PAGES

Sunday, September 29, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 19

Seperti yang dijanji, Che Mat sekeluarga dan Zainab sekeluarga akan berkelah di Sungai Congkak. Sesak nafasnya dengan permintaan anak-anak yang saban hari menggesanya ke rumah Zainab, dia akhirnya menawarkan diri untuk ikut serta setelah Zainab merancang untuk mandi manda di sana bersama keluarga rakan-rakan sepejabat. Kira-kira macam family day lah.

Anak-anak apatah lagi, malam sebelumnya dah siap berkemas, dengan pakaian mandi, tikar mengkuang, jajan dan sebagainya. Memang seronok sangat. Tambah-tambah pula dengan anak-anak rakan sepejabatnya yang turut pergi. Masing-masing berjanji untuk berjumpa di sana jam 10 pagi. Dia dan Zainab pergi berasingan, iyalah, mana muat kalau nak angkut semuanya. Campur anak-anak, dia , Zainab, emak dan Kak Ija dah separuh bas mini.



‘Wah, ada air terjun la papa!’

Qasseh berteriak sesampainya di sana. Turun sahaja dari kereta, dia dan dua abangnya terus meluru ke tempat Zainab yang tiba lebih awal. Masing-masing bersalaman dan mencium mesra pipi Zainab. Tinggallah Che Mat dan Mak Mah membawa barang-barang. Tak dapatlah nampaknya Che Mat duduk di tempat lain, konon-konon nak jauh sikit dari tempat Zainab tu. Nampaknya anak-anak tak kasi can!

‘Banyak barangnya Mak Mah?’

Zainab datang bertanya. Dia mengambik raga rotan dari tangan Mak Mah dan plastik dari dalam kereta.

‘Biasalah budak-budak ni Nab. Bawa barang bukan main, diorang seronok aje melepak kat sana.’

‘Janganlah awak susah-susah Nab, saya boleh bawa. Mak pergilah duduk dulu.’

Che Mat naik segan sebenarnya dengan kebaikan Zainab. Kalau budak-budak nampak entah apa yang dikata.

‘Nenek jom la makan ni, sedap makcik Nab masak!’

Qayyum mengajak dengan mulut yang penuh dengan mee goreng.

‘Eh, bukan ke Qayyum dah makan dekat rumah tadi?’

‘Memang la nek, tapi bila nampak mee ni terus rasa lapar balik.’

Macam-macam je budak Qayyum ni. Kalau dibandingkan ketiga-tiga mereka, dialah yang paling kuat makan.

‘Abang, jomlah nak mandi.’

Qadeer menarik tangan Qaish. Dia sejak tadi tak sabar untuk turun ke dalam air.

‘Hah, siapa yang nak ke sungai mari ikut nenek. Nenek pun dah lama tak rasa sejuk air sungai ni.’

Amboi neneknya pun, sama naik dengan cucu. Sampai tak cukup tangan nak pegang lima cucu yang mengekornya. Dia membawakan mereka ke kawasan air cetek. Pantas dia menolak bila Zainab ingin membantu. Dia mahu membiarkan Zainab dan Che Mat seketika.

‘Allah budak-budak ni tak menyempat nak tunggu saya.’

Kata Che Mat sambil menepuk dahi.

‘Qalish tu pun semalam sampai tertidur dengan beg bajunya, tak sabar-sabar nak mandi sungai.’

‘Che Mat dah minum?’

Zainab pantas mengulurkan termos berisi air kopi. Sepiring popia turut dibawa bersama. Dia memang sentiasa tahu kegemaran Che Mat dan anak-anak.

Masa berdetik, terus bergerak. Che Mat keresahan berdua dengan Zainab. Meskipun di kawasan terbuka, dia tidak mampu melarikan matanya dari terus memandang Zainab yang jelita walaupun hanya mengenakan t-shirt muslimah dan seluar trek. Dengan layanan mesra Zainab terhadap ibu dan anak-anaknya, Che Mat tambah tidak keruan. Ingin sahaja dia meluahkan perasaannya kepada Zainab. Ingin sahaja dia melamar Zainab menjadi isterinya tetapi apakan daya kekuatan itu masih belum datang-datang juga.

‘Awak tak turun Nab?’

Che Mat sekadar bertanya.

‘Tak kot Che Mat, ni barang-barang tak ada yang menjaga nanti.’

‘Kalau macam tu saya nak ke sana lah.’

Zainab hanya mengangguk. Mana mungkin dia meninggalkan segala macam barang yang ada di situ, kalau ada pencopet habislah. Matanya memandang saja gerak langkah Che Mat ke arah Mak Mah dan anak-anak yang seronok bermain air. Entah apa yang dibicarakan, dia kemudiannya mengatur langkah ke tempat Kamal.



‘Bos tak mandi?’

‘Tunggu la sekejap lagi Kamal oiii. Dah tua-tua ni nak kena air pun sejuk. Azura dengan anak-anak mana? Dah turun ke?’

‘Uihhh depa tu dari tadi lagi bos. Akmal tu pantang nampak air, macam itik turun ke kolam la.’

‘Budak-budak begitulah Kamal. Anak-anak saya tu pun, berulang kali dok tanya soalan yang sama, bila nak sampai…bila nak mandi.’

‘Mesra nampaknya anak-anak bos dengan anak-anak Kak Nab tu.’

‘Meeka berkawan dari kecil lagi Kamal, memang serasi betul.’

‘Bos, kalau saya cakap ni bos jangan marah ya…’

‘Apa dia?’

‘Bos tak teringin ke nak jadikan Kak Nab tu isteri bos? Ya lah, dia dah lama kehilangan suami, bos pun perlukan isteri untuk melengkapkan keluarga. Tak nak ke bos?’

Amboi budak Kamal ni…insuran apa tak tahu yang dia guna untuk mulutnya tu, tak sayang langsung.

‘Entah la Kamal.. dah umur begini tak terfikir langsung pasal tu.’

‘Saya bukan apa bos, cuba tengok anak-anak bos tu. Saya nampak dah macam adik beradik dengan anak-anak Kak Nab. Kurang-kurang kalau ada mak, seronok sikit mereka. Bukan saya nak kata bos ni tak seronok, tak pandai nak mendidik anak, tapi dengan kehadiran seorang ibu tu akan lebih membahagiakan bos.’

Kalau dulu emaknya berkata begitu, sekarang Kamal juga menuturkan perkataan yang sama.

‘Kau rasa macam mana?’

‘Kak Nab tu baik bos. Dia banyak membantu saya dan Zura. Saya percaya dia akan melengkapkan hidup bos sekeluarga.’

Bijak betul Kamal berkata-kata. Hilang sikap main-mainnya seperti yang selalu ditonjolkan di pejabat.

‘Saya segan la nak bagitahu dia Kamal.’

‘Apa pulak nak segan bos. Itu kan benda baik. Ke nak mintak tolong saya bagitahu?’

‘Eh, kau jangan cari pasal pulak Kamal. Satu je saya nak mintak tolong, jangan hebohkan pulak perkara ni. Antara kita berdua sahaja tau.’

‘Iya la bos. Saya bagitahu je. Jangan pulak bos terlepas rugi nanti.’

Che Mat membuang pandangan ke arah Zainab yang berada bertentangan. Seketika mata mereka bertentangan…



*****



‘Nab, masuk sekejap.’

Che Mat menekan interkom di depannya.

‘Ada apa Che Mat?’

Sekeping kertas dihulurkan.

Surat panggilan konvensyen?

‘Saya kena pergi?’

Zainab bertanyakan soalan budak sekolah.

‘Awak gantikan saya boleh? Pada tarikh tu saya ada mesyuarat dengan cawangan baru di Brunei.’

Che Mat membalas. Dia tersenyum.

‘InsyaAllah kalau tak ada apa-apa.’

‘Saya rasa tak ada masalah kot ni. Lagipun hujung minggu, tak la mengganggu masa awak dengan keluarga.’

‘Ehhhh, tak ada masalah Che Mat. Lagipun minggu tu kebetulan mak dengan abah nak datang ke KL, bolehla tengokkan anak-anak. Konvensyen ni pun di KLCC je, saya boleh balik malamnya.’

Bersungguh Zainab menerangkan. Sekarang ni anak-anak pun dah besar, dia nak tinggal pun tak la risau sangat. Kak Ija ada…

‘Terima kasih banyak-banyak Nab.’



Duduk sahaja di kerusi setelah keluar dari bilik Che Mat, Jabbar datang membawa sejambak bunga ke arahnya.

‘Buat pujaan hatiku Cik Zainab Atikah…’

‘Ape kena kau ni Jabbar? Buang tebiat ke?’

Balas Zainab, tanpa memandang.

‘Kau ni Nab, nak gurau sikit pun tak boleh. Ni hah ada orang kirimkan bunga untuk kau. Aku yang sign tadi.’

Bunga? Siapa pulak yang tak sayangkan duit beli benda-benda membazir ni? Alangkah baiknya kalau duit tu didermakan ke masjid ke, bagi anak-anak yatim ke. Zainab agak dalam beratus jugak harga jambangan tu, penuh dengan bunga ros merah jambu. Lebih 50 kuntum agaknya.

Tapi sejak dulu sampai sekarang, dia tidak pernah suka dengan bunga ros, baginya tak kekal lama dan keindahannya hanya sebentar sahaja. Pantas dia membelek jambangan itu. Tak ada pulak kad yang terselit di mana-mana. Misteri. Ada peminat barukah dia di usia begini.

‘Kau ambillah Jabbar. Bagi la pada sesiapa. Takpun bawa balik untuk isteri di rumah.’

‘Kau taknak ke?’

Jabbar menyoal dengan mata yang membuntang tak percaya. Jarang ada perempuan yang menolak bila diberi jambangan bunga. Tambah pulak yang besar begini. Di kejauhan pun boleh bau wanginya.

‘Aku tak suka lah bunga-bunga ni.’

‘Siapa la yang bagi ni pada kau Nab?’

‘Mana la aku tahu. Hantu siang agaknya.’

‘Hah? Ha ha ha…’

Pecah gelak tawa Jabbar dengan gurauan Zainab. Dia membawa jambangan bunga itu ke mejanya sambil bersiul riang. Zainab meneruskan kerja. Dia tak layan misteri-misteri ni. Kalau suka, face to face ok. Lagi senang nak cerita!

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]