PAGES

Friday, August 31, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 28


 
 


 
Kata-katamu mengusik hatiku, namun aku tidak ingin mengenang kisah lalu…

“Sebenarnya Chem, ada sesuatu yang aku ingin katakan pada kau.”
Ujar Dayang Atikah pada ketika dia dan Chempaka bersama-sama mengambil angin di tepian Pelabuhan, tempat yang biasa di kunjungi suatu ketika dahulu. Ibu, Syameer dan Ahmad Zikrullah sedang menjamu selera di gerai Abang Mat, juga pernah menjadi kesukaan mereka dulu.
“Aku agak ini ada berkaitan dengan masa depanmu.”
Sambil memandang ke laut lepas, dia menyambung kata…
“Aku akan bertunang penghujung  cuti sekolah ini. Datanglah sebagai memberi sokongan kepadaku.”
“Bertunang? Tahniah Dayang. Tapi dengan siapa?”
“Dia bekas guruku yang kini menjadi Penolong Kanan di sekolah tempat aku mengajar. Hazami namanya. Sebenarnya aku tidak pernah mengimpikan semua ini. Namun bila memikirkan nasihat ibu dan apa yang telah menimpa, aku rasa diriku juga berhak menikmati bahagia. Apa salahnya mencuba. Lagipun pilihan ibu selalunya yang terbaik.”
“Dayang, siapa pun pilihan kau, aku tak berkuasa membantah. Malah setiap masa aku mendoakan kebahagiaanmu.”
“Apa kisah Amjad sekarang. ni? Masih dengan Tania lagi?”
Dia tidak tahu bagaimanakah dia dapat menyebut kembali nama itu.
“Banyak perkara yang telah berlaku Dayang. Selepas pemergian kau, bermacam-macam telah berlaku. Sebenarnya aku pun tak tahu di mana hendak mulakan. Kalau kau sudi mendengar, aku ingin kau tahu sesuatu.”
“Apa dia?”
“Sebenarnya tiada hubungan antara Amjad dan Tania. Yang aku tahu, hanya Tania menyukai Amjad tapi dia hanya melayan Tania sebagai teman biasa saja.”
Dayang Atikah diam dan masih memberi tumpuan pada kata-kata Chempaka. Namun hakikatnya dia agak terkejut dengan kenyataan Chempaka.
“Kadang-kadang aku merasakan pemergian kau terlalu mendadak dan tidak memberi peluang kepada dia untuk berterus terang. Bila dia tahu kau telah balik ke Batu Pahat, terus dia datang jumpa aku dan dia nampak sangat terkilan. Sehingga sekarang dia masih tidak dapat mengawal perasaannya. Perubahannya ketara.”
Dayang Atikah tidak menyangka sampai begitu sekali kesan yang ditinggalkannya kepada Amjad. Apakah dia yang bersalah mengambil keputusan sedemikian sedangkan ada masanya dia langsung merasa dirinya tidak dihargai. Kalau betullah lelaki itu menyimpan perasaan padanya, kenapa di biarkan masa menjadi saksi kelukaan hati mereka?
“Aku mahu melupakan kisah yang lalu. Kalau boleh aku tidak ingin mengenang lagi apa yang telah terjadi. Seandainya kau berjumpa dengan dia, tolonglah beritahu dia tentang pertunanganku. Dan katakan padanya aku sentiasa mendoakan kebahagiannya.”


Ini adalah lambang keikhlasanku terhadapmu, sudilah menerimanya moga kita akan bahagia..

Hazami tersenyum sendiri melihat cincin emas bertatah berlian yang dibeli bersama ibunya tadi. Rekaannya ringkas dan tidak terlalu sarat. Agaknya Dayang Atikah akan menyukai cincin itu. Sesungguhnya dia tidak percaya bahawa Dayang Atikah akan menjadi miliknya. Angan-angannya suatu masa dulu kini bakal menjadi kenyataan. Dia bagaikan terpaku apabila Puan Khadijah ibu Dayang Atikah menyatakan persetujuan apabila ibunya menelefon memberitahu untuk menghantar rombongan ke rumah gadis itu.
“Mi, ibu tahu Mi cintakan Dayang. Dari tadi ibu lihat Mi asyik senyum-senyum aje tengok cincin tu. Ibu harap Mi dapat jaga Dayang dengan penuh kasih sayang dan ikhlas. Sebenarnya kalau Mi nak tahu, ibu dan arwah ayah dulu pernah merancang untuk menjodohkan kamu berdua. Sejak dari kecil ibu dan ayah menimpan impian untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim ini melalui anak-anak. Sekarang ibu sudah pun menunaikan amanah ayah. Semoga Mi dapat menyambung amanah kami ini dengan memberikan yang terbaik untuk Dayang Atikah.”
Panjang lebar nasihat yang diberikan oleh Puan Kalsum kepada anaknya yang baru hendak memulakan hidup.
“Ibu, Mi akan jaga dia dengan baik. Mi rasa ibu pun tahu bagaimana sikap Mi. Hm… bagaimana dengan persiapan untuk ke rumah Dayang nanti? Kalau ada apa-apa yang diperlukan, cakap dengan Mi.”
“Semuanya ditanggung beres Mi. Cuma satu je, Mi jangan tunjuk muka gelabah Mi tu. Ibu dan Pak Lang akan uruskan segalanya.”
“Terima kasih ibu.”
Satu kucupan hinggap di pipi mulus ibunya. Memang dia seorang anak yang baik dan tidak banyak kerenah. Perangainya terserlah semenjak kecil. Langsung tiada masalah dengan anak tunggalnya itu. Kalsum memandang potret suaminya yang tergantung di dinding. Dia dapat melihat ada senyuman di wajah suaminya itu…


Kad undanganmu telah kuterima, betapa pun di hati ini masih ada sesalnya…

UNDANGAN PERKAHWINAN

Hazami Hassan
&
Dayang Atikah Daud

Semoga dengan kehadiran tuan puan akan memeriahkan majlis ini…


Amjad menatap kad yang dibawa oleh Laila. Kad kecil yang comel dan berbau harum itu dikirim oleh Dayang Atikah yang mengundangnya ke majlis perkahwinannnya awal bulan hadapan. Dia melepaskan keluhan panjang. Melepaskan satu bebanan dalam dirinya. Bibirnya mengukir senyum.
Semoga kau bahagia Dayang. Aku akan bersama-sama menyaksikan detik-detik indah dalam hidupmu.
Amjad menunaikan janji dan tekadnya. Dia berfikiran positif dan tidak mahu lagi membiarkan perasaan sedih menguasai dirinya. Cukuplah apa yang telah berlaku dulu di jadikan pengajaran.
“Laila, Cikgu Dayang akan berkahwin awal bulan depan ni. Kita sekeluarga dijemput ke sana.”
Laila yang sedang menyiapkan minum petang menghentikan kerjanya. Dia ke arah Amjad dan membaca sendiri kad undangan itu.  Ada rasa tidak percaya dalam hatinya.
“Apa yang kecoh-kecoh ni?”
Mak Ngah yang datang dari luar rumah menyapa.
“Dayang akan berkahwin awal bulan depan ni Mak Ngah. Kita dijemput ke sana.”
Dengan suara tenang Amjad memberi tahu ibu saudaranya.
Mak Ngah Idah agak terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Amjad itu. Namun apa yang lebih mengejutkannya, dia tidak dapat melihat kekeruhan di wajah Amjad tidak seperti sebelum ini. Anak muda itu terlalu tenang di wajahnya. Hati tuanya bertandang dengan pelbagai persoalan…


Berbahagialah melayari ikatan perkahwinanmu, semoga kekal selamanya…

Amjad, Laila, Pak Ngah Idris dan Mak Ngah Idah antara tetamu dari Pulau Indah yang paling awal sampai di Parit Bugis. Syameer, Chempaka, Puan Jamilah, Jannatun, Nazirah dan Kak Musalmah antara beberapa orang yang hadir ke majlis perkahwinan Dayang Atikah. Ada juga beberapa orang guru lain yang turut dijemput sama. Kalau boleh Dayang ingin berkongsikan kegembiraannya itu dengan semua orang. Bukanlah sebagai tanda dia riak atau ingin menunjuk-nunjuk tetapi apa salahnya jika dia ingin memaklumkan kepada semua. Lagipun dia sudah ‘membakar’ buku lamanya. Sekarang ini dia telah membuka helaian yang baru. Namun apa yang paling terkilan di hatinya adalah kerana ketiadaan Karmilla yang tidak dapat bersama-samanya kerana sedang mengikuti kursus di Sarawak.
Majlis yang diadakan itu agak besar juga. Maklumlah masing-masing menjadi kesayangan ibu. Tambahan pula Dayang Atikah adalah yang bongsu. Takkan ada lagi kenduri selepas ini. Hazami pula anak tunggal. Mana lagi jika tidak berhabis untuknya. Tetapi yang penting semua orang dapat menyertai majlis itu…
“Tahniah Hazami, Dayang. Semoga berbahagia hingga ke akir hayat.”
Amjad menjadi orang yang pertama mengucapkan kata-kata itu kepada pasangan pengantin baru. Dayang Atikah melihat wajah Amjad buat pertama kalinya setelah dia meninggalkan daerah Pulau Indah. Wajah itu bersih dan tenang bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Tiada dendam yang tersimpan. Semuanya bagaikan telah bermula semula. Dia dan Amjad bagaikan sepasang teman yang baru berkenalan semalam. Segera dia membalas senyuman Amjad.
“Aku doakan kau cepat dapat jodoh!”
Lega hati Dayang Atikah apabila dia merasakan segala-galanya telah bertukar ceria…
Wajahnya menatapi wajah Hazami yang sah menjadi suaminya. Ada senyuman di bibirnya. Akan ditumpahkan segala kasih dan sayang kepada lelaki itu.
Ya Allah, bimbinglah kami dalam melayari bahtera rumah tangga ini agar sentiasa aman dan sejahtera…


Stylish Thankyou

Monday, August 27, 2012

Biskut Alamanda, Pemanas Lepas Raya

 
 
Hampir seminggu melupakan rumah kedua ni, memang bisu sungguh, perlu banyak semangat dan kekuatan untuk mengupdate dan memansakan kembali blog yang kian sepi. Aidilfitri yang sudah berbalu bagai membawa bersamanya segala semangat yang ada. Hajat nak mengumpul koleksi e-kad raya kawan2 tapi nantilah dulu. Nak cerita pasal raya pun tak ada yang menarik. Bergambar memang tak dan la sibuk membuat persiapan itu ini. Sedih nak cerita, tapi 8 helai tudung yang nak bawa balik beraya tertinggal pula. Nak tak nak kena la beli tudung yang ala-ala aje... Hmmmmmm memang geram sungguh pada diri sendiri. Takpelah... ^^
 
Marilah kita menjamu mata dengan koleksi biskut raya yang belum diupdate. Dalam banyak-banyak biskut raya tahun ni, biskut alamanda inilah juaranya. Memang terbaik biskut ni. Sangat sedap, segala-galanya kena dan sungguh sempurna.Gabungan coklat dengan cococrunch, kacang dan choc rice memang kena sungguh.
 
Untuk biskut ni cheq sue ambil resepinya dari blog Kak Wan dan rasanya Kak Azlita pun ada buat. Cheq sue cukup suka buat biskut ni. Caranya takde la renyah sangat, main tekap2 aje. Memang kelasss nak buat masa raya. Kalau tak pun buat sekadar makan2 pun ok...satu adunan tu banyak jugak dapatnya.
 
TQ pada chef Asma dan Kak Wan atas resepi ni. InsyaAllah akan buat lagi lepas ni. Menyesal kalau tak buat tau....  Wassalam...
 
BISKUT ALAMANDA
Resipi :  Chef Asma
Sumber : Kak Wan

Bahan A
250gm mentega
80gm shortening
80gm gula kaster
2 sudu kecil cappucino emulco

Bahan B (Di ayak)
350gm tepung red rose
1/4 tsp baking powder
40gm tepung jagung
40gm tepung kentang
2 sudu besar susu tepung

Bahan C
100gm koko crunch di kisar halus
40gm kacang tanah - di panggang dan di kisar halus
100gm coklat rice
Hiasan : Kuning telur, coklat masakan hitam dan putih

Cara-cara :
1.  Pukul bahan A hingga berkrim.  Masukkan bahan B dan C dan uli hingga menjadi doh.
2.  Rehatkan doh selama 15 minit atau lebih.  Canai dan terap dengan acuan di sukai.
3.  Susun dalam loyang yang telah di gris.  Sapu dengan kuning telur dan bakar pada suhu 150C selama 15-20 minit.
4.  Sejukkan dahulu dan hias dengan coklat masakan hitam dan putih

Stylish Thankyou

Friday, August 17, 2012

Minal Aidil Wal Faidzin

 
 
Pastinya saat ini masing2 sudah sibuk membuat persiapan akhir menjelang hari raya yang InsyaAllah akan menjelma tidak lama lagi. Cheq sue  sendiri pun sudah selamat sampai ke kampung petang hari Rabu, 15 Ogos lalu.  Kawan-kawan yang baru nak memulakan perjalanan tu diharapkan dapat berhati-hati. Jadilah pemandu yang berhemah. Sepanjang jalan balik Gua-Musang ke Pasir Puteh, memang banyak sungguh PDRM, JPJ dan traffik yang membuat pemantauan. Jadi beringatlah kalau tak mahu kena saman.
 
Bila dah dekat raya ni, memang banyak yang perlu dibuat Oleh yang demikian aktiviti berblog ni bercuti seketika. Segala gambar2 yang masih belum diupload tu akan diletakkan kemudian. Cheq sue dah tengok tadi ada banyak e-kad raya kawan2 yang cantik2 tu. InsyaAllah lepas raya ni baru cheq sue nak ambil ya, sebagai kenang-kenangan. Dan kalau sudi silalah ambil e-kad dari cheq sue yang tak seberapa ni ya!

 
Kepada semua teman blogger, cheq sue memohon maaf seandainya ada terkasar komen atau terlebih kata di dalam n3, mana yang kurang tu datangnya dari cheq sue sendiri dan yang lebihnya itu dari Allah jua. Seandainya diizinkan kita akan berjumpa semula selepas hari raya nanti. Semoga Aidilfitri kali ini membuahkan kebahagiaan pada kita semua.

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Wassalam

Stylish Thankyou

Wednesday, August 15, 2012

Biskut Casablanca Delight

 
 
Sebenarnya jarang2 sangat nak buat biskut yang kena solek2 ni. Selalu biskut raya togel2 aje tak ada serinya. Tapi kali ni oleh sebab tak dapat banyak mana, boleh la hias lawa-lawa sikit untuk biskut casablanca ni, baru kena dengan namanya yang ala-ala vouge gittew..
 
Masih juga menggunakan resepi daripada Citarasawan, namun asalnya daripada Chef Zubaidah. Kak Yatie pun ada buat biskut ni. Cantik je tengok. Rasa pun sedap dengan gabungan nestum dan badam. Cheq sue tak ada pulak bijan hitam, tapi digantikan dengan bijan putih biasa.
 
 
Untuk hiasan atasnya pula cheq sue sapukan dengan lebihan telur putih + pewarna merah dan 3 biji biji labu. Nampak la serinya sikit. Kat rumah sebenarnya ada stok ceri merah tapi lupa lak kat mana disimpannya. Elok dah siap buat biskut  ni baru jumpa. ^^ Mana-mana yang belum cukup biskut raya tu boleh la cuba yang ni pulak ya. Tak susah pun membuatnya.  Memang berbaloi. Wassalam...
 
Note : Dalam mood raya. Kat sekolah pun dah tertukar hari. Lama jugak tak berBW, bizi sesangat time exam. Hmmmm tunggu nak balik kg je ni... InsyaAllah petang nanti *_* ......
 
 
BISKUT CASABLANCA DELIGHT COOKIES
Resipi :  Chef Zubaidah
Sumber : KakWan

Bahan A
130gm mentega
20gm shortening
70gm gula kastor

Bahan B
30gm nestum - diramas
30gm oat- panggang dan kisar
30gm serbuk badam
20gm bijan hitam

Bahan C
25gm tepung jagung
10gm tepung beras
150gm tepung gandum
Hiasan : Ceri merah dan hijau, kuning telur

Cara-cara
1. Sebatikan bahan A dan masukkan bahan B dan uli rata.
2. Masukkan bahan C dan uli lembut kemudian canai menjadi kepingan nipis.
3. Terap dgn acuan empat segi tepat dan sapukan kuning telur dan hias dgn ceri merah dan hijau.
4. Bakar pada suhu 140c selama 30 minit atau sehingga kekuningan.

Stylish Thankyou

Tuesday, August 14, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 27

 
 
 
Dengan rela hati kulepas kau pergi, doaku sentiasa mengiringi langkahmu…

Amjad memandang sekeping gambar dia dan Dayang Atikah yang di ambil sempena sambutan perayaan Hari Guru yang sudah. Dalam gambar itu, dia di pasangkan dengan Dayang Atikah sebagai guru yang menjadi pilihan. Hanya itulah satu-satunya kenangan yang dia ada untuk di tatapi jika dia kerinduan. Sebenarnya dia tersangatlah ingin melupakan seraut wajah itu yang saban masa mengganggu jiwanya. Nekadnya untuk membiarkan Dayang gembira di Parit Bugis. Sebab itulah dia tidak mengganggu  atau mencari gadis itu walaupun dia mampu. Perasaan malunya melarang dia berbuat demikian walaupun dia terlalu ingin mengucapkan perkataan maaf kepadanya.
Matanya memandang gambar itu sekali lagi. Itulah pandangannya yang terakhir kerana selepas ini dia tidak mahu melihat gambar itu lagi. Lighter di meja di capai dan perlahan-lahan bucu gambar itu mula membakar…


Penderitaan, pergilah dari hidupku kerana bahagia akan tiba…

Rasanya telah terlalu banyak penderitaan yang aku alami. Sudah terlalu banyak juga air mata yang aku curahkan kerana menangisi pemergianmu. Kehilanganmu membawa luka dalam hatiku. Setakat mana aku mampu untuk mengatasi perasaan itu, setakat itulah yang aku terdaya sedangkan sisanya masih ada berkelodak dalam hati sehingga menimbulkan pelbagai perasaan yang lain.
Sebenarnya Am, secara jujur aku masih mengingatimu. Walalupun kita kini jauh dibatasi jarak waktu namun wajahmu masih jelas dalam cermin pandanganku. Sekalipun aku menafikan ingatan itu, namun hanya Tuhan yang tahu apa yang ada dalam hatiku. Tetapi aku benar-benar berharap dapat membiarkan diriku menikmati kebahagiaan baru ini tanpa melibatkan dirimu kerana aku tahu, seandainya dirimu sedang bergembira, aku juga mempunyai hak untuk berperasaan begitu. Cuma secara jujurnya aku menyatakan padamu, kenangan manis antara kita yang pernah terjadi dulu akan tetap menjadi yang terindah dalam hidup ini…
Semalam ibu datang kepadaku, membawa satu perkhabaran yang menyentak nadiku, mengejutkan diriku dari lamunan terhadapmu. Kau tahu Am, aku terfikir adakah aku ingin terus hidup dalam kenangan bersamamu ataupun cuba menerima apa yang telah berlaku sebagai satu cubaan dan dugaan terhadapku? Terlalu sulit untuk kuhuraikan situasi. Bila kufikirkan berkali-kali, aku mengambil keputusan untuk menerimanya. Apa yang ibu nyatakan ibarat sebuat permainan yang aku tidak tahu bagaimana peraturan dan keputusannya. Yang aku tahu, aku kini mempertaruhkan hidupku untuk mendapatkan bahagia. Ibu telah membawa hajat ibu Hazami untuk menyunting diriku kepada anak bujangnya itu.
Ibu banyak menasihati walaupun aku tidak pernah bercerita tentang masalah kita. Namun sebagai seorang yang berkongsi darah denganku dia pastinya tahu apa yang sedang melanda. Ternyata disebalik senyumku dia dapat melihat ada kelukaan yang tersimpan.
Sukar bagiku membuat keputusan itu. Tambahan pula tidak ada perasaan lain kepada Hazami yang menjadi orang atasanku. Namun bila memikirkan nasihat ibu, terasa bagaikan air sejuk pergunungan mengalir ke dalam diriku memberikan kekuatan kepadaku untuk bermain dengan api..
Maafkan aku Am… sekalipun aku cuba untuk melupakan apa yang telah terjadi antara kita, sekali itulah aku kecundang. Pintaku kini biarlah kau berbahagia dengan sesiapa jua yang menjadi pilihanmu dan doakanlah aku bahagia dengan pilihan ibuku. Berkat hidupku bersama-sama dengan restunya…

Dayang Atikah melipat kertas kajang dua helai yang baru selesai ditulisnya tadi. Kertas itu diumpamakan helaian surat yang dia tidak tahu untuk diberikan kepada siapa. Seperti kebiasaannya di IB dulu, helaian begitu akan dibakar sebagai tanda segala masalah atau kedukaan yang ditulisnya akan hancur menjadi debu seperti abu kertas-kertas tersebut.
Ada sedikit kelegaan di dadanya… melihatkan helaian kertas itu marak membakar, terasa masalahnya turut hilang.

 
 
Kalaulah engkau dapat melihat kegembiraanku saat ini….

“Abang, Dayang dan ibu nak datang ke sini.”
Jerit Chempaka kepada suaminya tatkala surat bersamput putih kiriman Dayang Atikah habis dibaca.
“Bila?”
“Cuti sekolah  minggu hadapan. Tak sabarnya nak jumpa mereka. Dah lama Chempaka tunggu saat ini.”
“Syukur pada Tuhan akhirnya permintaan itu telah dikabulkan. Kalau macam tu, kita kena bagitahu emak dan ayah. Mereka tentu gembira mendengar berita ini.”
“Abang nak balik ke rumah emak ke?”
“Iyalah. Lagipun abang dah janji dengan emak nak ambil buah rambutan yang sedang meranum di belakang rumah. Siapkan Zikrullah cepat.”
“Baiklah bang.”
Chempaka memaut anaknya yang sedang meniarap.  Bayi itu dipandang dan diagah-agahnya kegembiraan…


Setelah sekian lama, kau kembali semula ke daerah ini…

Dayang Atikah memandang persekitaran yang telah kian lama ditinggalkannya itu. Ternyata banyak juga perubahan yang telah berlaku. Bagaikan juga perubahan yang telah melanda hidupnya. Namun yang pasti dia masih ingat apa yang asal di sini. Oleh itulah dia lebih selesa memandu keretanya sendiri walaupun Chempaka menawarkan khidmat untuk mengambilnya. Dengan adanya ibu di sebelah, perasaannya tenang dan selesa.
Chempaka dilihatnya semakin jelita dan menawan. Agaknya itulah seri seorang isteri yang kini menjadi seorang ibu. Kebahagiaan keluarga yang diimpikan kini sentiasa ada. Dayang Atikah turut bersyukur di atas kebahagiaan sahabatnya itu.
“Apa khabar Chem?”
Itulah ayat pertama yang diluahkan walaupun masing-masing tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Mereka saling berpelukan. Ahmad Zikrullah yang berada di pangkuan bapanya terpinga-pinga.
“Lamanya kita tak jumpa. Wah… dah makin sihat kau sekarang.”
“Kau ni memang suka bergurau. Jemputlah naik. Sekejap lagi mak mertua aku sampai. Dia pun tak sabar nak jumpa ibu dan kau.”
Mereka kemudiannya naik ke rumah dan Chempaka segera menghidangkan air perahan limau nipis sejuk kepada tetamunya itu.
“Berapa lama ibu tinggal di sini?”
Syameer bertanya. Khadijah memandang Dayang  Atikah.
“Ibu bergantung kepada Dayang. Kalau dia mahu balik, ibu ikut. Kalau tak ibu tak kisah nak tinggal berapa lama pun di sini. Terpulanglah pada Dayang.”
“Tinggallah di sini seminggu dua. Cuti sekolah kan lama lagi.”
Chempaka menyampuk.
“Chem, sebenarnya kalau boleh aku pun nak tinggal lama-lama di sini tapi minggu depan aku kena ke sekolah untuk membuat kelas tambahan. Dah janji dengan budak-budak di sana. Aku rasa kau pun faham peperiksaan percubaan tak lama lagi.”
“Tak apalah. Kau datang sekarang ni pun dah cukup. Tapi janji lain kali kau akan datang lagi tau!”
“Itu sudah semestinya. Ahmad Zikrullah sudah tentu akan merindui ibu saudaranya, kan!”
“Assalamualaikum.”
Kedengaran suara orang memberi salam.
“Waalaikumussalam. Jemput naik mak, abah.”
Mereka saling bersalam dan bertanya khabar. Dayang Atikah turut memeluk ibu mertua Chempaka. Mereka bagaikan sebuah keluarga. Bahagia!

Stylish Thankyou

Ayam Bakar Lada Hitam Mayonis & Sos Cendawan

 
 
Asyik-asyik keluar n3 biskut raya... nak buat camana kan dah gitulah resamnya. Makin dekat nak raya makin banyak koleksi biskut yang ditunjukkan sehingga menggoda-goda nak membuatnya juga. Tapi kali ni nak bagi laluan dulu pada ayam panggang ni. Cheq sue buat minggu lepas, panggang dengan pemanggang ajaib aje pun. Memang mudah kerjanya, letak aje kat dalam tu...tak sampai sejam dah buleh makan.
 
Ni kes berkenan dengan manok panggang yang Q tunjuk la ni. Tapi masa tu tak sempat nak search resepi, guna je resepi dari e-book Ros dan digandingkan dengan sos cendawan campak-campak. Ada pulak hirisan kentang untuk melengkapkan hidangan. Memang kebaboooom sungguh la. Budak-budak makan bertambah. Lain kali boleh la cuba buat lagi....
 
Pada kawan2 yang kehabisan idea nak buat lauk berbuka tu boleh la cuba ayam panggang ni. Memang tak menyesal punya! Wassalam...
 
AYAM BAKAR LADA HITAM MAYONIS

Bahan-bahannya
1/2 ekor ayam ( bersihkan dan cucuk dengan garpu)
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 cm halia ( agak-agak je)
2 ulas bawang putih
1/4 biji bawang besar
1 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 sudu kecil kicap manis
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar mayonis
sedikit lada sulah
Caranya
1. Blender bawang besar, halia, bawang putih dengan sedikit air sehingga hancur, kemudian curah di dalam bekas dan campur gula, lada sulah, garam, kicap manis madu dan serbuk lada hitam.

2. masukkan ayam dan akhir sekali letakkan mayonis, gaul sebati dan perap di dalam peti ais selama 2 atau 3 jam, bakar pada suhu 190 darjah selama 40 minit atau satu jam, angkat dan sedia untuk dihidangkan panas-panas, Selamat Mencuba.
( kalau perap lagi lama lagi sedap ayam bakar ni, dan bakar biar perang sikit permukaan ayam tu)

Stylish Thankyou

Monday, August 13, 2012

Biskut Cornflakes Crunchy

 
 
Biskut kelima. Masa buat biskut ni tahu nak cepat aje. Sepatutnya kena rehatkan dalam peti sejuk semalaman tapi cheq sue letak sejam dua aje, tu yang kejadiannya biskut tu agak meleper aje. Mula-mula letak dalam cup tapi macam tak cun aje, terus cheq sue bulat2kan atas loyang dan bakar. Walaupun penyek gitu rasanya boleh tahan sedap jugak. Memang rangup je bila makan. Tambah2 bila guna tepung red rose tu.
 
Cuma sedikit kelainan dalam biskut ni bila cheq sue masukkan sedikit poppyseed, nampak la menarik sikit ada bintik2 bertahi lalat gittew, bukan semut ya! Kalau ada kengkawan yang belum ada cadangan nak buat biskut tu boleh la cuba yang ni, memang senang sangat nak membuatnya. Cheq sue bab2 biskut ni dah tutup kedai, tinggal nak upload aje. Bab jahit menjahit pun dah setel, tahun ni tak jahit banyak, 2 pasang aje. Mesin jahit pun nampaknya nak kena hantar servis... baju budak2 pun tak berjahit tahun ni, maklumlah dah tak tahu ukurannya, kang kalau jahit tak muat @ terkecik sayang pulak kan...
 
Oklah...selamat membuat persiapan raya. Wassalam...
 
 
BISKUT CORNFLAKES CRUNCH
Resepi : Kak Wan

Bahan A
280gm mentega
180gm gula kaster
1/2 sudu teh vanila
2 biji telur B

Bahan B - di ayak
320gm tepung gandum / rose
1/2 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh soda bikarbonat
1/8 sudu teh emplex
Bahan C :  500gm cornflakes (di ramas sedikit)

Cara-cara :
1.  Pukul bahan A hingga kembang, masukkan telur satu persatu dan pukul hingga sebati.
2.  Masukkan bahan B dan gaul hingga menjadi adunan yang lembut.  Rehatkan di dalam peti sejuk semalaman.
3.  Sudukan 1/2 sudu teh adunan dan gaulkan dengan cornflakes.  Susun di dalam dulang pembakar dan jarakkan kerana biskut akan mengembang dan meleper.
4.  Bakar di dalam oven yang telah di panaskan dahulu pada suhu 150C selama 20 - 25 minit.
5.  Simpan dalam bekas kedap udara.

Stylish Thankyou

Sunday, August 12, 2012

Mak Ahmad, Mak Fizi Juga

 
 
 
Cheq sue pasti ramai yang dah menitiskan air mata melihat iklan raya daripada BERNAS (2012) ni. Cheq sue sendiripun menitiskan air mata, malah bercucuran tanpa kata bila melihatnya. Masa tu tengok kat sekolah, tak kira ada orang pun, air mata memang tak tertahan. Yang paling sedih bila Fizi kata.. KAMI ANAK YATIM, KAMI NAK TUMPANG BALIK KE KAMPUNG... rasanya sungguh mendalam kata-kata tu dengan dilafazkan oleh Fizi dalam riak yang tenang sekali. Subhanallah...sungguh bermakna sekali pengisian dalam iklan tersebut. Cheq sue tersangat tersentuh melihat kedua kanak-kanak kurang upaya itu yang walaupun dalam serba kekurangan tetapi masih tabah menghadapinya.
Memang terbaek la iklan ni... Syabas pengarahnya. Wassalam.
 
Stylish Thankyou

Friday, August 10, 2012

Biskut Cappucino / Coffee Slices

 
 
Biskut keempat. Biskut cappucino slice (cheq sue guna kopi so jadi coffee slice), memang dah lama cheq sue nak cuba. Daripada tak ada cutter, sampai ke ada cutter, simpan 2 3 bulan baru boleh guna. Memang nak sangat rasa biskut ni.  Cumanya... memang berfikir sungguh nak cunakan cutter tu. Kalau untuk satu lapisan tak apa, bila dah masuk 2 lapisan ni memang lagi susah nak memasangnya. Itupun cheq sue guna saiz besar, kalau guna ikut saiz cutter tu memang hancus la rasanya biskut ni.
 
Biskut ni memang sedap sungguh dengan bau kopinya. Sebenarnya nak guna cappucino tapi tak jumpa pula pastenya. Bila guna kopi pun rasanya tak berbeza sangat. Harum sungguh semerbak satu rumah. Yang lucunya bila masuk bahagian coklat, rasa macam sikit pulak adunan yang diberikan tu. Cheq sue pun apa lagi, dengan kepandaian yang ada tambahkan pulak coklat sedikit lagi. Bila dituang ke atas cookies tu, tak nampak la pulak jalurannya. Memang cheq sue dah tanda siap-siap di loyang tapi terhilang pulak. Memang bercinta sungguh la nak mencari jalurannya tu. He he he...
 
Pada siapa yang ada cutter tu, boleh la cuba biskut ni. Bila buat memang kita akan belajar macamana nak dapatkan cara yang betul dan termudah untuk memasangnya. Dalam blog Kak Wan tu ada ditunjukkan cara-cara yang jelas step by step. Linknya ada kat bawah tu kalau nak buat rujukan. InsyaAllah kalau ada kelapangan nanti boleh la dibuat semula, insyaAllah boleh tambah ilmu lagi. ^^ Selamat mencuba. Wassalam.
 
 
BISKUT CAPPUCINO / COFFEE SLICE
Resepi : Kak Wan

Bahan A
210gm mentega
100gm gula perang
1 sudu teh cappucino emulco

Bahan B (di ayak bersama)
250gm tepung gandum
90gm tepung jagung
50gm susu tepung
60gm serbuk kacang tanah

Topping coklat
230gm coklat masakan
10gm cocoa butter
(di cairkan secara double boiler)

Hiasan :  Jumbo Heart, Croquant
Loyang 10' x 10' x 2 dengan cutter - Cara Memasang Cutter

Cara-cara :
1.  Pukul bahan A hingga berkrim, masukkan bahan B, uli hingga menjadi doh yang lembut.
2.  Alas loyang 10 x 10'  dan alas dengan kertas minyak, biarkan lebihan kertas 1" keluar dari loyang.
3.  Ambil doh seberat 600gm dan canaikan doh ke dalam acuan dan ratakan. Masukkan pemotong (cutter) dan tekan padat ke dasar loyang.  Cucuk permukaan doh dengan garpu.
4. Panaskan ketuhar. Bakar pada suhu 140c selama 40minit atau sampai kekuningan.
5. Setelah biskut sejuk bukakan cutter dan tuangkan coklat masakan hitam yang dicairkan, ratakan.Nampak tak jaluran yang terbentuk dari cutter, letak kembali cutter ke tempat asalnya berpandu kepada jalurannya.  (jika nak buat corak marble, lakukan ketika coklat masih cair baru di letakkan cutter.
6. Masukkan balik cutter kedalam loyang, letak jumbo heart dan croquant dan biar coklat membeku.
7. Setelah coklat beku bolehlah dibuka cutter.





Thursday, August 9, 2012

Coco Fingers Cookies

 
 
Biskut ketiga. Cair di mulut dan tersangatlah peroi. Memang sesuai sangatlah bagi sesiapa yang sukakan biskut tanpa tekanan untuk mengunyahnya. Rasanya pun agak klasik dengan ciri tradisional, agak sama juga dengan kuih bangkit. Resepi ni masih juga dengan koleksi biskut dari blog Citarasawan. Biskut ni adalah yang pertama kali cheq sue gunakan loyang dan cutter. Aduhhhh, memang berair mulut nak memasang benda cutter tu ya? Nampak macam senang aje tapi jenuh jugak baru menjadi.
 
 
Istimewanya biskut ni sebab ianya menggunakan tepung beras dan kelapa kering. Pastu ada pulak dimasukkan santan (walaupun cheq sue tak masukkan sebab x ada), dan ianya masih tak mengubah rasa biskut ni. Satu adunan tu tak berapa banyak jugak, kalau kata buat nak dibahagi-bahagikan kenalah gandakan bahan-bahannya. Bila pk biskut yang cair di mulut ni mulalah nak ingatkan Mokwo yang sangat sukakan biskut pesen ni.
 
  Untuk hiasannya pula, cheq sue cuma letakkan coklat cip dan di lorek dengan coklat hitam. Cuma yelah, dalam bulan puasa ni tak dapat nak rasa lebih-lebih, bila lepas berbuka tu takde nak hadap biskutnya, tambah-tambah pula dok berbuka kat rumah kawan. Harap-harapnya biskut ni laku la raya nanti. Kawan-kawan boleh la cuba ya. Wassalam...
 
COCO FINGERS COOKIES
Resepi : Citarasawan

Bahan-bahan
230gm mentega
200gm tepung ubi
100gm tepung jagung
100gm tepung gandum
80gm gula ising
1 biji kuning telur
1/2 tsp esen vanila
50gm kelapa kering - di kisar halus
4 Tbsp santan KARA

Hiasan :  Coklat masakan hitam dan putih - dicairkan

Cara-cara
1. Pukul mentega, gula dan esen vanila, masukkan telur dan pukul hingga kembang.
2.  Masukkan tepung jagung, tepung ubi, tepung gandum dan kelapa kering di ikuti dengan santan, gaul hingga sebati dan uli hingga menjadi doh yang lembut.
3.  Gunakan nozzle bergerigi dan paip di atas dulang yang di leser dengan majerin/shortening.  Boleh juga di terap dengan acuan yang di sukai.
4.  Panaskan oven, bakar pada suhu 140C selama 25 - 30 minit.
5.  Sejukkan dan paip coklat hitam dan putih untuk hiasan.

*** Jika adunan menjadi keras, tambahkan sedikit mentega dan uli semula.
*** Biskut ini mesti di terap dengan segera  kerana dohnya mudah mengeras selepas sejam atau lebih.  Terap lebih tebal kerana teksturnya agak lembut.

Stylish Thankyou

Wednesday, August 8, 2012

Biskut Strawberi Cornflakes

 
Biskut raya yang kedua. Sumbernya masih dari blog Kak Wan. Dah kata tahun ni nak buat biskut yang belum dicuba, jadi inilah hasilnya. Cheq sue buat dua adunan, terap guna acuan tat, tu yang jadi besar. Lagipun bila dah besar tu cepat la sikit siapnya. ^-^ Kan? Biskut ni sebenarnya menggunakan lemon, dan namanya pun biskut lemon cornflakes, tapi xde la pulak lemon kat rumah tu. So cheq sue ganti dengan paste strawberi, tu yang kena tukar nama tu. Mintak ampun ye kak...
Bila digandingkan biskut tu dengan aising kat atasnya (cheq sue buat aising vanila) memang melengkapkan rasanya. Biskutnya tu tak berapa manis sangat, agak gebu jugak. Sesuai gittew. Kalau siapa yang belum ada idea nak buat biskut tu boleh la cuba yang ini pulak. Wassalam...
* Nape tetiba speechless lak rasanya pagi ni? Hurmmm...
 

BISKUT STRAWBERI CORNFLAKES
Resepi : Citarasawan

Bahan-bahan
160gm mentega
125gm gula icing
180gm tepung gandum
120gm tepung beras
30gm cornflakes di kisar halus
1 biji telur
1 sudu besar parutan kulit lemon
1 sudu teh lemon emulco / esen lemon

Hiasan : Aising Lemon
1 biji putih telur
100gm gula icing
1 sudu besar tepung jagung
1/8 sudu teh jus lemon / esen lemon
pewarna yang disukai

Cara-cara :
1. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan telur dan lemon emulco, pukul hingga sebati.
2. Satukan tepung yang telah diayak bersama parutan kulit lemon dan cornflakes kisar. Masukkan ke dalam adunan mentega dan uli menjadi doh.
3. Canai dan terap, susun di dalam dulang pembakar yang telah digris dan bakar selama 25-30 minit pada suhu 150C.
4. Sejukkan dahulu sebelum di hias dengan icing.
5. Aising Lemon : Satukan bahan aising, pukul dengan kelajuan tinggi hingga pekat. Paipkan ke atas biskut hingga habis kemudian bakar semula selama 10 minit untuk mengeringkan aising.

Stylish Thankyou

Tuesday, August 7, 2012

Dah Lepas Angka Lima, SUKA!

 
Jika nak dibandingkan dengan traffik blog kawan2 yang dah mencanak tu, angka yang terpapar di blog cheq sue ni apalah sangat nilainya. Tetapi secara peribadi, tuan tanah kedaung tersangatlah suka dengan peningkatan angka tersebut, dari satu, dua, tiga, empat, lima dan enam angka, nilai itu tersangatlah berharga.
Selama hampir 2 tahun berblog, dengan pelbagai rencah n3 dan suka duka dengan teman-teman, ini adalah harga yang mengukirkan senyum di bibirku. Pict tu di screen pagi tadi, dan nampaknya sehingga n3 ini dikeluarkan, makin bertambah nilainya. Sebenarnya untuk mendapatkan angka itu, sudah terlalu banyak yang cheq sue pelajari. ^_^
Walaupun pergerakan traffiknya tu tak la sehebat mana tapi cukuplah untuk pencapaian sendiri...dah suka sangat-sangat ni... Ada orang kisah? Wassalam...
 
Stylish Thankyou

Biskut Peanut Butter

 
Setiap kali tibanya musim raya, memang mek dah warning siap-siap supaya tak buat banyak sangat biskut raya. Kita ni sebagai anak tidaklah suka nak membeli aje atau membuat biskut tunjuk-tunjuk, tapi lebih suka membuat sendiri. Disamping dapat buat banyak jenis, tentunya lebih puas hati sambil mencuba resepi terbaru. Dan untuk koleksi biskut raya 2012 ni, cheq sue banyak mencuba resepi biskut yang berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Memang puas hati sungguh.
Biskut peanut butter ni merupakan biskut raya pertama yang dibuat, sebagai pemanas enjin tentunya sehingga satu dulang pertama tu hangit jadinya. Cheq sue memang suka biskut yang ada kacang-kacang ni, bila ternampak di blog Kak Siti Delima tu, terus je cheq sue beli bahan-bahan. Satu adunan tu tak la dapat banyak sangat.

Cuma tak tahulah agaknya ada silap adunan biskut ni agak kurang gebu sikit. Mungkin sebab cheq sue guna mentega kacang yang kasar tu kot. Pastu cheq sue tercanai agak nipis sebab dok ingatkan biskut ni mengembang. Rasanya sedap tapi bagi golongan veteran memang tak digalakkan makan la sebab macam keras aje. Untuk yang muda-mudi ni takde masalah. Cheq sue memang no hal, dah benda kita suka kan.

Biskut ni secara peribadinya kalaupun tidak dibuat pada musim raya, sangat sesuai dibuat untuk kudapan seharian, memang seronok mengunyahnya. Lain kali boleh la buat lagi. TQ Kak Ct yang sudi berkongsi resepi ni. Wassalam...

 
BISKUT PEANUT BUTTER
Sumber : Che CT

Bahan-bahan :
125 gm butter - suhu bilik
1/2 cawan gula kastor
1/2 cawan gula perang
1/2 sudu teh esen vanila
1 biji telur A - pukul sebentar
1/2 cawan mentega kacang
 2 cawan tepung gandum - tambah jika perlu
1 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam halus
1 biji kuning telur - sapu atas biskut

Hiasan :
kacang bergaram - secukupnya

Cara-cara :
1. Panaskan oven suhu 180 C. Guna api bawah sahaja
2. Putar butter, gula kastor, gula perang dan esen vanila hingga berkrim.
3. Tambahkan telur dan pukul lagi. Masukkan mentega kacang putar rata.
4. Masukkan tepung, baking soda dan garam yang diayak kedalam adunan butter tadi. Gaul sebati hingga jadi doh yang lembut.
5. Ambil doh dan bentukkan ikut pilihan. Susun dalam loyang yang dialas kertas minyak dan jarakkan antara satu 1 1/2 inci.
6. Sapu kuning telur atasnya dan letak sebelah saja kacang bergaram. Sapu lagi kuning telur diatasnya. Buat hingga habis.
7. Bakar selama 12-15 minit hingga perang kemasan. Ikut oven masing-masing. Sejukan 2 minit atas loyang dan sejukkan sepenuhnya atas rak dawai. Simpan dalam bekas kedap udara.

Stylish Thankyou

Monday, August 6, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 26

 
 
 
Kukirim khabarku di angin lalu tanda ingatanku kepadamu…

Dayang,
Rasanya telah lama kita tidak berinteraksi bersama. Aku sangat merinduimu dan terlalu banyak yang ingin kukatakan. Walaupun kini aku mempunyai Syameer untuk berkongsi bicara namun kadang-kadang dia tidak boleh menjadi sepertimu yang sentiasa mempunyai fikiran yang sama dan sentiasa bersetuju denganku. Kadang-kadang aku merasa terkilan dengan apa yang menimpa kita namun aku tahu ada hikmah disebaliknya. Dan rasanya baru semalam kita bertemu. Sesungguhnya kenangan bersama kau tetap segar dalam ingatanku.
Aku telahpun selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada awal bulan lalu. Namanya Ahmad Zikrullah. Kalau kau masih ingat nama itulah yang kita sama-sama cari satu ketika dulu. Sebenarnya aku sangat berbesar hati jika kau dapat datang ke sini kerana kami akan mengadakan upacara mencukur rambut Ahmad Zikrullah pada hari Sabtu minggu  ketiga yang akan datang ini. Pada ketika itu juga kita telahpun bercuti. Aku pasti kau tidak mempunyai apa-apa komitmen di sekolah. Aku percaya Ahmad Zikrullah juga ternanti-nanti untuk berada dalam dukungan ‘ibu saudaranya’. Bawalah ibu bersama. Sebagaimana aku mengingati dan merindui kau seperti itu juga ingatan aku terhadap ibu. Tentunya Ahmad Zikrullah memerlukan restu daripada neneknya.
Jika kau datang, akan aku kongsikan pengalaman ku melahirkannya. Antara hidup dan mati aku berjuang untuk melahirkan seorang lagi penyambung zuriat Nabi Muhammad, pengorbanan itu terlalu besar. Namun segala kesakitan terbalas bila aku mendengar jeritan nyaring anakku, tanda kehadirannya di dunia ini. Pastinya kini, kau akan tahu betapa kami gembira kerana Ahmad Zikrullah sudah pandai mengukirkan senyum. Manis, bagai bapanya.
Sebenarnya Dayang, aku menulis begini bukanlah bermaksud untuk melukai hatimu tetapi sekadar ingin berkongsi kegembiraanku denganmu agar kau juga merasa ceria kerana kita pernah juga berkongsikan segala suka duka bersama. Jadi pada fikiranku kau juga berhak berkongsi kegembiraan ini bersama. Setelah pemergianmu, hanya pada Syameerlah tempat aku mengadu meskipun kadang-kadang aku tidak pernah menang tatkala bertikam lidah dengannya. Sesungguhnya aku benar-benar merindui saat-saat kita bersama dulu.
Datanglah Dayang! Aku, Syameer dan Ahmad Zikrullah menantikan kedatanganmu….

Teman lama...
       Chempaka            


Engkaulah gadis yang dulu menghuni hatiku. Kini kau kembali semula…

Hazami memandang sekilas Dayang Atikah yang berada di sebelahnya. Gadis itu mengenakan baju kurung Johor berwarna kelabu dan bertudung hitam, sementara ibunya berada di belakang. Pada pagi itu dia akan membawa mereka ke Hospital Besar Pontian untuk memenuhi permintaan ibunya. Sebenarnya dari pandangan mata itu sudah ada getaran dalam dirinya. Malah tidak keterlaluan jika dia katakan dia telahpun menyimpan perasaan terhadap gadis itu ketika dia mula-mula mengajar dulu namun perasaan itu dipendamnya. Malu juga jika dikatakan guru yang menggatal dengan pelajar. Dan kini perasaannya mekar semula apabila gadis yang diimpikan berada  di depan mata. Tetapi sebagai seorang lelaki yang gentleman, dia tidak mahu tergopoh-gapah.
“Zami, rasanya ini bukan jalan ke Pontian. Awak dah salah masuk jalan ni.”
Teguran Dayang Atikah mengejutkannya dari lamunan.
Dia memandang  ke kiri dan kanan. Sah. Memang dia tersalah jalan. Sepatutnya dia masuk ke simpang kanan tadi tapi kereta itu dipandunya terus. Bibirnya mengukir senyuman. Entah bagaimana dia boleh khayal begitu. Malu pula rasanya perkara sebegitu terjadi kepada dirinya. Bersama-sama Dayang Atikah dan ibunya pula tu. Dia segera membuat u-turn.
Dalam perjalanan Pontian yang seterusnya, tidak banyak yang mereka  bualkan. Hazami mahupun Dayang Atikah masing-masing berdiam diri. Dayang Atikah sebenarnya menahan gelak di dalam hati kerana kejadian tadi. Hazami pula dalam diamnya makin berhati-hati bimbang akan sampai ke tempat yang lain lagi. Dan mereka terus berdiam diri hingga sampai ke perkarangan Hospital Besar Pontian…
“Sum… Sum…  aku datang ni.”
Terdapat tindak balas ibu Hazami bila mendengar panggilan Khadijah. Dia membuka matanya dan memandang ke wajah di sebelahnya. Dahinya berkerut-kerut bagaikan cuba mengingati siapakah yang memanggil namanya.
“Jah? Khadijah?”
Mereka berpelukan. Suasana bertukar hiba apabila kedua insan itu saling bertangisan. Itulah tangisan yang membuktikan perasaan mereka berdua yang ternyata masih bertaut rapat.
“Sum, aku rindukan kau. Sejak kita berpindah, aku cuba mencari kau tapi tak tahu di mana. Puas aku bertanya ke sana ke mari tapi tak jumpa.”
“Aku juga sama mencari kau tapi Tuhan itu Maha Merancang ke atas apa yang diinginkanNya. Namun aku tak putus asa. Syukurlah kita dapat bersua semula.”
Matanya kemudian memandang Dayang Atikah, menyorotinya dengan pandangan yang penuh kasih. Tangannya dihulurkan. Dayang Atikah menyambut huluran tangan itu dan mengucupnya.
“Terima kasih Mi kerana menunaikan impian ibu”
Hazami tersenyum dan memeluk ibunya. Itu adalah pemberiannya yang sedikit untuk menggembirakan ibunya yang selama ini banyak berkorban.
Di dalam bilik itu terdapat pelbagai emosi yang tidak menentu…


Besarlah hatiku jika dapat memiliki puterimu…

Dayang Atikah memeluk ibunya. Hatinya gembira  kerana akhirnya dapat memiliki apa yang diidamkan. Walaupun mengambil masa yang agak lama, namun dia puas hati kerana dapat mengusahakannya dengan kudrat dan tenaga sendiri.
Kereta Satria berplat JHA 7723 yang dibelinya minggu lalu amat bermakna sebagai tanda kesusahannya sebelum mengecap kesenangan. Kini mudahlah sedikit baginya untuk bergerak ke sana-ke mari. Panjanglah sedikit langkahnya. Sempena dengan itu, satu kenduri doa selamat di adakan untuk menghindarkan diri dari segala kemudaratan.
Hazami dan ibunya dijemput sama ke majlis itu. Puan Kalsum kelihatan lebih sihat setelah berada hampir sebulan di hospital. Dia kelihatan gembira di majlis itu.
“Dah ada kereta ni jaga diri baik-baik. Jangan pandu laju-laju.”
Dayang Atikah memandang Hazami. Terasa dirinya dihargai dan disayangi, ada perasaan halus menyelinap dalam hatinya…
“Jah, aku rasa elok benar kalau kita satukan perhubungan kita ini dengan anak-anak kita. Tentu kau faham maksud aku kan?” Kalsum membuka bicara kepada Khadijah selepas berakhirnya majlis kesyukuran.
Khadijah memandang Kalsum. Semilir angin malam terasa mencucuk ke tulangnya. Segera dia terbayangkan Amjad. Bagaimana dia hendak memberikan jawapan? Dia mengukir senyum membalas pertanyaan sahabatnya itu.
“Aku faham kata-kata kau. Sebenarnya Sum, aku tak tahu bagaimana nak jawab pertanyaan kau. Rasanya eloklah kalau aku tanyakan dulu pada Ika. Bagi aku, Hazami seorang anak yang baik. Tak rugi mendapat anak sepertinya.”
“Jah, aku benar-benar berharap dapat menjadikan Ika sebahagian dari keluarga kami. Aku percaya Hazami akan dapat menjaga dia dengan baik. Lagipun, bila aku dah tak ada nanti, kehidupan Hazami masih lagi terurus.”
“Jangan cakap macam tu Sum. Hidup mati kita di tangan Tuhan. InsyaAllah aku akan tanyakan pada Ika nanti. Janganlah kau risau. Kalau Tuhan telah tentukan kita akan berbesan, aku redha.”
Mereka saling berpegangan tangan.
“Ibu, jom kita balik. Dah malam ni.”
Kedengaran suara lembut milik Hazami.
Kalsum yang memandang anaknya. Hazami memegang bahunya tersenyum. Seketika matanya terpandangkan kelibat Dayang Atikah yang sedang menuju ke arah mereka. Matanya kemudian dihalakan ke arah Hazami dan kembali memandang Dayang Atikah. Sambil menguntumkan senyuman, dia memandang Khadijah dengan penuh makna. Matanya bercahaya…


Stylish Thankyou