PAGES

Monday, September 30, 2013

Resepi Macaroni Shepard Pie

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Hari ni agak sibuk sikit membuat persediaan peperiksaan PMR. Tak ada kesempatan langsung saya nak menjenguk blog, apatah lagi membuat BW. Jadi ni ada masa sikit sebelum kelas tambahan, boleh la saya berjimba2 sebentar.

Bila selalu makan yang sama sahaja, mesti terdetik di hati alangkah jemunya... Begitulah saya sehari-hari bila membawa bekal ke sekolah. Kalau asyik masak yang sama, memang terasa payah nak menghabiskannya. Sesekali kenalah bertukar menu.

Jadi fikir-fikir, godek-godek, terjadilah macaroni shepard pie nih... olahan daripada resepi shepard pie versi biasa. Bukan apa, sebab nak jadikannya banyak sikit sebenarnya. Kalau nak tengok yang saya dah buat dulu boleh klik sini.


Masa ambik gambar ni lupa pulak nak paipkan  sos cili dengan mayonis. Barulah sedap di makan... Tambah-tambah bila makan semasa masih panas. Ambil gambar malam-malam gini lah ya. Tahu nak cepat siap je. Suku dah buat dinner dan selebihnya bawa ke sekolah.


Kalau ada yang nak cuba, saya tuliskan resepi di bawah ini...

RESEPI MACARONI SHEPARD PIE
Resepi : Cheq Sue 

Bahan-bahan :
1 biji bawang besar - cincang
1 ulas bawang putih
20 biji tomato cherry
2 sudu besar sos spagetti (tradisional) KIMBALL
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil minyak bijan
2 keping daging burger (ayam)
1/2 cawan macaroni - rebus
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk oregano
Garam gula secukupnya

4 biji ubi kentang - rebus empuk
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam 
Susu segar secukupnya

Cara membuatnya :
Blend bawang putih, tomato cherry dan air secukupnya. Tak perlu hancur / halus sangat
Masukkan ke dalam kuali, tambahkan bawang besar. Masak mendidih.
Tambahkan daging burger yang telah lembut, kacau hingga rata dan masukkan sos spagetti, sos cili, sos tomato, minyak bijan, serbuk lada hitam, serbuk oregano, garam dan gula secukupnya. Biarkan mendidih.
Seterusnya masukkan macaroni yang telah direbus. Masak lagi sehingga pekat. 
Setelah masak, angkat dan masukkan ke dalam bekas tahan panas yang bersesuaian. Ketepikan.
Macaroni yang telah siap tidak muat semuanya untuk dimasukkan ke dalam caserol seperti di dalam gambar. Ada berlebih lagi dalam 1 mangkuk. Jadi agak-agaklah.

Kentang yang telah direbus dilecek semasa masih panas
Tambahkan lada hitam dan susu segar, kemudian kacau dengan whisker sehingga mendapat adunan yang licin.
Letakkan ke atas macaroni di dalam bekas tahan panas tadi. Saya gunakan piping bag untuk meletakkan kentang.
Kemudian, bakar pada suhu 180'C selama 20 minit (bergantung pada berapa garing kentang yang dikehendaki)
Boleh la dihidangkan bersama sos cili dan mayonis...

Sunday, September 29, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 19

Seperti yang dijanji, Che Mat sekeluarga dan Zainab sekeluarga akan berkelah di Sungai Congkak. Sesak nafasnya dengan permintaan anak-anak yang saban hari menggesanya ke rumah Zainab, dia akhirnya menawarkan diri untuk ikut serta setelah Zainab merancang untuk mandi manda di sana bersama keluarga rakan-rakan sepejabat. Kira-kira macam family day lah.

Anak-anak apatah lagi, malam sebelumnya dah siap berkemas, dengan pakaian mandi, tikar mengkuang, jajan dan sebagainya. Memang seronok sangat. Tambah-tambah pula dengan anak-anak rakan sepejabatnya yang turut pergi. Masing-masing berjanji untuk berjumpa di sana jam 10 pagi. Dia dan Zainab pergi berasingan, iyalah, mana muat kalau nak angkut semuanya. Campur anak-anak, dia , Zainab, emak dan Kak Ija dah separuh bas mini.



‘Wah, ada air terjun la papa!’

Qasseh berteriak sesampainya di sana. Turun sahaja dari kereta, dia dan dua abangnya terus meluru ke tempat Zainab yang tiba lebih awal. Masing-masing bersalaman dan mencium mesra pipi Zainab. Tinggallah Che Mat dan Mak Mah membawa barang-barang. Tak dapatlah nampaknya Che Mat duduk di tempat lain, konon-konon nak jauh sikit dari tempat Zainab tu. Nampaknya anak-anak tak kasi can!

‘Banyak barangnya Mak Mah?’

Zainab datang bertanya. Dia mengambik raga rotan dari tangan Mak Mah dan plastik dari dalam kereta.

‘Biasalah budak-budak ni Nab. Bawa barang bukan main, diorang seronok aje melepak kat sana.’

‘Janganlah awak susah-susah Nab, saya boleh bawa. Mak pergilah duduk dulu.’

Che Mat naik segan sebenarnya dengan kebaikan Zainab. Kalau budak-budak nampak entah apa yang dikata.

‘Nenek jom la makan ni, sedap makcik Nab masak!’

Qayyum mengajak dengan mulut yang penuh dengan mee goreng.

‘Eh, bukan ke Qayyum dah makan dekat rumah tadi?’

‘Memang la nek, tapi bila nampak mee ni terus rasa lapar balik.’

Macam-macam je budak Qayyum ni. Kalau dibandingkan ketiga-tiga mereka, dialah yang paling kuat makan.

‘Abang, jomlah nak mandi.’

Qadeer menarik tangan Qaish. Dia sejak tadi tak sabar untuk turun ke dalam air.

‘Hah, siapa yang nak ke sungai mari ikut nenek. Nenek pun dah lama tak rasa sejuk air sungai ni.’

Amboi neneknya pun, sama naik dengan cucu. Sampai tak cukup tangan nak pegang lima cucu yang mengekornya. Dia membawakan mereka ke kawasan air cetek. Pantas dia menolak bila Zainab ingin membantu. Dia mahu membiarkan Zainab dan Che Mat seketika.

‘Allah budak-budak ni tak menyempat nak tunggu saya.’

Kata Che Mat sambil menepuk dahi.

‘Qalish tu pun semalam sampai tertidur dengan beg bajunya, tak sabar-sabar nak mandi sungai.’

‘Che Mat dah minum?’

Zainab pantas mengulurkan termos berisi air kopi. Sepiring popia turut dibawa bersama. Dia memang sentiasa tahu kegemaran Che Mat dan anak-anak.

Masa berdetik, terus bergerak. Che Mat keresahan berdua dengan Zainab. Meskipun di kawasan terbuka, dia tidak mampu melarikan matanya dari terus memandang Zainab yang jelita walaupun hanya mengenakan t-shirt muslimah dan seluar trek. Dengan layanan mesra Zainab terhadap ibu dan anak-anaknya, Che Mat tambah tidak keruan. Ingin sahaja dia meluahkan perasaannya kepada Zainab. Ingin sahaja dia melamar Zainab menjadi isterinya tetapi apakan daya kekuatan itu masih belum datang-datang juga.

‘Awak tak turun Nab?’

Che Mat sekadar bertanya.

‘Tak kot Che Mat, ni barang-barang tak ada yang menjaga nanti.’

‘Kalau macam tu saya nak ke sana lah.’

Zainab hanya mengangguk. Mana mungkin dia meninggalkan segala macam barang yang ada di situ, kalau ada pencopet habislah. Matanya memandang saja gerak langkah Che Mat ke arah Mak Mah dan anak-anak yang seronok bermain air. Entah apa yang dibicarakan, dia kemudiannya mengatur langkah ke tempat Kamal.



‘Bos tak mandi?’

‘Tunggu la sekejap lagi Kamal oiii. Dah tua-tua ni nak kena air pun sejuk. Azura dengan anak-anak mana? Dah turun ke?’

‘Uihhh depa tu dari tadi lagi bos. Akmal tu pantang nampak air, macam itik turun ke kolam la.’

‘Budak-budak begitulah Kamal. Anak-anak saya tu pun, berulang kali dok tanya soalan yang sama, bila nak sampai…bila nak mandi.’

‘Mesra nampaknya anak-anak bos dengan anak-anak Kak Nab tu.’

‘Meeka berkawan dari kecil lagi Kamal, memang serasi betul.’

‘Bos, kalau saya cakap ni bos jangan marah ya…’

‘Apa dia?’

‘Bos tak teringin ke nak jadikan Kak Nab tu isteri bos? Ya lah, dia dah lama kehilangan suami, bos pun perlukan isteri untuk melengkapkan keluarga. Tak nak ke bos?’

Amboi budak Kamal ni…insuran apa tak tahu yang dia guna untuk mulutnya tu, tak sayang langsung.

‘Entah la Kamal.. dah umur begini tak terfikir langsung pasal tu.’

‘Saya bukan apa bos, cuba tengok anak-anak bos tu. Saya nampak dah macam adik beradik dengan anak-anak Kak Nab. Kurang-kurang kalau ada mak, seronok sikit mereka. Bukan saya nak kata bos ni tak seronok, tak pandai nak mendidik anak, tapi dengan kehadiran seorang ibu tu akan lebih membahagiakan bos.’

Kalau dulu emaknya berkata begitu, sekarang Kamal juga menuturkan perkataan yang sama.

‘Kau rasa macam mana?’

‘Kak Nab tu baik bos. Dia banyak membantu saya dan Zura. Saya percaya dia akan melengkapkan hidup bos sekeluarga.’

Bijak betul Kamal berkata-kata. Hilang sikap main-mainnya seperti yang selalu ditonjolkan di pejabat.

‘Saya segan la nak bagitahu dia Kamal.’

‘Apa pulak nak segan bos. Itu kan benda baik. Ke nak mintak tolong saya bagitahu?’

‘Eh, kau jangan cari pasal pulak Kamal. Satu je saya nak mintak tolong, jangan hebohkan pulak perkara ni. Antara kita berdua sahaja tau.’

‘Iya la bos. Saya bagitahu je. Jangan pulak bos terlepas rugi nanti.’

Che Mat membuang pandangan ke arah Zainab yang berada bertentangan. Seketika mata mereka bertentangan…



*****



‘Nab, masuk sekejap.’

Che Mat menekan interkom di depannya.

‘Ada apa Che Mat?’

Sekeping kertas dihulurkan.

Surat panggilan konvensyen?

‘Saya kena pergi?’

Zainab bertanyakan soalan budak sekolah.

‘Awak gantikan saya boleh? Pada tarikh tu saya ada mesyuarat dengan cawangan baru di Brunei.’

Che Mat membalas. Dia tersenyum.

‘InsyaAllah kalau tak ada apa-apa.’

‘Saya rasa tak ada masalah kot ni. Lagipun hujung minggu, tak la mengganggu masa awak dengan keluarga.’

‘Ehhhh, tak ada masalah Che Mat. Lagipun minggu tu kebetulan mak dengan abah nak datang ke KL, bolehla tengokkan anak-anak. Konvensyen ni pun di KLCC je, saya boleh balik malamnya.’

Bersungguh Zainab menerangkan. Sekarang ni anak-anak pun dah besar, dia nak tinggal pun tak la risau sangat. Kak Ija ada…

‘Terima kasih banyak-banyak Nab.’



Duduk sahaja di kerusi setelah keluar dari bilik Che Mat, Jabbar datang membawa sejambak bunga ke arahnya.

‘Buat pujaan hatiku Cik Zainab Atikah…’

‘Ape kena kau ni Jabbar? Buang tebiat ke?’

Balas Zainab, tanpa memandang.

‘Kau ni Nab, nak gurau sikit pun tak boleh. Ni hah ada orang kirimkan bunga untuk kau. Aku yang sign tadi.’

Bunga? Siapa pulak yang tak sayangkan duit beli benda-benda membazir ni? Alangkah baiknya kalau duit tu didermakan ke masjid ke, bagi anak-anak yatim ke. Zainab agak dalam beratus jugak harga jambangan tu, penuh dengan bunga ros merah jambu. Lebih 50 kuntum agaknya.

Tapi sejak dulu sampai sekarang, dia tidak pernah suka dengan bunga ros, baginya tak kekal lama dan keindahannya hanya sebentar sahaja. Pantas dia membelek jambangan itu. Tak ada pulak kad yang terselit di mana-mana. Misteri. Ada peminat barukah dia di usia begini.

‘Kau ambillah Jabbar. Bagi la pada sesiapa. Takpun bawa balik untuk isteri di rumah.’

‘Kau taknak ke?’

Jabbar menyoal dengan mata yang membuntang tak percaya. Jarang ada perempuan yang menolak bila diberi jambangan bunga. Tambah pulak yang besar begini. Di kejauhan pun boleh bau wanginya.

‘Aku tak suka lah bunga-bunga ni.’

‘Siapa la yang bagi ni pada kau Nab?’

‘Mana la aku tahu. Hantu siang agaknya.’

‘Hah? Ha ha ha…’

Pecah gelak tawa Jabbar dengan gurauan Zainab. Dia membawa jambangan bunga itu ke mejanya sambil bersiul riang. Zainab meneruskan kerja. Dia tak layan misteri-misteri ni. Kalau suka, face to face ok. Lagi senang nak cerita!

Saturday, September 28, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # 18


‘Papa, bila kita nak pergi rumah Makcik Nab? Qasseh rindu la dengan Qalish.’

Soal Qasseh di suatu pagi. Ketika mereka sedang bersarapan.

‘Ha ah la papa, dah lama Qayyum tak jumpa Qadeer. Jom la kita pergi pa…’

‘Hish, papa tak nak la kacau makcik Nab tu.’

‘Mana ada kacaunya pa. Kalau kita pergi mesti makcik Nab suka. Lagipun Qayyum rindulah dengan masakan dia. Nenek ni asyik masak yang sama aje.’

‘Amboi kau orang ni mengutuk nenek ya?’

Mak Mah yang datang membawa telur hancur menyampuk.

‘Betul apa nek, Qaish pun suka dengan masakan makcik Nab tu. Jom la papa kita pergi.’

Aduhai anak-anak. Sekarang ni bukan main lagi ya, bijak sekali menuturkan kata meminta itu dan ini. Walaupun Che Mat sedar tentang hubungan akrab yang terjalin antara keluarganya dengan keluarga Zainab, tetapi dia tidak mahu sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap apa yang ada. Dia cukup risau sebenarnya jika disalah anggap oleh orang lain.

‘Jom la papa…’

Qasseh bagaikan merayu. Dia mempamerkan wajah mendung kepada papanya. Sesungguhnya dia pakar dalam hal itu.

‘Jom la Mat. Mak pun dah jemu asyik bersembang dengan periuk belanga aje, dengan tv lah. Senak kepala mak ni. Kalau ada Zainab tu ceria sikit hidup mak.’

Eh eh mak ni, dia pun sama juga macam anak-anak. Emak kalau ada si Zainab tu, tak ada dia pun tak apa.

‘Nanti-nantilah papa fikirkan. Dah, makan cepat dah lambat ni.’

Mak Mah tersenyum dengan jawapan Che Mat. Dia mengenyitkan mata kepada Qasseh. Dah kalah la tu. Satu lawan empat mana boleh menang. Cucu-cucunya memang sporting. Tak sia-sia mereka bersepakat malam tadi.


*****

 Zainab keluar dari Farmasi Dahlia setelah selesai urusannya membeli vitamin anak-anak. Waktu itu sudah jam 4. Hari ini dia mengambil cuti setengah hari. Tadi ada beberapa perkara perlu di selesaikan di bank dan juga di pejabat pos. Setelah selesai dia ke farmasi, cadangnya mahu membeli barang keperluan dapur pula. Sedang dia berdiri di depan pintu masuk, seorang perempuan separuh umur berada di luar, ingin memasuki farmasi itu juga. Dia pantas membukakan pintu dan mengukir senyuman. Eh, dah macam penyambut tetamu pulak…

‘Eh, Zainab!’

Paduka Syarifah Zahrah!

‘Apa khabar puan?’

Zainab menghulurkan tangan bersalaman. Itu lumlahnya sesama insan. Ukhuwwah tak akan putus hanya kerana peristiwa yang lalu.

‘Makcik baik saja. Singgah beli ubat sikit ni. Zainab buat apa di sini? Beli ubat jugak?’

‘Beli vitamin untuk anak-anak. Mmmm saya pergi dulu ya puan.’

‘Eh tunggu dulu Nab. Makcik ada perkara nak bincang dengan kamu. Tunggu ya, makcik pergi beli ubat sekejap.’

Hah, perkara apa pula ni? Janganlah peristiwa yang sudah lepas itu digali dan diungkitkan kembali.

‘Jom kita peri minum dulu.’

Ajak Paduka Syarifah Zahrah. Walaupun sudah agak berumur, perempuan yang masih kelihatan jelita itu bijak berbicara. Zainab yang masih mempunyai masa segera bersetuju dan bergerak ke restoran berdekatan. Kedengaran juga Paduka Syarifah Zahrah berbicara dengan seseorang, Zainab agak pemandunya kerana beliau memintanya tunggu seketika.

‘Sekarang dah tua-tua ni kena jaga kesihatan Nab.’

Kata Paduka Syarifah Zahrah setelah pelayan pergi membawa pesanan meraka. Dia meminta teh halia manakala Zainab mahukan jus epal.

‘Puan masih muda lagi. Masih sihat saya tengok.’

Zainab berbasi-basi. Wanita di depannya ini lebih kurang umur dengan emaknya di kampung. Cuma yang membezakan di wajah emaknya lebih banyak kedutan dan urat yang timbul. Opsss… maafkan Nab mak!

‘Janganlah berpuan-puan dengan saya Nab, panggil saja makcik.’

Zainab hanya mengangguk. Dia bukan mementingkan darjat Syarifah wanita itu, tetapi sekadar menghormati orang yang lebih tua.

‘Macam mana hidup Nab sekarang?’

‘Alhamdulillah makcik. Saya bahagia dengan anak-anak.’

‘Anak Nab berapa orang?’

‘Sepasang. Lelaki dan perempuan.’

‘Alhamdulillah. Dah lengkap la tu. Suami Nab?’

‘Dia dah meninggal makcik. Kemalangan.’

‘Maafkan makcik Nab, makcik tak tahu.’

‘Tak mengapa.’

‘Makcik sebenarnya nak minta maaf dengan kamu Nab, terlalu banyak dosa makcik.’

Paduka Syarifah Zahrah memegang erat jemari Zainab di meja.

‘Tak, makcik jangan la cakap macam tu. Saya dah lupakan segalanya. Apa yang berlaku tu saya anggap sebagai dugaan dari Tuhan.’

‘Setelah apa yang makcik buat pada kamu, Tuhan memberikan balasanNya kepada kami sekeluarga.’

Zainab hanya terdiam. Dia tidak mahu menyoal atau bertanya. Dia tiada hak.

‘Suami makcik kahwin lain setahun kemudian. Syarifah Soffea pula membomohkan Syed Hamdan setelah mereka berkahwin. Lama juga dia menderita sebelum pulih.’

Ooooo, patutlah Syed Hamdan nampak seperti orang sakit dengan tubuhnya yang kurus dan kelihatan tidak bermaya.

‘Saya bersimpati dengan apa yang berlaku pada keluarga makcik.’

‘Kamu maafkanlah makcik Nab. Makcik dah lama cari kamu untuk meminta maaf. Selagi itu hidup makcik tak tenang.’

‘Makcik, saya dah lama maafkan makcik. Saya sentiasa mendoakan makcik sekeluarga hidup bahagia dan tenang selalu.’

‘Murninya hati kamu Nab. Kalaulah dulu makcik terima kamu sebagai menantu pilihan Syed Hamdan, tentu sekarang kita sekeluarga hidup bahagia.’

‘Ajal maut di tangan Tuhan makcik, insyaAllah Syed Hamdan akan mendapat pasangan yang lebih baik daripada saya.’

‘Sampai sekarang makcik meyesal Nab. Syed Hamdan seorang anak yang baik. Tapi disebabkan makcik dia menderita sampai sekarang.’

‘InsyaAllah dia tak apa-apa makcik. Kita berdoalah kepada Tuhan.’

‘Terima kasih Nab kerana sudi maafkan makcik.’

Zainab memeluk bahu Paduka Syarifah Zahrah. Sesungguhnya demi Tuhan dia tidak pernah berdendam…jauh sekali untuk terus menghukum wanita itu dan juga Syed Hamdan.

Friday, September 27, 2013

Tauhu Kukus Sos Tiram

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Selamat petang semua... Cepat sungguh rasanya minggu ini berlalu. Dah pun tamat persekolahan minggu ini. Dengan kesibukan yang sentiasa menghambat, tak terasa masa yang berdetik. Sebenarnya nak publis n3 ni pagi tadi tapi entah apa yang disibukkan sampai terlupa.

Dalam kehidupan ini, ada beberapa perkara yang menjadi minat saya. Memasak terutamanya. Semasa memasak, saya mendapat satu kepuasan yang tidak terhingga. Daripada membaca resepi, kemudian menyediakan bahan-bahan, kemudian mula memasak dan di akhir sekali kita akan melihat hasilnya. Seperti juga membaca, memasak adalah satu pengembaraan. Walaupun kita tidak pandai, tetapi asalkan kita mencuba semuanya tidak menjadi masalah.

Begitu juga dengan saya. Dalam masa santai, dalam masa tertekan memasak merupakan satu terapi walaupun apa yang saya masak tu kadang-kadang tak menjadi. He he he...


Saya teringin nak mencuba memasak tauhu kukus ni setelah melihat satu n3 di blog Masam Manis. Cara Kak Ita terangkan, dengan persembahan gambar memang sangat2 istimewa.  Kalau diikutkan, saya tak makan tauhu ni. Entahlah kenapa, saya memang tak terliur dengannya tetapi dek kerana nak mencuba, saya beli juga seketul tauhu lembut dan mula memasaknya.

Bagi penggemar tauhu, ini satu masakan yang menarik. Gabungan sos masin pedas dengan tauhu lembut memang sedap tetapi kerana saya memang tak suka makan tauhu, maka saya nak menghabiskan seketul itu penuh rasa seksa. Oleh sebab itu juga di dalam kuah saya masukkan sedikit lobak merah sagat untuk memberikan tekstur.

Buat penggemar tauhu, bolehlah mencuba resepi ini. Sangat disyorkan. Saya copy semula resepinya dibawah untuk rujukan akan datang. Terima kasih Kak Ita!

TAUHU KUKUS SOS TIRAM
Resepi : Kak Ita Masam Manis

1 kpg tahu lembut yg besar
3 ulas bawang putih dicincang
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu teh stock ayam
daun bawang dihiris halus
air secukupnyer
minyak utk menumis
cili merah dihiris
bawang goreng

Kukus tauhu selama 5 minit angkat dan ketepikan. Panaskan minyak masak dan tumis bawang putih hingga harum. Selepas itu masukkan sos tiram, kicap manis, dan air secukuopnyer dan kacau hingga mendidih. masukkan stock ayam, minyak bijan dan garam secukup rasa.  kacau hingga pekat. Angkat dan tuang ke atas tauhu tadi. Taburkan daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili.