dan matang pun. Takkan Irah berperangai macam dulu lagi.”
Satu kucupan di hadiahkan ke pipi uminya. Anak itu memang manja dengannya namun banyak juga mewarisi keperibadian dan perwatakannya di zaman mudanya dulu. Berdikari dan berjiwa besar. Bangga hatinya mendapat anak yang sebegitu.
“Dah siap semuanya? Kalau sudah boleh kita bertolak sekarang.”
Hazami menyoal anaknya. Dayang Umairah mengangguk.
“Jumpa mak long dan pak long dulu.”
Dayang Umairah patuh dengan arahan uminya. Kak Sari dan Abang Saif datang untuk bertemu mata dengan anak saudaranya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
Dan di Pulau Indah, Amjad juga sedang bersiap-siap untuk menghantar Hairul Aqeef mendaftarkan diri di Universiti Malaya. Pada mulanya dia inginkan anaknya itu mengambil bidang perguruan tetapi Aqeef nampaknya lebih berminat terhadap bidang undang-undang.  Oleh yang demikian dia tidak mahu memaksa anaknya kerana dia tahu bagaimana rasanya jika terlibat dengan sesuatu yang bukan menjadi pilihan sendiri. Dia memberi kebebasan dan kepercayaan untuk anaknya memilih haluan sendiri.
“Aqeef bukannya tak mahu jadi cikgu macam papa tapi Aqeef rasa bidang itu tak sesuai dengan jiwa Aqeef.” Itulah jawapan anaknya apabila diminta pandangan untuk menceburi profesyen perguruan.
Adawiyah yang sejak dari tadi sibuk memasukkan itu dan ini ke dalam beg anaknya itu mengesat peluh di dahi. Memang dia agak kepenatan kerana sebenarnya dia demam. Namun demi satu-satunya putera dalam keluarga itu dia rela berkorban. Adik-adiknya, Siti Shuhada, Siti Suraya dan Siti Sufiah masing-masing menunggu masa untuk masuk ke dalam kereta. Masing-masing mahu menghantar abang kesayangan mereka ke universiti.
Tepat pukul 10 pagi, Hazami dan Amjad bertolak dari rumah. Walaupun di tempat yang berlainan namun ada persamaan yang tidak dirancang. Dalam dada ayah dan ibu itu, ada berbagai perasaan. Berpisah sekali lagi dengan anak tercinta, ada air mata yang ingin menitis.
Dan di satu tempat di Pulau Indah itu juga, Chempaka dan Syameer sedang bersiap-siap untuk melawat anaknya Ahmad Zikrullah yang kini berada dalam tahun tiga bidang perubatan, juga menuntut di Universiti Malaya. Turut di bawa bersama-samanya adalah Maria Melati dan Mirza Putri.
Begitulah halnya suatu kebetulan yang telah Tuhan tentukan…


Lambaian menara gading menggamitku datang menerokai ilmumu…

Walaupun berlainan bidang kursus, Dayang Umairah dan Hairul Aqeef masih dapat bersahabat dan berhubung kerana mereka tinggal di kolej yang agak dekat. Kalau berkesempatan mereka akan ke kuliah bersama-sama. Sebenarnya dia juga tidak tahu Aqeef mendapat tawaran ke UM. Setelah beberapa minggu umi menelefonnya dan memberitahu malah terus memberikan nombor telefon Aqeef kepadanya. Oleh kerana sudah lama juga mereka tidak berjumpa, maka Dayang Umairah mengambil kesempatan itu untuk menghubunginya. Ternyata Aqeef terkejut dengan panggilannya dan daripada itu mereka terus menjadi kawan baik. Maklumlah persahabatan mereka telah bermula daripada kecil lagi. Apabila memasuki matrikulasi masing-masing terpisah seketika kerana Umairah berada di Negeri Sembilan dan Aqeef di Gombak.
Malah di situ juga Dayang Umairah  bertemu dengan Ahmad Zikrullah yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri. Tambahan pula umi dan emak Abang Zack (panggilannya) berkawan baik sejak dulu. Malah dia turut memanggil emak Abang Zack dengan panggilan mama. Ini bermakna di bumi universiti itu terjalin semula perhubungan generasi ke dua yang disulamkan perasaan kasih sayang yang erat.

Stylish Thankyou

Friday, September 28, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 30

 
 
 
Hari bahagiaku menjelma juga, syukur pada Tuhan kerana menganugerahkanku nikmat ini akhirnya...

Amjad menadah tangan mengaminkan doa yang di baca oleh bapa mertuanya. Baru sekejap tadi dia telah sah menjadi suami kepada Adawiyah. Dengan dua kali lafaz, segala-sagalanya bagaikan mimpi yang telah menjadi nyata. Semasa acara membatalkan air sembahyang, satu kucupan di hadiahkan di dahi Adawiyah sebagai tanda bermulanya satu kehidupan baru yang akan dikongsi bersama segala-galanya.
Adawiyah tenang dalam debarnya. Isterinya itu cantik dalam balutan satin bersulam lace berwarna hijau cair, sepadan dengan dirinya yang memakai baju Melayu hijau cair. Saat itu tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya. Yang nyata dia kini bahagia.
Namun dia agak terkilan kerana Dayang Atikah dan Hazami tidak dapat datang pada hari bahagianya kerana Dayang Atikah mengalami alahan yang teruk. Semenjak berbadan dua, Hazami terlalu banyak berkorban hati dan perasaan kerana perubahan Dayang Atikah tidak dapat dijangka. Tiba-tiba Amjad berfikir, adakah begitu juga terjadi padanya andai Adawiyah mengandungkan anaknya nanti?
Kedatangan teman-teman yang lain turut membahagiakannya. Chempaka dan Syameer serta anak mereka Ahmad Zikrullah turut sama memeriahkan majlisnya. Yang paling ketara bahagianya di hari itu adalah Pak Ngah Idris dan Mak Ngah Idahnya. Mereka tersenyum sepanjang masa. Barangkali juga bila memikirkan sudah habisnya tanggungjawab yang terpaksa dipikul kerana menjadi pengganti arwah ibu dan ayah Amjad. Laila turut merasa girang di hari persandingan sepupunya itu. Walaupun agak terkilan kerana apa yang diharapkan tidak menjadi, tetapi dia akhirnya akur kepada ketentuan Tuhan Yang Maha Mengetahui di atas segala yang berlaku. Mereka kini menerima kedatangan ahli baru dalam keluarga dengan hati yang terbuka…


Kehadiranmu telah lama abah dan umi nantikan, menyerikan hidup kita semua, selamanya…

Dayang Umairah, begitulah nama puteri sulung hasil perkongsian hidup Hazami dan Dayang Atikah. Bunga cinta itu selamat dilahirkan genap setahun usia perkahwinan mereka. Terukir senyuman panjang lebar di bibir Hazami dan Dayang Atikah menerima ucapan tahniah dari kenalan yang datang bertandang. Bayi comel itu ternyata memberi kebahagiaan kepada semua orang.
Kedua-dua nenek Dayang Umairah berebut untuk menjaga cucu itu. Bagi pihak mertuanya, itu adalah cucu sulung. Oleh yang demikian, Dayang Atikah tidak perlu bersusah payah. Dirinya ditatang bagai minyak yang penuh. Segala kelengkapan bayinya disediakan oleh mertuanya. Kadang-kadang dia teringin juga hendak membelikan gaun untuk anaknya namun ibu mertuanya lebih dulu berbuat demikian.
Pada hari minggu begini, suasana rumahnya tidak pernah sunyi. Ibu, Kak Sari, Abang Saif dan keluarganya datang datang bertandang melihat si kecil yang baru belajar mengukir senyum. Anak itu tidak banyak masalah. Menangis hanya bila lapar selebihnya tidur. Syukur pada Tuhan kerana Dayang Umairah tidak banyak masalah. Agaknya mungkin itu juga pengaruh semasa kehamilannya. Memang dia mengaku pada awal dulu dia mengalami alahan yang teruk dan asyik memendam rasa pada suaminya namun dalam bulan ke lima hingga dia melahirkan, dia menjadi begitu manja. Setiap masa mahu berdampingan dan ada di sisi. Dia bertuah kerana ditemukan dengan lelaki itu. Nampaknya tidak salah pilihannya membuat pengorbanan untuk menerima kehadiran bekas gurunya itu…
Bila menyedari terlalu banyak yang terjadi dalam hidupnya, dia jadi pasrah. Ternyata ketentuan Tuhan adalah tidak pernah silap. Setiap yang berlaku tersimpan hikmah di sebaliknya. Dia dan Hazami. Bahagia. Chempaka dan Syameer. Juga bahagia. Amjad dan Adawiyah. Juga bahagia. Dalam hatinya tidak sabar untuk menanti masa bertemu kembali dengan teman-temannya itu.


Usah dikenang lagi peristiwa lalu, hadapilah hari ini dengan kebahagiaan sejati…

“Assalamualaikum Chem. Apa khabar?”
“Eh Dayang. Waalaikumussalam. Aku baik. Bagaimana dengan Hazami dan Umairah?”
“Semuanya baik. Umairah sudah pandai mengajah sekarang. Ahmad Zikrullah mana?  Sunyi sepi aje keadaan di sana.”
“Ahmad Zikrullah mengikut Syameer ke kedai. Kau tahulah, Ahmad Zikrullah sekarang sudah pendai merajuk jika tak dibawa dia bersama.”
“Chem, aku sebenarnya merancang untuk mengadakan re-union antara kita nanti. Samaa ada aku ke Pulau Indah ataupun kau ke Batu Pahat. Apa pendapat kau?”
“Bagus juga cadangan kau tu. Tapi aku fakir untuk percutian keluarga, better kita pergi ke satu tempat yang lebih sesuai sikit. Ke Pulau Tioman ke, Redang ke. Syameer ada kenalan di sana.”
“Aku setuju. Kau ajaklah Amjad dan Adawiyah sekali. Boleh kita berkenalan dengan isterinya. Aku teringin memulihkan hubungan kami. Kalaupun bukan macam dulu tapi sekurang-kurangnya sebagai sahabat yang kini telah bertukar status.”
Chempaka dan Dayang Atikah masing-masing tergelak. Ada nada lucu bila Dayang Atikah menyebut kata-kata sahabat yang kini telah bertukar status. Agaknya mereka mula menyedari di mana silapnya ketika bujang dulu. Benarlah kata orang tua-tua, apabila kita telah berada di alam rumah tangga, maka dengan sendirinya kita akan bertukar menjadi matang.
“Lupa aku hendak beritahu kau. Minggu lepas amjad sudah sempurna menjadi seorang bapa. Adawiyah selamat melahirkan anak lelaki. Kalau tak silap aku namanya Hairul Aqeef. Nampaknya jarak kelahiran Umairah dan Aqeef tidak jauh bezanya.”
“Alhamdulillah. Nampaknya kita semua sudah masuk ke zaman yang lain. Bila dah bergelar ibu ni, aku rasa hidup aku  telah sempurna. Suami yang penyayang dan anak sebagai penyeri, tak ada apa yang aku perlukan lagi.”
“Kalau kau rasa begitu, samalah seperti aku. Bila kita bertemu nanti banyak yang akan kita kongsikan bersama.”
“Nanti jangan tak jadi pula program kita ni. Cubalah kau tanyakan dengan Syameer dan Amjad. Aku akan cuba mengajak Hazami. Kalau ada apa-apa perkembangan, jangan lupa menelefon aku di sini.”
“InsyaAllah. Aku akan cuba bertanya. Aku rasa apa yang kita rancangkan ini akan menjadi kenyataan.”
“Okeylah Chem. Umairah menangislah. Aku berhenti di sini dulu ya. Jangan lupa kirimkan salam pada semua di sana. Assalamualaikum!”


Cherating… tunggu kedatangan kami ke sana…

Kata putus telah diambil. Masing-masing telah menyatakan persetujuan untuk bersama bercuti ke Cherating, Pahang. Cuti sekolah pada bulan Mac menyaksikan pertemuan tiga pasangan bahagia bersama dengan cahaya mata masing-masing. Mereka bertiga bersepakat untuk berjumpa di Residence Inn. Hazami dan Dayang Atikah bertolak lebih awal kerana mereka berada di kawasan yang agak jauh sedangkan Amjad dan Syameer datang bersama.
Dalam perjalanan, nasib baik juga Dayang Umairah tidak banyak meragam. Anak itu tenang dalam pelukan uminya. Rasanya sudah terlalu lama dia menantikan detik itu. Menanti untuk berjumpa teman-teman lama dan menghilangkan segala duka lara di sekolah.
Hampir enam jam memandu barulah mereka tiba di destinasi. Lambaian dedaun kelapa dan deru angin laut menghilangkan segala keletihan sepanjang perjalanan.  Dari lobi resort ini dapat dilihat pemandangan cantik menghiasi tepian pantai yang memutih. Ombak menghempaskan diri ke pantai dengan lembut dan menderu-deru sahaja bagaikan mengucap salam selamat datang kepada pengunjung yang bertandang ke situ.
Setelah mendaftar masuk, Dayang Atikah dan Hazami bergegas ke bilik mereka. Badan yang melekit perlu segera di siramkan dengan air. Lampin Dayang Umairah juga perlu ditukar.
Selesai memanjakan diri dengan nyamannya air tempat baru, Hazami menerima panggilan dari Amjad yang menyatakan mereka baru sahaja sampai di Residence Inn. Oleh yang demikian mereka telah bersepakat untuk berjumpa di lobi malam nanti dan makan bersama. Buat masa ini masing-masing mahu merehatkan badan terlebih dahulu.
Pertemuan pada kali ini bukanlah untuk menambah luka di hati, tetapi bagaikan satu pertemuan baru yang berlangsung tanpa menyentuh kisah lama. Walaupun di antara hati-hati mereka pernah terbetik satu perasaan, namun semua itu diketepikan untuk membuka satu lembaran baru dalam sejarah hidup masing-masing…


Kita berjumpa bukanlah untuk mengulang kisah lama tapi membina semula hubungan baru…

“Tak sangka kita akan berjumpa di sini.”
Ujar Hazami memulakan kata sebagai pembuka pertemuan mereka. Waktu itu masing-masing sedang menunggu hidangan makan malam.
“Yang paling tak sangka kita mengambil keputusan untuk berjumpa di sini.” Balas Syameer.
“Bila lagi hendak bercuti? Aku dah naik boring asyik-asyik melihat panorama di Pelabuhan. Sesekali berubah angin ke sini bagus juga.”
Amjad meningkah. Antara lelaki yang ada, dialah yang paling muda. Sebab itulah kata-katanya sentiasa membuatkan orang lain tertawa. Bagaikan tidak percaya dia sudah menjadi bapa.
Ahmad Zikrullah yang sudah pandai bertatih tidak lekat di dukungan Chempaka. Asyik bergerak ke sana ke mari sehingga kadang-kadang Syameer yang terpaksa mengambilnya kembali ke meja. Dayang Atikah dan Hairul Aqeef hanya kadang-kadang merengek di ribaan ibu masing-masing.
“Beginilah kalau anak-anak dah mula pandai berjalan. Tak larat aku hendak mengutipnya kembali. Lasak sungguh.”
Chempaka sedikit mengeluh ketika meluahkan kata-kata itu.
“Sabarlah Chem. Itu kan anugerah Tuhan yang telah di amanahkan kepada kita.”
Dayang Atikah menyampuk. Dia pun sudah mempunyai pengalaman bergelar ibu dan sudah menjadi lebih matang cara pemikirannya.
“Abang, hulurkan botol susu Aqeef.”
Adawiyah memandang Amjad. Aqeef di dukungannya gelisah. Anaknya kelihatan lapar dan ingin menyusu. Amjad tidak menghulurkan botol susu tetapi terus mengambil anaknya dari dukungan  isterinya lantas memberikan susu itu. Dia kelihatan biasa dengan kerja-kerja itu dan kelihatan sungguh penyayang.
“Macam ni la anak aku. Kuat menyusu sikit. Maklumlah ketika Adawiyah mengandung dulu, dia tak pernah miss minum susu.”
Amjad membuat lawak. Semua orang ketawa. Dia memang begitu. Penuh dengan humor-sense. Bertuah Adawiyah mendapat lelaki itu.
“Kalau tak ikut emak dan bapanya, siapa lagi. Kuah kalau tak tumpah ke pinggan, tumpah ke mana lagi.”
Balas Dayang Atikah pula. Dayang Umairah dalam pelukannya di usap-usap mesra.
Sedang ibu-ibu dan bapa-bapa masing-masing bergelak ketawa bercerita, siapa yang nampak antara Dayang Umairah dan Hairul Aqeef saling berpandangan?


Stylish Thankyou