PAGES

Thursday, April 18, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #13


Cek Mat merenung sekeping gambar yang sentiasa meneman malamnya. Wajah arwah Alya telah berada di situ saban tahun. Semenjak mereka bekahwin, dan kini anak-anaknya sudah pun bersekolah di darjah satu, cintanya masih membara. Dia tetapi cintakan arwah isterinya itu sampai bila-bila. Cuma sejak kebelakangan ini, ketenangan hidupnya seringkali terganggu dek ingatan yang silih berganti terhadap Zainab.
Bukan Cek Mat tidak mahu mengusir bayangan yang datang, tetapi dia tidak mampu. Malah kadang-kadang Zainab juga datang meneman mimpinya. Dia sedar, sudah terlalu lama dia memendam perasaan terhadap Zainab. Sejak mula terpandang Zainab memujuk Qasseh semasa Family Day di PD beberapa tahun yang lepas, dia sudah pasti dan yakin bahawa Zainab mampu memberikan anak-anaknya kasih seorang ibu.
Apabila Zainab berkahwin, bukan dia tidak terluka, bukan dia tidak terasa tetapi mungkin Zainab bukan untuknya. Tetapi sejak kematian Daus, ada sinar kembali di dalam hatinya untuk menzahirkan kasih sayangnya kepada Zainab. Pada umurnya begini, bukan keperluannya yang dirisau, tetapi anak-anak. Qasseh, Qayyum dan Qaishh memerlukan ibu. Qadeer dan Qalish pula memerlukan seorang ayah. Maka lengkaplah keperluan itu seandainya dia dan Zainab bersatu. Tetapi dia risau, mahukah Zainab menerimanya? Menatap wajah yang sama di pejabat dan di rumah, bolehkah Zainab mengerti apa yang ada dalam hatinya kini.
Cek Mat berkalih tidur. Dia malu sendiri. Dia resah memikirkan Zainab. Apa yang harus dia buat? Bagaimana dia hendak memberitahu Zainab? Cek Mat segera bangun dari katil menuju ke bilik air. Dia mahu bersembahyang sunat, moga-moga dapat menghilangkan segala keluh kesah di hatinya saat ini.
 *****
Zainab memandang sekeliling yang penuh dengan bunga-bungaan pelbagai warna. Dia berada di mana? Segalanya kelihatan asing di matanya.  Hidungnya dijamu dengan bau-bauan yang lembut dan mengasyikkan. Tiba-tiba dia ternampak bayang seseorang menghampiri. Dia ingin lari tetapi kakinya bagai dipaku. Dadanya berdebar. Semakin dekat semakin bergelora di hatinya. Daus! Ya…itu Daus suaminya yang sentiasa dirindu.
‘Sayang….’ Dia menghulurkan tangan, ingin menggapai, ingin memeluk sekujur tubuh yang sangat di damba tetapi tidak terjangkau jarinya. Daus hanya tersenyum dengan wajah penuh cahaya. Hampir merembes air mata Zainab…
‘Abang… datanglah pada sayang…’ Dia merayu tetapi Daus tetap tidak berganjak. Zainab tetap mencuba untuk pergi kepada Daus tetapi tidak berdaya. Dan apabila bayangan Daus semakin menjauh…air matanya tidak mampu ditahan lagi.
‘Abangggggg……………………….’
Zainab terkejut, terjaga dari tidur. Astaghfirullah… Dia bermimpi rupanya. Zainab menyambung tangisnya di alam nyata. Sudah lama wajah Daus tidak meneman tidur malamnya. Sudah lama dia tidak dibayangi mimpi dengan suaminya. Dan kenapa malam ini Daus datang tanpa kata tetapi penuh cahaya….? Apakah petanda? Zainab cepat-cepat menyeka air mata. Dia ke bilik sebelah melihat Qalish dan Qadeer sebelum menuju ke bilik solat. Hatinya perlu ditenangkan! Hanya Allah menjadi tempatnya mengadu.
 *****
Zainab merenung kosong fail kewangan yang terbentang di depannya. Semakan sudah siap dilakukan. Pengesahan juga sudah ditandatangan. Hanya perlu bawa kepada Cek Mat dan kelulusan akhir sahaja. Setakat hari ini, kerjanya sentiasa mendapat pujian. Jarang benar sebarang kesilapan yang berlaku. Dua keping gambar di dalam frame berbunga di atas mejanya sentiasa menjadi inspirasi dalam kerjaya. Satu gambar perkahwinannya dan satu lagi gambar Qalish dan Qadeer semasa menyambut hari jadi mereka yang ke 4.
Sejak kebelakangan ini, Zainab sering teringatkan Daus. Bukan selama ini dia lupa, dia tidak pernah lupa tetapi entah kenapa Daus bagaikan ada sesuatu yang hendak dibicara. Walaupun hanya sekadar dalam mimpi, Zainab merasakan hubungannya dengan Daus tidak pernah terpisah. Kadang-kadang dia tidak kuat untuk menghadapi semua ini. Di kala tidurnya terganggu, ketika dia tidak punya sesiapa untuk mengadu, dan ada masanya dia terlalu rindu…kalaupun ada Kak Ija, masakan sesuai dia membicarakan hal hati dan perasaan dengan wanita itu. Cuma dengan adanya Kak Ija urusan penjagaan anak-anak lebih terjaga. Tambahan pulak tak lama lagi mereka akan mula ke sekolah tadika.
‘Nab…’ Cek Mat menggoyangkan tangannya ke wajah Zainab. Tiada balasan.
‘Oooooo Nab!’
‘Haaa ya, ya saya..’ Terkejut beruk jugak Zainab dibuatnya. Bos yang amat dihormati tercegat di depan.
‘Jauhnya termenung. Dah sampai ke mana tadi?’ Cek Mat tersenyum memandangnya. Masakan tidak, dari tadi dia melihat Zainab bagaikan berada di dunia asing. Dua tiga kali dipanggilnya masih tidak bersahut.
Zainab termalu sendiri bila Cek Mat menegurnya begitu. Walaupun tidak serius, dia sepatutnya tidak berkhayal, apayah lagi semasa waktu kerja.
‘Ada apa bos?’ Cepat-cepat dia bertanya. Agaknya wajah sudah bertukar biru ditegur bos sendiri.
‘Ada apanya Nab? Awak tak mahu balik ke?’ Cek Mat menunjukkan jamnya kepada Zainab. Dengan jelas ternampak jarum panjang dan jarum pendek berkedudukan tegak. Maksudnya sudah pukul enam.
‘Errrr…’ Zainab mati akal. Tadi rasa-rasa belum pukul 5. Takkan lah lama sangat dia mengelamun.
‘Sudah la tu Nab, besok2 pulak kerja. Anak-anak menunggu ibu di rumah. Jom balik.’ Cek Mat berkata, kali ini dengan senyuman yang paling manis pernah Zainab lihat. Eh, kenapa pula sebelum ini dia tidak perasan yang Cek Mat mempunyai senyuman yang sangat menawan? Death smile gitu! Tiba-tiba ada debar di dada Zainab. Segalanya serba tak kena dek senyuman Cek Mat.
‘Mmmm Cek Mat turunlah dulu. Sekejap lagi saya baliklah.’ Zainab berdalih. Dia sebenarnya terkaku di hadapan bosnya sendiri…
 *****
Zamani melihat apa lagi yang kurang. Hari ini dia sekeluarga mengadakan majlis makan-makan. Memang menjadi kebiasaan mereka berkumpul bersama.  Zainab dan anak-anak, Kak Ija dan juga Cek Mat sekeluarga. Emak dan ayah tidak dapat datang kerana ada urusan di Kuantan. Keluarga mentua Zainab pula ke Singapura. Manakala emak dan ayah mentuanya sendiri berada di Sarawak.

Qalish dan Qadeer antara insan yang paling gembira bila berkumpul bersama begini. Dengan anak-anak Cek Mat yang senang melayang karenah mereka, ditambah pulak dengan sepupunya Delaila, adiknya Siddiq dan adik yang paling baru Syaffiq memang riuh rendah dibuatnya. Abang Zamaninya telah menambah ahli keluarga, dan ini sudah tentu menggembirakan Zainab juga.
‘Nab tak teringin ke nak cari pengganti Daus?’ Kakak iparnya Aisyah bertanya. Di tangannya ada sepinggan mihun goreng. Syaffiq ada bersama suaminya. Dia mengambil kesempatan itu untuk mendekati Zainab yang melihat anak-anaknya bermain.
‘Entah la kak… Saya senang begini.’ Zainab menjawab tenang sambil matanya tak lepas memandang anak-anak. Tiga anak Cek Mat, dua anaknya dan dua anak saudaranya boleh dibuat sepasukan bola futsal. Ditambah pula dengan Cek Mat yang setia meneman mereka sejak tadi.
‘Akak bukan apa, Qalish dengan Qadeer tu perlukan seorang ayah. Akak kesiankan Nab. Walaupun kita mampu berikan kasih sayang seorang ayah, tapi pastinya tak sama.’ Panjang lebar nasihat Kak Aisyah.
‘Ada ke orang nak kan janda macam Nab ni kak?’ Balas Zainab sambil tersenyum. Macam gatal pulak bila berbicara soal nikah kahwin ni.
‘Tu……’ Muncung mulutnya menunjukkan ke arah Cek Mat yang sedang ketawa dikelilingi anak-anak.
‘Eh akak ni, orang entah dah ada yang punya kita tak tahu. Lagipun dia tu bos Nab kak.’ Zainab membalas tanpa senyuman. Cek Mat? Aishhh kakak iparnya ni, yang itu jugak dia Nampak.
‘Mungkin Nab tak perasan, dari dulu, sejak kematian Daus, dia sentiasa ada di mana Nab ada. Dia sebenarnya sangat dekat dengan Nab dan anak-anak. Anak-anak Nab perlukan seorang ayah, anak-anak dia perlukan seorang ibu. Akak rasa korang berdua akan saling melengkapi. Cek Mat tu pun baik sangat Nab.’
Haish, kenapa tiba-tiba berdebar pulak ni.
‘Tak ada yang boleh menggantikan tempat Daus kak.’ Kata Zainab. Tegas. Hingga saat ini, kedudukan Daus masih teratas dalam hatinya.
‘Akak tahu Nab, akak faham. Tapi Nab jangan pentingkan diri sendiri aje, anak-anak Nab tak kenal siapa ayahnya, tak sempat merasai kasih sayang seorang ayah. Dah hampir lima tahun Nab. Bagi la peluang pada anak-anak.’
Zainab kehilangan kata-kata. Aku pentingkan diri sendiri? Dia menatap wajah jernih kakak iparnya.
‘Akak tak berniat nak pisahkan Daus dari Nab. Ini untuk masa depan Nab dan anak-anak. Nab fikirlah sedalam-dalamnya.’ Ah Kak Aisyah. Lembut suaranya terasa menusuk ke hati. Tapak tangan Zainab ditepuknya perlahan.
‘Entah la kak…’ Zainab hanya menjawab lirih. Dia membuang pandangannya yang kosong. Kata-kata Kak Aisyah berbekas di hati.
Aku pentingkan diri sendiri? Berkali-kali kata-kata itu terdengar di telinganya.

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]