PAGES

Sunday, May 4, 2014

Mentari Masih Bercahaya

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Cerpen ni saya tulis semasa di sekolah menengah... tak ingat lepas PMR atau sebelum SPM. Cerpen ni saya hantar untuk salah satu pertandingan di Utusan Malaysia. Bila baca balik... senyum sorang-sorang.




Kokokan ayam jantan sayup-sayup kedengaran di hujung kampung. Filda menggeliat malas. Dia menggigil kesejukan. Ditariknya kain selimut hingga ke paras dada dan memejamkan mata. Namun, bila difikirkan tentang tanggungjawabnya sebagai kakak sulung dalam keluarga, hajat untuk menyambut tidur dilupakan. Kain selimut dilipat dan diletakkan di atas bantal. Setelah selesai mengemaskan tempat tidurnya, dia memandang sekilas kepada adiknya yang masih lena dibuai mimpi.
Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Filda menyalakan pelita ayan dan di bawa ke bilik emak. Emak tenang dalam perbaringannya. Kemudian dibawa pula pelita ayan itu ke atas meja buruk di tepi tingkap. Dia mengambil sebiji buku nota lalu dibawanya ke dapur. Filda menyalakan api dan menjerang air. Selepas itu dibasuhnya pula pinggan-pinggan yang berselerakan di pelantar. Air yang dijerang sudahpun menggelegak. Filda kemudian mengupas lebihan ubi kayu yang emak buat pengat kelmarin. Ditenggekkan periuk yang berisi ubi itu ke atas tungku. Dia  meniup bara api merah dengan kuat seperti memaksa ubi yang  direbusnya masak cepat.
Filda kemudian duduk bersila menghadap pelita ayan sambil membaca buku notanya yang sejak tadi dibiarkan. Segala apa yang dibaca cuba diingatnya.
Allahuakbarullahuakbar…
Kedengaran suara Bilal Zain dari surau Pak Tua membelah dinihari. Filda menjawab azan dan menutup buku. Ubi yang direbusnya sudahpun masak. Diangkat periuk itu dan dikeluarkan isinya lalu diletakkan dalam pinggan. Dia kemudiannya membancuh kopi pahit. Selesai membancuh kopi, dia meletakkan kopi dan ubi itu di bawah tudung saji.
“Sal, Zam, bangun.” Teriak Filda dari ruang tengah.
Dia turun mengambik wuduk. Air  di perigi sejuk bagaikan salji. Dia cepat-cepat naik. Salzi dan Nizam duduk mencangkung di ruang depan.
“Pergi mandi cepat. Kemudian sarapan.” Filda menyergah adik-adiknya. Salzi dan Nizam turun ke perigi  manakala Filda menunaikan solat Subuh.
Selesai sembahyang, Filda ke bilik emak tapi dilihatnya emak tiada. Filda cemas.
 “Da, marilah makan bersama-sama.” Kedengaran suara emak dari dapur.
“Sekejap mak.”
Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi. Filda cepat-cepat keluar dan menuju ke dapur untuk bersarapan.
“Sal, Nizam, makan cepat. Nanti lewat pula ke sekolah.” Filda menyergah adik-adiknya yang kelihatan sangat lambat menghabiskan sisa ubi kayu rebus.
“Pergi dulu mak.” Kata Filda sambil menyalami tangan emak dan diikuti olah Salzi dan Nizam.
“Da…”
“Ya mak.”
“Hari ini kau tak payahlah ke sekolah. Mak kurang sihat. Baju kurung yang ditempah oleh Mak Limah masih belum siap. Mak harap kau dapat menyiapkannya.” Emak memberitahu Filda dengan raut muka yang mengandungi seribu derita. Emak terus batuk dengan kuat sehingga terlihat ada cecair merah keluar dari celah bibirnya yang kelihatan kering. 
“Emak sakit?” Filda bertanya.
Emak tidak menjawab. Mukanya pucat dan badannya sedikit menggeletar.
“Sal dan Nizam pergi dulu ke sekolah nanti kakak ikut dari belakang.”
“Baiklah kak.” Nizam menjawab lantas mereka berdua turun menyusuri lorong ke jalan besar.
Hasrat Filda untuk ke sekolah berbelah bahagi. Dipapahnya emak lalu dibaringkan ke dalam bilik. Nafas emak turun naik seperti ada sesuatu yang berat menghempap dadanya. Setitik air mata jatuh di pipi gebunya bila melihatkan keadaan emak. Dia tidak sampai hati membiarkan emak terus begitu. Mata emak sedikit tertutup. Filda cemas. Dia turun dari rumah dan menuju ke rumah Kak Siah.
“Kak Siah… Kak Siah.” Filda berteriak dari bawah.
“Ada apa Filda?” Kak Siah muncul di muka pintu.
“Tolong Filda Kak Siah. Mak sakit.”
Kak Siah bergegas turun. Filda mengikutnya dari belakang.
“Kau pergilah ke sekolah. Biar Kak Siah jaga emak.
“Tapi…”
“Tak apa. Pergilah.” Filda mengangguk lesu. Jauh di sudut hati, dia merasa terkilan kerana tidak dapat berada di sisi emak namun apakan daya hari ini ada ujian Geografi. Fikirannya berampur aduk.
Apakah emak akan pergi macam ayah juga 2 tahun lalu? Detik Filda dalam hati.
Dia mengeluh. Hanya mampu tabahkan hati menyusuri lorong menuju ke jalan besar.
Filda berjalan cepat-cepat. Sampai di pintu pagar sekolah, pengawas yang bertugas sudah menutup pintu pagar.
“Tunggu dulu.” Jerit Filda.
“Kenapa lambat?”
“Maafkan saya. Ada masalah di rumah.”
“Siapa nama awak?”
“Filda Bt Idris.” Pastinya nama itu akan dicatatkan di dalam rekod.
Pintu pagar dibuka. Filda masuk dan mengatur langkah menuju ke kelas.
“Assalamualaikum cikgu.” Filda memberi salam.
Cikgu Azim menjawab salamnya dan meminta dia duduk.
Filda menuju ke mejanya bersebelahan Mariah. Dikeluarkan buku nota dari beg buruknya namun dia tidak menuliskan apa yang dinyatakan oleh Cikgu Azim. Fikirannya tidak tenteram. Dia teringatkan emak di rumah. Segala apa yang dipelajari tidak dapat diikuti langsung. Filda resah di tempat duduknya.
“Kenapa ni?” Tanya Mariah sebaik sahaja Cikgu Azim keluar.
“Mak aku sakit.”
Mariah diam. Dahinya berkerut.
Seorang demi seorang guru masuk ke kelas namun fikirannya masih kacau. Setitik air mata jatuh ke pipi bila dia terkenangkan ibunya.
“Filda kau tak ke kantin ke?” Pertanyaan Mariah mengejutkannya.
Filda menggeleng lemah. Dia keluar dari kelas dan menuju ke bawah pokok tanjung di tepi bilik stor.
Kring… kring…
Loceng dibunyikan dua kali menandakan tamatnya waktu rehat.
Filda dapat membayangkan bagaimana jika emak meninggal seperti kematian ayah dua tahun lepas kerana mengidap barah. Dia mesti berhenti sekolah untuk menyara adik-adik. Hasratnya untuk ke universiti terpaksa dilupakan dan dia mesti bekerja. Kalau tidak, adik-adiknya hendak makan apa? Tidak sanggup rasanya dia menghadapi situasi itu. Filda menangis teresak-esak. Hatinya sungguh sedih.  Dia sangat menyayangi emak dan adik-adiknya.
“Kau menangis Filda?” Tanya Mariah sebaik sahaja Mariah melabuhkan punggung di sisinya.
“Filda, masalah kau masalah aku juga.” Suara Mariah yang sayu kedengaran mesra di telinganya.
Serentak itu, Filda memeluknya. Air matanya turun bagai hujan yang tidak mahu berhenti. Filda tidak malu lagi. Teman-teman sekelas telah mengerumuninya.
“Assalamualaikum cikgu.” Kedengaran lantang suara Farizan selaku ketua tingkatan.
Filda tidak tahu cikgu manakah yang memasuki kelasnya. Dia masih teresak-esak dalam pelukan Mariah.
“Waalaikumussalam. Sila duduk semua. Buka buku teks muka surat 197. Buat latihan 6 dari nombor 1 hingga 75. Saya ada hal yang perlu diuruskan.”
Filda mendongakkan kepala. Di hadapannya Cikgu Zainab.
“Filda, ikut saya ke pejabat. Mariah, awak pun ikut sama.” Pinta Cikgu Zainab tanpa di rancang. Mariah memapah Filda keluar dari kelas. Hati Filda semakin cemas. Lututnya menggeletar.
Sampai di bilik pengetua, dia lihat Kak Siah dan suaminya berada di situ. Filda sudah dapat mengagak.
“Duduklah Cikgu Zainab, Filda dan Mariah.” Encik Amar selaku pengetua SMK Seri Mersing membuka bicara.
Filda lihat mata Kak Siah merah seperti juga matanya. Serentak dengan itu Filda menangis lagi lantas memeluk Mariah.
“Sabarlah Filda. Emak kamu dah meninggal dua jam selepas kamu ke sekolah pagi tadi.”
Filda tidak memberikan respon. Dia tidak percaya berita itu. Hanya air matanya yang mengalir tanda kesedihannya. Patutlah fikirannya sangat kacau sewaktu rehat tadi.
Hari itu Filda dihantar pulang oleh Cikgu Azli. Cikgu Zainab, Mariah dan dua orang guru lain pergi dengan kereta pengetua. Nizam dan Salzi sudah diberitahu.
Sampai dirumah, Filda lihat ramai orang kampung dan ada juga yang tidak dikenalinya berada di situ. Filda tidak peduli. Diteruskan langkahnya ke bilik emak. Suara orang membacakan Yaasin sayup kedengaran.
“Emak!!!” Jerit Filda di saat melihat sekujur tubuh kaku milik emaknya di atas tikar mengkuang yang pernah dianyamnya satu ketika dulu. Dia terduduk di sisi mayat emaknya. Kak Siah  yang sudah dianggap sebagai kakaknya juga berada di situ. Dia menarik kain batik lepas yang menutupi muka emak. Dulu, kain batik itu jugalah yang digunakan untuk menutup mayat ayah.
Filda mengucup dahi emak dengan penuh kasih seperti yang dilakukan kepada arwah ayah dua tahun lalu. Begitu juga dengan Nizam dan Salzi. Itulah penghormatan yang terakhir kepada bonda yang tercinta. Dia melihat muka emak tidak berubah seperti yang dilihatnya pagi tadi. Air mata Filda jatuh lagi.
Dia kesal kerana tidak dapat bersama-sama emak di saat-saat terakhir penghidupannya. Filda tidak terkata lagi. Dia terkulai di penjuru bilik bersama-sama Nizam dan Salzi. Lebai Zain dan beberapa orang lagi menguruskan mayat emak. Filda sudah berhenti menangis. Sebelum dikapankan, dia dan adik-adik dipanggil untuk melihat wajah emak buat kali terakhir. Menghadapi perpisahan yang abadi ini…
Suasana di dalam rumah diselubungi kesedihan. Mayat emak akhirnya dikapankan dengan bantuan isteri Bilal Zain, Mak Cu Miah. Setelah dikebumikan, orang ramai sudah beransur-ansur pulang. Wang yang disedekahkan semuanya berjumlah RM1000 telah dikumpulkan olah Kak Siah. Pengetua, guru-guru dan rakan-rakannya yang lain masih berada di rumah. Mariah di sisinya. Filda menggenggam erat tangan Mariah. Mereka berdua merupakan sahabat  yang paling akrab di SMKSM ini. Semua guru dan pelajar memperakuinya.
“Sabarlah Filda. Aku akan bersama kau.” Ucap Mariah.
“Filda, ini ada sedikit sumbangan dari pihak sekolah.” Pengetua menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepada Filda.
Dengan perasaan yang berbaur dia menerima pemberian itu. Dalam hatinya mengucapkan syukur kepada Yang Esa dan terima kasih kepada sesiapa yang telah memberikan sumbangan itu. Doanya  moga mereka semua sentiasa dirahmati.
Kak Siah mengambil keputusan untuk menjaga Filda adik beradik walaupun Jabatan Kebajikan ingin menghantar mereka ke Rumah Anak-anak Yatim. Jika diikutkan, memanglah Kak Siah tidak mempunyai talian persaudaraan dengan mereka sekeluarga namun mereka sudah bagaikan satu keluarga yang saling melengkapi yang lain. Kak Siah bagaikan ibunya yang kedua. Lagipun Kak Siah menegaskan bahawa sebelum ibu Filda menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah berpesan supaya anak-anaknya dijaga oleh Kak Siah sementelahan juga perempuan itu tidak mempunyai anak. Itulah kuasa Tuhan, dalam sekelip mata sahaja Kak Siah dikurniakan tiga orang anak sebagai penyeri hidupnya.
Filda, Nizam dan Salzi menerima pemergian ibunya dengan hati yang rela dan redha. Bagi mereka biarlah ibu mereka itu pergi dengan tenang kerana penderitaan yang dihadapinya sudah tidak tertanggung lagi. Dengan perpisahan abadi itu, bukannya perlu ditangisi sebuah kehilangan tetapi kehidupan mereka perlu diteruskan. Dengan pesanan dan nasihat yang selalu arwah ibu berikan, InsyaAllah mereka akan menjadi insan yang berguna. Sekarang, kepada Kak Siah dan suaminya sajalah ditumpahkan segala kasih dan sayang… Kal dulu dulu mereka memanggil Kak Siah dan suaminya dengan panggilan Kak Siah dan Abang Karim, sekarang mereka memanggilnya dengan panggilan mama dan abah.
“Sal, Nizam, sekarang kakak harap kita dapat membalas budi baik mama (Kak Siah) yang telah banyak membantu kita. Kakak tahu adik-adik kakak ni masih ingat apa yang arwah emak selalu pesan. Hanya dengan belajar bersungguh-sungguh dan membantu keluarga sahaja dapat menggembirakan hati semua orang. Kita tidak sempat menunjukkan kepada ibu kejayaan kita. Jadi kita akan bahagiakan mama.”
“Kami faham kakak. Hm… bila kakak mahu pergi mengambil keputusan peperiksaan SPM kakak?” Salzi bertanya.
“Pejabat sekolah buka pukul 10. Nanti kakak akan pergi dengan Kak Mariah. Sekarang Sal dengan Nizam sambung kerja sekolah yang belum siap. Kakak boleh tunjuk ajar.”
Kak Siah dan suaminya memandang dengan senyuman yang terukir di bibir. Mereka bangga dengan sikap dan kepimpinan yang ada pada Filda. Anak itu tidak pernah menyusahkan mereka malah kehidupan menjadi lebih baik dan bahagia dengan kedatangan mereka. Syukur pada Tuhan kerana anugerah yang tidak ternilai itu.
Bila jam sudah menunjukkan angka 10 pagi, Filda ke dapur menemui mamanya dan memberitahu bahawa dia hendak ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPMnya bersama Mariah.
“Abah akan hantar kamu. Kita pergi ambil Mariah dulu.”
“Terima kasih abah. Filda pergi dulu mama.” Filda mencium tangan mamanya. Hendak ke mana-mana, dia tidak pernah lupa untuk meminta restu orang tuanya walaupun mereka hanyalah keluarga angkat, tempat dia menumpang kasih.
Sampai di pejabat, tidak ramai yang ada. Barangkali masa masih awal benar. Hanya dia dan Mariah serta beberapa teman sekelasnya dulu berada di situ. Dadanya berdebar-debar. Walaupun begitu dia yakin akan mendapat keputusan cemerlang biarpun dulu emosinya sedikit terganggu dengan pemergian arwah ibunya. Dan dengan kesedihan itu dia bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan SPM yang akan menentukan masa depannya.
“Tahniah Filda. Awak salah seorang pelajar cemerlang sekolah ini.” Ucapan pengetua itu bagaikan tidak kedengaran  di telinganya. Dalam hatinya masih tidak percaya namun setelah slip peperiksaan dilihat, air matanya merembes keluar. Ada perasaan sedih dan gembira di dalam hatinya.
Dia berpelukan dengan Mariah yang juga salah seorang pelajar cemerlang SMKSM.
“Pakcik Karim, Filda menjadi pelajar terbaik sekolah ini.” Mariah mewakilkan diri memberitahu kepada ayah angkat Filda.
“Terima kasih abah kerana memberi galakan kepada Filda.”
“Sama-sama Filda. Abah bangga dengan kamu. Mama tentu tidak sabar mahu tahu keputusan bahagia ini. Mari kita balik memberitahu dia.”
“Abah, sebelum balik boleh tak kita singgah di kubur emak dulu?”
Abah angkatnya menganggukkan kepala. Mereka bertiga menuju ke kereta.
“Assalamualaikum emak. Filda datang lagi. Emak, Filda berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah dalam peperiksaan SPM lalu. Terima kasih kepada emak kerana sentiasa memberi kesedaran kepada Filda tentang pentingnya pelajaran. Alangkah baiknya jika emak masih ada dan kita boleh berkongsikan kebahagiaan ini…” Air mata Filda mengalir lagi ketika bibirnya selesai mengucapkan kata-kata itu. Tangannya memegang batu nesan yang dipacakkan di kubur emaknya. Terasa dari situ kasih sayang emaknya mengalir dan memberikan kekuatan padanya.
“InsaAllah dengan kasih sayang emak, mama dan abah, Filda akan menjadi insan yang berguna dan anak yang baik. Filda balik dulu emak.” Surah Al-Fatihah dibaca sebelum kakinya melangkah pergi. Moga doanya dapat memberikan kesejahteraan kepada arwah ibunya ‘di sana’. Hanya itu sajalah yang mampu dilakukan selain dari kasihnya yang berpanjangan.
Filda kembali ke rumah bersama Mariah dan abahnya. Dia juga tidak sabar untuk memberitahu berita itu kepada mama dan adik-adiknya supaya kejayaan itu menjadi perangsang mereka agar berjaya sepertinya. Dalam hatinya berkata, kehilangan ibu sebenarnya telah membuatkan dia berputus asa namun dengan sokongan yang sering arwah ibu katakan serta dengan kasih sayang mama dan abah angkatnya membuatkan dia bangun dari kesedihan itu dan menjadikan ia satu cabaran untuknya berjaya. Sekarang dia telah berjaya. Terima kasih semuanya!!!
 

1 comment:

  1. Wowwww mmg ada bakat menulis lah no wonderlah dpt jd cekgu :-)

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]