PAGES

Sunday, November 17, 2013

C@AC 7 : Orange & Choc Chips Mini Cake



 

Syafiza menuju ke kantin selepas semua pelajar prasekolah balik. Kak Jun berpesan kepadanya untuk menyiapkan dokumentasi berkaitan dapur pra sebelum ke PPD tadi. Nampaknya hari ini dia terpaksa balik lewat. Setiap kali ada pemantauan, tugasnya sebagai pembantu prasekolah agak boleh tahan sibuk juga. Sambil menyedut sirap limau ais yang diorder, Syafiza membuka bekas mengandungi mini kek yang dibuat oleh Aloyah. Cantik aje kek-kek tu dibuat dalam loyang berbentuk ros. Di dalamnya pula ada taburan chocolate chips. Entah apa ke namanya kek tu dia dah lupa. Yang dia ingat mini kek aje. Sms sudah dihantar kepada Badariah untuk minum bersama tetapi gadis itu menolak kerana ada urusan bersama KPT.


‘Oloh, dio make sore jah tok ajok doh kito.’
Ismail tiba-tiba datang ke kantin dan menegurnya. Agaknya budak-budak pendidikan khas pun sudah balik tu yang dia ada masa melepak.
‘Minum?’
Ismail yang mengambil tempat di sebelahnya hanya mengangguk.
‘Teh o beng lima so kak.’
Fiza kagum sungguh dengan Ismail ni. Dia tak kisah langsung di mana berada. Lelaki bermisai itu tak pernah bercakap dalam Bahasa Melayu yang betul. Asyik-asyik cakap Kelantan. Tambah-tambah di sekolah itu ramai pulak yang senegeri dengannya. Malah Abang Leman, guru pendidikan khas yang berkerja bersamanya juga berasal dari sana.
‘Kek godio ni? Mari ko ambo sbutey.’
Belum pun Fiza berkata apa-apa, Ismail sudah mengambilnya.
‘Weh, suka hati je kau. Kang tak cukup lak aku.’
‘Demo takleh make banyok, keno jago bade baru comey lote.’
‘Tak kuasa la ku nak jaga-jaga badan ni.’
‘Wak diri ko kek ni? Ko demo beli kkeda?’
Dia dah agak dah. Itulah ayat skema yang selalu ditanyakan oleh sesiapa sahaja kalau dia ada membawa bekal ke sekolah.
‘Tak la, Aloyah yang buat malam tadi.’
‘Dio tu meme teror eh masok? Uto sungguh kawe dok sbeloh moh demo, kenye hidu bau jah.’
‘Siapa dapat dia memang senang la nanti. Sebut aje nak makan apa, semua dia boleh buat. Aku tak pandai, pandai makan aje.’
‘Demo keno blaja la denga dio. Nak masok gapo, nak buat kue ko, nak buat kek ko…tok susoh bbeli.’
‘Ala setakat nak makan sorang aku beli aje 2 ringgit.’
Dalam dok bersembang tu, habis jugak mini kek Syafiza sebiji. Dia sebiji, Fiza sebiji.
‘Haaaah…dok ngorat deh duo ore nih.’
Cikgu Sulaiman a.k.a Abang Leman pula datang ke kantin. Dah habis kerja la tu. Datang ke kantin tak ada tujuan lain. Order teh tarik segelas kemudian  pergi merokok. Setahu Fiza Mail tak pula merokok. Bagus, dia memang suka dengan lelaki yang tak merokok ni. Kalau tak memang dia lemas dengan asap rokok. Eh? Suka? Apa kes ni? ^_^
‘Ngorat aponyo abe, baru nak ngejah jah ni.’
‘Ngejah molek, upe bia keno. Jange paka air lio jah.’
‘Abang Leman tak minum ke? Nak bagi kek ni pun dah habis.’
‘Abe nak minu air jah. Kek-kek ni tak main lah, bagi ke Mae jah dia brehi gotu.’
Ish tensen sungguh. Pening kepala memikirkan apa benda yang menjadi butir percakapan Abang Leman dan Mail. Mentang-mentang la dia tak faham, entah-entah sedang mengutuk aku, siapa tahu…
‘Eh, nati tulo royak ko Loyah deh abe nak oda kek engri berd hujo minggu nih, nak wak kelik kapong. Pah Fiza tulo la hata ko abe.’
Kek engri berd? Ha ha ha…nak putus urat perut rasanya bila Fiza dengar kata-kata Abang Leman. Tak kering gusi dengan cikgu yang sudah beranak tiga itu. Isterinya nurse, berkhidmat di Kelantan. Dia di sini berulang balik setiap minggu.
‘Abe Leme ni tiak-tiak minggu kelik, respek sungguh la dio.’
‘Dah anak-bini dia kat sana kena la dia balik jenguk. Tanggungjawab tu.’
‘Kawe keno cari bini ore sini jah kalih. Mano tehe nak berule sokmo. Tuo atah jale jah la gitu.’
‘Cari la kalau jumpa. Cuba kau cakap BM sikit ada la yang berkenan tu nanti.’
‘Demo lagumano? Ado gewe doh ko?’
‘Gewe? Gewe tu ape?’
‘Gewe… gewe tu gewe lah.’
‘Ye lah…ape dia? Aku tak faham ni. Cuba kau eksplain sikit.’
‘Mmmmm…takdok gapo lah. Nati demo royak ko Aloyah la kek dio ni sedak. Tak genak ambo make sbutey. Ambo nak gi ko jambe smeta.’
Hish Mail ni. Mulut takde insuran langsung. Gewe? Macam pernah dengar tapi apa maksudnya. Makanan ke hape?

Ø  Weh kau tau gewe tu ape
o   Gewe? Siapa ckp dgn kau
Ø  Mail, dia tya aku dh ada gewe ke blm. Aku x phm
o   Dia nk ngorat kau la tu
Ø  Hish, memandai ke kau ni
o   Ye la, kalo kau nk tahu gewe tu maksudnya kekasih, ada phm? Dia tgh nk ayat kau la tu
Ø  Xn la Mail tu syok dgn aku yg tak lawa ni
o   Mn kau tahu, citarasa org bukan sm. Aku sokong kalau kau dgn Mail tu
Ø  Ha ha ha… mati katak la aku nnti. Btw dia kt mini kek tu best

Ahmad Fareez memandang Aloyah dari tingkap biliknya. Sesekali dia lihat gadis itu tersenyum. Kemudian memandang komputer di depan. Kemudian membalas sms, entah dengan siapa ya? Senang hati betul budak tu. Dia sebagai bos tak ada masalah, nak bersms ke nak tidur ke yang penting jangan ganggu kerja. Apa yang diperlukan, yang diminta mesti dapat on time.
Dia jugak yang sedang tertekan. Internet pejabat sejak tadi bemasalah. Dia yang mahu membuka aplikasi jabatan sudah menunggu agak lama dan belum habis meloading lagi. Inilah masalahnya bila semua nak guna aplikasi maya, semua nak online. Bila nak log in aje dah setengah hari, itu belum masuk data yang nak di key-in. Ahmad Fareez memang fed-up dengan keadaan begitu. Menjunam moodnya nak kerja. Tapi yang pelik kalau nak online facebook tak ada masalah pulak. Senang aje nak dapat line walaupun dia jarang menggunakan komputer di pejabat. Untuk bersosial dia biasanya menggunakan Galaxy hanya pada waktu rehatnya sahaja.
Tiba-tiba saja lagu Maher Zain menyentak keserabutan mindanya. Panggilan dari mama!
‘Assalamualaikum along.’
‘Waalaikumussalam ma. Ada apa?’
‘Ai, takkan la nak kena ada apa-apa dulu baru mama boleh telefon.’
‘Tak la macam tu. Kan baru dua hari lepas along telefon.’
‘Adik nak balik minggu ni, along tak nak balik ke?’
‘Along tak boleh balik ma, minggu ni kena kerja, Tuanku Sultan nak mencemar duli minggu depan. Sibuk sikit.’
‘Mama bukan apa long. Adik tu balik bawak kawan dia. Kalau along ada boleh la tolong tengokkan.’
‘Kawan? Kawan macam mana?’
‘Kawan perempuan. Sama kerja dengan dia.’
‘Ala mama ni. Mama dengan abah aje la yang tengok. Along bukannya tahu apa-apa. Mana yang baik along ikut aja. Lagipun kalau itu pilihan adik kita nak kata apa.’
‘Adik dah bawa balik calon, along bila lagi nak tunjukkan pada mama?’
Aduhhh, Ahmad Fareez cukup tertekan bila soal yang satu itu ditanyakan. Mama bukannya tidak tahu dia sudah mempunyai pilihan hati. Malah dia sudah menunjukkan gambar Kartina beberapa kali.
‘Mama, boleh tak kalau kita tak bincangkan hal tu?’
‘Along dah 29 tahun tau, patut dah berumah tangga. Dah ada anak.’
‘Bukannya along tak mahu kahwin ma, tapi tunggu la along establish dulu. Ada banyak lagi yang nak along capai. Tina pun baru kerja kan, mama bagi la peluang kami bina kerjaya dulu.’
‘Mama tak berkenan dengan si Tina tu, bukan tak ada perempuan lain lagi kat dunia ni long.’
Asyik-asyik itulah alasan mama terhadap hubungannya dengan Kartina. Dia yang nak kahwin, dia yang berkenan, apa masalahnya. Memang la kalau mengikut piawaian mama dia berkehendak yang bertudung, yang berbaju kurung, yang betah di dapur tetapi dah kerjanya GM di hotel, memang tak lepas la semua tu. Pening, pening. Macam mana lagi nak yakinkan mama ni?
‘Along yang nak kahwin ma, itu pilihan along.’
‘Ye la, mama tahu itu memang pilihan along tapi kalau boleh along cuba la buka mata pada perempuan lain yang lebih baik. Mama taknak along merana nanti.’
‘InsyaAllah tak, mama. Janganlah mama risau.’
‘Mama sentiasa mendoakan kebahagiaan kau nak.’
‘Terima kasih mama.’
Ahmad Fareez bukannya mahu melawan cakap mama tetapi sudah 2 tahun dia berkasih dengan Kartina yang dikenali semasa menghadiri kursus kepimpinan di Kuantan. Masa tu dia berkhidmat di Raub sebelum naik pangkat ke Cameron Highlands.  Dalam keadaan inilah peribahasa menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak amat berguna. Bagaimana dia mahu menjaga hati mama dan Kartina serentak? Adik pun kurang asam. Masa-masa macam ni la dia nak bawa balik makwe, tak menyempat-nyempat nak kahwin agaknya…

1 comment:

  1. salam cheq sue..

    comelnya mini cake tu..senang masuk mulut kan..

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]