PAGES

Saturday, October 5, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 21


‘Bonda, Syed rasa bersyukur sangat bila dapat bertemu kembali dengan Zainab.’

Kata Syed Hamdan di satu pagi hujung minggu. Ketika itu dia sedang bersarapan bersama emaknya. Di rumah besar itu hanya ada mereka berdua selain Mak Yam dan suaminya Pak Soh yang setia menemani mereka.

‘Iyalah Syed, kita dah banyak buat salah dengan dia. Bonda rasa betul-betul bersalah. Nasib baik dia mahu memaafkan kita.’

‘Syed pun begitu juga bonda. Dia seorang perempuan yang baik, sangat baik. Cara dia cakap dengan Syed seperti tak ada apa yang berlaku.’

‘Kalaulah dulu bonda restui hubungan kamu berdua…’

Redup mata Paduka Syarifah Zahrah semasa menuturkan kata-kata itu.

‘Usahlah dikenang perkara lalu bonda. Apa yang berlaku tu semuanya dah tertulis qada’ dan qadarnya. Syed redha. Syed tak pernah salahkan bonda. Lagipun sekarang kita semua dah ada kehidupan sendiri. Kita bahagia kan. Bonda janganlah fikir yang bukan-bukan.’

‘Sebagai ibu, bonda masih rasa bersalah Syed. Kononnya memilih intan, tetapi intan itulah yang sering melukakan hati dan perasaan kita.’

Syed Hamdan menggenggam jemari ibunya. Dia tahu sejauh mana penyesalan yang telah dirasakan. Dia sebagai anak bertekad mahu membahagiakan ibunya sehingga ke akhir hayat. Kebahagiannya jatuh ke nombor dua.

‘Pukul berapa Ustazah Aminah datang bonda?’

Tanya Syed Hamdan.

Biasanya hujung minggu begini Ustazah Aminah akan datang mengajar Al-Quran di rumah, seperti yang diminta ibunya untuk memperbanyakkan amal di usia begini.

‘Sekejap lagi sampai la tu. Kenapa Syed?’

‘Syed sebenarnya nak ke rumah anak yatim bonda, ada perkara nak di selesaikan.’

‘Kamu pergilah Syed…’



Che Mat memandang telefonnya berkali-kali. Dari tadi dia sedang berkira-kira perlukah dia meneruskan niatnya bertemu dua mata dengan Syed Hamdan. Selain mahu berjumpa teman lama, dia juga mahukan jawapan tentang hubungan lelaki itu dengan Zainab. Lebih lama dia menanti, lebih seksa di dalam hati. Jangan kata budak-budak muda sahaja yang berperasaan begini. Dia juga sudah beberapa ketika tidur tak lena memikirkannya. Lantas dengan lafaz Bismillah, butang call ditekan.



Syed Hamdan cuba mengingat kembali gerangan siapakah yang menelefonnya sebentar tadi. Muhammad? Katanya rakan lama satu universiti. Dia sudah ingat-ingat lupa sebenarnya. Tetapi dengan pantas juga stereng kereta dihalakan ke sebuah restoran yang telah dijanjikan mereka untuk berjumpa. Dekat sahaja dengan rumah anak yatim yang dia kunjungi tadi.



Sesampainya di sana, matanya lantas mencari. Di mana ya? Kemudian dia ternampak seseorang mengangkat tangan kepadanya. Masih segak. Raut wajahnya bersih walaupun sudah ada rambut-rambut putih di kepala. Segera senyuman diukir di bibirnya. Kenangan lama berlegar di kepala. Dia kenal lelaki itu. Dulu sama kolej dengannya dan selalu juga bermain badminton bersama.



‘Muhammad? Allahuakbar!!!’

‘Apa khabar Syed?’

Mereka bersalam dan berpelukan. Dua orang sahabat lama yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa.

‘Kau ada jumpa dengan kawan-kawan lain?’

Syed Hamdan mengajukan soalan. Dia sendiri tidak pernah berjumpa rakan-rakan lamanya sejak 10 tahun dulu.

‘Sesekali tu adalah. Sekarang ni masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Dengan kerja, dengan rumah tangga. Dah tentu kehidupan tak macam dulu.’

‘Iyalah. Aku pun begitu juga. Aku ni walaupun tak ada anak isteri tapi masih juga sibuk dengan kerja.’

‘Nampaknya kita ni sama sahaja. Bujang tua!’

Keduanya tergelak.

‘Isteri kau…?’

‘Dia dah meninggal semasa melahirkan anak. Sejak tu aku tak cari pengganti.’

‘Kenapa? Kau tak kesian dengan mereka?’

‘Siapalah yang sanggup Syed. Bukannya seorang, tapi tiga. Kalau kau, nak? Heeeee…’

Di fikirannya tiba-tiba terbayangkan bagaimana Zainab melayan anak-anaknya. Hanya Zainab yang sanggup menumpahkan kasih yang tak berbelah bahagi.

‘Tiga? Hebat kau ya!’

Hilaian ketawa bergema lagi. Cek Mat mahupun Syed Hamdan bagaikan kembali ke zaman-zaman muda dengan berbicara dan ketawa begitu.

‘Nombor telefon aku ni bagaimana kau dapat?’

‘Kebetulan staf aku ada ke konvensyen bulan lepas, dia ada bawa balik senarai peserta. Bila aku tengok, ini macam kenal, aku cubalah.’

‘Konvensyen? Siapa staf kau?’

‘Zainab. Zainab Atikah. Kau kenal dia?’

‘Mmmmm… aku dah kenal dia lama. Dia seseorang yang istimewa dalam hidup aku dulu.’

Istimewa? Apakah maksud istimewa itu? Cek Mat tertanya-tanya. Rawan…

‘Dulu dialah wanita yang bertakhta dalam hati aku. Tapi masa tu bonda tak merestui hubungan kami. Banyak yang berlaku dulu Mat. Aku tak bahagia. Kalau la bonda merestui hubungan kami, aku jamin kami bahagia sekarang. Tapi apa nak buat, dah tak ada jodoh.’

‘Kau tahu tak suami dia dah meninggal?’

‘Dia ada cerita. Kau rasa kalau aku cuba menangi hati dia semula boleh tak?’

Eh, dah tentulah tak boleh sebab Zainab tu untuk aku!

‘Kau rasa?’

‘Entahlah. Benda ni bukanlah boleh berlaku dalam sekelip mata. Tetapi perancangan Allah siapa yang tahu kan? Mana tahu dia masih boleh terima aku.’

Gulp… Cek Mat menelan liurnya sendiri, terasa di bawa bersama kerikil di dalamnya. Dia sudah mendapat jawapan yang dia mahu. Dan dia akan melancarkan pelan pertamanya. Kali ini dia akan mendapatkan Zainab. Cukuplah dulu dia melepaskan Zainab pergi…
 

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]