PAGES

Sunday, January 8, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 1

 
 
"Engkaulah madu engkaulah racun, permata hati bonda penyeri keluarga…"

Dayang Atikah tersenyum memandang Batrisyah. Anak saudaranya yang berusia setahun lebih itu tersengih menampakkan giginya yang dua batang itu setelah diusik. Itulah buah hati pengarang jantung dia dan ibu. Anak kepada kakak sulungnya itu sebenarnya kembar tetapi Allah lebih menyayangi yang seorang lagi. Adik kembarnya, Balqisyah pergi sebelum sempat melihat dunia dengan lebih luas lagi. Dia meninggal kerana jangkitan kuman di dalam paru-parunya. Mereka semua redha dengan perpisahan itu dan percaya pada qada’ dan qadar Tuhan.
Dalam keluarga hanya ada dia dan kakaknya Dayang Sariah. Itulah harta tidak ternilai selain dari ibunya, Khadijah yang tersayang. Mereka berdua agak rapat namun setelah kakaknya berkahwin, hubungan itu dibatasi kerana kakaknya telah menjadi milik orang lain dan tidak lagi tinggal bersama-sama mereka. Abang Saif, suami kakaknya membina hidup baru di Taman Air Putih, Pasir Gudang, tempatnya bekerja.
“Ika, bawakan Batrisyah. Kak Sari nak mandikan dia.”
Terdengar suara Abang Saif memanggil. Agaknya mereka sudah mahu bersiap-siap untuk balik ke Pasir Gudang. Nampaknya selepas ini hanya tinggal dia dan ibunya sahaja di rumah.
Pipi mungil Batrisyah diciumnya bertalu-talu. Dalam hatinya ada pelbagai perasaan. Detik perpisahan sementara perlu dihadapi. Entah bila pula akan berjumpa dengan anak saudara kesayangannya itu. Dayang Atikah melepaskan satu keluhan. Batrisyah segera dicempungnya menuju ke bilik air.
 

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]