PAGES

Sunday, March 30, 2014

C@AC 26 : Red Velvet Cake



Aloyah beringat. Dia tak mahu tertangkap. Hubungannya dengan Encik Paris kini bertambah baik, di pejabat dan di luar pejabat. Sebolehnya dia tidak mahu rakan-rakan menghidu adanya sesuatu di sebalik itu. Dia belum bersedia mendedahkannya. Lagi pula belum ada yang boleh mengesahkannya. Hubungan Encik Paris dengan kakitangan juga bertambah mesra. Tiada lagi kerut-kerut di wajah yang menandakan tidak puas hati. Cuma bab makan yang masih tak dapat nak ditolongin, masih jugak cerewet macam dulu.
‘Kau dengan Fareez tu ada apa-apa ke?’
Aloyah teringat soalan Fiza ketika mereka sedang minum petang bersama satu ketika dulu. Soalan itu sama seperti yang ditanyakan kepada Fiza tentang hubungannya dengan Mail. Dan akhirnya apa yang di doa menjadi nyata. Dah semakin serius nampaknya perhubungan itu, hampir ke jinjang pelamin akhirnya.
Dia bagaimanapun tidak menjawab soalan Fiza. Dia mengharapkan ada apa-apa, tetapi mana mungkin dia berharap di sebelah pihak saja. Dia akui memang dia sukakan Encik Paris, tetapi dia tidak ada hak selagi batang tubuh sendiri tidak mengatakan ya. Lagipun dia bukan siapa-siapa. Mungkin juga Encik Paris sudah mempunyai pilihan sendiri yang 1000 kali lebih baik darinya, siapa tahu. Dengan wajah tampan dan kerjaya yang  stabil, sesiapa sahaja boleh terpikat kepadanya. Aloyah pula tidak memandang semua itu, hal hati dan perasaan ini rahsia Allah, tiba-tiba dia suka, tiba-tiba dia jatuh cinta, nak buat macam mana?
‘Amboi, semenjak dua menjak ni kuat betul kau berangan. Ingat siapa?’
Subhanallah, melayang segala semangatnya. Kak Lin ni sesuka aje menyergahnya.
‘Mana ada ingat siapa Kak Lin, tengah fikir ni bonus nanti nak beli apa.’
‘Entah dapat entah tidak bonus tu.’
‘Kita berdoa la biar dapat, ada banyak saya nak beli ni. Si Zack tu haa, nak kena bayar roadtax dah.’
‘Bagus juga kalau dapat, boleh belanja anak-anak bercuti. Eh kau taknak keluar ke? Dah pukul 5 ni.’
‘Jomlah. Tak sedar pulak saya. Kak Lin, jom minum dulu, teringin pulak nak makan cakoi panas.’
‘Kau belanja? Jommmmm.’
Amboi...kalau orang belanja aje kemain cepat. Belum lagi kata ya, dah terus setuju. Aloyah tidak kisah, sesekali apa salahnya. Dah niat pun tadi.
‘Akak rasa la kan, bos tu macam suka je dekat kau.’
‘Eh pandai je akak ni. Siapa la saya ni kak...orang tak pandang sebelah mata pun.’
‘Kalau dulu kan kemain serius, sekarang ni siap ketawa-ketawa lagi. Kalau tak jatuh cinta apa namanya tu.’
‘Berubah begitu kan bagus, kita kakitangan ni tak la asyik pressure, baru tenang nak buat kerja.’
‘Kau macam mana? Suka ke tak pada bos tu?’
‘Dia bos saya Kak Lin, nak tak hendak saya kena suka.’
‘Ye la tu...entah-entah korang suka sama suka... tahu-tahu akak dapat jemputan.’
‘Kalau dia jodoh saya apa salahnya kak...’
Uhukkkk.... haaaaa, kan dan tersedak. Seronok sangat mengata aku!

Ø  Jgn asyik ketawa je, blk cpt, buatkn sy red velvet, nk esok

Haippp, mana pulak dia nampak Aloyah sedang berjimba-jimba dengan Kak Lin ni? Kanan, kiri, tiada... tapi tiba-tiba sahaja sms masuk menandakan Encik Paris melihat di mana Aloyah berada.

Aloyah membelek buku resepi. Dia pernah membuat red velvet cake atau kek baldu merah ni sekali tetapi tidak menjadi. Keknya padat dan frostingnya masin. Internet kemudian di buka. Halanya tentulah ke blog Kak Zai, selain banyak dipaparkan idea mendeco, ada juga resepi RVC di situ. Aloyah meneliti resepi dari Joy Of Baking yang telah disesuaikan dengan citarasa tempatan. Kemudian dia menyediakan segala bahan yang diperlukan. Entah apa ke mimpi Encik Paris tu, tiba-tiba nak makan kek. Pilihannya pula tentulah kek yang ada cream cheese, setakat whip cream atau butter cream apa kelas katanya.
Pertama sekali, mesti sediakan buttermilk dengan mencampurkan susu segar dengan cuka atau jus limau nipis. Ianya kemudian dicampurkan dengan perwarna merah yang akan menjadikan warnanya seakan-akan baldu. Dari itulah kek ini mendapat namanya. Selepas membancuh gula dan butter, kemudian di tambah telur, tepung dimasukkan berselang sesi dengan buttermilk. Bila dah sebati akhirnya boleh dimasukkan campuran soda bikarbonat dan cuka. Setelah siap adunan, bolehlah dibakar selama kurang lebih 30-40 minit. Aloyah kemudiannya membuat frosting dengan menggunakan campuran cream cheese, gula dan whip cream. Tak tahu la kena dengan selera atau tidak ni. Bila semuanya sudah siap, kek sudah sejuk, Aloyah memulakan kerja mendeco. Warna merah kek ni kena sangat dengan putih pucat frostingnya. Tidak hairanlah jika RVC ni menjadi pilihan sebagai kek perkahwinan. Dalam 45 minit, siap kerja mendeco. Deco simple aje pun, masih keras tangan lagi. Nak tulis apa ni? Biasa kalau kek yang di tempah ada request kata-kata atau tulisan. Aloyah mengambil telefon.

Ø  Ada nk tulis apa2 x atas kek ni

o   X ada

Ø  Nnti nk hntr ke mn

o   Bw je ke pej

Hmmm, senang sikit kalau tak perlu tulis apa-apa. Bab tulisan ni memang tak cantik langsung, Aloyah belum pandai menulis di atas kek tanpa tangannya bergetar. Macam orang sakit parkinson gitu J. Aloyah kemudiannya meletakkan kek ke dalam kotak dan menyimpannya ke dalam peti sejuk. Habis satu kerja hari ini.

Sesampainya di pejabat, Aloyah meletakkan kek tempahan di atas meja kopi di dalam bilik Encik Paris.  Hari ini dia ada perjumpaan dengan PA seluruh jabatan. Semuanya akan berkumpul di bilik timbalan pengarah 1 untuk taklimat perkhidmatan. Pelbagai perkara akan dibincangkan, berkaitan dengan kerja yang melibatkan PA dan tugasan harian. Dalam perjumpaan itu juga diumumkan Aloyah terpilih sebagai PA Terbaik bagi bulan ini. Apa lagi, kembang kempis la Aloyah dibuatnya. Bukan senang nak dapat penghormatan itu. Sebagai ganjaran, trofi, sijil dan wang tunai diberikan disamping wajah akan terpampang di frame besar di pintu masuk majlis. Bukan selalu dapat tonjolkan wajah fotogeniknya.
Selepas perjumpaan, Aloyah kembali ke jabatan pentadbiran dan korporat. Dengan anugerah yang dibawa, rasa macam artis pula. Melambai ke kiri dan kanan sambil tersenyum. Begitulah besarnya anugerah PA Terbaik kepada dia. Macam menang anugerah bintang popular lah!


Ø  Tahniah Aloyah. Smg lps ni mkn b+ maju & jgn serik kerja dgn sy.

Ah Encik Paris, dia tentunya lebih maklum tentang anugerah itu. Bos yang calonkan PA, apa yang lebih, apa yang kurangnya seorang PA, hanya bos sahaja yang tahu.

Ø  Btw, kek tu hadiah utk awk. Mkn sm2, smpn utk sy sikit tau

Kek sendiri jadi hadiah? Aloyah tersenyum. Bijak jugak perancangan Encik Paris ni. Patut la tak nak tulis apa-apa. Dia mengambil kad yang tertampal di kotak. Yang ini tak ada dalam pakej. Sebelum itu dia membelah kek dan mengedarnya kepada rakan sepejabat. Silih berganti uncapan tahniah diterimanya atas penghormatan itu.

Aloyah tersenyum memandang kad yang di ambil dari kotak kek. Melihat gambarnya saja sudah cukup untuk menyelam ke dasar hati Encik Paris yang penuh rahsia. Dia membaca bait-bait kata yang tertulis. Tiba-tiba dia termalu sendiri. Itu tagline kesukaannya. Satu kenyataan dan satu soalan. Akhirnya yang terang sudah bersuluh. Yang kabur sudah jelas. Walaupun tidak secara bersemuka, dia seakan tidak percaya soalan itu datangnya dari lelaki yang dia suka. Ya, ‘seseorang’ yang dia suka. Dia menulis jawapannya ke atas kad tersebut. Sepotong kek diletakkan ke dalam piring dan dibawa ke bilik Encik Paris. Kad pula diletakkan menjadi pengalas sudu. Bila dia nak makan nanti, harap dibukalah kad itu.


Ringkas saja jawabnya. Ya, SUKA. Memang dia suka. Dia pasti itu jawapannya. Dan apabila Encik Paris masuk selepas tamat waktu makan tengah hari, Aloyah berpura-pura tidak nampak. Dia berpura-pura sibuk, menyembunyikan rasa hati dan riak wajah sedangkan hati di dalam tiada siapa yang tahu...
Dan di Aloyah Cafe, Aloyah sudah menemukan tajuk terbaik untuk entry terbaharunya. RVC... Semerah Cintaku!

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]