PAGES

Saturday, October 26, 2013

C@AC 2 : Sizzling Yee Mee




Satu raga penuh pakaian yang telah siap dibasuh menanti untuk disidai. Begitulah rutin hujung minggu Aloyah sekiranya tidak balik ke Raub. Walaupun sekarang sudah ada jalan pintas melalui Lembah Bertam ke Sungai Koyan, seterusnya ke Raub, Aloyah agak jarang-jarang juga balik. Memandangkan keadaan jalan yang dikelilingi hutan belantara ditambah pula dengan dia bersendirian, anak dara pulak tu, memang menjadi ketakutan besar baginya.  Emak dan ayah turut memahami keadaan itu. Kalau dikira sepanjang 3 tahun di Cameron Highlands hanya beberapa kali sahaja dia balik memandu sendirian. Banyaknya dia menaiki bas atau menumpang rakan-rakan. Kadang-kadang emak dan ayah datang menjenguknya di sini.
‘Kau tak ke mana ke minggu ni Loyah?’
Uikss…tersentap kepala otak yang sedang di awangan. Mustaza ni tiba-tiba aje menegur dari belakang. Rakan sepejabat yang menyewa di rumah bersebelahan sedang memandang. Nampak hensem dengan t-shirt polo dan jeans.
‘Kau ni Mus, nak menyergah pun agak-agak la. Kang tak pasal-pasal keluar silat gayong aku.’
‘Aku tegur macam tu pun kau nak terkejut ke.’
‘Kau nak ke mana hensem-hensem ni?’
‘Aku nak balik Ipoh. Duduk sensorang kat sini boringlah. Abang Leman dengan Mail pun tak ada.’
‘Apa susahnya, kau lepak la rumah aku.’
‘Ewah ewahhhh… berani pulak kau ye. Kalau aku betul-betul lepak kat sini terkejut beruk kau nanti.’
‘Heeeee… jangan la Mus. Kang merana pulak kau kena berbinikan aku.’
‘Aku pergi dulu la Loyah. Nak melayankan kau bercakap sampai esok pun tak habis.’
‘Ye lah Mus. Baik-baik kau balik tu. Kalau ada buah-buah ke kat kampung jangan lupa kau bawak ke sini pulak.’
‘Satu lori aku bawakkan kau nanti Loyah…’
Sambil-sambil melayan Mustaza, siap jugak kerja Aloyah tengah hari tu. Boleh tahan jugak kalau dilayannya Mustaza. Mereka berdua dipostingkan kerja bersama, itu yang menyebabkan Aloyah tak segan. Cakap pun main lepas aje, memang tak makan saman lah.
Aloyah kemudiannya membuka laptop. Dia menekan fail ‘KePOP’ dan melayan lagu Korea walaupun sepatah haram dia tak faham. Setakat ‘sarang’ atau ‘saranghe’ atau ‘oppa’ aje yang dia tahu. Dia bukannya peminat fanatik  K-Pop, cuma suka dengar aje, sekadar menjadi alternative kepada lagu-lagu Melayu dan Inggeris. Syafiza selalu saja menyindir. Dia memang anti dengan artis Korea yang katanya plastik dan tidak tahu menyanyi. Yang lelakinya nampak sangat macam perempuan. Yang perempuan pulak tak ada yang tak lawa. Hish… Macam-macam la si Fiza tu kalau dia tak suka. Cuba kalau benda dia suka, memang kalah la nak bertikam lidah dengannya. Eh…barulah Aloyah perasan. Dah pukul 12.30 tengah hari, masih berlingkau lagi la tu. Bada yang berkursus di Johor menambahkan lagi sepi di rumah itu.
Icon mobile connect ditekan. Dah tiba masanya untuk melihat blog kesayangan. Apa cerita hangat dan resepi terbaru dikongsikan kawan-kawan. Sekurangnya ada jugak idea dia nak masak lunch ni. Semalam dia lalu di sebuah restoran Cina, kembang kempis hidungnya melihat hidangan sizzling yang dah tentunya haram di makan. Kalau dapat makan tu best jugak. Laman web My Resepi segera ditekan. Dia mahu melihat resepi sizzling yee mee. Dia pernah melihatnya dulu.
Mmmmm, yee mee? Rasanya ada lagi belen yang dibeli dulu. Cendawan shitake tak ada, boleh aje ganti dengan cendawan tiram. Ayam pulak yang tinggal bahagian tulang-tulang aje. Takpelah, tak ada budak kecik yang nak makan, boleh ejas tu nanti. Yang lain-lain semua ada. Cadangnya dia mahu menambahkan telur, baru kick sikit.
Aloyah mencatat apa yang perlu. Segala langkah-langkah diteliti. Senang sangat je nak buat. Tak ada kuali sizzling tu pun tak apa, boleh guna kuali biasa. Masak kuahnya dalam kuali dan tuang dalam caserol, baru ada nilai sikit nak posing masuk blog nanti. Aloyah tersenyum. Patutla Syafiza selalu tergelak dengan gelagatnya. Manakan tidak, siap masak ambil gambar dulu baru boleh makan. J Dia tak ada blog masak mana dia tahu ye dak?
‘Kau masak apa ni weh…aku nak tidur pun tak lena.’
‘Allah…aku hempuk jugak kau ni Fiza.’
Sudip yang terlepas dari tangan dikutip kembali. Fiza punya pasal sampai terpelanting sudip dari pegangan. Dengan kuahnya sekali memercik ke lantai. Memang nak kena anak Pak Nik Soleh ni.
‘Kau buat macam ni lain kali aku ketuk je tau. Budak bertuah! Dah la baru bangun mengalahkan anak jantan. Pegi basuh muka tu dulu weh…kang masuk dalam mee aku ni kang.’
‘Ye la makcik. Nanti kau sediakan untuk aku satu pinggan. Perut dah lapar ni.’
Aloyah menghantar Fiza ke bilik air dengan pandangan penuh geram. Kalau la tak sabar dah lama dia kerjakan budak itu. Syafiza sebenarnya mengingatkan dia pada satu-satu adik perempuannya yang sedang belajar di Russia iaitu Nur Fathihah. Memang dah lama tak jumpa, tak gaduh-gaduh macam ni.


Tak mahu emo, Aloyah segera menyiapkan apa yang patut. Kuah yang masih panas dituang ke atas yee mee di dalam caserol. Sebiji telur dipecahkan dan ditutup untuk membolehkan telur masak dengan haba kuah. Tak ada dalam resepi tu sebenarnya sesaje dia tambah. Ibarat kata Mat Gebu, kita yang buat dia kan…
Kat mana la nak ambil gambar ni? Dengan kamera cap ayam tu, Aloyah terpaksa mengambil banyak shot untuk mendapatkan yang terbaik. Dia sebenarnya sangat cemburu dengan kebanyakan blogger masakan yang mengambil gambar dengan begitu cantik sekali. Memang menarik sungguh nampak juadah yang dihasilkan dengan bantuan gambar yang memikat. Kadang-kadang bisa meleleh air liur bila tengok gambar-gambar tu. Cuba aje lihat di blog Kak Azlita ataupun Kak Diana. Itu baru je dua contoh, ada banyak lagi. Tapi seberapa cemburu pun Aloyah, dia tetap berpuas hati dengan apa yang diusahakan. Segalanya dibuat sendiri tanpa bantuan sesiapa. Kadang-kadang masa yang dia ada amat terbatas. Balik kerja dah petang, kalau nak masak nak bergambar pun pada malam hari. Hanya pada hujung minggulah dia dapat membuat itu dan ini.
Idea mewujudkan blog itu pun hadir setelah dia menutup akaun facebook. Segalanya dia belajar sendiri. Mana yang namanya header, sidebar, tabs, gajet, tarffic, scrollbox...semuanya dipelajari sedikit demi sedikit melalui laman web tutorial. Jadi baginya cantik atau tidak sesuatu gambar itu bukan penentu segala. Memang yang cantik itu satu bonus tetapi apa yang terselindung di sebalik semua itu hanya dia yang tahu. InsyaAllah satu hari nanti dia pun akan mencapai tahap itu.
‘Oii, aku punya mana?’
‘Kau ambil la sendiri dalam kuali tu. Banyak cantik muka kau. Apa kau ingat aku ni bibik kau ke nak kena siapkan segala?’
‘Ala…itu pun nak berkira. Eh apasal yang aku punya ni tak ada telur?’
‘Telur dah habis.’
‘Kalau camtu boleh la keluar nanti, aku ada barang sikit nak beli.’
‘Nanti la petang-petang sikit.’
‘Kalau ada Bada kan mesti dia suka makan ni. Dia kan seleranya mat saleh sikit.’
‘Mat saleh celup adalah.’
‘Apa ke benda namanya ni Loyah?’
‘Hish, susah betul orang jakun ni. Kat Selangor tak ada ke benda alah ni?’
‘Kat kampung aku megi banyak la.’
‘Ini le sizzling yee mee. Yang selalu kita tengok kat TESCO tu la. Hot plate..’
‘Mmmm… tapi apasal rasa camni pulak?’
‘Rasa apanya?’
‘Rasa sedap!’
Itulah Nik Syafiza. Mana yang Aloyah masak, sama ada sedap atau tidak, menepati piawaiannya atau tidak, dia akan menyatakan secara jujur. Di mana lebih atau kurangnya semua dia maklumkan pada Aloyah. Dia tidak cerewet dalam memilih makanan, apa yang ada semua dia makan. Dan yang penting lagi dia tidak lokek untuk mengeluarkan belanja…. Itu yang paling penting!

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]