PAGES

Saturday, October 12, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 23



Zainab tak lepas dari memikirkan mimpinya malam tadi. Dia mengambil keputusan untuk membuat sembahyang istikharah bagi merungkaikan kekusutan di hati. Dia minta ditunjukkan jalan tentang apa yang dia fikirkan. Dan Alhamdulillah, mimpi itu semakin menzahirkan segalanya.

Seketika kemudian dia menerima panggilan daripada Syed Hamdan.

‘Ya Syed, kenapa?’

‘Nab, sebenarnya bonda ada di hospital, kalau boleh dia nak jumpa awak. Boleh tak awak datang?

‘Masuk hospital? Di mana ya? Nanti saya ke sana.’

Mmmm, nak ke sana dengan siapa pula? Agak kurang manis ke sana sendirian. Nak bawa anak-anak lagi la tak patut, kalau ajak Kak Ija anak-anak siapa nak jaga? Sudahnya dia menghantar SMS kepada Che Mat meminta untuk menemannya.



Hospital swasta yang dinyatakan Syed Hamdan memang sangat cantik dan selesa. Biasalah hospital untuk orang kaya. Duit tak jadi masalah yang penting perkhidmatannya bagus.

‘Entah berapa la kan charge hospital ni?’

Zainab tiba-tiba bertanya ketika bergandingan masuk dengan Che Mat.

‘Mana la saya tahu Nab… sekarang ni dekat hospital kerajaan pun kita boleh dapat perkhidmatan yang memuaskan. Sama saja.’

‘Assalamualaikum.’

‘Waalaikumussalam. Masuk la Nab, bonda ke bilik air sekejap. Eh kau pun ada Mat?’

Che Mat hanya tersenyum.

‘Makcik kenapa? Tak sihat?’ Tanya Zainab sebaik sahaja Paduka Syarifah Zahrah melangkah masuk dengan dibantu seorang jururawat.

‘Dah tua-tua begini biasalah Nab, mudah aje terkena penyakit.’

‘Makcik kena banyak berehat, jangan buat kerja-kerja rumah lagi.’

‘Bonda tu bukannya boleh duduk diam Nab. Ada saja yang nak dilakukannya.’

‘Ini siapa Nab?’

‘Ini bos saya makcik. Kawan lama Syed. Itu yang saya ajak dia datang sekali. Che Mat namanya.’

‘Apa khabar Mat? Maaflah makcik tak kenal siapa kawan-kawan Syed.’

‘Tak apa makcik. Saya pun dah agak lama terputus hubungan dengan Syed. Hanya baru-baru ni kami bertemu semula.’

‘Nab, makcik tengok wajah kamu berdua ni ada iras-iras. Kata orang ada berjodoh tu…’

Syed Hamdan pantas melihat ke wajah Mohamad dan Zainab. Betul ke ada iras? Aku tak perasan pun…

‘Makcik ni macam-macam je.’

Che Mat tersenyum di dalam hati. Alhamdulillah pandangan orang tua seperti Paduka Syarifah Zahrah tidak pernah salah. Kalaupun wajah mereka tidak seiras, dia memang mengharapkan ada jodoh antara mereka.


  *****

Bukan kata hanya Che Mat sekeluarga, malah keluarga abang Zamani dan keluarga Dayang pun turut sama datang berkelah di pantai seperti yang telah dirancang oleh Qalish dan Qadeeer. Zainab sebenarnya sudah curiga. Apa sebenarnya yang anak-anak rancangkan? Dia pasti ada sesuatu yang disorok. Jika tidak masakan abang Zamani dan Dayang pun boleh datang?

‘Dah lama kan kita tak berkumpul begini?’

Kata Kak Aisyah. Dia yang sedang mengandungkan anak ke 4 kelihatan berseri-seri.

‘Nasib baik suami Dayang tak kerja hari ni, boleh la ikut sekali. Kalau tak hujung-hujung minggu terperap di rumah sajalah.’

‘Amboi, nak buat macam mana, dah awak nak kahwin dengan anggota polis, itulah pengorbanan yang perlu dilakukan.’

Pecah ketawa antara mereka. Dayang, memang sejak dulu manja.

‘Iyalah abang tu.’

Dayang memuncungkan mulut mungilnya.

‘Kalau dah lama nanti dah tak kisah dah kena tinggal lama-lama pun, kan Dayang?’

Kata Mak Mah mengusik.

‘Tak apa la Dayang, janji bahagia. Tak gitu?’

Zainab pula menambah. Memang seronok dapat bersantai-santai begini bersama keluarga. Tetapi dia terperasan Che Mat hanya diam. Fikirannya bagai tiada di situ. Entah apa yang difikirkannya.

‘Mana pulak budak-budak ni. Dah berapa banyak kulit kerang dicari tak balik-balik lagi.’

Mak Mah menyoal sambil matanya melilau ke tepi pantai. Walaupun anak-anak bersama Kak Ija tetapi dia masih risau.

‘Abang pergi tengok la sekejap.’

Abang Zamani bingkas bangun.

‘Umi, tengok ni kami dapat banyak kulit kerang.’

Kata Qayyum sambil menunjukkan plastik di tangan.

Aik… bila pulak Qayyum ni panggil aku umi? Selalu dia hanya panggil makcik saja. Zainab tertanya-tanya.

‘Ha ah la mama. Kami pun dapat banyak.’

Kata Qasseh pula sambil menunjuk ke dalam bekas tupperware di tangannya.

‘Umi cuba la buka…cuba umi tengok.’

Kata Qalish kemudiannya. Anak-anak masing-masing mengerumuni Zainab. Mahu melihat betapa cantik kerang yang dikumpulkan oleh Qalish dan Qasseh.

Zainab terus tertanya-tanya. Entah mengapa dia sangat berdebar-debar dengan apa yang telah dilakukan oleh anak-anak. Jangan kata anak-anak, semua yang ada di situ pun sepakat melihat. Hanya kedengaran bunyi ombak menggantikan riuh rendah tadi.

Zainab membuka tutup tupperware yang ditunjukkan Qalish…… yang terlihat di matanya bukanlah kulit kerang, tetapi sebentuk cincin yang berhias indah di dalam kuntuman bunga. Dia terkedu seketika. Tidak terkata apa-apa. Dia memandang sekeliling. Semua orang sedang tersenyum. Dia kemudiannya mengambil cincin tersebut. Matanya memandang ke arah Che Mat yang ketika itu sedang merenungnya. Zainab memejamkan mata dan mengangguk.

Serentak dengan itu,bertalu-talu ciuman dan pelukan yang diterima, daripada anak-anak tentunya. Mak Mah pun turut gembira kerana akhirnya anak yang tersayang mendengar katanya.

Ada air yang bergenang di tubir mata Che Mat ketika menyaksikan peristiwa itu. Dia menarik nafas lega.

‘Terima kasih Nab kerana sudi terima lamaran saya.’

Kata Che Mat setelah di situ hanya tinggal mereka berdua. Yang lain ada di gigi air dan ada yang sedang mandi bagaikan memberi peluang kepadanya untuk bercakap dari hati ke hati.

‘Bijak Che Mat merancang ya. Patut la saya dah rasa pelik dengan perangai anak-anak. Rupanya memang ada sesuatu.’

‘Saya tak sanggup kehilangan awak lagi. Anak-anak memerlukan awak, dan saya memerlukan awak lebih lagi.’

Begitulah kata Che Mat. Lancar dan jelas di telinga Zainab. Dia terharu. Sangat terharu. Dengan lamaran ini, maka jelaslah apa yang dimimpikan Zainab beberapa malam lalu. Ini adalah jawapan yang tepat bagi sembahyang istikharahnya. Terima kasih Allah…


1 comment:

  1. a'salam
    cerita yang menarik dan saya rasa ada kelainan dalam cerita yang di sampaikan

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]