PAGES

Saturday, September 28, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 18


‘Papa, bila kita nak pergi rumah Makcik Nab? Qasseh rindu la dengan Qalish.’

Soal Qasseh di suatu pagi. Ketika mereka sedang bersarapan.

‘Ha ah la papa, dah lama Qayyum tak jumpa Qadeer. Jom la kita pergi pa…’

‘Hish, papa tak nak la kacau makcik Nab tu.’

‘Mana ada kacaunya pa. Kalau kita pergi mesti makcik Nab suka. Lagipun Qayyum rindulah dengan masakan dia. Nenek ni asyik masak yang sama aje.’

‘Amboi kau orang ni mengutuk nenek ya?’

Mak Mah yang datang membawa telur hancur menyampuk.

‘Betul apa nek, Qaish pun suka dengan masakan makcik Nab tu. Jom la papa kita pergi.’

Aduhai anak-anak. Sekarang ni bukan main lagi ya, bijak sekali menuturkan kata meminta itu dan ini. Walaupun Che Mat sedar tentang hubungan akrab yang terjalin antara keluarganya dengan keluarga Zainab, tetapi dia tidak mahu sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap apa yang ada. Dia cukup risau sebenarnya jika disalah anggap oleh orang lain.

‘Jom la papa…’

Qasseh bagaikan merayu. Dia mempamerkan wajah mendung kepada papanya. Sesungguhnya dia pakar dalam hal itu.

‘Jom la Mat. Mak pun dah jemu asyik bersembang dengan periuk belanga aje, dengan tv lah. Senak kepala mak ni. Kalau ada Zainab tu ceria sikit hidup mak.’

Eh eh mak ni, dia pun sama juga macam anak-anak. Emak kalau ada si Zainab tu, tak ada dia pun tak apa.

‘Nanti-nantilah papa fikirkan. Dah, makan cepat dah lambat ni.’

Mak Mah tersenyum dengan jawapan Che Mat. Dia mengenyitkan mata kepada Qasseh. Dah kalah la tu. Satu lawan empat mana boleh menang. Cucu-cucunya memang sporting. Tak sia-sia mereka bersepakat malam tadi.


*****

 Zainab keluar dari Farmasi Dahlia setelah selesai urusannya membeli vitamin anak-anak. Waktu itu sudah jam 4. Hari ini dia mengambil cuti setengah hari. Tadi ada beberapa perkara perlu di selesaikan di bank dan juga di pejabat pos. Setelah selesai dia ke farmasi, cadangnya mahu membeli barang keperluan dapur pula. Sedang dia berdiri di depan pintu masuk, seorang perempuan separuh umur berada di luar, ingin memasuki farmasi itu juga. Dia pantas membukakan pintu dan mengukir senyuman. Eh, dah macam penyambut tetamu pulak…

‘Eh, Zainab!’

Paduka Syarifah Zahrah!

‘Apa khabar puan?’

Zainab menghulurkan tangan bersalaman. Itu lumlahnya sesama insan. Ukhuwwah tak akan putus hanya kerana peristiwa yang lalu.

‘Makcik baik saja. Singgah beli ubat sikit ni. Zainab buat apa di sini? Beli ubat jugak?’

‘Beli vitamin untuk anak-anak. Mmmm saya pergi dulu ya puan.’

‘Eh tunggu dulu Nab. Makcik ada perkara nak bincang dengan kamu. Tunggu ya, makcik pergi beli ubat sekejap.’

Hah, perkara apa pula ni? Janganlah peristiwa yang sudah lepas itu digali dan diungkitkan kembali.

‘Jom kita peri minum dulu.’

Ajak Paduka Syarifah Zahrah. Walaupun sudah agak berumur, perempuan yang masih kelihatan jelita itu bijak berbicara. Zainab yang masih mempunyai masa segera bersetuju dan bergerak ke restoran berdekatan. Kedengaran juga Paduka Syarifah Zahrah berbicara dengan seseorang, Zainab agak pemandunya kerana beliau memintanya tunggu seketika.

‘Sekarang dah tua-tua ni kena jaga kesihatan Nab.’

Kata Paduka Syarifah Zahrah setelah pelayan pergi membawa pesanan meraka. Dia meminta teh halia manakala Zainab mahukan jus epal.

‘Puan masih muda lagi. Masih sihat saya tengok.’

Zainab berbasi-basi. Wanita di depannya ini lebih kurang umur dengan emaknya di kampung. Cuma yang membezakan di wajah emaknya lebih banyak kedutan dan urat yang timbul. Opsss… maafkan Nab mak!

‘Janganlah berpuan-puan dengan saya Nab, panggil saja makcik.’

Zainab hanya mengangguk. Dia bukan mementingkan darjat Syarifah wanita itu, tetapi sekadar menghormati orang yang lebih tua.

‘Macam mana hidup Nab sekarang?’

‘Alhamdulillah makcik. Saya bahagia dengan anak-anak.’

‘Anak Nab berapa orang?’

‘Sepasang. Lelaki dan perempuan.’

‘Alhamdulillah. Dah lengkap la tu. Suami Nab?’

‘Dia dah meninggal makcik. Kemalangan.’

‘Maafkan makcik Nab, makcik tak tahu.’

‘Tak mengapa.’

‘Makcik sebenarnya nak minta maaf dengan kamu Nab, terlalu banyak dosa makcik.’

Paduka Syarifah Zahrah memegang erat jemari Zainab di meja.

‘Tak, makcik jangan la cakap macam tu. Saya dah lupakan segalanya. Apa yang berlaku tu saya anggap sebagai dugaan dari Tuhan.’

‘Setelah apa yang makcik buat pada kamu, Tuhan memberikan balasanNya kepada kami sekeluarga.’

Zainab hanya terdiam. Dia tidak mahu menyoal atau bertanya. Dia tiada hak.

‘Suami makcik kahwin lain setahun kemudian. Syarifah Soffea pula membomohkan Syed Hamdan setelah mereka berkahwin. Lama juga dia menderita sebelum pulih.’

Ooooo, patutlah Syed Hamdan nampak seperti orang sakit dengan tubuhnya yang kurus dan kelihatan tidak bermaya.

‘Saya bersimpati dengan apa yang berlaku pada keluarga makcik.’

‘Kamu maafkanlah makcik Nab. Makcik dah lama cari kamu untuk meminta maaf. Selagi itu hidup makcik tak tenang.’

‘Makcik, saya dah lama maafkan makcik. Saya sentiasa mendoakan makcik sekeluarga hidup bahagia dan tenang selalu.’

‘Murninya hati kamu Nab. Kalaulah dulu makcik terima kamu sebagai menantu pilihan Syed Hamdan, tentu sekarang kita sekeluarga hidup bahagia.’

‘Ajal maut di tangan Tuhan makcik, insyaAllah Syed Hamdan akan mendapat pasangan yang lebih baik daripada saya.’

‘Sampai sekarang makcik meyesal Nab. Syed Hamdan seorang anak yang baik. Tapi disebabkan makcik dia menderita sampai sekarang.’

‘InsyaAllah dia tak apa-apa makcik. Kita berdoalah kepada Tuhan.’

‘Terima kasih Nab kerana sudi maafkan makcik.’

Zainab memeluk bahu Paduka Syarifah Zahrah. Sesungguhnya demi Tuhan dia tidak pernah berdendam…jauh sekali untuk terus menghukum wanita itu dan juga Syed Hamdan.

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]