PAGES

Sunday, October 6, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 22

‘Kau kenapa ni Mat? Mak tengok sehari dua ni kau lain macam saja. Ada masalah ke?’
Mak Mah mengajukan soalan kepada anaknya yang sedap menghirup kopi. Wajahnya yang redup menyimpan seribu makna. Sebagai ibu dia tahu anaknya menyorokkan sesuatu.
‘Masalah apa pula mak?’
‘Habis tengok muka kau macam tempoyak basi ni kenapa?’
‘Hish mak ni, ke situ pulak fikirnya. Mat ok la mak, cuma ada la hal nak selesaikan sikit.’
‘Hal apa pulak? Cuba cerita dengan mak mana tahu mak boleh tolong.’
‘Mak ada nak ke mana-mana tak hari ni?’
‘Kenapa?’
‘Petang nanti anak-anak balik, saya ada hal di luar sekejap lagi ni. Boleh mak uruskan?’
‘Dah itu kerja aku lagi kau nak tanya… boleh la sangat!’
Che Mat sungguh berterima kasih kepada emaknya yang sentiasa memberi sokongan. Hari ini dia mahu berjumpa dengan abang sulung Zainab iaitu Zamani. Dia tidak boleh berlengah lagi. Lagi lama dia tunggu, lagi tak keruan dibuatnya.

‘Abang dah lama sampai?’
‘Eh tak adalah. Baru aje. Air pun abang belum order lagi.’
Seketika kemudian seorang pelayan datang membawakan kad menu. Che Mat memesan kopi panas, dengan harapan dapat menghilangkan degup gugupnya sekarang.
‘Ada apa kau nak bincangkan dengan abang ni Mat?’
Che Mat menghela nafas panjang. Dia tidak pandai mengatur kata berkias-kias. Semasa mahu menyunting Alya dulu dia terus ke rumah bertemu kedua orang tuanya. Cuma kali ini dia mahu memaklumkan abang Zamani terlebih dahulu. Kalau terus ke rumah ibu bapa Zainab bimbang dikata gelojoh pula.
‘Apa pandangan abang kalau saya menyunting Zainab menjadi isteri saya?’
Nah, apa yang ditunggu sudah dikeluarkan. Zamani tersenyum.
‘Mat, kau sukakan Nab?’
Zamani berpura-pura terkejut. Dia sengaja mahu menyakat Che Mat. Walaupun dia belum pasti dengan perasaan Che Mat terhadap Zainab, tetapi perkara itu sudahpun dibincangkan bersama isterinya. Dia kenal Che Mat dah lama. Dia tahu lelaki itu bagaimana. Tetapi sebagai pihak perempuan, dia tidak mahu memulakan langkah. Bila Che Mat dah bagitahu ni alangkah sukanya dia. Dia memang mengharapkan Che Mat untuk bersama Zainab.
‘Boleh tak bang?’
Che Mat bertanya lagi. Dia sebenarnya dah cukup gementar dengan balasan kata Zamani tadi. ‘Abang macam tak percaya je kau suka dengan Zainab. Kau ni betul ke Mat?’
‘Abang, walaupun Nab tu janda anak dua, dan saya ni duda anak tiga, tapi itu tak menjadi masalah. Saya mahu dia menjadi ibu untuk anak-anak saya dan saya nak jadi ayah untuk anak-anak dia. Kami ni sama saja bang. Saya dah lama sukakan dia, dan kali ni memang saya tak akan lepaskan dia lagi.’
Maksudnya Che Mat memang sukakan Zainab sejak dari dulu. Patutlah semasa pernikahan Zainab dan arwah Daus, Zamani boleh nampak kesedihan di wajahnya.
‘Sebenarnya Mat, abang dah lama fikirkan hal ni. Abang cuma tunggu kau je. Bila kau dah cakap, dah tanya ni pandai la abang uruskan.’
‘Abang dah tahu?’
‘Abang dah tahu perasaan kau pada Zainab sebenarnya tetapi abang memang nak kau jadi suami Zainab. Abang nak kau bahagiakan dia, kau sayang anak-anak dia. Dia berhak bahagia Mat. Kau jangan risau, abang akan pastikan kau berkahwin dengan dia.’
‘Abang jangan bagi tahu dia dulu ya. Saya nak beritahu anak-anak dulu. Saya dah buat rancangan.’
‘Terima kasih Mat. Terima kasih.’

*****
Zainab baru sahaja siap sembahyang Isyak ketika Qalish masuk ke bilik.
‘Kenapa sayang?’
‘Umi, nanti boleh tak kita pergi berkelah dekat pantai?’
‘Berkelah apa malam-malam ni?’
‘Bukan. Bukan malam ni la umi. Cikgu Qalish cakap, nanti kena buat tugasan menggubah kulit kerang, jadi Qalish nak la ke pantai. Boleh tak umi?’
‘Boleh la umi… Qadeer pun dah lama tak ke pantai.’
Usul Qadeer yang tiba-tiba juga masuk ke biliknya.
‘Bila Qalish nak hantar tugasan tu?’
‘Minggu depan umi. Bolehlahhhh…’
‘Jom la umi. Kita ajak abang Qaish dan abang Qayyum sekali.’
‘Ha ah umi. Kakak Qasseh pun mesti nak ikut juga.’
Peliknya anak-anak malam ini. Manjanya lebih, rupa-rupanya manja ada sebab.
‘Iyalah, nanti kita pergi.’
‘Jangan lupa tanya papa jugak tau.’
Kata Qalish lagi. Kalau nak ke mana-mana dia memang tak lupakan papanya. Siapa lagi kalau bukan Che Mat. Tiba-tiba sahaja Zainab terusik di dalam hati. Bagaimana dia mahu meluahkan perasaan ini. Sejak kebelakangan perilaku Che Mat sering menyentuh ke lubuk hatinya. Lelaki itu kerap menggunakan perkataan ‘anak-anak’ sebagai ganti ‘anak-anak awak’ sebelum ini. Entah mengapa dia sangat selesa dengan perkara itu, tidak seperti sebelum ini yang menyebabkan dia merasa libang ibu. Selain Qasseh yang sentiasa memanggilnya mama, dan Qalish yang memanggil Che Mat papa, Zainab sesungguhnya hanya mampu berserah kepada Yang Esa tentang suratan hidupnya. Dia bukannya mahu melupakan arwah suami tetapi segalanya demi anak-anak.
Dia menggapai kotak yang berbungkus cantik hadiah lelaki itu dari Brunei. Dia belum ada kekuatan untuk melihatnya. Tetapi malam ini entah mengapa perasaannya teruja untuk melihat apa yang terkandung di dalam. Perlahan-lahan kotak itu dibuka.
Sepersalinan kain sembahyang dan sepasang kain sutera berwarna kelabu. Ahh…sungguh cantik sekali. Zainab merasai kelembutannya… apakah yang cuba disampaikan oleh Che Mat dengan pemberian sebegini?

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]