PAGES

Thursday, October 3, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 20




Zainab menekan butang end call setelah selesai bercakap dengan Kak Ija. Hari ini hari pertama konvensyen, sudah pun habis sesi pagi dan berehat seketika untuk menyambung sesi kedua. Dia sesungguhnya sangat bersyukur kerana konvensyen itu hanya diadakan di Kuala Lumpur, maka tak perlulah dia meninggalkan buah hatinya dua orang itu untuk masa yang lama. Dan Alhamdulillah urusan anak-anaknya juga berjalan lancar dengan pengawasan Kak Ija.
Sebelum mula tadi pun, Che Mat sudah menelefon dari Brunei, memaklumkan kepadanya beberapa maklumat dan dokumen yang perlu disediakan. Mmmmm bagus betul Che Mat tu kan, walaupun jauh beribu batu masih tak lupa pada tugasnya yang ditinggalkan. Sebab itulah, walaupun hanya sebagai pengganti, Zainab langsung tidak merasa ralat dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Lagipun kebanyakan peserta adalah kenalannya dan sama-sama melibatkan diri dalam bidang sepertinya juga.

Syed Hamdan seperti mengenali raut wajah wanita di kerusi barisan hadapan di dalam dewan. Jelita dengan persalinan biru kundang dan ayu bertudung, wanita itu adalah cinta hatinya sejak dulu, Zainab Atikah! Nampaknya jodoh mereka sekali lagi bila ditemukan dalam konvensyen begini. Syarikatnya turut menghantar wakil dan dia turut datang sebagai wakil lembaga pengarah. Tiba-tiba sahaja hatinya berdebar. Perasaannya tidak keruan bagaikan ada ribuan rama-rama yang sedang berterbangan di dalamnya. Duduknya tidak kena. Mana mungkin dia mendapatkan Zainab ketika itu. Syed Hamdan tersenyum. Esok masih ada. Mengimbau kenangan lalu, kalaulah Bonda menerima Zainab seadanya, tentu saat ini dia sedang berbahagia. Tetapi apalah guna mengenang sesuatu yang telah berlalu. Syed Hamdan akur dengan ketentuan Allah terhadapnya.

‘Eh, Syed, awak pun ada kat sini?’ Zainab terpandang Syed Hamdan dalam kekalutannya mengemas beg untuk pulang. Sesi konvensyen hari itu telah tamat. Jam di tangan sudah menunjukkan jam 10, jadi dia mahu bergegas pulang. Dia sudah rindukan Qadeer dan Qalish.
‘Wakil syarikat. Saya dah nampak awak tadi, tapi tak sempat nak tegur.’
‘Iyalah, masing-masing pun sibuk dekat sini.’
‘Jom kita minum dulu, dah lama kita tak sembang-sembang.’
‘Minta maaf la Syed. Saya kena balik sekarang. Nanti esok kalau ada masa kita sembang ya.’
‘Ok…I’m sorry.’
‘Tak apa. Saya yang patutnya minta maaf. Tapi malam ni saya betul-betul tak boleh. Maaf ya. Saya balik dulu.’
Syed Hamdan melihat Zainab berlalu dengan pandangan yang sayu. Mendengar sahaja Zainab memanggilnya Syed, berbunga-bunga hatinya. Itulah panggilan mesra Zainab kepadanya ketika mereka berkasih dulu. Tak apalah Syed Hamdan oiii, esok masih ada, bersabar la sikit.
Esok! Ya, esok! Esok dia akan mencari Zainab. Ada banyak yang perlu dibualkan.

Hish, siapa pulak yang menelefon malam-malam  ni… Zainab mengomel sendirian bila mendengar deringan telefon. Terlepas, tak sempat nak angkat. Baru saja dia memakai earphone, deringan itu terhenti. Kali kedua ianya berbunyi lagi, terus Zainab terima.
‘Assalamualaikum.’
Alamak, boss rupanya.
‘Waalaikumussalam Che Mat. Ada apa ni? Belum tidur lagi orang Brunei?’
‘Belum masanya lagi Nab oii. Awak di mana ni? Belum balik lagi?’
‘Dalam perjalanan dah ni, seharian dah lemah segala anggota badan.’
‘Kesian awak Nab, terpaksa pula gantikan saya. Dah kena tinggal anak-anak.’
‘Itulah pasalnya Che Mat, dah rindu ni dengan anak-anak. Haaa, Che Mat nanti jangan lupa belikan buah tangan untuk saya ya.’
‘Itu janganlah awak risaukan Nab, semua saya dah beli. Oklah, hati-hati balik tu. Saya ada kerja sikit ni nak siapkan.’
‘Yes boss.’

*****


Syed Hamdan mencari-cari. Tumpuannya kini bukanlah seratus peratus pada pembentangan di konvensyen tetapi Zainab. Dia sudah bertekad, hari ini dia akan berbual panjang dengan wanita pujaannya. Kalaupun dia tidak dapat membetulkan kembali apa yang telah berlaku dulu, sekurang-kurangnya dia boleh meminta maaf dan memberikan penjelasan. Itulah yang terbuku di hati, bagaikan batu besar yang menghalang helaan nafasnya untuk lebih tenang. Dia tahu tidak mungkin baginya memiliki semula sekeping hati milik Zainab, dan dia redha.

‘Haaaa, itu dia!’
Matanya terlihat kelibat Zainab yang baru masuk. Mungkin baru sampai atau kembali dari tandas. Dia sentiasa cantik menawan. Walaupun sudah berumur empat puluhan, tetapi seri wajah dan manisnya masih tetap ada.

Sekarang baru saja pukul 10. Terasa lambatnya masa berlalu. Masih ada beberapa ketika perlu ditunggu sebelum rehat menjelma. Fikiran Syed Hamdan merawang entah ke mana-mana. Mengenang kembali zaman perkenalan mereka, ketika itu dunia bagaikan begitu sempurna baginya. Dengan kehadiran gadis cantik, bijak dan petah berbicara dia tidak mahu memandag yang lain. Sehinggalah peristiwa dia di bomohkan oleh sepupunya dan dia hanya menurut apa yang dirancang bonda dan sepupunya itu.

‘Syed… apa yang you menungkan ni? Ralit benar I tengok. Jom kita pergi minum.’
Siku Dato’ Hasnon di sebelahnya. Syed Hamdan melihat sekeliling. Peserta konvensyen ada yang sudah berdiri dan berpusu-pusu keluar. Zainab! Di mana Zainab? Syed Hamdan bingkas bangun.
‘Tak apa Dato’… you go ahead. I ada urusan sekejap.’

‘Zainab…’
‘Eh Syed. Jemput duduk.’
Zainab yang sedang minum menjemput Syed Hamdan bersama. Rakan semejanya sudah bergerak ke lobi, nak buat panggilan katanya.
‘Awak seorang saja?’
‘Begitulah nampaknya. Awak pun…’
Syed hanya tersenyum. Mendengar suara Zainab sahaja cukup menceriakan harinya.
‘Saya nak keluar awal hari ni. Nak uruskan beberapa perkara di pejabat. Mungkin lepas ni saya tak masuk dah.’
Lancar sahaja Zainab berbicara. Dia sudah melupakan peristiwa lama. Sekarang dia sudah menganggap Syed Hamdan seperti sahabatnya dan tak perlu mengenang apa yang telah terjadi. Dia sudah lama memaafkan lelaki itu.
‘Zainab…saya nak minta maaf dengan awak. Apa yang saya dah buat, apa yang dah berlaku saya minta maaf sungguh-sungguh. Bagi pihak bonda saya, saya tahu dia dah menyesal.’
‘Syed, saya dah lupakan itu semua. Saya dah maafkan awak, juga bonda awak. Buat apa nak berdendam. Kita semuanya hamba Allah yang sama. Lagipun sekarang saya bahagia dengan apa yang saya ada.’
‘Lega saya mendengarnya. Selama ni saya sentiasa berdoa agar dapat meminta maaf dari awak.’
Zainab hanya tersenyum. Dia bukan tidak kenal Syed Hamdan. Dia tahu lelaki itu bagaimana.
‘Janganlah awak risau Syed. Saya dah maafkan awak.’
‘Awak bahagia?’
‘Alhamdulillah… Saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Keluarga dan anak-anak banyak memberi saya kekuatan.’
‘Suami?’
‘Suami saya dah meninggal.’
Zainab tersenyum.
‘Saya ni janda…’
Katanya lagi. Berbisik dan tersenyum…
Syed Hamdan terpana. Bagaimana tenangnya Zainab memberitahu dia, tidak setenang apa yang dia rasakan. Haruskan dia menyoal lebih banyak atau berdiam sahaja?
‘Awak pulak? Apa cerita Syarifah Soffea?’
‘Kami pun dah bercerai. Asas yang dibina tidak kukuh, macam manalah nak bahagia. Tapi iyalah, apa yang dia dah buat tu saya maafkan. Sekarang ni saya tak tahu dia di mana.’
‘Yang baik tu kita ambil teladan, yang buruk tu kita jadikanlah sempadan. Saya doakan lepas ni awak bahagia ya Syed.’
Ah Zainab. Gadis itu terlalu baik. Agaknya dia masih berpeluang atau tidak untuk memengangi hati gadis itu kembali?

Cek Mat merenung tajam. Dia kenal wanita itu. Tetapi siapa pula di depannya? Dadanya tiba-tiba berombak. Hish..ini tak boleh jadi!

Zainab memandang sekujur badan yang sedang berdiri di depannya sekarang. Eh, betul ke ni? Dia memejamkan mata dan membukanya semula.
‘Kenapa dengan awak Nab? Tak percaya?’
Macam mana nak percaya, bukan ke baru semalam mereka bersembang dan Cek Mat masih di Brunei. Macam mana pula hari ini dia boleh ada di Kuala Lumpur? Dah habis ke kerjanya? Bukan kena ada di sana 4 hari? Hai banyaknya soalan…
‘Ini saya la Nab. Betul…’
‘Cek Mat dah selesai ke di Brunei?’
‘Dah… Kalau tak macam mana saya nak balik. Lagipun perbincangan kami berjalan lancar. Nanti kalau ada peluang saya bawa Nab melihat cawangan di sana.’
Boleh la sangat Cek Mat oi…sesekali ke luar Negara.
‘Dah balik awal ni, sempat ke belikan buah tangan untuk saya?’
‘Buah tangan itu juga yang awak tuntut ya Nab. Ada ni ha… saya beli untuk semua.’
Cek Mat menghulurkan satu paper bag yang agak besar. Dalam sibuk-sibuk tu sempat pula dia pergi membeli-belah tanda ingatan untuk semua. Tersenyum Zainab menerimanya. Sebenarnya bukan la dia meminta, tapi dah ada ni bagus juga.
‘Ini pula khas untuk awak.’
Satu kotak berbalut khas dihulurkan.
Zainab menerima dengan malu-malu. Terasa kembali ke 20 tahun sebelumnya.
‘Susah-susah aje Cek Mat ni.’
‘Tak ada susah-susahnya Nab. Untuk awak yang saya sayang, ini bukan apa-apa. Mmmmm jangan duduk lama-lama di pejabat ni. Balik rumah, anak-anak menunggu.’
Zainab termangu mendengar kata sayang yang keluar dari mulut Cek Mat. Dia berdebar… Sejak kebelakangan ini ada banyak perlakuan Cek Mat yang mengganggu tenang jiwanya…
 

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]